Sunday, February 01, 2009

Berteduh Di Bawah Pohon Taqwa


“ manusia mesti beramal atau bekerja bagi menyediakan bekalan hari akhirat ”

sabda rasulullah s.a.w yang bermaksud :

“ bagiku berada di dunia ini ibarat seorang yang berjalan di tengah panas lalu singgah sebentar berteduh di bawah sepohon kayu yang rendang, selepas beristirehat barang seketika untuk menghilangkan penat, maka beredarlah dia meninggalkan pohon rendang itu dan meneruskan perjalanan. ”

Hadis rasulullah s.a.w itu adalah suatu peringatan terhadap manusia. Bahawa kesempatan yang diberikan kepada manusia hidup di dunia ini bukanlah untuk kekal buat selama-lamanya. Sebaliknya dunia hanyalah tempat persinggahan untuk membuat persiapan, mencari bekalan bagi menghadapi suatu penghidupan yang abadi di akhirat kelak.

Inilah hakikat yang diajar oleh rasulullah s.a.w kepada um
atnya, tentang kehidupan di dunia ibarat singgah berteduh di bawah sepohon kayu untuk menghilangkan letih atau singgah mencari bekalan. Selepas badan kembali segar, seharusnya mereka tidak lalai untuk meneruskan perjalanan.

Tempoh perjalanan manusia di dunia yang begitu singkat ini haruslah dipenuhi dengan amal ibadah. Bagaimana mahu menjadi manusia serta hamba yang bertaqwa itu terpulang kepada diri masing-masing untuk mencoraknya. Kehidupan kita di dunia ini bergantung kepada jalan yang kita pilih. Jika pilihan kita itu betul dan tepat, maka pengakhirannya adalah suatu pengakhiran yang menguntungkan.

Bukan mudah untuk berteduh di bawah pohon taqwa seperti yang di maksudkan kerana hanya insan pilihanNya sahaja yang mampu untuk sampai ke tahap itu. Kita selaku hamba perlu berusaha dan berdoa agar digolongkan bersama-sama hambaNya yang bertaqwa. Orang yang beriman akan mendambakan untuk berteduh di bawah pohon taqwa yang akan menghasilkan buah iman yang begitu manis. Begitulah perumpamaan bagi kemanisan hidup seorang hamba Allah di dunia ini.

Contoh yang diberikan oleh rasulullah s.a.w tentang kehidupan di dunia ini amat mudah difahami meskipun baginda menyebut ibarat singgah sejenak berteduh di bawah pohon yang rendang, tetapi kadangkala manusia menjadi asyik dan terlena, apatah lagi jika pohon tempat berteduh itu sedang berbuah lebat dan ranum. Berehat sambil makan buah-buahan serta hembusan bayu yang nyaman sungguh mengasyikkan. Manusia yang dilalaikan dengan kehidupan dunia akan menghadapi penyesalan yang tidak berkesudahan. Dalam al-quran telah digambarkan, yang bermaksud;

“ wahai tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami ke dunia, kami akan mengerjakan amal yang soleh. Sesunguhnya kami adalah orang-orang yang yakin. ” Surah as-sajdah 32: 12

Demikianlah sesalan orang-orang yang lalai akan peranan mereka dihidupkan di dunia. Mereka cuba memohon kepada tuhan agar dikembalikan ke dunia untuk melakukan amal soleh, selepas mereka melihat dengan mata kepala sendiri datangnya hari akhirat, seperti yang dikhabarkan oleh para rasul semasa di dunia dahulu.

Meskipun kehidupan di dunia ini diibaratkan singgah sebentar sekadar berteduh di bawah pohon, namun ia amat bererti bagi seorang musafir yang berjalan jauh ketika hari panas. Mereka pasti mengambil peluang untuk berehat serta makan dan minum untuk memulihkan tenaga fizikal dan dapat juga melakukan amal ibadah untuk kekuatan dan bekalan rohaninya.

