Tuesday, June 08, 2010

Memaknakan Sebuah “Engagement”


“Dan tidak ada Yang lebih baik perkataannya daripada orang Yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal Yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"
Surah Fussilat : 33

Apabila membaca ayat al-qur’an tersebut kita dapat fahami bahawa ucapan yang paling baik adalah seruan kepada Allah SWT dan ajaran Islam. Ia merupakan seruan kebenaran agar manusia dapat dikeluarkan daripada kegelapan taghut dan kejahilan kepada sinar keimanan dan keintelektualan.

Artikel ini saya bawakan agar jelas akan keberadaan kita dalam menghadapi realiti sebuah “ engagement ” apabila ikatan yang diikat dengan janji setia untuk menegakkan agama Allah SWT. Isunya di sini bukanlah sekadar isu prinsip semata-mata tetapi isu sikap dan penampilan. Apa yang mahu saya tegaskan adalah bagaimana persedian kita untuk “ engage ” dengan perjuangan, dakwah dan masyarakat kerana tidak mungkin perjuangan Islam ini diurus tanpa engagement yang baik dan murni antara kita dengan segenap lapisan dan organ masyarakat.

Di kalangan manusia terdapat variasi penerimaan sesuatu seruan sepertimana yang pernah dinyatakan oleh baginda Rasulullah SAW dengan perumpamaan perbezaan tersebut sebagaimana tanah yang Allah SWT jadikan dengan pelbagai jenis. Apabila hujan turun ada tanah yang boleh menakung air, ada yang boleh menakung tapi sebentar cuma, dan ada tanah yang poros langsung tidak boleh menakung air.

Oleh itu, persedian dan kemahiran ketika menyampaikan mesej dakwah perlu dilakukan dengan teliti dan berhikmah. Kita perlu menyedari hakikat seruan dakwah dan focus yang utama iaitu kewajipan “ amar ma’ruf dan nahi munkar ”. kewajipan kita dalam berdakwah ini melibatkan semua sudut kehidupan yang berkait dengan peribadi, keluarga dan masyarakat agar berdakwah dan menjaga mereka dari melakukan maksiat kepada Allah SWT. Sepertimana firman Allah SWT :

“ Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan ”.
At-Tahrim :6

Keutamaan kualiti dan istiqamah

Saya selalu mendengar alasan bahawa tidak mengapa kita mengubah dan mengikut sikit-sikit cara peredaran zaman agar penampilan kita lebih releven dan praktikal. Cuba kita perhatikan apakah kayu ukur kepada konsep yang dicanangkan oleh pembawakan idealisme seperti ini?. Sejauhmanakah keberkesanan dakwah tersebut?. Apa yang dapat saya lihat sesetengah golongan hanya berhujah dan beramal dengan melihat kepada zahir nas sahaja tanpa memahami maksud dan tujuan sesuatu hukum.
Secara ringkasnya kualiti para pendakwah yang diperlukan dalam rangka mendepani cabaran dan isu dengan lebih praktikal, di antaranya adalah ; ikhlas, taqwa, akhlak, mental, kerja, kemahiran dan thaqafah.

Perkara istiqamah juga merupakan elemen terpenting dalam Islam kerana ia menjadikan seseorang itu kekal dalam jalan dakwah walau berhadapan dengan seribu satu mehnah dan tribulasi. Dia tidak mudah terpengaruh dengan suara-suara yang menghasut sepertimana sabda Rasulullah SAW, maksudnya:

“ Janganlah kamu menjadi seperti orang yang tidak mempunyai prinsip ( pegangan ) dengan berkata : sekiranya manusia baik maka kami akan baik dan jika mereka melakukan kezaliman maka kami pun akan berbuat zalim. Akan tetapi tetapkanlah diri kamu sekiranya manusia baik maka kamu akan lakukan yang lebih baik dan sekiranya mereka melakukan keburukan maka janganlah kamu melakukan kezaliman ”.
(Riwayat Tirmizi)

