Wednesday, March 18, 2009

Menyelusuri Perjuangan Mereka…

3 Thanawi Bukhari ' 04 bersama guru kelas: Ustaz Damis

Baru-baru ini saya telah menyemak beberapa file di dalam pc yang telah banyak dan lama di dalam simpanan. Ketika sedang asyik menyusun file, saya tertarik untuk membaca satu artikel yang bertajuk “Penglibatan Muslimat Dalam Politik Tanah Air” dari manhal PMRAM. Kemudian saya membaca artikel yang lain dari manhal itu yang bertajuk “Halangan Dan Penyelesaian Perlaksanaan Islam Di Malaysia”. Apabila dilihat pada akhir kedua-dua artikel tersebut tertera nama ustaz Abd Ghani b Abdullah. Tidak syak lagi bahawa penulis itu adalah ustaz Abd Ghani! ( abuiffah pada pautan fikrah di blog ini) Kerana penggunaan author: darul-iffah pada file tersebut. Artikel yang pertama mengenai muslimat itu pula telah ditulis bersama dengan isterinya juga ustazahku iaitu ustazah Norazlina bt Zakaria.

atas: Ustaz Abd Ghani & Ustaz Zulkarnain
bawah: Ustaz Rusyaidi, Ustaz Mokhtar

atas: Ustazah Rohaya, Ustazah Siti Mekiah, Ustazah Hafsah
bawah: Ustazah Raudhah, Ustazah Siti Mekiah, Ustazah Mahani dan anak2

Sebelum ini saya hanya mengenali mereka sebagai seorang ustaz dan ustazah di SMIDU tanpa mengenali dengan lebih mendalam. Setelah membaca artikel tersebut barulah saya mengenali fikrah mereka secara mendalam. Ketika di sekolah saya telah ditaklifkan sebagai salah seorang AJK dalam Badan Dakwah Dan Rohani (BADAR) untuk beberapa tahun. Antara guru bimbingan adalah ustaz Abd Ghani. Saya sangat kagum dengan penampilan pasangan suami isteri ini. Mereka di antara yang me'wakaf diri’ dalam perjuangan.


kiri: ustaz abdullah, ustaz ayub(mudir), ustaz zulkarnain
kanan: ustaz abdullah, ustazah siti mekiah dan anak2


Tauladan kehidupan pejuang ini sebenarnya telah berlegar di hadapan mataku sepanjang tempoh pengajian di sana. Bermula satu permusafiran dan penghijrahanku ke bumi wakafan itu telah membuka luas minda dan fikiran untuk menjadi seorang pejuang agama Allah. Bagaimana kezuhudan yang ditunjukkan oleh para murabbi, Ketelusan untuk duduk dalam perjuangan, kesabaran, kekuatan dan kekentalan iman…jika dikenangkan boleh menitiskan air mata…tingginya pengorbanan kalian di mataku! Jika hendak menyelusuri setiap kisah guru-guruku sudah tentu berjela-jela jadinya. Belum masuk kisah ustaz Abdullah dan ustazah Siti Mekiah, ustaz Zainul Asri dan ustazah Mahani, ustazah Rohaya(BADAR), ustazah Hafsah(ibu tunggal) dan ramai lagi guru-guru yang pernah berkhidmat di sana. Jasa kalian amat berharga dan tidak mampu ku balas walau emas setinggi gunung!.apa yang dapat kunyatakan adalah:

Saya bangga menjadi anak didikan asuhan kalian!

Sehingga kini ruh perjuangan itu masih mengalir dalam setiap ruang jasadku. Walaupun sesekali ianya jatuh jua diruntun kelemahan diri, tetapi ‘bekalan’ dari kalian telah mendorongku untuk bangkit semula. Teruja rasa diri ini melihat semangat juang kalian yang begitu kental untuk terus istiqamah di jalannya. Mampukah aku untuk pergi sejauh itu?

kiri: Sir Jaafar / kanan: Al Fadhil ustaz Azizan (MB kedah), ustaz Ayub ( Mudir)

Doaku moga kekuatan dan semangat kalian itu dapat mengalir terus pada diri yang serba kekurangan ini. Walau tinggi nilainya, namun ku idamkan jalan itu. Akan ku usahakan jua untuk menggapainya lalu terus meletakkan kaki berusaha supaya dithabatkan langkah perjuangan ini. Langkah yang tidak akan berpatah balik walau bermacam mehnah dan tribulasi di hadapan..itulah perjuangan idamanku..perjuangan untuk meraih redhanya..~ fisabilillah~


wajah murabbi: ustaz Zainul Asri & Ustazah Mahani


wajah seorang muslimah yang kental...ustazah Rohaya

Sunday, March 15, 2009

Ightanim Khamsan!