Usia yang masih berbaki ini berusahalah untuk kita mengenal erti kehidupan. Dengan ilmu pengetahuan kita yang terbatas ini sudah tentu tidak tahu bila akan tiba masanya ajal kita. Maka, sentiasalah menjaga diri dari melakukan kebatilan, melakukan yang makruf dan mencegah mungkar.

Demikianlah hakikat dunia yang disebut sebagai gelanggang melakukan amal dan segala gerak kerja manakala akhirat sebagai negara menerima balasan. Jika di dunia yang singkat waktunya ini terlalai dengan kenikmatan yang sementara, dibimbangi bahawa penyesalan akan menunggu di akhirat.¤


Dipetik:TAQWA-T.G.D Nik Abd Aziz Nik Mat.

Diolah:saffa@srar.

Thursday, January 29, 2009

Da Cute, I Mizz So Much!


Akhirnya, dapat juga saya menatap pix my cute babies...hehe..windu2. Comel jugak dorg pakai baju syria tu..tengok la sape yg pilih..acik la..sape lagi??..thanks k.Tie coz mailkan pic bebudak ni..Memang so sick skrg ni..SICK3!..sok sek sok sek..Dah besar pun dorg..Nanti acik balik Malaysia mesti dah tak kenal dah..Ling..Ling..Long!



>>>>>>>>>>>> HEPI BUFDAY 4 MUHAMMAD NABHAN COMOT!

Monday, January 05, 2009

{ Catatan Awal Muharam 1430 H }

I

Hak untuk kembali bagi pelarian palestin masih dinafikan. Bukan setakat itu sahaja hak penduduk di palestin juga telah diragut kasar oleh pihak yang tidak ada perikemanusiaan. Mereka merasakan kuasa dunia adalah hak milik mereka. Tidak sedar siapakah mereka sebenarnya. Episod tragis di bumi al Quds kembali lagi dengan adengan-adengan ngeri ke atas serangan yahudi di Ghaza. Sehingga ke hari ini beratus orang telah syahid dan ribuan yang mengalami kecederaan. Mampukah kita terus melihat sahaja derita saudara kita di sana. Sekarang umat Islam seluruh dunia perlu bangkit dan mengambil berat ke atas apa yang berlaku di Ghaza. Dengan tegas saya menyatakan bahawa tidak halal tindakan yahudi laknatullah ke atas umat Islam di Ghaza. Nyawa yang terkorban perlu diganti dengan nyawa.

Kekesalan juga ditujukan kepada pemimpin-pemimpin negara Arab yang pengecut. Itulah padahnya menyerahkan tengkuk untuk ditambat ke tangan kaum kuffar laknatullah. Mereka sepatutnya membantu Ghaza dan menentang Israel tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Tempoh serangan ke atas ghaza ini telah diramalkan seperti peperangan jangka panjang.wallahu a’lam. Doa dari kita supaya Allah menghancurkan musuh-musuh Islam dan menyelamatkan umat Islam. Juga memberi kekuatan kepada pejuang-pejuang kita di sana terutamanya Hamas yang ditekan kuat oleh yahudi. Saya cuba meletakkan satu perumpamaan, jangan sekali-kali berani menjolok sarang tebuan. Nanti buruk padahnya!. Perumpamaan itu ditujukan buat yahudi yang tidak malu untuk merampas hak orang lain. Dalam sibuk-sibuk merampas hak orang tidak sedar rakyat sendiri rosak.~ Teruskan doa dan munajat.

II


Ulamak Syam buat ke sekian kalinya melebarkan lagi sayap ilmunya buat para pencinta ilmu. Kelas pengajian hadis “Jami’e Imam Tirmizi” yang telah berlangsung selama lapan hari di Jamek al Hasan, Haiyu Abu Remmaneh, Damascus, Syria itu mendapat sambutan baik dari seluruh warga Syam dan selainnya.