Sepertimana yang pernah diceritakan kepada saya peristiwa di sebuah kampus university di Malaysia demi meraih kemenangan sanggup menggunakan muslimat sehingga ke tahap seolah-oleh menggadai maruah dan mengeksploitasi wanita. Tidak salah menampilkan muslimat sebagai figure dan agen perwakilan serta calon untuk bertanding di pilihan raya dan sebagainya selagimana ia tidak bertentangan dengan hukum syara’. Apa yang berlaku adalah sebaliknya, memilih calon dengan kriteria rupa paras dan kecantikan semata-mata sehingga mengabaikan keutamaan ilmu dan syarat kepimpinan yang menjadi asas utama pemilihan pemimpin.

Hujah yang dibawa adalah bagi mengikut realiti kehendak umum yang lebih tertarik kepada penampilan calon yang cantik dan menawan. Biarlah kehendak dan maksud sebenar seruan kepada bersama-sama perjuangan Islam itu diketepikan dengan dalil yang tidak kukuh dan uslub yang tidak jelas asal-usulnya. Sedangkan cara dan konsep pergaulan muslimat di khalayak ramai mempunyai adab-adab syarak yang perlu dipatuhi bagi mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Perkara yang haram tidak boleh dialternatifkan dengan yang haram juga. Sebagaimana di sebut oleh dalil hadis ertinya :

" Sesungguhnya Allah SWT tidak akan memadam yang buruk dengan buruk juga, tetapi yang buruk (haram) dipadamkan dengan yang baik (halal) Sesungguhnya yang kotor itu TIDAK boleh mensucikan yang kotor"
( Riwayat Ahmad)

Nabi SAW bersabda :

إن الله لم يجعل شفائكم فيما حرم عليكم

Ertinya : "Allah SWT tidak menjadikan penyembuhan kamu melalui perkara yang diharamkanNya" ( Riwayat Al-Bukhari )


Menghiasi Diri Dengan Syakhsiah Yang Mulia

Syakhsiah para pendakwah di dalam kacamata perjuangan Islam merupakan sepohon pokok yang baik dan berguna kepada manusia dan alam seluruhnya. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Tidakkah Engkau melihat (Wahai Muhammad) Bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah Yang baik adalah sebagai sebatang pohon Yang baik, Yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit ”.
Surah Ibrahim :24

Maka tidak boleh kita katakan bahawa apa yang terzahir itu tidak sama dengan yang berada di dalam hati. Permasalahan yang berlaku adalah penjagaan jiwa dan rohani yang mungkin kurang dijaga lalu menggunakan alasan yang tidak sewajarnya bagi menutup maksiat yang dilakukan. Jelaslah di sini segala kebaikan yang terzahir itu lahir dari asal yang baik juga.

Engagement dan tribulasinya

Di dalam kehidupan pendakwah terdapat banyak halangan dan rintangan yang menggugat nasib pejuang-pejuang Islam. Tetapi persediaan yang baik, dan bimbingan yang betul beserta dengan sikap yang berhati-hati dapat menjaga dan memelihara para amilin dari penyelewengan dan terjerumus ke lembah kehancuran. Jika di sebutkan permasalana ini akan membawa kepada kupasan yang lebih panjang lagi. Jadi saya hanya bawakan halangan pertama seperti yang disebutkan di dalam buku daurah tadribiyah iaitu :

Wanita

Kerana wanita memainkan peranan penting dalam kehidupan pendakwah malah manusia umumnya. Saya selaku muslimah juga melihat isu ini adalah antara isu besar kerana berapa ramai pendakwah yang gugur dan terkurung di rumah oleh kerana terikat dengan kejahilan isteri sendiri dan kegagalan mentarbiyah isteri dan keluarga. Bukannya gugur syahid dalam berjihad di jalan Allah namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Antara kesimpulan yang dapat dilihat adalah lemahnya institusi perkahwinan para pendakwah lantaran mereka terpengaruh dengan perkara lahiriah semata-mata dan lupa tentang matlamat utama perkahwinan itu. Di antara prinsip-prinsip utama perkahwinan :

