Showing posts with label Palestin. Show all posts
Showing posts with label Palestin. Show all posts

Wednesday, June 02, 2010

Ummah Memerlukan Mujahidah Mujaddidah !



2 Kisah Cinta Hakiki Yang Menjadi Sumber Inspirasi Ummah..!!



“Sesungguhnya telah berlalu beberapa peraturan Allah s.w.t sebelum kamu, maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana akibatnya orang-orang yang mendustakan agama”

-Surah al-Imran ayat 137


“Jika kamu mendapat luka (dalam peperangan), sesungguhnya kamu itu mendapat luka pula seumpamanya. Hari-hari kemenangan itu kami ganti-gantikan diantara manusia dan supaya Allah s.w.t mengetahui orang-orang yang beriman dan menjadikan sebahagian kamu mati syahid. Sesungguhnya Allah s.w.t tiada mengasihi orang-orang zalim”

-Surah al-Imran ayat 140


Perjuangan Muslimat dalam Gerakan Ikhwan di Mesir :


Tatkala Hassan Hudhaibi dipenjarakan, Rauhiyyah telah telah menziarahi keluarganya. Dia kagum apabila melihat seorang wanita bersama tiga orang anak perempuannya (anak lelakinya juga telah dipenjarakan ) dalam keadaan yang tenang menyambut ketibaannya, seolah-oleh mereka tidak ditimpa sebarang masalah atau musibah. Beliau bersetuju menerima lawatan seorang isteri menteri dan berlakulah perbualan di antara mereka:


Isteri menteri :

Wahai Ummu Usamah, tenanglah engkau, semoga diri engkau berada dalam keadaan yang baik. Sesungguhnya, aku telah diutuskan oleh suamiku untuk menyampaikan salam kepadamu dan keluargamu serta mempertenangkan kamu, kerana beliau akan terus berusaha sedaya mungkin supaya suamimu tidak dikenakan sebarang seksaan sekalipun kata-kata beliau sudah tiada ruang lagi selepas ini.


Ummu Usamah :

Terima kasih untukmu dan menteri, tetapi siapakah yang mengkhabarkan kepadanya bahawa kami berada dalam kebimbangan sehingga beliau menasihatkan kami supaya bertenang ddan menggembirakan kami dngan keselamatan Ustaz Hudhaibi.


Isteri menteri :

Aku maksudkan, kesungguhan yang dilakukan untuk menghalang perbicaraan ke atasnya dihadapan mahkamah revolusi dan natijah disebaliknya.


Ummu Usamah :

Adakah engkau hendak memberitahu aku dan anak-anak perempuan aku ini, bahawa hukuman telah pun ditetapkan sebelum perbicaraan dan natijahnya adalah hukuman bunuh? Wahai puan, dengarlah dengan baik, dan sampaikan kepada tuan menteri. Sesungguhnya Hassan al-Hudhaibi tidak diamanahkan sebagai pimpinan Ikhwanul Muslimin melainkan dia mengetahui pimpinan sebelumnya (Imam Hassan al-Banna) telah dibunuh, dan menumpahkan darahnya di jalan utama ibu negara, dan sesungguhnya tidak redha Hudhaibi akan dirinya, sebagai pengganti Hasssan al-Banna melainkan dia menunggu kesudahan yang seumpama ini.


Sesungguhnya dia menjual dirinya kepada Allah s.w.t, dan kami menjual diri kami bersamanya, dan tiada seorangpun yang akan melihat kami nanti -sekiranya ini ditentukan oleh Allah s.w.t- melainkan sebagai contoh ketenangan. Kami bahagia tatkala kami menganggap tunggak kami berada disisi Allah s.w.t dan bertambah gembira apabila kami bertemu dengannya kelak sebagai syuhada’.


Kemudian mujahidah ini memandang kepada ketiga-tiga anak perempuannya dan berkata: “Inilah pendirianku. Apakah pendirianmu wahai anak-anakku? Lalu keluarlah suara dari Aliah, Khalidah, dan Sa`ad: “ tiada sebarang pendirian lain dari kami melainkan sebagaimana pendirian mu, wahai ibu ”.


Raja Sa`ud bin Abdul Aziz telah berjasa melalui hubungan diplomatiknya dengan mesir untuk mengurangkan hukuman bunuh ke atas al-Hudhaibi kepada hukuman penjara dan kerja berat seumur hidup. Beliau telah menerima sekeping surat daripada isteri Hudhaibi (Ummu Usamah) dan tiga anak perempuannya.


Diceritakan Raja Saudi begitu terkejut dan kagum apabila menatapi kandungan surat tersebut. Suatu pendirian teguh yang masih lagi dapat didengar selepas daripada zaman para sahabat dan salafus soleh. Kandungan surat tersebuat berbunyi: -


“Raja yang mulia, ketika mana kami berterima kasih di atas kemuliaan timbang rasa engkau, ingin kami tegaskan kepadamu, bahawa kami berada dalam janji dakwah dan ikatan jihad, sama ada syahidnya Ustaz Hudaibi ataupun dipanjangkan umur, roda pertembungan tidak akan terhenti, kerana apa yang nyata, ianya bukanlah pertembungan di antara Hudaibi dan Abd Nasir, bukan juga antara gerakan Ikhwan dan juga Revolusi, sebaliknya ia adalah pertembungan azali antara al-Haq dan al-Batil, antara keimanan dan kekufuran, antara petunjuk dan kesesatan, antara tentera Allah s.w.t dan sekutu syaitan.