Pengajian hadis ini dengan cara mengambil sanad riwayat daripada seorang ulamak yang merupakan salah seorang sheikh yang terkenal dalam ilmu hadis dan juga tasawuf iaitu sheikh Muhammad Abul Huda al Yaa’qubi. Beliau telah belajar daripada bapanya yang juga merupakan seorang ulamak Syam, al a’llamah al kabir as sheikh Ibrahim al Ya’qubi dan mendapatkan sanad riwayat hadis terutama “ kutub sittah” dan “ muwatto’”. Beliau juga menghafaz al qur’an dan matan-matan. Saya adalah salah seorang yang menyertai pengajian hadis tersebut. Ini adalah pertama kali saya berpeluang mengikuti pengajian hadis sebegini. Kerana sebelum ini telah berlangsung beberapa pengajian hadis di syam, antaranya “ Sohih Bukhari” dan “ Sunan Abu Daud “.

Sarapan pagi yang disediakan...



makan petang yang semuanya sedap2..hehe ;-)

Alhamdulillah kerana saya telah diberikan kesempatan yang amat berharga ini. Kelas tersebut juga tidak dikenakan sebarang bayaran melainkan kitab yang perlu dibeli sendiri. Setelah tamat mengikuti dars riwayat hadis ini kesemua peserta diberikan sijil sanad riwayat hadis. Namun, pesan sheikh bahawa sijil ini bukan untuk dijadikan pameran dan sebagainya tetapi adalah keizinan untuk kita meriwayat hadis kepada orang lain. Dalam menuntut ilmu ini kita perlu ikhlaskan niat kerana Allah.

Bagi saya mengambil ijazah riwayat sanad ini adalah untuk memastikan kebenaran hadis tersebut juga mendapat keberkatan kerana sanad tersebut secara jelas rentetannya terus sampai kepada Rasulullahisallallahu alaihi wasallam.



Sepanjang mengikuti pengajian ini banyak ilmu baru yang saya perolehi. Hidup dalam budaya ilmu yang amat menenangkan. Sungguh bahagia. Suasana beginilah yang kita idam-idamkan. Saya juga berharap tanah air kita juga dilimpahi rahmatNYA agar masyarakat kembali kepada Islam. Tetapi siapa yang akan merubah segala-galanya kecuali kita yang menuntut ilu agama ini. Buat sahabat-sahabat yang telah berada di bumi syam, sama-samalah kita berusaha dan jangan lepaskan peluang yang ada. Khazanah ilmu di bumi syam ini perlu diterokai sebelum ianya lesap dari pemilikan kita yang tidak disentuh!

III


Setelah selesai bersahur sementara menunggu azan subuh saya berbual-bual bersama ahli bayt. Kami berpuasa sunat saranan dari sheikh di jamek bagi kemudahan umat Islam di Ghaza. Kerana doa dari orang berpuasa adalah antara doa yang mustajab sepertimana yang disebutkan di dalam hadis. Topik yang kami bualkan adalah mengenai suasana pengajian di jamek.



Ba’ah: “ tengok mak cik- mak cik kat jamek tu dorang bila belajar amal sungguh-sungguh apa yang dorang belajar”.

Sally : “ itulah, malu kita tengok dorang semangat macam tu. Kita yang muda ni asyik malas-malas. Tak rasa pun nak buat macam dorang “ .
“ itulah!”. Balas Ba’ah sambil membasuh pinggan di sink. Perbualan mereka terhenti di situ.


Lalu saya menyampuk perbualan mereka. “ sebab apa boleh jadi macam tu? ”.

Mereka mendiamkan diri.
Saya membalas dengan selamba: “ biasalah keadaan macam tu, sebab mereka sudah berumur. Semakin berumur semakin terasa saat kembali hampir tiba. Sebab itu dorang boleh bersungguh dalam beramal. Sebab dorang tahu dan dapat rasa. Kita yang muda ni sebab kita masih rasa yang kita muda, jadi tak terasa nak beramal bersungguh-sungguh. Ia tak dapat dielakkan kerana fitrah manusia. Tetapi kita boleh jadi lebih apabila kita memahami. Hanya yang memahami sahaja yang dapat menilai.”


Mereka masih mendiamkan diri dan mengangguk. Saya hanya membiarkan mereka membuat penilaian sendiri dari jawapan saya tadi. Yang penting saya dapat melontarkan idea di hening subuh ini. Hehe. Semoga kita beroleh rahmatNYA~.