Manfaatkanlah 5 masa sebelum datang lima masa:

Masa hidup kamu sebelum datang saat mati kamu,

Masa sihat kamu sebelum datang masa sakit kamu,

Masa lapang kamu sebelum datang masa sibuk kamu,

Masa muda kamu sebelum datang masa tua kamu,

Masa kamu kaya sebelum datang masa kamu ditimpa miskin.


{Hadis riwayat imam al hakim dan baihaqi dari ibnu abbar r.a. }


Pengajian umumi bagi muslimat yang disampaikan oleh sheikh rejab di jamie' Abu Nour

Masa
merupakan harta manusia yang paling berharga dimilikinya.
Tanda keredhaan Allah ke atas seorang hamba dengan masa menjadi seperti tentera di sisinya. Manakala tanda kemurkaan Allah ke atas hambanya pula adalah hilangnya keberkatan masa dan ianya menjadi raja bagi diri manusia itu, terus diperhamba oleh kejahilan diri. Hakikat kematangan dan umur seseorang bukannya diukur dengan panjang umur dan masanya tetapi dengan keberkatan pada masanya. Begitulah kepentingan masa yang perlu diambil perhatian bagi seorang muslim kerana Islam amat mengambil berat tentang masa dan menyeru manusia bahawa setiap detik masanya adalah amat berharga. Bagi menggambarkan kepentingan masa yang begitu besar nilainya di dalam Islam Allah s.w.t sendiri bersumpah dengan masa dalam firmanNYA :

“ demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan mal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kebenaran”.
(surah al-A’sr : 1-3)

Sebagai seorang pejuang Islam sangat perlu menitik beratkan tentang pembahagian masa agar masanya tidak berlalu tanpa perkara yang berfaedah. Ahli ilmu al kibar pernah berkata :

“ hak-hak masa itu tidak dapat digantikan, tetapi hak-hak pada masa itu boleh diganti”.

Maksud bagi kata-kata tersebut ialah jika seseorang meninggalkan puasa misalnya disebabkan oleh sakit maka dia boleh menggantikan puasa itu kemudiannya, ini menunjukkan bahawa hak-hak pada masa boleh diganti. Namun hak-hak masa tetap tidak boleh diganti…kenapa? Kerana masa yang telah ditinggalkannya tidak dapat dikembalikan semula.

Maka di sana sudah menjadi satu keperluan bagi seorang pejuang Islam bermujahadah untuk mendidik diri menghargai masa. Kita perlu sedar bahawa bagi seorang pejuang perlu berdepan dengan dua musuh utamanya iaitu dalaman dan luaran yang sentiasa meruntunnya untuk leka dan lalai di dunia dan mensia-siakan waktunya. Dua musuh itu ialah, hawa nafsu dan syaitan.Hawa nafsu adalah musuh yang mencabar bagi manusia kerana ia berada di dalam dirinya. Hawa nafsu adalah teman setia manusia yang sentiasa mendampinginya ke mana sahaja ia pergi. Namun hawa nafsulah yang bakal menghancurkan manusia jika ia tidak menghadapinya dengan mujahadah.

Beberapa tabiat buruk yang menjadi faktor kegagalan kita dalam menggunakan masa dengan sebaiknya sebagaimana yang dituntut oleh agama. Kita tidak mengetahui atau menyedari apa matlamat kehidupan kita di muka bumi ini?. Kenapakah Allah menjadikan kita di atas muka bumi ini?. Sikap malas, sambil lewa, tidak berdisiplin, sukakan kerehatan, leka, lalai, membuang masa dan sebagainya. Tidak mengetahui keutamaan-keutamaan dalam hidup di antara mana-mana perkara penting yang perlu diberi perhatian?. Dan mana pula perkara yang tidak penting yang perlu diketepikan?.