Maka panji dakwah akan tegak berkibar dan kerja dakwah akan terus sambung menyambung sekalipun terkorban di dalam perjalanan dakwah ini beribu- ribu syuhada’ lelaki mahupun perempuan, sehinggalah tertegaknya kalimah Allah s.w.t. “Nescaya Allah s.w.t akan menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan meskipun kebatilan tidak disukai oleh golongan yang berdosa tersebut”.


Isteri Syukur Suami Selamat
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 2 Jun: Semua isteri sukarelawan mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah sebaik mendapat khabar tentang suami mereka selamat selepas kapal yang mereka naiki, Mavi Marmara diserang tentera rejim haram Israel pagi kelmarin.

Isteri Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Haji Jamuliddin Elias, Puan Rosfazilah Mohd Nor dan isteri wakil Muslim Care, Abdul Halim Ridzuan, Puan Nurdalela Abdul Alim ketika dihubungi menyatakan kegembiraan ekoran perkembangan itu.

Mereka mendapat berita itu daripada Pengerusi Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) dan Sokongan Keluarga Misi LL4G Malaysia, Zulkifli Mohd Nani petang semalam.

Menurut Puan Rosfazilah, khabar selamat dari Saudara Zulkifli tentang keselamatan semua sukarelawan Malaysia itu bertambah lagi apabila pihak Wisma Putra sedang berusaha untuk membawa mereka pulang. Katanya, rombongan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Dr Abd Rani Osman seramai lapan orang yang baru pulang dari Turki datang ke kediamannya kami sebaik mendarat dari sana, semalam.

Puan Nurdalela pula bersyukur dan menyatakan terima kasih di atas sokongan kawan-kawan beliau dan suami yang datang menziarahi keluarganya siang semalam. Petang kelmarin, di dalam sidang akhbar yang mereka hadiri, isteri-isteri sukarelawan Malaysia ini tetap perlihatkan semangat kental meski nasib suami mereka masih lagi belum terjamin selamat.

Namun dengan berkat didikan suami dan jemaah perjuangan Islam yang setiap mereka turut dokongi, menjadikan jiwa mereka kebal, tetap dan tegap. Kesempatan mendengar luahan rasa isteri Ketua Delegasi Malaysia, Haji Noorazman Mohd Shamsudin, Puan Mazlina Ghazali (kiri), Puan Rosfazilah dan Puan Nurdalela menyerlahkan kekuatan dalaman yang dimiliki.

Mereka masih mampu menzahirkan semangat kuat dan daya juang tinggi melalui perkataan mereka di hadapan hadirin termasuk warga media yang mengikuti perkembangan terkini di dalam sidang akhbar itu.

Beliau bersama empat isteri sukarelawan lain dan dua anak peserta konvoi menyatakan isi hati mereka dalam sidang akhbar yang diadakan di sebuah hotel dekat sini.

Memang ketika itu, nasib suami-suami mereka masih tidak dapat dipastikan sama ada selamat, tertembak atau diapa-apakan oleh zionis Israel.

Kapal yang mereka naiki, Mavi Marmara yang dinaiki sekitar 800 sukarelawan dari 50 negara telah ditembak dalam jarak 65 km di dalam perairan antarabangsa.

Puan Mazlina berkata, mereka semua adalah yang terpilih oleh Allah SWT untuk ke sana dan mereka tetap tabah dalam usaha membantu rakyat Gaza yang telah tiga tahun terpenjara.

Beliau sering berhubung dengan suaminya melalui e-mel dan telefon untuk mengetahui perkembangan terkini suaminya dan sukarelawan yang lain.

Pagi kelmarin, jelasnya, kali terakhir beliau dihubungi suami yang memberitahu ada helikopter berlegar di udara dan kapal mereka dikepung.

“Namun selepas itu hingga kini tiada sebarang hubungan lagi dan saya faham tugas suami sebagai ketua menjaga keselamatan semua sukarelawan," tegasnya.

Rosfazilah pula berkata, beliau memang sentiasa tabah apatah lagi suaminya, Jamuliddin asyik berkata-kata tentang ‘hendak syahid, hendak syahid’ sahaja.

“Saya pasti beliau tidak bergurau dalam hal-hal seumpama itu, jadi kami sekeluarga memang sudah pasrah dan menerima jika apa sahaja kemungkinan bakal berlaku.

“Malah beliau tertinggal pula peralatan penting seperti kamera dan kad pengenalan, hari Jumaat lepas sebelum kapal utama mereka berlepas merupakan kali terakhir saya dapat bercakap dengan suami,” jelasnya.

Pasangan Rosfazilah, 44, kelahiran Sungai Petani, Kedah dan Haji Jamuliddin, 47, dari Batu Pahat, Johor mempunyai 10 cahayamata; Nurul Fathi, 21 belajar di IPDA, Mohd Nur Fathi, 19, Ahmad Afiq, 17, Nur Izzati, 15, Danial Fakri, 13, Farhan Faris, 11, Yasmin Zahira, 9, Luqmanul Hakim, 7, Hassan Nasrullah, 4 dan Nur Hanzalah, 3 bulan.

Beliau menyebutkan pendirian suaminya tentang perjuangan Islam yang mereka bersama yakini ini akan berakhir dengan dua perkara sama ada syahid atau menang. Menurutnya, suaminya sering mengingatkan tentang kematian yang mesti diingat setiap hari dan bukan hanya ketika berlakunya konvoi ini sahaja.

Namun bila terjadinya peristiwa ini, mereka sekeluarga lebih mendekatkan diri kepada ketentuan Allah SWT yang telah mengaturkan semua perkara di Luh Mahfuz.