1. Mempunyai niat yang baik : Adalah untuk menyempurnakan agama.

Sepertimana sabda Rasulullah SAW : “ Barangsiapa yang dikurniakan oleh Allah seorang perempuan yang solehah, maka sesungguhnya ia telah menolongnya menyempurnakan separuh dari agamanya. Maka hendaklah ia bertaqwa kepada Allah dalam separuh lagi”.
( Riwayat at-Tabrani )

- Perkahwinan yang menjadi faktor utama di dalam memelihara kemurnian jiwa dan kesuciannya. - Perkahwinan untuk membangunkan keluarga Islam bagi menjadi asas yang kukuh dalam pembangunan masyarakat Islam. Ini merupakan impian setiap mukmin yang mahukan keluarga yang baik dan penyenang hati.

2. Pemilihan yang baik : pemilihan ini adalah suatu faktor utama yang dapat membawa kepada kemesraan dan keserasian di antara kedua-dua pasangan berkenaan. Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa terdapat empat perkara yang dijadikan asas kepada pemilihan pasangan iaitu ; agama, keturunan, kecantikan, dan kekayaan. Namun, pemilihan di atas dasar agama adalah yang mesti diberikan keutamaan.

3. Peribadi suami sebagai asas : Islam mengingatkan suami agar jangan terlalu mengikut kehendak isteri demi menjaga kewibawaan dan ketuanan seorang suami di dalam rumah tangga. Imam Ghazali menasihatkan para suami dengan katanya:

“ Diri perempuan itu mengikut keadaan dirimu. Jika engkau lepaskan sedikit tali penambatnya, ia akan membawamu pergi jauh. Jika engkau kendurkan sejenak kekangannya dan memegangnya akan kemas di waktu yang perlu maka engkau akan dapat memenanginya ”.

Oleh sebab itu, peribadi suami memainkan peranan yang penting dalam kehidupan berumahtangga. Pihak suami hendaklah bersikap bijak dalam menyelesaikan segala permasalahan dengan neraca Islam.

Pernah beberapa orang sahabat seperjuangan saya mengadukan permasalahan dan meluahkan perasaan kesal terhadap sikap muslimin yang tidak berani untuk tampil membela muslimat dengan memilih di kalangan yang mempunyai fikrah dan tarbiyah sebagai pasangan hidup. Sedangkan ramai di kalangan muslimat yang berkualiti dan berakhlak berbanding pilihan yang dibuat di kalangan muslimin jelas menunjukkan sikap mementingkan kepentingan dunia dari matlamat yang sebenar iaitu akhirat.

Tidak kurang juga yang terlalu merendah diri sehingga malu untuk melakukan perkara yang baik seperti menyatakan kesungguhan dalam memilih calon bagi membina baitul muslim yang bertunjangkan aqidah dan ukhuwah Islamiyah. Tidak dinafikan bahawa muslimat juga ada sikap-sikap negatifnya, tetapi adalah lebih baik muslimin lebih terkehadapan dalam memikirkan alternative bagi menyelesaikan permasalahan tersebut. Perkara tersebut amatlah dikesali dan ianya merosakkan jamaah serta melambatkan proses kemenangan kerana terpaksa menyibukkan diri dengan proses pentarbiyahan kali kedua!.

Justeru itu marilah kita bersatu di dalam satu jamaah dengan membawa wadah yang satu dan wawasan yang dipegang hingga ke akhirat sana. Kerana kesatuan itulah yang akan menghasilkan kekuatan dan keutuhan. Apa guna ada ilmu dan fikrah tapi tidak diamalkan?!. Sedarlah wahai para pendakwah bahawa kita sekarang semakin teruji!. Saya akhiri artikel ini dengan firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela ugamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh ”.
Surah as-Shaff : 4

















0 pendapatan:

Related Posts with Thumbnails
 

saffa@srar Copyright © 2009 Community is Designed by Bie