Tuesday, April 06, 2010

Di Sebalik Kisah Hijab

Suatu pagi saya dan ahli bayt mengikuti talaqi khususi kitab Qawa’id Fiqhiyah bersama anisah Ummu Ammar yang diadakan pada setiap minggu. Selepas selesai waktu kelas, kami memerhatikan cara anisah memakai hijabnya. Seolah-olah dibelit-belitkan dari leher dan kepala lalu ditarik ke bahagian depan untuk menutupi wajahnya. Kelihatan agak rumit namun bagi anisah ianya sangat mudah kerana sudah menjadi kebiasaan. “ kamu mahu melihat caranya?, begini…dan begini…” kata anisah. “ aiwah, begitu..rupanya..” jawab kami serentak sambil kepala dianggukkan tanda faham.

Anisah bertanya kepada kami, “ cantikkah?”. Saya Cuma mengangguk. Jawab anisah, “ oh tidak !, sebenarnya saya lagi suka melihat cara kamu (Malaysian) berhijab dengan tudung labuh menutupi kepala dan dada kamu dan itulah yang terbaik.. saya sangat iri hati melihat kamu boleh memakainya! ”. bayangkan selama ini saya fikir muslimat di sini tidak kisah dengan hijab yang mereka pakai namun ianya merupakan satu kehilangan yang sangat besar bagi mereka. Hijab itulah maruah muslimat yang perlu dipertahankan. Namun pihak kerajaan yang zalim dan tidak melaksanakan syariat Islam telah merampas hak kebebasan berpakaian bagi muslimat di sini. Inilah hasil dari pemerintahan yang jatuh ke tangan orang yang tidak beragama dan bukan ahlinya. Lalu rakyat terutamanya yang beragama Islam tidak bebas lagi untuk melaksanakan syariat Allah. Segenap kehidupan dikawal oleh system dan undang-undang yang jelas menentang undang-undang Allah yang telah dinyatakan di dalam al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah SAW.


Belum lagi kita masuk soal berpakaian lengkap menurut syariat Islam. Kadang-kadang saya pernah diminta untuk menemani rombongan yang datang dari Malaysia untuk berziarah di sekitar syam. Apabila dibawa ke masjid Umawi untuk menziarahi sekitarnya sudah tentu ada di kalangan ahli rombongan yang tidak lepas untuk masuk ke dalam masjid dengan pakaian yang dipakai olehnya. Lalu pihak masjid menyuruh untuk memakai baju khas yang disediakan kepada non muslim untuk memasuki masjid oleh kerana pakaian yang dipakai “tidak cukup syarat”. Alangkah sedihnya melihat keadaan umat ini setelah Rasulullah SAW datang membawa Islam dan sinar kebenaran lalu seluruh alam ini diterangi oleh cahaya keimanan kini kembali menuju kegelapan dan kerosakan.


Kita perlu sedar dan insaf akan kefasadan yang berlaku ini adalah menjadi dosa kepada kita kerana amanah untuk menegakkan syariat Allah itu terpundak di atas bahu semua muslimin dan muslimat. Bagaimana musuh-musuh Islam mahu takut dan gentar melihat kita jika umat Islam sendiri tidak cukup kekuatan dalaman dan luaran?. Kita sering bercita-cita untuk mendapatkan kemenangan namun tuntutan dan syariatnya tidak dilaksanakan.


Sebagai umat Islam kita perlu menjaga dan mengambil berat akan dua perkara yang akan menyebabkan kehancuran jika tidak diberi perhatian iaitu;


1- Hal ehwal wanita
2- Ekonomi atau harta


Allah SWT berfirman, “ Inni ma’kum..” itu bukan secara percuma tapi dengan bersyarat iaitu apabila hambanya “ mendirikan solat, berpusa Ramadhan, menunaikan zakat dan beriman kepada rasul-rasul utusanNYA…”. Bagi umat Islam telah diaturkan dan disediakan panduan untuk segenap kehidupannya iaitu bersamanya al-Qur’an, sunnah Rasulullah, manhaj dan Agama.