“Anak-anak pula tidak banyak kerenahnya kerana mereka udah acap kali ditarbiyah oleh bapa mereka dan sering kali mengikuti program khusus bersama Unit Amal sejak kecil lagi.

“Jadi bila ditinggalkan begini, mereka sudah terasa seperti biasa sahaja sebab sudah biasa sangat ditinggalkan oleh bapa mereka yang berminat dengan kerja-kerja lapangan,” tegasnya bersemangat.

Bagi Nurdalela pula berkata, “Jangan bawa pulang mayat abang” adalah antara amanat suaminya, Abdul Halim sebutkan tatkala meninggalkan mereka sekeluarga pada 17 Mei lalu.

"Jangan bawa pulang mayat abang, Jangan bawa pulang mayat abang", ucapan itu masih terngiang-ngiang. Malah bila berita konvoi Flotilla Kemanan diserang, ia menjadi semakin kuat memukul gegendang telinga.

Perkara itu didedahkannya dalam sidang akhbar yang inisiatifnya dibuat CMT selepas kapal utama itu dibedil Israel. Penuh sesak bilik sidang itu dengan warga media dan pendokong NGO berkaitan.

Pasangan Abdul Halim, 40, dari Sungai Besar dan Nurdalela, 34, dari Sabak Bernam tinggal di Meru mempunyai tiga cahayamata, Mohd Taufik, 14, Mohd Shahril, 12 dan Hanis Humaira, 2 tahun.

“Sebelum pergi suami menjemput semua berkumpul saudara mara termasuk ibunya, Siti Fathonah Murad, 54 dan beliau meminta maaf dan menyebutkan kesungguhannya untuk ke Gaza.

“Kali terakhir kami bercakap pada hari Khamis jam 10 malam ketika beliau akan berlepas ke Gaza dengan kapal Mavi Marmara dan katanya, akan hubungi lagi jika selamat di Gaza.

“Kami berpegang teguh dengan takdir-Nya, jika ada jodoh, kami jumpa lagi, kami redha dan bersedia hadapi apa sahaja kemungkinan, sebagai orang Islam, kita mesti ingat mati dan beliau meminta maaf pada semua,” ujarnya lagi.

Anaknya pula, Humaira yang juga kerap ditinggalkan kerana bapa aktif di lapangan berkata, “abah pegi kerja naik kapalterbang”’ lantaran sudah biasa kerana bapanya memang sebelum ini pergi pagi dan balik malam.

Sumber : MANHAL PMRAM & HARAKAHDAILY

Saturday, January 23, 2010

Bersamamu Palestin~






















Khaibar, khaibar ya yahud! Jaisyu Muhammad saufa yau’ud!!

Allahu Akbar!!!

Walillahilhamd..

Satu selogan yang dilaungkan oleh umat Islam ini bisa melumpuhkan para musuh Allah. Saya juga tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama-sama menyertai mahrajan anjuran Hamas di Syria. Mahrajan ini pula adalah yang julung kali dapat diadakan di sini. Kebetulan saya juga mendapat jemputan dari ummu Muhammad wakil muslimat Hamas yang selalu menyambut kami apabila berziarah ke pejabat mereka. Temujanji telah dibuat bersama beliau di kawasan penduduk Palestin iaitu di Yarmouk. Kami selamat berada di tempat yang dijanjikan tepat pada masanya walaupun sebelum menuju ke tempat kejadian kami mempunyai bermacam-macam halangan. Alhamdulillah, pada pukul 4.00 petang 8 orang mujahidah selamat berkumpul dan menaiki bas yang disediakan oleh pihak beliau.

Seusai sampai ke sana kami semua terkejut dengan persediaan mereka untuk bergerak ke stadium Faiha’ kerana kenderaan yang akan kami naiki itu dipenuhi dengan bendera-bendera Hamas!. Saya merasakan seolah-olah kami semua akan menuju ke medan jihad qital!. Perasaan ketika itu bercampur baur kerana keadaan kami di sini yang membimbangkan. Gembira, takut dan yang tidak tahu nak cakap apa pun ada. Namun saya tetap rasa beruntung kerana dapat bersama-sama dengan mereka semua.

Kami tiba di stadium Faiha’ lebih kurang pukul 5.15 petang. Keadaan di pintu masuk sesak dengan orang ramai yang tidak sabar lagi untuk masuk ke kawasan stadium. Ketika ini saya dan sahabat-sahabat cuba membayangkan suasana berlakunya “yaumul qiyamah” . Masya Allah, manusia berpusu-pusu untuk masuk menuju ke destinasi yang ingin dituju. Apabila kami sampai di pintu masuk dalam stadium kelihatan ramai manusia telah mengambil tempat masing-masing. Kelihatan bendera, rayah-rayah jihad berwarna hijau, putih dan merah berkibar di sekeliling. Saya sekarang betul-betul berada di medan jihad!.

Semasa di Malaysia saya ti
dak pernah berpeluang untuk menyertai perhimpunan atau muktamar PAS pusat tetapi Alhamdulillah Allah memberikan peluang kepada saya untuk menyertai perhimpunan seperti ini. Ini medan jihad mereka “Ahlu Ghazzah” dan “Ahlu Filastin”. Medan saya Adalah di Malaysia tanah air tercinta iaitu berjuang bersama Harakah Islamiyah yang syumul. Walaupun demikian mereka dan kita tidak ada bezanya kerana kita sama-sama mempunyai tujuan dan matlamat yang satu. Li I’lai Kalimatillahi al-Haqq!~

Anda boleh juga ke link ini.