Thursday, December 18, 2008

Tadabur Alam..

SUATU PETANG DI JAMI’E UMAWI


Selepas selesai membeli beberapa kitab dan kutaib di Halabuni saya terus menuju ke Suq Hamidiyah. Bukan mahu membeli-belah di sana. Tetapi saya mahu pergi ke Jami’e Umawi untuk menziarahi Baytullah juga maqam- maqam. Saya telah membuat keputusan untuk solat maghrib berjemaah di situ. Jam di dinding Jami’e menunjukkan pukul 4.25 petang. Beberapa minit sahaja lagi akan masuk waktu maghrib. Adik Amira yang bersama menemaniku dari tadi sedia untuk bersama-sama berjemaah di Jami’e. Setelah selesai menziarahi maqam-maqam di situ saya terus masuk ke Jami’e lalu mengambil tempat duduk di saff muslimat. Di sebelah saya dua orang wanita Syria sedang membaca al-qur’an. Saya hanya memberikan senyuman buat mereka kerana tidak mahu mengganggu pembacaan mereka.












Saya tundukkan wajah sambil cuba membayangkan bagaimanakah tempat ini ketika zaman Khilafah Umawiyah suatu ketika dahulu. Bagaimana umatnya yang bertamadun serta hidup dalam keadaan aman di bawah Daulah Islamiyah. Bagaimana budaya ilmu yang sangat menakjubkan dengan para ulamaknya yang masyhur. Tentu sekali masyarakat pada waktu itu aman di bawah pemerintahan Islam. Saya rasa teruja dengan kekuatan umat terdahulu. Bagaimana mereka boleh mentaati Allah sepenuhnya tanpa ragu-ragu. Saya, juga generasi umat Islam sekarang di tahap manakah keimanan kita kepadaNYA.

~ Perjalanan Masih Jauh.


REHAT MINDA DI JISR RA’IS


















Petang itu saya sudah berjanji bersama beberapa orang sahabat untuk menziarahi rumah sahabat kami di Abou Nour. Rumahnya terlatak di atas bukit berhampiran dengan Jami’e Buthi. Nama Jami’e ini bersempena nama pengasasnya iaitu Sheikh Buthi. Kami telah memilih untuk menaiki servis menuju ke Jisr Ra’is kemudian mengambil servis kedua di situ. Ketika menunggu servis sampai, sempat juga saya mengambil beberapa keping gambar. Pemandangan pada waktu malam dengan simbahan lampu neon yang mengasyikkan. Tiba-tiba rasa rindu untuk pergi ke Jabal Qasiyun. Di sana kita dapat melihat pemandangan kota Damascus yang indah pada waktu malam. Itulah ciptaan Allah yang tiada tandingan. Servis sudah sampai. Saya pergi dahulu!

~ Allahumma Barik Lana Fi Syamina, Wa Fi Yamanina.

Wednesday, December 10, 2008

Perubahan & Pengorbanan Agenda Bersama.

Manusia yang hidup di dunia ini mempunyai berbagai tanggungjawab. Namun di sana tujuan sebenar manusia dihidupkan di muka bumi ini adalah untuk menjadi hamba Allah yang taat serta patuh kepada perintahnya dan meninggalkan larangan-Nya. Jika menyebut mengenai perubahan dan pengorbanan kedua-duanya terpundak di atas bahu kita. Kita perlu sedar bahawa perubahan perlu dilakukan. Daripada keadaan yang tidak baik kepada yang lebih baik. Perubahan yang dimaksudkan di sini ialah dari zulmat kepada kebenaran yang hakiki.

Perubahan yang dibawa oleh Islam dari utusan Allah junjungan mulia qudwah terulung umat Islam nabi Muhammad sallallahualaihi wasallam menyeru agar umatnya kembali kepada Allah. Kita semua dituntut agar segera sedar akan tanggungjawab masing-masing di dunia ini. Antara tanggungjawab kita ialah melakukan perubahan. Perubahan yang perlu difokuskan kepada diri, keluarga, bangsa, agama dan negara. Perubahan tidak akan berlaku jika diri kita masih berada di dalam zulmat. Bagi merealisasikan sesuatu perubahan, di sana pastinya ada pengorbanan. Inilah tema utama yang mahu kita ungkapkan iaitu “Perubahan Dan Pengorbanan Agenda Bersama”.