Pembahagian masa bagi setiap muslim

Setiap muslim mestilah tahu membahagikan masanya mengikut kewajipan yang tertanggung di atas bahunya. Seorang tokoh Islam abad ini, al-Imam asy Syahid Hasan al Banna berkata:

“ kita diperintahkan supaya mengguna dan membahagikan masa bagi empat tujuan”…

1. Untuk agama : iaitu melakukan ketaatan kepada Allah merangkumi yang wajib atau fardhu dan yang sunat-sunat.

2. Untuk diri : dengan mencari rezeki yang halal bagi menyara diri dan keluarga.

“ siapa yang berpetang dalam keadaan penat kerana bekerja/ berusaha dengan tangan sendiri maka ia berpetang dalam keadaan dikurnikan keampunan baginya”.
(Riwayat Imam at Tabhrani dari Ibnu Abbas r.a.)

3. Untuk orang lain : dengan berkhidmat kepada manusia dalam melakukan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat dan faedah bagi mereka. Sabda nabi sallallahu alaihi wasallam yang bermaksud:

“ sesiapa yang berjalan untuk keluar memenuhi hajat saudaranya ia seolah olah beriktikaf di masjidku ini (masjid nabawi) selama sebulan”.

4. Untuk kerehatan badan. Sabda nabi sallallahu alaihi wasallam yang bermaksud:

“ sesungguhnya badan kamu mepunyai hak ke atas kamu”.
(muttafaq alaih)

Ambillah contoh atau tauladan baginda sallallahu alaihi wasallam di mana baginda membahagikan masanya kepada beberapa bahagian, satu bahagian untuk ibadah, satu bahagian untuk manusia iaitu mengajar mereka dan satu bahagian lagi untuk diri baginda sendiri. Pejuang Islam perlu sedar dan segera bangkit, teguhkan keimanan terus menjaga masa di dalam hayatnya di dunia ini.

“ Allahumma aja’alana mimman yashtaghilluna auqatahum fi toa’atik. Allahumma aja’al waqta hujjatan lana, wala taj’aalhu hujjatan a’laina.”-amen.

~: Erti perjuangan pada memberi.:~

Thursday, March 05, 2009

Ruh Hidup Dengan Cinta & Kasihkan Rasulullah S.A.W


Bi Muhammad thobat lana al afraah..

Sedar atau tidak kita sekarang sudah menjengah ke bulan baru Islam iaitu bulan Rabi’ul Awwal. Di antara sejarah penting yang mesti diingati bagi semua umat Islam adalah tarikh kelahiran junjungan mulia baginda nabi Muhammad sallalahu a’alaihi wasallam. Namun di sana bukanlah dengan memperingati tarikh kelahiran baginda sahaja dan yang paling penting adalah sejauh mana kasih dan cinta yang telah kita curahkan tanda sanjungan kepada pengorbananNya. Bersungguhkah kita mengenali serta menghayati sirah perjuangan serta sunnahNya? Apakah bukti kasih dan cinta kita itu? Jangan tidak-tidak! Bukti sebenar tanda kasih dan cinta kita kepada Rasulullah adalah dengan mempelajari, mempertahan dan mengamalkan sunnahNya. Jika kita boleh bergadai harta benda dan mempertaruh nyawa demi orang yang dicintai, mengapa kita tidak sanggup berbuat demikian demi kasihkan rasul. Apabila disebut kasih dan cinta kepada rasullullah ianya tidak lari dari kehendak agama. Saya teringat akan sebuah nasyid yang pernah didendangkan oleh sebuah kumpulan nasyid ketika di Sek. Men Darul Ulum dahulu. Nasyid yang sangat sesuai untuk diajar kepada anak-anak kecil bagi mengenal Islam dan erti cinta, kasih dan sayang yang sebenar di dalam Islam. Liriknya begini,

Satu, satu..sayang, sayang Allah


Dua, dua...sayang Rasulullah


Tiga, tiga...sayang ibu-ayah


Satu, dua, tiga sayang semuanya...