Jumaat : 22 januari 2010 ..Bersamaan 6 Safar 1431..Bertempat: Nadi Al-Faiha’ Ar Riadhi, Damascus Syria.. Anjuran: HAMAS


SAMBUTAN MEMPERINGATI SETAHUN KEMENANGAN MEMPERTAHANKAN GAZA DAN ULANG TAHUN PENUBUHAN HAMAS YANG KE 21


Persembahan Kebudayaan Islam :




Muqawamah..Jihad!!! :





Amal Hamas..~:



Monday, October 19, 2009

Bersamamu Palestin


Bersamamu Palestin-Syawal1430H


Alhamdulillah pada 18 okt 09, pukul 10 pagi waktu Syria saya dan sahabat-sahabat telah diberikan peluang oleh Allah SWT untuk bertemu buat kesekian kali dengan muslimat Hamas di Syria. Kehadiran kami di maktab Hamas telah disambut oleh Ummu Hassan yang berkhidmat di pejabat tersebut. Kelihatan Ummu Muhammad (zaujah as-syahid Izzuddin) dan sahabatnya Ummu abdullah telah pun menunggu ketibaan kami. Oleh kerana kami telah berpecah kepada 2 kumpulan hanya saya dan kak Ida yang sampai dahulu. Berbaki lagi 3 orang sahabat saya yang dalam perjalan ke maktab. Kami telah dijemput oleh Ummu Muhammad untuk sarapan pagi bersama mereka. Alangkah bertuahnya dapat duduk dan makan bersama orang-orang yang hatinya cintakan Allah dan perjuangan Islam…



sarapan pagi bersama muslimat Hamas


Pertemuan kami diteruskan dengan sesi temuramah oleh wartawan MM berkenaan isu-isu terbaru yang berlaku di Palestin juga tentang pengalaman kehidupan rakyat Palestin di perantauan. Kebetulan juga baru sahaja berlangsung program “ Multaqa Golan” atau “International Arab Forum” dianjurkan oleh kerajaan Syria pada 11,12 Oktober bagi mempertahankan tanah Golan daripada dirampas oleh yahudi. Banyak kisah sedih yang diceritakan. Seperti biasa yahudi laknatullah dan konco-konconya tidak pernah serik untuk meneruskan jenayah yang telah dilakukannya. Kebanyakan kisahnya sama seperti apa yang kita dapat lihat, dengar dan baca dari ruangan media. Kekejaman dan kerakusan untuk memusnahkan umat Islam masih berterusan..


HELWI PPMS dan Wakil MM bersama Ummu Muhammad


Apa yang saya inginkan dari pertemuan ini adalah untuk mengambil semangat ruh jihad yang ada pada diri mereka agar ruh itu terus mengalir ke jasad dan hati kami. Kata-kata akhir dari Ummu Muhammad bagi mengakhiri pertemuan bersama beliau ialah agar ukhuwah kami bukan hanya atas nama Islam, di dunia tetapi hingga ke akhirat dan bersama-sama di Jannah nanti..Amin ya Rabb. Sepertimana namanya Syuhada, semoga dimaqbulkan doa kedua ibu-bapa agar menjadi Syuhada fi sabilillah! Itulah yang sering saya sebutkan kepada mereka..semoga doa dari para solehaat lebih diterima di sisiNYA..Insya ~Allah..


~Nahnu Ma’akum!~

Monday, February 23, 2009

Kisah Perempuan Miskin, Lembu Tua Dan Gaza

Lokasi kisah benar ini berlaku di salah sebuah daerah di Yaman dan ianya terjadi dalam bulan Januari lalu.


Kisah penderitaan dan keperitan yang dilalui oleh penduduk Gaza tersebar ke seantero dunia. Semua marah, benci, kesumat dan mendidih pedih. Lebih banyak yang terasa sayu dan terharu apabila kanak-kanak kecil nan comel menjadi korban muntahan peluru dan darah membasah bumi tanpa henti.


Tragedi dasyhat ini juga sampai juga ke pengetahuan seorang perempuan tua yang hidup miskin di salah sebuah kampung di Yaman. Sama seperti orang lain, dia juga turut sedih dan pilu sehingga berjurai air mata. Lantas suatu hari, dia berazam sedaya upaya untuk cuba membantu sekadar mampu. Kebetulan , 'harta' yang dia ada hanyalah seekor lembu tua, terlalu uzur, kurus dan sudah tidak bermaya. Dengan semangat tinggi dan perasaan simpati amat sangat, dia berhajat menyedekahkan lembunya itu kepada penduduk Gaza lalu berjalan kaki dari rumah pergi ke salah sebuah masjid di Yaman sambil memegang lembu tunggal kesayangannya itu. Kebetulan hari itu Jumaat dan para jemaah sudah mengerumuni pekarangan masjid untuk melaksanakan ibadat tersebut.


Ketika itu, betapa ramai yang memerhati dan menyorot mata melihat gelagat perempuan tua nan miskin dengan lembunya yang berada di sisi luar masjid. Ada yang mengangguk, ada yang menggeleng kepala. Tanpa kecuali ada juga yang tersenyum sinis malah terpinga-pinga melihat perempuan miskin itu setia berdiri di sisi lembunya.

ni lembu kat syria..;-)

Masa berlalu, jemaah masjid walaupun khusyuk mendengar khutbah imam namun sesekali memerhati dua mahkhluk tuhan itu. Perempuan dan lembu itu masih di situ tanpa ada cebis rasa malu atau segan diraut wajah. Setelah imam turun dari mimbar, solat Jumaat kemudiaannya dilakukan, biar dibakar terik mentari dan peluh menitis dan memercik di muka, perempuan dan lembu tua itu masih lagi di situ.


