Tuesday, December 29, 2009

Kesedihan Ummah Ini…

Kesedihan Ummah Ini…Aina Shababuna..?

Memori Muassasah Dan Sang Murabbi…


Salam sinar Syam dari perantau akhirah di bumi Anbiya’ lagi barakah ini buat semua yang mengenali insan hina ini. Sekalung terima kasih tidak terhingga buat mak dan ayah yang mendidik dan mentarbiyah diri ini agar sentiasa berada di jalannya, para Murabbi yang dikasihi, sahabat dan teman seperjuangan semoga kalian terus tetap istiqamah dan thabat dalam meneruskan perjuangan yang penuh dengan ujian, suka dan duka akan terus kita harungi..Insya Allah~.

Jika kita hitung-hitungkan akan kiraan usia kita hidup di dunia ini sudah tentu akan membuatkan kita menggeleng-gelengkan kepala kerana hakikatnya usia kita ini sangat singkat dan pendek. Tup-tup kita sudah berumur 20, 30, tahun. Sedang apa bekalan kita ketika usia sudah hampir menuju senja ini, Allahu a’lam. Alhamdulillah, saya diberikan peluang untuk bertemu kembali dengan pelajar lepasan dan yang pernah belajar di Muassasah melalui web alumi kami. Saya rasa bersyukur dan bangga melihat kejayaan masing-masing di dalam bidang yang diceburi.

Namun di sana ada perkara yang masih perlu saya sampaikan buat peringatan diri saya dan sahabat semua. Bagi saya adalah sewajarnya para pelajar lepasan sekolah yang ditarbiyah dengan tarbiyah Islam lebih memahami konsep dan cara mempraktikkan agama dalam diri, keluarga dan masyarakat. Kita adalah barisan agen perubah masyarakat. Menjadi “salesman” atau “promoter” terbaik agama untuk dibawa dan disebarkan kepada masyarakat.

Mungkin ada di antara sahabat-sahabat yang mengambil perkara ini sebagai suatu yang tidak penting. Namun bagi saya penjagaan agama,akhlak, tarbiyah dan bi’ah itu adalah sesuatu yang amat penting bagi yang mempelajari ilmu agama. Bagaimana mungkin kita mahu mendapatkan atau menegakkan Negara atau Daulah Islam jika diri kita pun masih belum dapat ditegakkan agama secara syumul?. Usah kita sentuh tentang urusan-urusan besar dalam masalah dan hukum agama, cukuplah jika kita Tanya soal hukum yang berkaitan dengan aurat, ibadah harian dan lain-lain hal di dalam kehidupan seharian.

Para pelajar agama itu boleh juga kita kenali dengan para penuntut ilmu Allah. Jadi, kita belajar agama ini semuanya berkaitan dengan kerana Allah, untuk Allah, bagi mencari redha Allah dan sebagainya. Jika ditanya selalunya itulah jawapan yang diberikan. Maka kalau jawapannya “LILLAHI TA’ALA” , kenapa pula bila kita sudah berjaya mendapatkan ilmu Allah dengan pangkat jayyid, jayyid jiddan, mumtaz dan imtiyaz namun masih tidak mahu mempraktikkan ilmu yang dipelajari?. Apakah akal kita masih tidak mampu untuk berfikir akan jalan terbaik bagi menahodai bahtera kehidupan ini?. Tepuk dada, tanyalah IMAN~…

Dengan penuh keinsafan saya bukakan secoret lipatan sejarah perjuangan para pejuang bagi mempertahankan bumi wakafan tercinta ~Muassasah Darul Ulum~..kisah ini saya petik dari buku yang bertajuk “Memoir Jihad Anak Melayu Di Afghanistan”-Zainon Ismail.

Peristiwa Muassasah berlaku pada pertengahahan tahun 1987 kerana tindakan yg diambil oleh pejabat daerah Kota Setar ketika itu untuk merampas tanah Muassasah milik PAS Kedah, dikatakan lebih didorong oleh politik Umno. Seterusnya timbul kemarahan ahli dan pimpinan PAS kedah. Ketika itu hampir seluruh ahli-ahli PAS kedah turun ke tanah Muassasah. Tidak kurang 1000 orang yang datang pada setiap hari. Bukannya ada apa-apa bayaran atau saguhati.