Jika kita hayati liriknya yang amat ringkas ini ia mempunyai makna mendalam serta itulah ajaran Islam yang sebenar. Islam mengajar umatnya seupaya meletakkan Allah yang utama kemudian Rasulullah, ibu-bapa dan seterusnya kasihkan sesama manusia serta makhluk selainnya. Anak-anak perlu diajar dari kecil supaya mengasihi Allah dan rasulnya. Nasyid bukan sekadar untuk berhibur tetapi ianya dijadikan medium mesej penyebar dakwah kita. Sebenarnya untuk menanam ruh kecintaan yang mendalam kepada Allah dan rasulullah perlulah bermula dari dasarnya. Seseorang yang telah dididik dan ditarbiah dengan ruh Islam dari kecil lebih mudah dibentuk menggunakan acuan Islam. Apa yang paling merisaukan di akhir zaman ini adalah kebejatan maksiat yang berleluasa tanpa menghiraukan batas-batas agama. Ke mana perginya perasaan malu yang dituntut oleh Islam? Islam pada perihal umatnya sekarang yang tinggal hanya pada nama dan tidak menjadi cara hidup serta panduan. Kehidupan seharian dan perkara ibadah di dalam agama diasingkan. Manusia sekarang sudah ramai yang tersimpang jauh dari landasan sebenar seperti yang telah diajarkan oleh rasulullah SAW. Jangan bicara soal cinta dan kasihkan rasulullah jika kita tidak pernah mengamalkan sunnahNYa.


Seorang yang beriman pasti akan rindu untuk bertemu dengan kekasih ALLAH itu. Sentiasa berusaha mengharap dan mendamba saat paling indah tika bersua denganNya. Seperti kata pujangga “tidak kenal maka tidak akan cinta”. Jika tidak kenal akan rasullullah bagaimana akan timbulnya rasa cinta kepadanya? Tanda kasih dan cinta kita bukan sekadar membuat majlis dengan sambutan besar-besaran bagi memperingati hari kelahiran baginda malahan perlu lebih dari itu. Ikuti sunnahNya dan amalkan dalam kehidupan seharian kita. Nescaya berbahagialah kehidupan kita di dunia dan di akhirat sana.



Sedarlah bahawa dunia ini tempat beramal sedangkan akhirat adalah wawasan kita. Berselawatlah kepada Rasulullah sebagai tanda kasih dan cinta kita kepada baginda juga bagi menghidupkan ruh yang sentiasa kering-kontang ini. Bumi yang kemarau tidak akan subur tanpa siraman air. Begitu juga ruh dan hati yang kotor perlu disirami dengan air iman.


Semoga kita sama-sama memperolehi kemanisan iman~ A’la hubbun Nabi Sallallahu a'laihi wasallam..Sollu A’laihi wa sallimu tasliimaa.

Tuesday, March 03, 2009

Sumbangsih Tinta Ukhti

Assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh..
Keharibaan adindaku, jauh nun di syria sana... kudoakan semoga dirimu sentiasa berada dalam rahmat Allah Azza waJalla. Beberapa purnama telah berlalu pergi, hari dan minggu terus berganti, usia kita kian bertambah menghampiri bilangan ketetapan ajal. Yang berlalu biarkan ia menjadi kenangan jua pedoman untuk menyempurnakan amanah kehidupan yang terus mendatang. Permusafiran jauh telah adinda tempuhi, dan sudah pasti sepanjang pengembaraanmu ini telah kau temui pelbagai pengalaman baru yang bisa membuakaluas ruangan minda dan hati.

Baarakallahu lakuma fil khair...

Kedewasaan ini ujian yang hadir semakin berbeza menuruti irama usia keberadaan kita. Oleh itu, cekalkan hatimu untuk melantik “ilmu” dan “akalmu” dalam tiap tindakan sebagai “ketua” dan “raja”. Biarkan nafsu diperhamba... Dirimu, adindaku.. telah berada dalam dunia baru. Harus kau sedari, punya jutaan hati yang berahi untuk menuntut di bumi barakah seperti yang didiamimu. Sering kejutkan hati, moga ia terjaga dari alam mimpi bahawa dirimu amat bertuah! Tuntutlah ilmu dengan sebaiknya. Ummah mengharap wahai adindaku, mengharap kepulangan cendekiawan Islam yang dapat menjadi pelita, penerang kegelapan kejahilan. Ambillah segala peluang yang ada di hadapan matamu. Sehingga kau punya kemahiran yang jitu. Ingat! Kita kini kepupusan ulamak amilin..jika bukan kita, siapa lagi??? Al-haqirah walfaqirah wazzalilah,

Hafizah addeen.