Dalam konteks kita selaku siswa dan siswi Islam tuntutan ini amat jelas menunjukkan bahawa kita yang patut melakukannya. Kerana kita adalah harapan Islam. Kita jangan mudah merasa cukup dengan perubahan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh orang lain. Tetapi kita perlu sentiasa merasakan bahawa kita semua punya tanggungjawab yang sama. Mahupun muslimin atau muslimat kedua-duanya tidak berbeza dari sudut perikemanusiaan kerana asal usul kejadian meraka adalah satu. Seperti mana firman Allah subhanahuwata’ala yang bermaksud:

“ Hai manusia! Bertaqwalah kepada tuhan kamu yang telah menciptakan kamu(bermula)dari (adam)dan yang menciptakan daripada(adam)itu pasangannya(isterinya hawa)dan yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan, lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya,dan peliharalah hubungan silaturrahim(kaum kerabat)kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati(mengawasi)kamu.”
(An-Nisa’ :1)



Senario manusia akhir zaman sepatutnya tidak menyebabkan kita terheret sama ke kancah yang hina. Namun, kita perlu melakukan perubahan di atas permasalahan umat. Tuntutan agama dari penuntut ilmu juga bukan semata-mata menjaga diri dan keluarganya sahaja malahan perlu kembali melakukan perubahan kepada masyarakat. Seruan ini amat jelas sepertimana firman Allah yang bermaksud:

“Dan tidaklah orang-orang yang beriman keluar semuanya(pergi berperang)oleh itu hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang(yang tinggal)itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya(yang keluar berjuang)apabila orang-orang itu kembali kepada mereka, mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga(dari melakukan larangan Allah). (At-Taubah: 122)

Ayat tersebut jelas menunjukkan matlamat kita menuntut ilmu dengan memahami ad-Din seterusnya kembali sebagai pemberi peringatan kepada masyarakat. Kita membawa seruan ad-Din kepada manusia di seantero dunia bahawa Islam adalah penyelesai kepada segala masalah. Di zaman mutakhir ini umat Islam perlu menempuhi pelbagai ideologi yang dicipta oleh musuhnya bagi meracuni minda dan pemikiran.
Sejarah perubahan dan perjuangan di seluruh dunia asalnya dilakukan oleh para ulamak namun ianya telah dirampas oleh pemimpin sekular dan Islam diketepikan. Kita perlu mengambil pengajaran dari sejarah yg telah berlaku. Sedarlah bahawa kita tidak boleh melengah-lengahkan perubahan yang perlu dibawa kepada masyarakat. Masyarakat di malaysia terutamanya yang semakin terpesong dari landasan sebenar. Segala kerosakan serta ideologi-ideologi musuh telah masuk ke segenap lapisan masyarakat sekarang dengan mudah.

Pengorbanan yang dituntut daripada kita dengan mengorbankan jiwa-raga, harta-benda, masa, kehidupan dan segala sesuatu untuk tujuan mencapai matlamat. Di sana kita boleh melihat siapakah yang benar-benar ikhlas hidup selaku hamba Allah. Kerana hamba Allah tidak akan lari dari tanggungjawab.

Perubahan kepada masyarakat bukan sahaja terpundak di bahu muslimin sahaja malahan muslimat. Muslimat juga perlu sedar akan keberadaannya di dalam masyarakat. Bukan sekadar penjaga kepada keluarganya sahaja. Tetapi mereka juga merupakan ejen kepada perubahan masyarakat. Inilah produk yang ingin kita lahirkan daripada siswa dan siswi Islam. Produk yang mempunyai kualiti serta berkredebiliti bagi menyelesaikan segala permasalahan dan mengubah mentaliti masyarakat. Suasana krisis akidah umat Islam di malaysia sekarang telah diibaratkan “seperti telur di hujung tanduk” merupakan berita yang amat menyedihkan.

