Tuesday, June 29, 2010

Dakwah : Antara Hakikat Dan Dramatik

Mengungkap kalimah dakwah memang mudah tapi siapakah yang mampu menyampaikan kebenaran hakiki dan istiqamah mengikut manhaj sunnah nabawiyah?. Para pendakwah ini perlu lebih serius dan menggunakan uslub yang baik dengan mengikuti perintah Allah dan sunnah Rasulullah SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk ”.

(An-nahl :ayat 125)

Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud :

“ Dan janganlah kamu berbahas Dengan ahli Kitab melainkan Dengan cara Yang lebih baik, kecuali orang-orang Yang berlaku zalim di antara mereka; dan Katakanlah (kepada mereka): "Kami beriman kepada (Al-Quran) Yang diturunkan kepada Kami dan kepada (Taurat dan Injil) Yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepadaNyalah, Kami patuh Dengan berserah diri ”.

(surah al-ankabut : ayat 46)


Hikmah atau kebijaksanaan itu ialah menjadikan (meletakkan) sesuatu pada tempatnya, teliti memilih masa, tempat, kata-kata dan cara mengemukakannya, menepati Islam sebagai agama fitrah yang tepat dengan fitrah manusia yang di dakwah.

Bagi mencapai realiti dan hakikat dakwah, para pendakwah memerlukan hujah dan manhaj yang jelas serta mampu menahan dan menolak paluan ombak kekufuran yang deras melanda ummah. Membuat persediaan bagaimana untuk menyampaikan medium dakwah berpandukan syariat Allah. Sumber-sumber yang diperlukan bagi pendakwah adalah :

1. Al-Qur’anul Karim : Penentu kepada dasar dakwah yang dilakukan, menjadi pengawalnya agar tidak terpesong dari tajuk yang sebenar. Jadi rujukan utama pendakwah.

2. Sunnah Rasulullah SAW : Di dalam sirah rasulullah SAW samada di mekah atau di madinah, menghadapi Ahli kitab, pimpinan masyarakat atau badwi yang paling keras itu, semua menjadi contoh praktikal kepada uslub dakwah.

3. Sirah salaf soleh : Para sahabat dan tabi’in yang melihat dari dekat ketika dakwah dimulakan serta pengalaman mereka yang banyak menjadi contoh, dan ilmu mereka yang mendalam memahami ketika hokum Islam itu diwahyukan dan cara penyampaian yang sebenar perlu dikaji sedalam-dalamnya.

4. Pengalaman : Pengalaman juga menjadi guru yang berkesan samada dari kejayaan atau kesilapan dan kegagalan, samada dari kita atau orang lain, sehingga membina kematangan pendakwah dan membentuk keperibadian yang menjadi asas kepada kemampuan memikul amanah dakwah ketika mengharungi perjuangan atau setelah mencapai kemenangan dan ia menjadi proses tarbiyah yang berkesan kepada pendakwah ke arah menanamkan keteguhan iman dan kematangan menterjemahkan uslub dakwah dengan penuh kebijaksanaan.

Dakwah Dan Tribulasinya : Ombak Kuffar Berpalu Deras Terhadap Islam


Di dalam kehidupan pendakwah terdapat banyak halangan dan rintangan yang menggugat nasib pejuang-pejuang Islam. Tetapi persediaan yang baik, dan bimbingan yang betul beserta dengan sikap yang berhati-hati dapat menjaga dan memelihara para amilin dari penyelewengan dan terjerumus ke lembah kehancuran.

Hasil dari konspirasi yang dilakukan oleh kuffar terhadap umat Islam menjadikan sasaran aqidah sebagai sudut pertama untuk melumpuhkan kekuatan Islam dan Umatnya. Islam itu pernah menjadi sasaran mereka, maka pendokongnya juga turut menjadi sasaran yang lebih terdedah dengan melemparkan tuduhan dan fitnah yang bertujuan menghilangkan kepercayaan orang yang didakwah terhadap pendakwah.

Di dalam al-Qur’an juga mendedahkan contoh yang banyak bagaimana tuduhan terhadap pendakwah yang dikemukakan oleh musuh Islam, di antara firman Allah SWT :

“ Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah ia: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. Sesungguhnya Aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari Yang besar (hari kiamat). Ketua-ketua dari kaumnya berkata: "Sesungguhnya Kami nampakmu (Wahai Nuh) berada Dalam kesesatan Yang nyata".

(surah al-A’raf : ayat 59-60)


“ Dan mereka (yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad itu) merasa hairan, Bahawa mereka didatangi oleh seorang Rasul pemberi amaran, dari kalangan mereka sendiri. dan mereka Yang kafir itu berkata: "orang ini adalah seorang ahli sihir, lagi pendusta ”.

(surah Shaad : ayat 4)


“ Dan berkatalah pula ketua-ketua dari kaum Firaun: "Adakah Engkau (Wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa Yang dipuja olehmu?" Firaun menjawab: "Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka, dan kita tetap Menguasai (menundukkan) mereka".

(surah al-A’raf : ayat 127)


Proses pembentukan fokus dakwah


Serangan yang bertubi-tubi dan palu-memalu terus mengena kepada umat Islam secara fizikal dan mental. Para pendokong agama Allah ini perlu mengenali bagaimanakah cara dan politik dalam menolak tentangan yang dahsyat ini. Pada hari ini kita bertemu dengan pelbagai bentuk tuduhan yang dilemparkan terhadap Islam dengan menyatakan ianya tidak sesuai, hukum syariatnya tidak munasabah dengan keadaan semasa dan ada pula yang menyatakan keadaan yang ada ini diwarisi sejak turun temurun, parti tidak ada di zaman dahulu dan sebagainya.

Oleh itu pendakwah hendaklah menghadapi dengan uslub yang tidak merugikan dakwah disamping jawapan-jawapan secara lisan dan tulisan maka uslub membentuk jatidiri adalah cara yang paling berkesan bagi membatalkan langkah-langkah musuh. Sebagai pendukung gerakan Islam hendaklah melengkapkan diri dengan sifat-sifat keIslaman yang teguh di antaranya; memahami agama, menjadi tauladan yang baik, sabar, berlemah-lembut, bersikap pemudah bukannya pemayah, merendah diri, beramah mesra dan pemurah.

Akhirnya, secara tuntas walaupun berdakwah itu menjadi kewajipan kepada setiap anggota ummat Islam menurut kemampuan dan kadar masing-masing tetapi ianya mestilah dilaksanakan dengan berorganisasi. Wajibnya ada jamaah, parti atau pertubuhan yang membawa wadah perjuangan menyebarkan Islam dan mendaulatkannya di atas muka bumi kerana kesyumulan Islam dan penyampaiannya secara menyeluruh juga cabaran yang mesti dihadapi memestikan wujudnya jamaah atau parti, bukan sahaja menjadi hakikat yang disedari apabila kerja dakwah itu dilakukan, tetapi itulah juga perintah Allah dan Rasulullah SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Wahai orang-orang Yang beriman! sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum…”.

(surah al-Ma’idah : ayat 54)


“ Dan sesiapa Yang menjadikan Allah dan RasulNya serta orang-orang Yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana Sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah Yang tetap menang ”.
(surah al-Ma’idah : 56)


Sabda Rasulullah SAW : “ التزم جماعة المسلمين وٳمامهم ”

“ Lazimilah jamaah orang Islam dan pemimpin mereka ”.


وآخر دعوانا أن الحمد لله رب العالمين.~

0 pendapatan:

Related Posts with Thumbnails
 

saffa@srar Copyright © 2009 Community is Designed by Bie