Monday, June 30, 2008

Mahasiswi Asia Barat Dalam Menjana Kebangkitan Ummah

“ wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela dan menolong (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu”. – surah Muhammad : 7

Peranan mahasiswi kepada masyarakat adalah satu tanggungjawab sangat dituntut bagi memastikan kelangsungan agama Islam dapat diteruskan. Mahasiswi yang merupakan tunggak harapan Negara serta masyarakat mestilah memainkan peranan penting bagi memastikan satu perubahan yang baik kepada masyarakat umum. Kita perlu sedar tanggungjawab yang terpundak di bahu masing-masing menanti masa untuk dilangsaikan. Tanggungjawab ini adalah satu amanah dari Allah buat diri kita.

Persoalan ini bukan sekadar omongan kosong, tetapi ianya berkaitan dengan persoalan aqidah. Sejauh mana kita meyakini yang agama Islam itu syumul iaitu tidak berjuzuk-juzuk. Di dalam agama Islam itu sendiri tidak memisahkan agama dgn perkara selainnya. Agama Islam itu merangkumi semua aspek. Jadi, bagaimana pula kita bisa menjuzuk-juzukkannya?

Mahasiswi perlu sedar dan memberi perhatian dengan mengambil berat tentang isu sejagat. Kita perlu ubah sikap “ ananiyah” yang bersarang di dalam diri. Hapuskan ‘mental block’ yang ada dalam diri masing-masing dan menjadi lebih sensitif “ wa’ii” dengan isu hak asasi manusia. Mengetahui, mengkaji serta mengkritik isu dan berita yang berlaku semasa. Mahasiswi perlu bijak dalam memastikan bagaimana untuk beraksi di hadapan masyarakat mengikut kehendak massa.

Buktikan Mahasiswi Asia Barat Juga Mampu!

“ Insan perlu insaf bahawa kewujudannya mempunyai matlamat, perjalanannya mempunyai haluan dan hidupnya mempunyai tugas dan tanggungjawab.”

Menyedari peranan kita sebagai duta agama Allah akan membangkitkan rasa tanggungjawab seterusnya menghasilkan gerak kerja yang ‘itqan’. Masiswi yang merupakan agen pengubah masyarakat harus menggembleng seluruh tenaga bagi memastikan medium penyebaran dakwah itu tidak lesu. Bagi merealisasikan mahasiswi yang berjatidiri serta mampu ke hadapan dengan beberapa saranan seperti berikut:

Persiapan memperkasa ilmu

Menjadi keperluan penting yang mesti dipersiapkan kepada mahasiswi dengan sentiasa mendalami ilmu sebagai satu kewajipan. Kita wajib mendalami ilmu yang dipelajari dalam setiap bidang terutama asas aqidah yang mencernakan akhlak dan menzahirkan syariat. Kita hendaklah memiliki kompetensi (skill-sets) iaitu kepakaran dalam bidang lain agar seiring dengan kehendak massa. Asas terpenting kecemerlangan seseorang adalah ilmu dan kepakaran.

Persiapan memperkasa minda dan pemikiran

“ Allah memberikan hikmat kebijaksanaan )ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak, dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.”
- surah al-Baqarah : 269

keupayaan minda dan pemikiran sebenarnya menjadi isu dalam mengukur kebolehan kolektif mahasiswi. Kerana itu persiapan minda yang bersifat menyeluruh mencakupi kefahaman terhadap hukum-hukum Allah, mengetahui isu-isu semasa, memiliki ‘ bacaan politik’ (qiraat siyasi) yang tajam serta memahami keperluan melakukan perubahan bersikap elastik dan juga keupayaan membaca serangan pemikiran (ghazwatul fikr) yang dilancarkan musuh. Pemikiran yang matang seperti ini akan melahirkan mahasiswi-mahasiswi yang akan berdakwah dan mempertahankan ad-deen tercinta serta bertindak mengikut rentak kontemporari (mua’sir). Hapuskanlah virus yang mencengkam diri, kebuntuan minda akibat ‘buta maklumat’ dan terperangkap dalam kejumudan.