Keterlibatan muslimat dalam masyarakat dengan suasana yang berlaku sekarang merupakan suatu kewajipan. Allah subhanahuwataa’la berfirman yang bermaksud:

“Dan orang-orang lelaki mukminin dan oramg-orang perempuan mukminat sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian yang lain, mereka menyuruh melakukan yang makruf dan melarang dari melakukan yang munkar..”
(At-Taubah: 71)

Di antara kerja amar makruf dan nahi munkar yang dilakukan oleh muslimat di zaman sahabat ialah dalam bentuk suatu teguran oleh seorang muslimat kepada amirul mukminin Umar Bin Al Khattab ketika sedang berucap untuk mengadakan sekatan terhadap kenaikan maskahwin. Muslimat tersebut dengan ikhlas dan jujurnya memberitahu saidina Umar: “ patutkah engkau berbuat demikian sedangkan Alllah subhanahuwata’ala mengizinkan para wanita menaikkan maskahwin walaupun dengan kadar satu pikul emas?”. Mendengar kata-kata itu, saidina Umar terus mengakui kesilapan beliau dan merujuk kembali kepada keadaan yang asal dengan tidak mengadakan sekatan terhadap naik turunnya maskahwin.

Pengajaran dari kisah tersebut menunjukkan betapa peri pentingnya keterlibatan muslimat dalam permasalahan masyarakat. Bukan sekadar hebat di gelanggang sendiri tetapi mampu beraksi di tempat lain. Perubahan yang perlu dilakukan ini langsung tidak menjurus kepada pemilikan hak feminisme sama sekali. Tetapi perubahan ini adalah perubahan untuk melihat masyarakat kembali kepada Islam. Bagi menentang musuh umat Islam kaum kuffar laknatullah.

Jika di malaysia ada pelbagai pakatan kaum kuffar antaranya golongan yang menyatakan bahawa mereka penyelamat masyarakat Islam tetapi ianya dusta belaka. Seperti yang kita ketahui sister in Islam (SIS) mereka hanya menggunakan nama Islam sebagai topeng. Sedangkan missionari kuffar adalah disebalik gerakan ini. Mereka lantang membicarakan soal agama dengan mempertikaikan fatwa ulamak serta menghina Islam. Siswi Islam dan muslimatlah yang dituntut bagi menentang golongan ini serta menjawab kembali segala permasalahan yang berlaku. Ini semua tidak akan dapat dilaksanakan melainkan kita perlu keluar dari zon masing-masing ke medan sebenar. Dengan penyatuan fikrah yang mantap serta berjemaah akan dapat menewaskan mereka.

Di dalam al-qur’an juga terdapat banyak ayat-ayat yang menyeru kepada muslimin dan muslimat serta mukminin dan mukminat supaya melakukan perubahan dan berkorban demi ad-Din tercinta. Tiada keterbatasan kepada satu-satu bidang sahaja sedangkan seruan Jihad itu begitu luas. Samada dalam bidang pendidikan, dakwah dan politik tidak dapat dipisahkan. Jika keterlibatan muslimat di bidang siasah di bawah kerajaan Islam yang adil juga diperlukan inikan jika di dalam kerajaan Islam yang menyeleweng. Sabda Rasulullahi sallalallahu alaihi wasallam yang bermaksud:

“ Sebaik-baik jihad itu ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim.”
( riwayat abu dawud & ibnu majah)

Di dalam hadith yang lain pula nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:

“ Sesungguhnya manusia itu jika melihat kezaliman yang dilakukan oleh orang yang zalim tapi mereka tidak membetulkan kezalimannya, nyaris-nyaris Allah akan menurunkan azabNya kepada seluruh mereka.”
(riwayat abu dawud, at-Tarmizi & an Nasa’i)

Perubahan segera perlu dilakukan dengan pengorbanan yang ikhlas merupakan agenda bersama bagi menegakkan kalimatul haq di muka bumi ini. Semuanya perlu kembali kepada syarak kerana didatangkan syarak bagi menyelesaikan maslahah hamba di segenap kehidupan dan tempat kembali. Perlu diingatkan bahawa dengan mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup tentang agama Islam sahaja dapat merealisasikan tuntutan tersebut. Oleh kerana itu mahasiswa masa kini, khususnya muslimat dalam menjalankan peranan selaku ejen perubah masyarakat wajiblah mereka membentuk peribadi mereka seperti yang dikendaki Islam. Yakinlah kepada Allah dan memberi sepenuh penyerahan dari usaha serta pengorbanan yang dilakukan dengan mengharapkan redhaNYA.