  • Warkah kakanda yang sekian lama tersemat dalam khazanah memori ku.. Terima kasih duhai ukhti. Baarakallahu fiik..

Friday, February 27, 2009

“ A’llamal Insana Ma Lam Ya’lam”

Hamzah dan umar yang comel ;-)

Semalam saya berkejar-kejar menguruskan urusan kerja ittihad kerana keesokannya(hari ini) kedai kebanyakannya akan tutup. Jadi untuk mengelakkan sebarang kemungkinan saya perlu menyiapkan semua kerja itu semalam. Antara tempat yang saya pergi ialah kedai alat tulis yang biasa saya pergi. Kedai seorang ammu yang baik hati. Hehe. Boleh jadi bapa angkat tu...layanan yang diberikan kepada pelanggan memang memuaskan. Dalam keadaan saya yang sedikit kelam kabut kerana sudah masuk waktu maghrib telah membawa sekali ammu itu dalam kelam kabut juga. syukran ya amm.

sallatah fawakeh..

Sebelum itu saya perlu print file yang hendak difotokopi. Saya telah meminta khidmat dari ammu untuk membantu saya. Tetapi keadaan ammu yang agak sibuk melayan pelanggan lain tidak mengizinkannya untuk membantu saya. Dia meminta agar saya uruskan sendiri di meja komputernya. Alhamdulillah, akhirnya selesai juga urusan saya. Semasa mengira untuk membayar jumlah bagi kesemua barang, sempat juga saya berbual ringkas dengan ammu ini. Katanya kepada saya a’llamal insana ma lam ya’lam. Subhanallah! Saya sangat gembira dengan ayat al-qur’an yang disebutkan olehnya. Kerana itulah jawapan bagi persolan yang saya sedang fikirkan dua-tiga hari sebelum itu. Diajarkan manusia apa yang ia tidak ketahui. Ayat itu sangat bermakna buat saya ketika ini. Kerana memang itu yang saya fikirkan. Akhirnya jawapan itu terkeluar dari bibir seorang pak cik di kedai alat tulis. Seolah-olah dia tahu apa yang ada di dalam minda saya. Namun semuanya kembali kepada Allah. Allah lah yang bisa menggerakkan hati hamba-hambanya.

Sudah tentu anda tertanya-tanya apakah soalan yang difikirkan bagi jawapan tersebut. Begini kisahnya, sebelum ini saya pergi ke rumah anisah (ustazah) khas untuk membaca al-qur’an dan belajar tajwid. Anisah mempunyai anak kembar lelaki yang comel berumur lingkungan 3-4 tahun. Namanya Umar dan Hamzah. Jadual saya belajar dengan anisah adalah 3 kali seminggu. Hendak dipendekkan cerita sebelum pulang dari rumah anisah, dia telah menjamu saya sallatah fawakeh( koktel buah-buahan).

aiskrim tumbuk Syria..

Pagi itu Umar dan Hamzah bangun awal kerana tahu khalahnya datang belajar qur’an. Asyik mengacau mamanya mengajar khalah sahaja. Sibuk juga untuk bercakap bersama mereka. Semasa saya menjamah koktel bersama mamaanisah, anak-anaknya juga duduk bersama kami. Umar diam sahaja duduk di sebelah ibunya untuk disuapkan koktel. Tetapi hamzah sudah bising untuk menyuap sendiri koktel tersebut. Asyik merengek selagi tidak dapat apa yang dihajati. “a’thini, aakal bi aidii..” itulah yang diulang-ulangnya beberapa kali. Comel sekali bunyinya mendengar baby arab bertutur agak pelat dalam bahasa arab.

bermacam2 jenis juadah..,tunjuk je nak yang mana!

