Wednesday, June 02, 2010

Ummah Memerlukan Mujahidah Mujaddidah !



2 Kisah Cinta Hakiki Yang Menjadi Sumber Inspirasi Ummah..!!



“Sesungguhnya telah berlalu beberapa peraturan Allah s.w.t sebelum kamu, maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana akibatnya orang-orang yang mendustakan agama”

-Surah al-Imran ayat 137


“Jika kamu mendapat luka (dalam peperangan), sesungguhnya kamu itu mendapat luka pula seumpamanya. Hari-hari kemenangan itu kami ganti-gantikan diantara manusia dan supaya Allah s.w.t mengetahui orang-orang yang beriman dan menjadikan sebahagian kamu mati syahid. Sesungguhnya Allah s.w.t tiada mengasihi orang-orang zalim”

-Surah al-Imran ayat 140


Perjuangan Muslimat dalam Gerakan Ikhwan di Mesir :


Tatkala Hassan Hudhaibi dipenjarakan, Rauhiyyah telah telah menziarahi keluarganya. Dia kagum apabila melihat seorang wanita bersama tiga orang anak perempuannya (anak lelakinya juga telah dipenjarakan ) dalam keadaan yang tenang menyambut ketibaannya, seolah-oleh mereka tidak ditimpa sebarang masalah atau musibah. Beliau bersetuju menerima lawatan seorang isteri menteri dan berlakulah perbualan di antara mereka:


Isteri menteri :

Wahai Ummu Usamah, tenanglah engkau, semoga diri engkau berada dalam keadaan yang baik. Sesungguhnya, aku telah diutuskan oleh suamiku untuk menyampaikan salam kepadamu dan keluargamu serta mempertenangkan kamu, kerana beliau akan terus berusaha sedaya mungkin supaya suamimu tidak dikenakan sebarang seksaan sekalipun kata-kata beliau sudah tiada ruang lagi selepas ini.


Ummu Usamah :

Terima kasih untukmu dan menteri, tetapi siapakah yang mengkhabarkan kepadanya bahawa kami berada dalam kebimbangan sehingga beliau menasihatkan kami supaya bertenang ddan menggembirakan kami dngan keselamatan Ustaz Hudhaibi.


Isteri menteri :

Aku maksudkan, kesungguhan yang dilakukan untuk menghalang perbicaraan ke atasnya dihadapan mahkamah revolusi dan natijah disebaliknya.


Ummu Usamah :

Adakah engkau hendak memberitahu aku dan anak-anak perempuan aku ini, bahawa hukuman telah pun ditetapkan sebelum perbicaraan dan natijahnya adalah hukuman bunuh? Wahai puan, dengarlah dengan baik, dan sampaikan kepada tuan menteri. Sesungguhnya Hassan al-Hudhaibi tidak diamanahkan sebagai pimpinan Ikhwanul Muslimin melainkan dia mengetahui pimpinan sebelumnya (Imam Hassan al-Banna) telah dibunuh, dan menumpahkan darahnya di jalan utama ibu negara, dan sesungguhnya tidak redha Hudhaibi akan dirinya, sebagai pengganti Hasssan al-Banna melainkan dia menunggu kesudahan yang seumpama ini.


Sesungguhnya dia menjual dirinya kepada Allah s.w.t, dan kami menjual diri kami bersamanya, dan tiada seorangpun yang akan melihat kami nanti -sekiranya ini ditentukan oleh Allah s.w.t- melainkan sebagai contoh ketenangan. Kami bahagia tatkala kami menganggap tunggak kami berada disisi Allah s.w.t dan bertambah gembira apabila kami bertemu dengannya kelak sebagai syuhada’.


Kemudian mujahidah ini memandang kepada ketiga-tiga anak perempuannya dan berkata: “Inilah pendirianku. Apakah pendirianmu wahai anak-anakku? Lalu keluarlah suara dari Aliah, Khalidah, dan Sa`ad: “ tiada sebarang pendirian lain dari kami melainkan sebagaimana pendirian mu, wahai ibu ”.


Raja Sa`ud bin Abdul Aziz telah berjasa melalui hubungan diplomatiknya dengan mesir untuk mengurangkan hukuman bunuh ke atas al-Hudhaibi kepada hukuman penjara dan kerja berat seumur hidup. Beliau telah menerima sekeping surat daripada isteri Hudhaibi (Ummu Usamah) dan tiga anak perempuannya.