Tuesday, December 02, 2008

KETIKA UMMAH ROSAK, DI MANAKAH KITA??

Fatwas shouldn’t be law

Friday, 28 November 2008
The Nut Graph, 26 Nov 08
By Sisters in Islam


( from SIS website :
http://www.sistersinislam.org.my/ )



SIS semakin lantang dalam menjalankan agenda songsang mereka untuk merosakkan umat Islam di tanah air kita MALAYSIA. Perbuatan menghina islam serta majlis fatwa ulama’ adalah sangat tidak bermoral. Malahan mempertikaikan fatwa yang telah dikeluarkan oleh majlis fatwa ulama’. Membuat statement yang bukan-bukan menambahkan lagi ketidak cerdikan SIS dalam menafsir hukum Islam. Sebelum ini mereka mempertikaikan hukum keluarga Islam, poligami dan sekarang yoga serta penkid. Selepas ini, entah apa lagi agenda yang mereka akan lakukan bagi memuaskan nafsu semata. Mereka tidak sedar akan perbuatan yang melampau ini lama-kelamaan akan membawa kepada kekufuran.


Tidak syak lagi, memang sudah terang lagi bersuluh golongan ini hanya menggunakan Islam sebagai topeng bagi menyesatkan umat Islam. Jangan buat-buat pandai dalam bab hukum hakam ini kalau tidak mendalami dahulu ilmu agama. Ilmu agama bukan boleh ditafsir-tafsir sesuka hati berpandukan logik akal sahaja. Di dalam agama Islam sumber rujukan, panduan, semuanya berasaskan al-qur’an dan as-sunnah. Ulama’ adalah tempat rujukan ilmu. Seseorang ulama’ tidak akan mengeluarkan sebarang fatwa mengikut hawa nafsunya. Semuanya kembali kepada dua sumber tadi. Maka, janganlah SIS ini memandai-mandai lagi nak mempertikaikan hukum yang datangnya dari sumber yang jelas dan nyata tidak boleh dipertikaikan lagi. Lepas satu, satu agenda untuk merosakkan pemikiran umat Islam dilakukan oleh golongan ini. Samaada mereka sedar atau tidak, mereka sebenarnya bukan fight with ulama’ but with Allah. Perbuatan yang sebegini adakah memberi keuntungan kepada Islam yang mereka katakan bahawa mereka mahu membela Islam. Semuanya dusta belaka. Bawa-bawa bertaubatlah wahai sekalian hamba Allah!


Kita dapat melihat betapa beraninya mereka menghina Islam. Jadi, wahai srikandi Islam! Wahai Muslimah! Di manakah kita ketika ini?? Siapakah yang akan menjawab kembali segala tohmahan yang dilemparkan?? Siapakah yang berani bangkit untuk menentang semula?? Ingatlah akan kata-kata saidina A’li bahawa:
“ kebenaran yang tidak bertanzim akan dikalahkan oleh kebatilan yang bertanzim”..
Jangan pandang kecil dengan perbuatan mereka yang lama kelamaan akan menjadi barah dalam masyarakat umat Islam. Kita perlu sedar kalau tidak kita siapa lagi yang akan menyelamatkan akidah umat Islam hari ini. Lihat berapa ramai yang sudah hanyut dengan kononnya “ jalan ke syurga” yang dibentangkan oleh mereka...
~ renungan bersama, ayuh srikandi kita mara ke medan juang! ALLAHU AKBAR!
Related Posts with Thumbnails
 

saffa@srar Copyright © 2009 Community is Designed by Bie