Saya hanya memerhatikan gelagat hamzah kerana dia pemalu orangnya. Setiap kali saya datang ke rumah mereka, tidak pernah mereka mahu bercakap dengan saya. Hanya senyuman sahaja yang dibalas dari pertanyaan saya. Apa yang saya fikirkan dari perbuatan anak fitrah itu ialah bagaimana proses seorang manusia? Dari lahir, bayi dan seterusnya membesar sehinggalah kita kembali menghadapNYA. Proses yang akan melalui pelbagai perkara dan keadaan. Bagaimana saya boleh begini? Dari tidak tahu menjadi tahu. Dari tidak boleh membaca boleh membaca. Tidak lain tidak bukan, Allah lah sumber segala-galanya. DIA lah yang mengurniakan segala kebaikan buat kita. Benarlah kata-kata bahawa jauh perjalanan luas pengalaman.

~ moga dibukakan pintu khazanah ilmuNYA-amin~

Monday, February 23, 2009

Kisah Perempuan Miskin, Lembu Tua Dan Gaza

Lokasi kisah benar ini berlaku di salah sebuah daerah di Yaman dan ianya terjadi dalam bulan Januari lalu.


Kisah penderitaan dan keperitan yang dilalui oleh penduduk Gaza tersebar ke seantero dunia. Semua marah, benci, kesumat dan mendidih pedih. Lebih banyak yang terasa sayu dan terharu apabila kanak-kanak kecil nan comel menjadi korban muntahan peluru dan darah membasah bumi tanpa henti.


Tragedi dasyhat ini juga sampai juga ke pengetahuan seorang perempuan tua yang hidup miskin di salah sebuah kampung di Yaman. Sama seperti orang lain, dia juga turut sedih dan pilu sehingga berjurai air mata. Lantas suatu hari, dia berazam sedaya upaya untuk cuba membantu sekadar mampu. Kebetulan , 'harta' yang dia ada hanyalah seekor lembu tua, terlalu uzur, kurus dan sudah tidak bermaya. Dengan semangat tinggi dan perasaan simpati amat sangat, dia berhajat menyedekahkan lembunya itu kepada penduduk Gaza lalu berjalan kaki dari rumah pergi ke salah sebuah masjid di Yaman sambil memegang lembu tunggal kesayangannya itu. Kebetulan hari itu Jumaat dan para jemaah sudah mengerumuni pekarangan masjid untuk melaksanakan ibadat tersebut.


Ketika itu, betapa ramai yang memerhati dan menyorot mata melihat gelagat perempuan tua nan miskin dengan lembunya yang berada di sisi luar masjid. Ada yang mengangguk, ada yang menggeleng kepala. Tanpa kecuali ada juga yang tersenyum sinis malah terpinga-pinga melihat perempuan miskin itu setia berdiri di sisi lembunya.

ni lembu kat syria..;-)

Masa berlalu, jemaah masjid walaupun khusyuk mendengar khutbah imam namun sesekali memerhati dua mahkhluk tuhan itu. Perempuan dan lembu itu masih di situ tanpa ada cebis rasa malu atau segan diraut wajah. Setelah imam turun dari mimbar, solat Jumaat kemudiaannya dilakukan, biar dibakar terik mentari dan peluh menitis dan memercik di muka, perempuan dan lembu tua itu masih lagi di situ.


Sebaik selesai sahaja semua jemaah solat dan berdoa, tiba-tiba perempuan itu dengan tergesa-gesa mengheret lembu itu betul-betul di depan pintu masjid sambil menanti dengan penuh sabar tanpa mempedulikan jemaah yang keluar. Ramai juga yang tidak berganjak dan perasaan ingin tahu, apa bakal dilakukan oleh perempuan tua itu.


Tatkala keluar imam masjid, perempuan tua itu bingkas berkata :" Wahai imam, aku telah mendengar kisah sedih penduduk di Gaza. Aku seorang yang miskin tetapi aku bersimpati dan ingin membantu. Sudilah kau terima satu-satunya lembu yang aku ada untuk dibawa ke Gaza, beri kepada penduduk di sana." Gamam seketika. Imam kaget dengan permintaan perempuan itu namun keberatan untuk menerima. Ya, bagaimana nak membawa lembu tua itu ke Gaza, soal imam itu. Keliling-kelalang para jemaah mula bercakap-cakap. Ada yang mengatakan tindakan itu tidak munasabah apatah lagi lembu itu sudah tua dan seolah-olah tiada harga.

kambing biri2 ini akan "botak" bila nk raya haji..