Diceritakan Raja Saudi begitu terkejut dan kagum apabila menatapi kandungan surat tersebut. Suatu pendirian teguh yang masih lagi dapat didengar selepas daripada zaman para sahabat dan salafus soleh. Kandungan surat tersebuat berbunyi: -


“Raja yang mulia, ketika mana kami berterima kasih di atas kemuliaan timbang rasa engkau, ingin kami tegaskan kepadamu, bahawa kami berada dalam janji dakwah dan ikatan jihad, sama ada syahidnya Ustaz Hudaibi ataupun dipanjangkan umur, roda pertembungan tidak akan terhenti, kerana apa yang nyata, ianya bukanlah pertembungan di antara Hudaibi dan Abd Nasir, bukan juga antara gerakan Ikhwan dan juga Revolusi, sebaliknya ia adalah pertembungan azali antara al-Haq dan al-Batil, antara keimanan dan kekufuran, antara petunjuk dan kesesatan, antara tentera Allah s.w.t dan sekutu syaitan.


Maka panji dakwah akan tegak berkibar dan kerja dakwah akan terus sambung menyambung sekalipun terkorban di dalam perjalanan dakwah ini beribu- ribu syuhada’ lelaki mahupun perempuan, sehinggalah tertegaknya kalimah Allah s.w.t. “Nescaya Allah s.w.t akan menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan meskipun kebatilan tidak disukai oleh golongan yang berdosa tersebut”.


Isteri Syukur Suami Selamat
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 2 Jun: Semua isteri sukarelawan mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah sebaik mendapat khabar tentang suami mereka selamat selepas kapal yang mereka naiki, Mavi Marmara diserang tentera rejim haram Israel pagi kelmarin.

Isteri Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Haji Jamuliddin Elias, Puan Rosfazilah Mohd Nor dan isteri wakil Muslim Care, Abdul Halim Ridzuan, Puan Nurdalela Abdul Alim ketika dihubungi menyatakan kegembiraan ekoran perkembangan itu.

Mereka mendapat berita itu daripada Pengerusi Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) dan Sokongan Keluarga Misi LL4G Malaysia, Zulkifli Mohd Nani petang semalam.

Menurut Puan Rosfazilah, khabar selamat dari Saudara Zulkifli tentang keselamatan semua sukarelawan Malaysia itu bertambah lagi apabila pihak Wisma Putra sedang berusaha untuk membawa mereka pulang. Katanya, rombongan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Dr Abd Rani Osman seramai lapan orang yang baru pulang dari Turki datang ke kediamannya kami sebaik mendarat dari sana, semalam.

Puan Nurdalela pula bersyukur dan menyatakan terima kasih di atas sokongan kawan-kawan beliau dan suami yang datang menziarahi keluarganya siang semalam. Petang kelmarin, di dalam sidang akhbar yang mereka hadiri, isteri-isteri sukarelawan Malaysia ini tetap perlihatkan semangat kental meski nasib suami mereka masih lagi belum terjamin selamat.

Namun dengan berkat didikan suami dan jemaah perjuangan Islam yang setiap mereka turut dokongi, menjadikan jiwa mereka kebal, tetap dan tegap. Kesempatan mendengar luahan rasa isteri Ketua Delegasi Malaysia, Haji Noorazman Mohd Shamsudin, Puan Mazlina Ghazali (kiri), Puan Rosfazilah dan Puan Nurdalela menyerlahkan kekuatan dalaman yang dimiliki.

Mereka masih mampu menzahirkan semangat kuat dan daya juang tinggi melalui perkataan mereka di hadapan hadirin termasuk warga media yang mengikuti perkembangan terkini di dalam sidang akhbar itu.

Beliau bersama empat isteri sukarelawan lain dan dua anak peserta konvoi menyatakan isi hati mereka dalam sidang akhbar yang diadakan di sebuah hotel dekat sini.

Memang ketika itu, nasib suami-suami mereka masih tidak dapat dipastikan sama ada selamat, tertembak atau diapa-apakan oleh zionis Israel.

Kapal yang mereka naiki, Mavi Marmara yang dinaiki sekitar 800 sukarelawan dari 50 negara telah ditembak dalam jarak 65 km di dalam perairan antarabangsa.

Puan Mazlina berkata, mereka semua adalah yang terpilih oleh Allah SWT untuk ke sana dan mereka tetap tabah dalam usaha membantu rakyat Gaza yang telah tiga tahun terpenjara.

Beliau sering berhubung dengan suaminya melalui e-mel dan telefon untuk mengetahui perkembangan terkini suaminya dan sukarelawan yang lain.

Pagi kelmarin, jelasnya, kali terakhir beliau dihubungi suami yang memberitahu ada helikopter berlegar di udara dan kapal mereka dikepung.