Sebaik selesai sahaja semua jemaah solat dan berdoa, tiba-tiba perempuan itu dengan tergesa-gesa mengheret lembu itu betul-betul di depan pintu masjid sambil menanti dengan penuh sabar tanpa mempedulikan jemaah yang keluar. Ramai juga yang tidak berganjak dan perasaan ingin tahu, apa bakal dilakukan oleh perempuan tua itu.


Tatkala keluar imam masjid, perempuan tua itu bingkas berkata :" Wahai imam, aku telah mendengar kisah sedih penduduk di Gaza. Aku seorang yang miskin tetapi aku bersimpati dan ingin membantu. Sudilah kau terima satu-satunya lembu yang aku ada untuk dibawa ke Gaza, beri kepada penduduk di sana." Gamam seketika. Imam kaget dengan permintaan perempuan itu namun keberatan untuk menerima. Ya, bagaimana nak membawa lembu tua itu ke Gaza, soal imam itu. Keliling-kelalang para jemaah mula bercakap-cakap. Ada yang mengatakan tindakan itu tidak munasabah apatah lagi lembu itu sudah tua dan seolah-olah tiada harga.

kambing biri2 ini akan "botak" bila nk raya haji..

"Tolonglah..bawalah lembu ini ke Gaza. Inilah saja yang aku ada. Aku ingin benar membantu mereka," ulang perempuan yang tidak dikenali itu. Imam tadi masih keberatan.Masing-masing jemaah berkata-kata dan berbisik antara satu sama lain. Semua tertumpu kepada perempuan dan lembu tuanya itu. Mata perempuan tua yang miskin itu sudah mula berkaca dan berair namun tetap tidak berganjak dan terus merenung ke arah imam tersebut. Sunyi seketika suasana. Tiba-tiba muncul seorang jemaah lalu bersuara mencetuskan idea:" Tak mengapalah, biar aku beli lembu perempuan ini dengan harga 10,000 riyal dan bawa wang itu kemudian sedekahkanlah kepada penduduk di Gaza. Imam kemudiannya nampak setuju. Perempuan miskin yang sugul itu kemudian mengesat-ngesat air matanya yang sudah tumpah. Dia membisu namun seperti akur dengan pendapat jemaah itu.


Tiba-tiba bangkit pula seorang anak muda, memberi pandangan yang jauh lebih hebat lagi:"Apa kata kita rama-ramai buat tawaran tertinggi sambil bersedekah untuk beli lembu ini dan duit itu nanti diserahkan ke Gaza?" Perempuan itu terkejut, termasuk imam itu juga. Rupa-rupanya cetusan anak muda ini diterima ramai. Kemudian dalam beberapa minit bidaan itu pun bermula dan ramai kalangan jemaah berebut-rebut menyedekahkan wang mereka untuk dikumpulkan. Ada yang membida bermula dari 10,000 ke 30,000 riyal dan berlanjutan untuk seketika. Suasana pekarangan masjid di Yaman itu menjadi riuh, apabila jemaah membida 'bertubi-tubi' sambil bersedekah.


Akhirnya lembu tua, kurus dan tidak bermaya milik perempuan tua miskin itu dibeli dengan harga 500,000 riyal (sekitar RM500,000.00)! Semua melalui bidaan para jemaah dan orang ramai yang simpati dengan penduduk Gaza termasuk niat suci perempuan miskin itu. Paling manis, setelah wang itu diserahkan kepada imam masjid itu, semua sepakat membuat keputusan sambil salah seorang jemaah bersuara kepada perempuan tua itu. "Kami telah membida lembu kamu dan berjaya kumpulkan wang sejumlah 500,000 riyal untuk memiliki lembu itu. "Akan tetapi kami telah sepakat, wang yang terkumpul tadi diserahkan kepada imam untuk disampaikan kepada penduduk Gaza dan lembu itu kami hadiahkan kembali kepada kamu," katanya sambil memerhatikan perempuan tua nan miskin itu kembali menitiskan air mata...gembira.


Tanpa diduga, Allah mentakdirkan segalanya, hajat perempuan miskin itu untuk membantu meringan beban penderitaan penduduk Palestin akhirnya tercapai dan dipermudahkan sehingga berjaya mengumpulkan wang yang banyak manakala dia masih lagi terus menyimpan satu-satunya 'harta' yang ada. Subhanallah.


Justeru, iktibarnya ialah segala niat murni yang baik sentiasa mendapat perhitungan dan ganjaran Allah apatah lagi ianya datang daripada hati kecil seorang yang miskin yang mahu membantu umat islam yang menderita akibat dizalimi rejim zionis israel biarpun diri serba payah dan serba kekurangan.




(Kisah ini telah disusun semula daripada cerita Timbalan Mursyidul Am PAS Dato' Haron Din kepada Harakahdaily melalui kisah benar yang dipaparkan di sebuah majalah Arab)

• Saya juga telah mendengar kisah ini dari salah seorang muslimat Hamas yang saya temui sebelum ini. Kisah ini diambil sebagai tauladan bersama..bisa menitiskan airmata bagi insan yang dapat menyelaminya..mari koreksi diri, di tahap manakah kita??

P.s- teruskan sumbangan anda kepada penduduk palestin..pastikan kepada pihak yang bertanggungjawab..sambil tu, BOIKOT barangan Yahudi laknatullah.

Saturday, February 07, 2009

Eksklusif : Temuramah Khas Bersama Wakil Pimpinan Muslimat Hamas Di Syria.