Kita perlu mengetahui bahawa pakaian bagi muslimat adalah 1 juzuk dari agamanya iaitu juzuk yang tidak bercerai dari agamanya, bahkan ia menjadi “ibadah khusus” bagi muslimat. Ditambah lagi bahawa setiap cm dan ukuran dari pakaian muslimat itu menunjukkan agamanya. Jadi ini menunjukkan bahawa diri wanita itu keseluruhannya amat berharga. Wanita berbeza dengan lelaki kerana pakaiannya adalah ibadah kerana dari wanitalah punca berlakunya fitnah lalu menyebabkan zina. Sepertimana ayat al-qur’an yang dimulakan dengan “ penzina di kalangan wanita dan penzina di kalangan lelaki..” ini menunjukkan wanita adalah mukadimah kepada berlakuknya fitnah. Jika wanita menjaga cara berpakaian dan menutup aurat maka amanlah kehidupan ini dan pintu fitnah berjaya ditutup dengan ketaqwaan dan keimanan.


Di antara syarat-syarat menutup aurat menurut Islam pakaian itu mestilah;


1- Longgar dan luas tidak sempit
2- kain tebal tidak nipis sehingga menampakkan aurat dari warna kulit dan bentuk tubuhnya.


Realitinya bagi lelaki tiada syarat-syarat khusus seperti wanita untuk berpakaian namun tidaklah sehingga menzahirkan auratnya. Maka jelaslah bahawa pakaian muslimah adalah sebahagian dari agamanya yang menunjukkan peribadi muslimah solehah, mukminat, muhsinat dan at-thoiyibat. Rasulullah SAW juga bersabda;


" ... فاتقوا الدنيا واتقوا النساء.."
" bertaqwalah kamu dari dunia dan wanita..”


Muslimah perlu sedar bahawa pakaiannya merupakan mahkota dan suatu kemegahan menunjukkan dirinya berbeza dari wanita musyrik dan kaum lelaki. Ianya merupakan penjagaan khusus yang dikurniakan oleh Allah bagi menjaga dirinya dan agamanya.

Jika kita mengatakan bahawa mahu berpakaian mengikut waqi’e ( reality ) namun kita perlu mengetahui maksud waqi’e menurut Islam iaitu waqi’e yang dilihat itu kemudian panduannya adalah dengan mengikut syariat. Syariat tidak akan mengikut waqi’e tetapi waqi’e yang akan mengikut syariat. Jika reality yang ada itu adalah menunjukkan kefasadan adakah patut kita mengikutinya untuk menjadikan diri kita membumi dengan keadaan tersebut?.


Imam al-Qurtubiy pernah menyebut bahawa “ di dalam perkara agama ini (hukum-hukum) tidak ada pandangan peribadi, sesungguhnya ilmu agama ini perlu dilihat daripada siapa dan apa sumbernya..dalam agama ini tidak ada menurut hawa nafsu tidak menurut “waqi’e murr” ( reality yang tidak baik) maka ianya (waqi’e murr ) perlu ditukar..”. ini menunjukkan bahawa bukan agama yang perlu diringan-ringankan tetapi keadaan yang tidak menurut kehendak agama itu perlu diubah memandangkan soal pakaian wanita muslimah ini merupakan sebahagian dari agamanya.


Banyak hadis yang telah direkodkan di dalam kitab-kitab hadis menceritakan bahawa menutup aurat ini adalah wajib dan ianya merupakan sunnah para ummahatul mukminin dan solehaat. Sehingga diceritakan bahawa muslimah solehah ini dia tidak mengenali lelaki dan tidak dikenali kerana memakai pakaian menurut syariat dan menjaga akhlaknya. Dia tidak mudah bergaul dan bercampur dikhalayak tanpa menjaga agamanya. Pakaian dan akhlaknya menjadi perisai dan pelindung diri dari terus dinodai kesuciannya dan jatuh ke dalam kefasadan.