“Namun selepas itu hingga kini tiada sebarang hubungan lagi dan saya faham tugas suami sebagai ketua menjaga keselamatan semua sukarelawan," tegasnya.

Rosfazilah pula berkata, beliau memang sentiasa tabah apatah lagi suaminya, Jamuliddin asyik berkata-kata tentang ‘hendak syahid, hendak syahid’ sahaja.

“Saya pasti beliau tidak bergurau dalam hal-hal seumpama itu, jadi kami sekeluarga memang sudah pasrah dan menerima jika apa sahaja kemungkinan bakal berlaku.

“Malah beliau tertinggal pula peralatan penting seperti kamera dan kad pengenalan, hari Jumaat lepas sebelum kapal utama mereka berlepas merupakan kali terakhir saya dapat bercakap dengan suami,” jelasnya.

Pasangan Rosfazilah, 44, kelahiran Sungai Petani, Kedah dan Haji Jamuliddin, 47, dari Batu Pahat, Johor mempunyai 10 cahayamata; Nurul Fathi, 21 belajar di IPDA, Mohd Nur Fathi, 19, Ahmad Afiq, 17, Nur Izzati, 15, Danial Fakri, 13, Farhan Faris, 11, Yasmin Zahira, 9, Luqmanul Hakim, 7, Hassan Nasrullah, 4 dan Nur Hanzalah, 3 bulan.

Beliau menyebutkan pendirian suaminya tentang perjuangan Islam yang mereka bersama yakini ini akan berakhir dengan dua perkara sama ada syahid atau menang. Menurutnya, suaminya sering mengingatkan tentang kematian yang mesti diingat setiap hari dan bukan hanya ketika berlakunya konvoi ini sahaja.

Namun bila terjadinya peristiwa ini, mereka sekeluarga lebih mendekatkan diri kepada ketentuan Allah SWT yang telah mengaturkan semua perkara di Luh Mahfuz.

“Anak-anak pula tidak banyak kerenahnya kerana mereka udah acap kali ditarbiyah oleh bapa mereka dan sering kali mengikuti program khusus bersama Unit Amal sejak kecil lagi.

“Jadi bila ditinggalkan begini, mereka sudah terasa seperti biasa sahaja sebab sudah biasa sangat ditinggalkan oleh bapa mereka yang berminat dengan kerja-kerja lapangan,” tegasnya bersemangat.

Bagi Nurdalela pula berkata, “Jangan bawa pulang mayat abang” adalah antara amanat suaminya, Abdul Halim sebutkan tatkala meninggalkan mereka sekeluarga pada 17 Mei lalu.

"Jangan bawa pulang mayat abang, Jangan bawa pulang mayat abang", ucapan itu masih terngiang-ngiang. Malah bila berita konvoi Flotilla Kemanan diserang, ia menjadi semakin kuat memukul gegendang telinga.

Perkara itu didedahkannya dalam sidang akhbar yang inisiatifnya dibuat CMT selepas kapal utama itu dibedil Israel. Penuh sesak bilik sidang itu dengan warga media dan pendokong NGO berkaitan.

Pasangan Abdul Halim, 40, dari Sungai Besar dan Nurdalela, 34, dari Sabak Bernam tinggal di Meru mempunyai tiga cahayamata, Mohd Taufik, 14, Mohd Shahril, 12 dan Hanis Humaira, 2 tahun.

“Sebelum pergi suami menjemput semua berkumpul saudara mara termasuk ibunya, Siti Fathonah Murad, 54 dan beliau meminta maaf dan menyebutkan kesungguhannya untuk ke Gaza.

“Kali terakhir kami bercakap pada hari Khamis jam 10 malam ketika beliau akan berlepas ke Gaza dengan kapal Mavi Marmara dan katanya, akan hubungi lagi jika selamat di Gaza.

“Kami berpegang teguh dengan takdir-Nya, jika ada jodoh, kami jumpa lagi, kami redha dan bersedia hadapi apa sahaja kemungkinan, sebagai orang Islam, kita mesti ingat mati dan beliau meminta maaf pada semua,” ujarnya lagi.

Anaknya pula, Humaira yang juga kerap ditinggalkan kerana bapa aktif di lapangan berkata, “abah pegi kerja naik kapalterbang”’ lantaran sudah biasa kerana bapanya memang sebelum ini pergi pagi dan balik malam.

Sumber : MANHAL PMRAM & HARAKAHDAILY

0 pendapatan:

Related Posts with Thumbnails
 

saffa@srar Copyright © 2009 Community is Designed by Bie