Ukhuwah antara ahli semakin erat, mereka berkawal dan berkubu di situ. Ada di kalangan mereka yang meninggalkan anak isteri di rumah. Manakala yang bujang pula sepanjang masa di situ. Mereka semua telah jatuh hati dan kasih akhuwah mula terasa. Keadaan mereka seperti kaki mahjung yang tidak ingat lagi rumahtangga dan anak isteri. Ia sudah khayal dengan permainan judinya itu.

Melihat akan kehadiran ahli yang tidak berjadual menyebabkan para pimpinan membuat jadual giliran untuk berkawal untuk mengimbang keadaan ahli bagi menjaga kemaslahatan semua. Tetapi mereka tidak mengikuti jadual yang disusun bukan kerana tidak patuh dengan arahan kerana semuanya hadir pada setiap masa dengan semangat yang tinggi untuk terus berkawal di situ.

Keadaan ketika itu langsung tidak dihamparkan dengan kesenangan hanya nasi lauk ikan masin dan sambal belacan serta air perigi sahaja yang ada. Tidur pula ditemani nyamuk hingga ke subuh. Mula tidur dalam khemah plastik berlantai tanah. Kalau tanah berair sisa-sisa papan akan digunakan untuk melapik belakang. Batu-bata yang dibungkus akhbar lama dijadikan bantal. Kesusahan-kesusahan ketika itu dianggap ujian sahaja.

“Mereka mengharungi semua itu dgn penuh kelazatan dan redha..”

Bagi memenuhi masa berkawal agar ahli tidak membuang masa dan leka, pimpinan telah mengadakan kumpulan usrah buat ahli. Di antara ahli yang mengikuti usrah ketika itu ada satu kumpulan usrah di kalangan pemuda yang telah mencipta sejarah unggul sebagai tamtama yang syahid di medan Jihad. Jika mahu tahu kisah lanjutnya anda boleh baca dari buku yang dinyatakan di atas. Saya tertarik dengan kisah para pemuda ini bersama seorang naqib yang boleh juga kita katakan “sang murabbi” terbaik buat anak usrahnya.

Ada petikan pesan sang naqib kepada anak usrahnya;

saya katakan padanya," jika kita ikhlas, Insya Allah DIA akan membuka jalan untuk kita semua."- cikgu Non.(zainon ismail)

kata terakhir anak usrahnya sebelum syahid di bumi Afghan;

jawab ahli usrahnya, "dalam perjuangan ana ni, tidak pernah ada penyesalan".


Dari kisah pengorbanan dan perjuangan tadi jelas bahawa kekayaan ilmu dan harta itu bukan syarat untuk seseorang mendapat tiket syuhada. Pemilihan Allah bergantung kepada keikhlasan seseorang yang berjuang untuknya, tanpa kompromi dengan segala sifat-sifat munafik atau ada udang di sebalik batu. Keikhlasan kepada Allah saja yang boleh melahirkan manusia beriman yang bertanggungjawab. Kerana ada juga manusia yang beriman kepada Allah, tetapi dia tidak bertanggungjawab terhadap agama dan nasib saudara seagama dengannya.

Mari kita perhatikan kisah pengorbanan dan perjuangan mereka yang telah banyak berjuang untuk mempertahan Islam dan maruah agama ini. Agar ruh para pejuang itu mengalir ke dalam diri lalu dapat membentuk peribadi muslim sejati. Bagaimana tarbiah dari naqib, didikan ibu bapa tentang Islam yang dapat melahirkan tamtama dan srikandi unggul Islam. Jika kita tidak mampu mencapai yang tertinggi cukuplah dengan memberikan sedikit sumbangan untuk Islam dengan memberikan sokongan kepada pejuang Islam dari sumber kewangan atau berikan kemudahan kepada para pejuang. Jangan kita sempitkan dan menjadi batu besar penghalang kepada kemaraan para pejuang ini. Kita perlu menjadi titi bagi memudahkan perjalanan merentasi sungai rintangan perjuangan.

Salam perjuangan dari perantau akhirah,

saffa@srar_Damascus_Syria.


2 pendapatan:

Gio Ve on December 29, 2009 at 4:42 PM said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...

salam,

moga pengalaman ini kita kongsikan bersama n diterjemahkan dlm amalan.

Related Posts with Thumbnails
 

saffa@srar Copyright © 2009 Community is Designed by Bie