Bergambar kenangan bersama Ummu Muhammad(kanan sekali) di pejabatnya

Temuramah khas yang dijanjikan telah berlangsung dengan amat baik sekali. Temujanji yang telah dibuat bersama Ummu Muhammad pada 4 februari itu berlangsung di pejabatnya selama sejam setengah bermula dari pukul 10.00 pagi waktu syria. Saya bersama wartawan MM helwi sangat berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh Ummu Muhammad atau nama sebenarnya Feryaal kepada kami. Bermula dengan sesi ta’ruf seterusnya membincangkan mengenai isu Gaza dan Palestin serta perjuangan Hamas.

Di sini saya suka untuk menceritakan biodata ringkas Ummu Muhammad yang merupakan seorang isteri kepada as-Syahid. Saya mahu berkongsi kisah ini kerana kagum dengan perjuangan beliau juga sudah tentu menjadi idola dan pembaca dapat mengikuti jejak langkah perjuangan mereka. Sepertimana perjuangan Ikhwan Muslimin di mesir dahulu yang begitu dikagumi dan masih diikuti hingga ke hari ini. Begitu juga Hamas walaupun namanya berbeza tetapi perjuangan yang berlandaskan ukhuwah islamiah ini merupakan ghayah yang sama iaitu mahu memperoleh mardhatillah.

Ummu Muhammad yang saya kenali merupakan seorang muslimah mujahidah yang tabah dan cekal dalam perjuangan. Walaupun perjuangan yang perlu melepaskan insan tercinta menghadap tuhannya, namun itulah pengorbanan dalam perjuangan. Saya yang selalu menyebut mahu berjuang inipun masih rasa jauh dan belum layak lagi untuk menyamakan taraf pengorbanan seperti yang telah dilakukannya. Suami beliau as-Syahid Izzuddin as-Sheikh Khalil merupakan salah seorang pengasas tentera al-Qassam Hamas di Palestin. Berjuang beberapa tahun di Palestin bersama as Syahid Abdul Aziz ar Rantisi, as- Syahid Sheikh Ahmad Yasin dan telah di bunuh dengan letupan bom pada kenderaan yang dinaikinya di syria pada tahun 2004. Kembalilah beliau sebagai syuhada’ dan jenazah beliau telah dikebumikan di kem pelarian penduduk palestin di syria. Begitulah pengorbanan para pejuang yang cintakan Allah dan agamanya sanggup berkorban nyawa untuk mempertahankan Islam.

wajah seorang serikandi, pejuang Islam

Selepas pemergian suaminya Ummu Muhammad bersama tiga anaknya, 2 perempuan dan seorang lelaki tetap meneruskan perjuangan suami dan bapa mereka dengan istiqamah bersama perjuangan Hamas. Sekarang beliau merupakan pimpinan muslimat Hamas di syria. Tidak ada sedikit pun kekesalan atas pemergian suaminya malah terus bersemangat untuk berjuang. Itulah tanda orang yang ada taqwa dan beriman kepada Allah.

Bertanya mengenai keadaan muslimat di Gaza selepas peperangan yang berlaku di sana, beliau menyebut bahawa wanita dan kanak-kanak adalah yang ramai terbunuh dan cedera kerana mereka tinggal di rumah. Yahudi laknatullah itu menyerang tanpa mengira tempat dan keadaan. Maka kaum muslimat di gaza telah berikrar walau apapun yang berlaku mereka tetap tidak akan meninggalkan kediaman dan mahu mempertahankan hak milik mereka. Saya bertanya adakah tindakan mereka ini betul?. Beliau menjawab, hanya inilah perkara yang mampu dilakukan oleh kaum wanita kerana semua tempat dalam keadaan darurat jadi mereka membuat keputusan untuk mempertahankan kediaman mereka.

saya dan wakil MM ketika sesi temuramah di pejabat Hamas

Sahabat dari MM juga mengajukan solan mengenai reaksi dan kerjasama bangsa arab terhadap suasana di palestin dan Gaza khususnya. Beliau menjawab, bangsa arab semuanya menyokong Hamas malah turut mengadakan demonstrasi namun yang bermasalah adalah pihak kerajaan negara arab yang pengecut. Sepertimana kerajaan mesir yang tidak berperikemanusiaan sehingga sanggup menutup sempadan untuk masuk ke palestin. Tambah beliau lagi, bahawa pihak Hamas akan mengadakan perbincangan di mesir mengenai pembukaan sempadan dan pembebasan tahanan di penjara. Banyak lagi yang diceritakan oleh beliau mengenai episod luka penduduk Palestin. Namun tidak dapat saya coretkan semuanya kerana masa mencemburui saya. Jadi kepada sahabat-sahabat di syria boleh dapatkan kisah penuh daripada MM keluaran akan datang. Kalau saya ceritakan semuanya sekarang basilah eksklusif MM nanti!.hehe.

Akhirnya beliau menyatakan harapan kepada semua umat Islam di seluruh dunia dapat bersama memberikan bantuan kepada Hamas sekadar yang termampu samada dari tenaga hingga ke harta benda. Beliau juga menawarkan diri untuk pergi ke malaysia bagi mengadakan ceramah dan taujihat tetapi perlulah ada jemputan dari malaysia kerana beliau tidak mudah untuk keluar negara tanpa sebab yang munasabah oleh kerana kawalan ketat kerajaan di sini.

– ayuh srikandi, jalan perjuangan sedang terbentang luas di hadapanmu!

