Tuesday, December 01, 2009

Zuhudlah Dengan Apa Yang Ada


zuhudlah dengan apa yang ada..”

Berkali-kali saya cuba ulangi ungkapan kalam keramat itu di minda untuk mengamati maksud disebaliknya. Agaknya saya hampir hanyut dengan dunia. Bak kata cik Piah, “DUNIA semuanya ni!”. Saya teringat nasihat daripada sheikh Burhan yang mengajar subjek Hadis Nabawi bahawa untuk mencapai matlamat menuju redha Allah bagi rijal dan nisa’ memerlukan kepada Istiqamah dan “ khashyatILLAH” iaitu takutkan Allah. Landasan istiqamah di antara kedua-duanya mesti selari barulah dapat mencapai matlamat yang dituju.

Baru-baru ini saya sempat mendapatkan nasihat daripada anisah Ummu Azhar semasa menziarahinya sempena sambutan Eidul Adha ini. Kalam berharga itu saya nukilkan di sini untuk sama-sama kita menilai dan koreksi diri. “Kita mestilah menjaga diri dan menggandakan amal. Amalan mestilah ikhlas, istiqamah dan selalu memperbaharui niat”. Contohnya bila kita makan, ada orang kata makan untuk sihat dan untuk hidup. Sekali dengar macam sudah cukup baik pegangannya. Tetapi tambah anisah, sepatutnya makan untuk menyihatkan badan supaya kita boleh beribadat dan bertambah TAQWA kita kepada Allah~.

Sempat juga saya bertanyakan beberapa pendapat dari anisah mengenai hal-hal peribadi dan pengalaman anisah yang boleh dikongsikan bersama. Alhamdulillah, kemusykilan saya selama ini terjawab dan saya yakin dengan apa yang saya dapat dan saya berpegang bahawa ianya adalah kurniaan yang tidak terhingga dari Allah~.

Berbalik kepada tajuk N3 ini, mengenai perbahasan zuhud. Kalau dulu ketika di muassasah Darul Ulum, murabbi selalu berpesan mengenai zuhud. Kata murabbi zaujahnya, (ustazah saya juga) semasa belajar di al-Azhar Mesir, jubah hanya ada 5 helai sahaja. Kemudian ustaz bertanya kepada kami anak muridnya, “ kamu semua ada berapa helai jubah?”. Jawab sendiri lah ya. Insaf.

Lalu salah seorang dari sahabat kami bertanya, “ ustaz, kalau keluarga kita ada duit..lebih kurang orang berada jugalah..keluarga yang biasa dengan benda yang mewah-mewah ni macam mana?”. “ kiranya kena sedekahkan semua harta dan jadi orang biasa juga ke?

Jawab ustaz, zuhudlah dengan apa yang kamu ada..”. Jadi, kalau kamu miskin, cukup dengan apa yang kamu ada. Kalau kamu kaya cukup dengan apa yang kamu ada. Guna segalanya dengan sebaik mungkin jangan sampai berlaku pembaziran atau kezaliman. Yang penting sekali segala yang kita ada dan amal adalah untuk disumbangkan kepada perjuangan Islam.

Dalam konteks kehidupan selaku seorang pelajar dan anak contohnya, zuhudlah dengan apa yang kita ada. Jangan terlalu memikirkan apa yang belum pasti dan teruskan perjalanan dengan apa yang kita ada sebaik-baiknya. Pesan dari anisah supaya kita berkhidmat kepada kedua ibu-bapa sehingga ke tahap “ Muntaha Ihsan ” iaitu kemuncak ihsan. Tambah-tambahan bila ibu-bapa kita sudah berumur dan uzur, jangan sekali-kali kita mengeluh dan bersabar ketika menguruskan segala hal mereka. Kerana sabda nabi Muhammad SAW bahawa “ syurga terletak di bawah tapak kaki ibu..” tambah anisah lagi, dan kuncinya ada pada bapa. Jadi kita perlu menghormati dan menyayangi kedua-duanya.

Berkata Imam Abul Qasim rahimahullah penulis kitab Risalah al-Qusyairiyah ; bahawa ramai yang berbeza pendapat dalam persoalan zuhud antaranya ada yang berkata:


"..فالصبر أحسن بصاحب الفقر ، والشكر أليق بصاحب المال الحلال."


“ ..bersabar adalah lebih baik bagi seorang yang fakir, dan bersyukur adalah lebih layak bagi seorang yang kaya.”

Bagaimana untuk merealisasikan terpulang kepada individu itu. Kesimpulannya, kita boleh memikirkan atau merancang kehidupan dunia ke arah yang lebih baik tetapi tidaklah sampai kita lupa tanggungjawab sebagai hamba Allah. Zuhudlah dengan apa yang ada…

0 pendapatan:

Related Posts with Thumbnails
 

saffa@srar Copyright © 2009 Community is Designed by Bie