"Tolonglah..bawalah lembu ini ke Gaza. Inilah saja yang aku ada. Aku ingin benar membantu mereka," ulang perempuan yang tidak dikenali itu. Imam tadi masih keberatan.Masing-masing jemaah berkata-kata dan berbisik antara satu sama lain. Semua tertumpu kepada perempuan dan lembu tuanya itu. Mata perempuan tua yang miskin itu sudah mula berkaca dan berair namun tetap tidak berganjak dan terus merenung ke arah imam tersebut. Sunyi seketika suasana. Tiba-tiba muncul seorang jemaah lalu bersuara mencetuskan idea:" Tak mengapalah, biar aku beli lembu perempuan ini dengan harga 10,000 riyal dan bawa wang itu kemudian sedekahkanlah kepada penduduk di Gaza. Imam kemudiannya nampak setuju. Perempuan miskin yang sugul itu kemudian mengesat-ngesat air matanya yang sudah tumpah. Dia membisu namun seperti akur dengan pendapat jemaah itu.


Tiba-tiba bangkit pula seorang anak muda, memberi pandangan yang jauh lebih hebat lagi:"Apa kata kita rama-ramai buat tawaran tertinggi sambil bersedekah untuk beli lembu ini dan duit itu nanti diserahkan ke Gaza?" Perempuan itu terkejut, termasuk imam itu juga. Rupa-rupanya cetusan anak muda ini diterima ramai. Kemudian dalam beberapa minit bidaan itu pun bermula dan ramai kalangan jemaah berebut-rebut menyedekahkan wang mereka untuk dikumpulkan. Ada yang membida bermula dari 10,000 ke 30,000 riyal dan berlanjutan untuk seketika. Suasana pekarangan masjid di Yaman itu menjadi riuh, apabila jemaah membida 'bertubi-tubi' sambil bersedekah.


Akhirnya lembu tua, kurus dan tidak bermaya milik perempuan tua miskin itu dibeli dengan harga 500,000 riyal (sekitar RM500,000.00)! Semua melalui bidaan para jemaah dan orang ramai yang simpati dengan penduduk Gaza termasuk niat suci perempuan miskin itu. Paling manis, setelah wang itu diserahkan kepada imam masjid itu, semua sepakat membuat keputusan sambil salah seorang jemaah bersuara kepada perempuan tua itu. "Kami telah membida lembu kamu dan berjaya kumpulkan wang sejumlah 500,000 riyal untuk memiliki lembu itu. "Akan tetapi kami telah sepakat, wang yang terkumpul tadi diserahkan kepada imam untuk disampaikan kepada penduduk Gaza dan lembu itu kami hadiahkan kembali kepada kamu," katanya sambil memerhatikan perempuan tua nan miskin itu kembali menitiskan air mata...gembira.


Tanpa diduga, Allah mentakdirkan segalanya, hajat perempuan miskin itu untuk membantu meringan beban penderitaan penduduk Palestin akhirnya tercapai dan dipermudahkan sehingga berjaya mengumpulkan wang yang banyak manakala dia masih lagi terus menyimpan satu-satunya 'harta' yang ada. Subhanallah.


Justeru, iktibarnya ialah segala niat murni yang baik sentiasa mendapat perhitungan dan ganjaran Allah apatah lagi ianya datang daripada hati kecil seorang yang miskin yang mahu membantu umat islam yang menderita akibat dizalimi rejim zionis israel biarpun diri serba payah dan serba kekurangan.




(Kisah ini telah disusun semula daripada cerita Timbalan Mursyidul Am PAS Dato' Haron Din kepada Harakahdaily melalui kisah benar yang dipaparkan di sebuah majalah Arab)

• Saya juga telah mendengar kisah ini dari salah seorang muslimat Hamas yang saya temui sebelum ini. Kisah ini diambil sebagai tauladan bersama..bisa menitiskan airmata bagi insan yang dapat menyelaminya..mari koreksi diri, di tahap manakah kita??

P.s- teruskan sumbangan anda kepada penduduk palestin..pastikan kepada pihak yang bertanggungjawab..sambil tu, BOIKOT barangan Yahudi laknatullah.

Related Posts with Thumbnails
 

saffa@srar Copyright © 2009 Community is Designed by Bie