Tuesday, February 03, 2009

Bersama Muslimat Hamas Di Syria

bergambar bersama Hibbatullah dan sahabiyat

Alhamdulillah kerana hari ini saya telah diberikan lagi peluang untuk bersama-sama dengan muslimat palestin di Syria. Ziarah pada kali ini saya bersama dengan ketua HELWI, wakil risalah Mufakkirat Mukminah(MM) bertujuan untuk menemuramah wakil muslimat hamas Ummu Muhammad isteri kepada seorang as-syahid. Namun pertemuan kami tidak dapat diteruskan kerana masalah yang tidak dapat dielakkan. Pertemuan kami akan ditangguhkan pada keesokannya. Sampai sahaja saya ke pejabat Hamas, muhadharah sedang dijalankan di dewan bawah bangunan tersebut. Kami disambut baik dan telah dijemput untuk sama-sama mendengar muhadharah mengenai keadaan semasa Gaza yang disampaikan oleh Abu Zuhri, seorang pimpinan Hamas. Daripada apa yang sempat saya ikuti bahawa peperangan baru-baru ini ramai dikalangan wanita dan kanak-kanak yang cedera.

Setelah menghadiri muhadharah, kedatangan kami dialukan dengan mengadakan sesi taa’ruf serta diskusi mengenai peperangan di Gaza. Semua hadirin memberikan ucapan yang begitu bersemangat. Saya dan sahabat-sahabat tidak melepaskan peluang untuk sama-sama menyatakan bahawa kami juga bersama dengan mereka. Akhwat yang mengendalikan halaqah tersebut sudah mengenali saya kerana ini adalah kunjungan saya buat kali yang ke-3 ke sana. Apabila sampai kepada giliran akhwat malaysia, terus dia menyebut nama saya untuk memberikan ucapan. Saya memberanikan diri untuk berucap walaupun saya masih kurang fasih untuk bertutur dengan bahasa arab. Apa yang dapat saya nyatakan bahawa kami sentiasa mendoakan perjuangan umat Islam di palestin juga perjuan harakah Islamiah Hamas. Pendirian kami adalah sentiasa bersama dengan perjuangan Hamas di sana. Halaqah yang walau sekejap ini saya dapat rasakan ukhuwah Islamiah itu terjalin di antara kami.

bendera hamas di perjalanan...

Kami sempat juga bertemu dengan Hibbatullah yang merupakan anak perempuan kepada khalid mash’aal. Beliau bergiat aktif bersama muslimat hamas di sini. Beliau berumur 25 tahun merupakan anak kedua khalid mash’aal. Mempunyai tujuh orang adik beradik. tidak sangka juga yang ziarah kami pada hari ini dapat bertemu dengannya. Saya amat berbangga dengan semangat perjuangan mereka. Saya ingin mengenali mereka dengan lebih dekat lagi agar ruh perjuangan ini sentiasa dapat dirasai.

Hibbah juga sempat menceritakan kisah berkaitan dengan wang derma bagi penduduk di Gaza. Seorang wanita syria ataupun palestin telah diragut begnya ketika perjalanan untuk menghantar derma bagi penduduk Gaza. Sejumlah wang yang banyak telah diletakkan didalam sampul yang tertulis di atasnya “derma untuk penduduk gaza” . Apabila peragut itu mendapati bahawa wang tersebut adalah untuk derma penduduk di gaza, dia telah menghubungi suami wanita tersebut menggunakan hanphone yang berada di dalam beg wanita itu. Akhirnya wang tersebut dipulangkan kerana peragut tersebut juga tidak sanggup untuk mengambil wang derma itu. Daripada kisah ini kita dapat lihat walaupun seorang pencuri, namun dia masih lagi ada rasa kasihan kepada umat islam di gaza. Mungkin juga kerana masih ada iman di hatinya walaupun perbuatan menciuri adalah berdosa. Semoga Allah memberikan hidayah kepada mereka.

Pertemuan ini telah diakhiri dengan sesi bergambar bersama Hibbah juga muslimat yang lain. Saya berasa amat bertuah kerana dapat mengisi hari ini dengan pengalaman yang begitu bermakna. Semoga permulaan yang baik ini dapat memberikan natijah yang terbaik untuk saya meneruskan hari-hari yang mendatang. – ameen.

Monday, January 05, 2009

{ Catatan Awal Muharam 1430 H }

I

Hak untuk kembali bagi pelarian palestin masih dinafikan. Bukan setakat itu sahaja hak penduduk di palestin juga telah diragut kasar oleh pihak yang tidak ada perikemanusiaan. Mereka merasakan kuasa dunia adalah hak milik mereka. Tidak sedar siapakah mereka sebenarnya. Episod tragis di bumi al Quds kembali lagi dengan adengan-adengan ngeri ke atas serangan yahudi di Ghaza. Sehingga ke hari ini beratus orang telah syahid dan ribuan yang mengalami kecederaan. Mampukah kita terus melihat sahaja derita saudara kita di sana. Sekarang umat Islam seluruh dunia perlu bangkit dan mengambil berat ke atas apa yang berlaku di Ghaza. Dengan tegas saya menyatakan bahawa tidak halal tindakan yahudi laknatullah ke atas umat Islam di Ghaza. Nyawa yang terkorban perlu diganti dengan nyawa.