Persiapan membentuk jatidiri yang berwibawa

Pembentukan jatidiri mahasiswi perlu dimaksimakan dengan mengenepikan kekurangan yang ada seterusnya dilengkapkan dengan penjanaan kendiri yang lebih matang. Terutamanya mahasiswi mestilah pandai dalam mengawal dan membezakan hak individu dan masyarakat. Tidak dinafikan wanita tidak boleh dipisahkan dengan sifat malunya, tetapi jangan sampai malu untuk menyatakan kebenaran, pendapat dan sebagainya. Malu itu biarlah bertempat. Jangan biarkan perasaan malu itu terus membaluti diri kita! Kita perlu keluar dari kepompong fenomena “complaisant” dan “culture of fear” di kalangan mahasiswi Islam.

Buang mentaliti orang ke-2 atau ke-3 iaitu dgn membiarkan ikon yang sedia ada sahaja ke hadapan tanpa melihat tanggungjawab yang ada pada diri kita, tetapi kita perlu menjadi yang pertama. Jangan ‘limit’kan kemampuan diri ke tahap yang rendah. Tetapi kita mesti katakan dalam diri “ belum cuba belum tahu” atau “ hendak seribu daya..”. berusaha memotivasikan diri sendiri adalah salah satu cara bagi membentuk jatidiri yang berwibawa. Tentukan “muwasafat” yang diperlukan oleh diri kita. Jangan biarkan sindrom mahasiswi yg terlalu merendah diri diperkatakan lagi oleh golongan tertentu. Gerakkan agenda perubahan yang lebih serius serta peruntukan masa untuk membangunkan dan membina diri. Kita perlu sedar bahawa pertembungan pada hari ini adalah pertembungan kualiti vs kuantiti, bukan senioriti vs junioriti

Merealisasi peranan mahasiswi

“ bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa-apa keadaan yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah apa-apa keadaan yang ada pada diri mereka.”- surah Ar-Ra’du : 12

Seorang pujangga Islam pernah bermadah:

“ pemuda akan menjadi bangsa kita pada masa akan datang, pemuda jugalah yang akan menyediakan jiwanya untuk mati atau dibunuh mati di jalan Allah s.w.t. Oleh itu, pemuda mesti mempersiapkan dirinya untuk hidup demi untuk mengembalikan kegemilangan Ummah pada masa akan datang sehingga dirinya syahid atau Islam kembali menang!”

Perubahan sikap serta rasa tanggungjawab yang tinggi dalam diri amat perlu bagi merealisasikan segala tuntutan tersebut. Buktikan bahawa Islam itu tidak sempit dan menyekat kita untuk terus menyebarkan dakwah. Sedarilah bahawa masyarakat sedang dahagakan suara mahasiswa dan mahasiswi Islam sebagai metod perubah masyarakat. Mahasiswi yang merupakan sayap kiri perjuangan ini perlu menyedari peranan penting keberadaannya di dalam masyarakat. Amat malanglah jika mahasiswi kita tidak sedar atau buat-buat tidak sedar dengan amanah tersebut. Jangan ingat kita terlepas di dunia, tetapi sedarlah bahawa kita akan dipersoalkan di akhirat kelak akan tanggungjawab kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Sumbangan yang efektif dan serius amatlah diharapkan daripada mahasiswi bagi membentuk ummah yang cemerlang. Pandai menggunakan ruang dan peluang yang ada bagi memantapkan diri. Tanggungjawab sebenar kita menuntut ilmu dan memahami ad-deen seterusnya kembali sebagai pemberi peringatan kepada masyarakat. Antara aspek penting yang perlu ada pada setiap mahasiswi ialah, bijak, berani dan berdikari. Pastikan sumbangan yang akan kita berikan adalah yang ‘imtiyaz’ dengan dapat memahami serta menepati kehendak massa. Yakinlah segala amalan kita diganjarkan oleh Allah dengan balasan yang baik dan tiadalah yang lain kita dambakan melainkan redhaNya dalam perjuangan ini.

Salam perjuangan, pejuang!

0 pendapatan:

Related Posts with Thumbnails
 

saffa@srar Copyright © 2009 Community is Designed by Bie