Kekesalan juga ditujukan kepada pemimpin-pemimpin negara Arab yang pengecut. Itulah padahnya menyerahkan tengkuk untuk ditambat ke tangan kaum kuffar laknatullah. Mereka sepatutnya membantu Ghaza dan menentang Israel tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Tempoh serangan ke atas ghaza ini telah diramalkan seperti peperangan jangka panjang.wallahu a’lam. Doa dari kita supaya Allah menghancurkan musuh-musuh Islam dan menyelamatkan umat Islam. Juga memberi kekuatan kepada pejuang-pejuang kita di sana terutamanya Hamas yang ditekan kuat oleh yahudi. Saya cuba meletakkan satu perumpamaan, jangan sekali-kali berani menjolok sarang tebuan. Nanti buruk padahnya!. Perumpamaan itu ditujukan buat yahudi yang tidak malu untuk merampas hak orang lain. Dalam sibuk-sibuk merampas hak orang tidak sedar rakyat sendiri rosak.~ Teruskan doa dan munajat.

II


Ulamak Syam buat ke sekian kalinya melebarkan lagi sayap ilmunya buat para pencinta ilmu. Kelas pengajian hadis “Jami’e Imam Tirmizi” yang telah berlangsung selama lapan hari di Jamek al Hasan, Haiyu Abu Remmaneh, Damascus, Syria itu mendapat sambutan baik dari seluruh warga Syam dan selainnya.





Pengajian hadis ini dengan cara mengambil sanad riwayat daripada seorang ulamak yang merupakan salah seorang sheikh yang terkenal dalam ilmu hadis dan juga tasawuf iaitu sheikh Muhammad Abul Huda al Yaa’qubi. Beliau telah belajar daripada bapanya yang juga merupakan seorang ulamak Syam, al a’llamah al kabir as sheikh Ibrahim al Ya’qubi dan mendapatkan sanad riwayat hadis terutama “ kutub sittah” dan “ muwatto’”. Beliau juga menghafaz al qur’an dan matan-matan. Saya adalah salah seorang yang menyertai pengajian hadis tersebut. Ini adalah pertama kali saya berpeluang mengikuti pengajian hadis sebegini. Kerana sebelum ini telah berlangsung beberapa pengajian hadis di syam, antaranya “ Sohih Bukhari” dan “ Sunan Abu Daud “.

Sarapan pagi yang disediakan...



makan petang yang semuanya sedap2..hehe ;-)

Alhamdulillah kerana saya telah diberikan kesempatan yang amat berharga ini. Kelas tersebut juga tidak dikenakan sebarang bayaran melainkan kitab yang perlu dibeli sendiri. Setelah tamat mengikuti dars riwayat hadis ini kesemua peserta diberikan sijil sanad riwayat hadis. Namun, pesan sheikh bahawa sijil ini bukan untuk dijadikan pameran dan sebagainya tetapi adalah keizinan untuk kita meriwayat hadis kepada orang lain. Dalam menuntut ilmu ini kita perlu ikhlaskan niat kerana Allah.

Bagi saya mengambil ijazah riwayat sanad ini adalah untuk memastikan kebenaran hadis tersebut juga mendapat keberkatan kerana sanad tersebut secara jelas rentetannya terus sampai kepada Rasulullahisallallahu alaihi wasallam.



Sepanjang mengikuti pengajian ini banyak ilmu baru yang saya perolehi. Hidup dalam budaya ilmu yang amat menenangkan. Sungguh bahagia. Suasana beginilah yang kita idam-idamkan. Saya juga berharap tanah air kita juga dilimpahi rahmatNYA agar masyarakat kembali kepada Islam. Tetapi siapa yang akan merubah segala-galanya kecuali kita yang menuntut ilu agama ini. Buat sahabat-sahabat yang telah berada di bumi syam, sama-samalah kita berusaha dan jangan lepaskan peluang yang ada. Khazanah ilmu di bumi syam ini perlu diterokai sebelum ianya lesap dari pemilikan kita yang tidak disentuh!

III


Setelah selesai bersahur sementara menunggu azan subuh saya berbual-bual bersama ahli bayt. Kami berpuasa sunat saranan dari sheikh di jamek bagi kemudahan umat Islam di Ghaza. Kerana doa dari orang berpuasa adalah antara doa yang mustajab sepertimana yang disebutkan di dalam hadis. Topik yang kami bualkan adalah mengenai suasana pengajian di jamek.



Ba’ah: “ tengok mak cik- mak cik kat jamek tu dorang bila belajar amal sungguh-sungguh apa yang dorang belajar”.

Sally : “ itulah, malu kita tengok dorang semangat macam tu. Kita yang muda ni asyik malas-malas. Tak rasa pun nak buat macam dorang “ .
“ itulah!”. Balas Ba’ah sambil membasuh pinggan di sink. Perbualan mereka terhenti di situ.


Lalu saya menyampuk perbualan mereka. “ sebab apa boleh jadi macam tu? ”.

Mereka mendiamkan diri.
Saya membalas dengan selamba: “ biasalah keadaan macam tu, sebab mereka sudah berumur. Semakin berumur semakin terasa saat kembali hampir tiba. Sebab itu dorang boleh bersungguh dalam beramal. Sebab dorang tahu dan dapat rasa. Kita yang muda ni sebab kita masih rasa yang kita muda, jadi tak terasa nak beramal bersungguh-sungguh. Ia tak dapat dielakkan kerana fitrah manusia. Tetapi kita boleh jadi lebih apabila kita memahami. Hanya yang memahami sahaja yang dapat menilai.”


Mereka masih mendiamkan diri dan mengangguk. Saya hanya membiarkan mereka membuat penilaian sendiri dari jawapan saya tadi. Yang penting saya dapat melontarkan idea di hening subuh ini. Hehe. Semoga kita beroleh rahmatNYA~.
Related Posts with Thumbnails
 

saffa@srar Copyright © 2009 Community is Designed by Bie