Jagalah peribadimu duhai muslimah, peliharalah kesucianmu agar dikau dilihat suci dan mulia di mata makhluk dan menjadi insan bahagia di dunia dan akhirat dengan menjadi kekasihNYA. Bukanlah kehidupan dunia ini hanya untuk mengecap segala nikmatnya, namun dunia ini untuk menanam pohon amal dan akhirat negeri abadi untuk kita menuai hasilnya. Teringat pesan Murabbi, “ dunia ini tempat dukacita, akhiratlah tempat kebahagiaan!”. ~

Wednesday, March 31, 2010

Inginku tangisi..kiambang kembali bertaut!



Pertemuan kami akhir-akhir ini sedikit sebanyak membuahkan bibit-bibit ukhuwah bagai kuntuman mekar yang harum mewangi. Kemanisan ukhuwah itu kian terasa, semakin erat menyimpul dan meresapi ke seluruh jiwa dan jasad kami. Apa yang dapatku nyatakan adalah saya sangat sayangkan kalian..sahabat-sahabat seperjuanganku, seaqidahku… we’re everlasting family!

Hari itu Syida menceritakan masalahnya kepada kami. Walaupun saya sebenarnya kurang rapat bergaul dengannya namun kami tetap seangkatan. Saya sangat terharu di atas musibah yang menimpanya. Ketika itu saya terasa bagaimana angkuh dan sombongnya saya dalam menilai erti ukhuwah. Saya sebagai saudara seagamanya telah membiarkan dia sendirian meredah kesulitan dan kesusahan dalam menempuh ujian yang di hadapinya. Namun apakan daya, itulah saya insan dhaif lagi hina.

Dalam pertemuan kami itu terhamburlah segala perasaan terpendam jauh di pelusuk hatinya yang selama ini sentiasa mengharapkan bantuan dari sahabat..titisan airmatanya itu bukan kerana dia kegagalan tapi bagi saya itulah tangisan seorang mujahidah!. Semoga airmata itu akan menjadi saksi kepada amal dan jihad yang dilakukannya selama ini. Ampunkanlah dosa-dosa kami Ya Allah…~

Memang benar bila kita menjadi pemimpin dan berada di tampuk kepimpinan itu banyak cabarannya. Bila kita berada di jalan kebenaran itu pasti akan ada penentangnya di kalangan kuffar dan munafiqun. Seterusnya yang paling penting untuk kita muhasabahkan bersama adalah pejuang agama Allah ini akan sentiasa diuji oleh Allah bagi menilai sejauhmana keimanan kita kepadaNYA.

Saya sering melihat dan memerhati bagaimana keadaan perjalanan sahabat dan teman ketika bersama dan masing-masing diuji dengan tahapnya, ada yang berjaya dan ada yang terjatuh. Semua yang berlaku itu menurut kehendakNYA namun, selaku hamba Allah yang telah ditaklifkan dengan akal dan fikiran maka kita perlu menggunakan kebijaksanaan kurniaan Allah itu dengan sebaik-baiknya.

Kali ini Nurul juga kelihatannya seperti menanggung kesulitan itu sendirian. Saya cuba untuk membantu sekadar yang termampu bagi menyelesaikan ujian yang dihadapinya. Kami cuba berbincang dan munaqasyah bersama untuk membantunya. Alhamdulillah berkat kita sentiasa bersama menyebabkan hati-hati kita dapat bertaut walau terkadang ada yang terguris. Dalam perjuangan ini kita perlu jadi bak kiambang walau apa pun terjadi ianya pasti akan bertaut kembali. Itulah nilai ukhuwah Islamiyah yang kita inginkan. Walaupun ada khilaf antara kita, apabila di sana ada kebenaran itulah yang menjadi tempat penghubung antara kita.



Inginku tangisi lagi, bila saya melihat mereka diuji dengan rintangan perjuangan sedang saya masih di zon selesa ke mana akhirnya jalan saya ini?. Saya terus-menerus mahukan keinsafan ini benar-benar meresap ke segenap pemikiran dan tindakan agar dapat memperolehi RedhaNYA~. DOAKANLAH DAKU….

Saturday, March 13, 2010

Fikrah Muslimah Mujaddidah


Setelah membuat beberapa kajian dan membaca bahan bacaan mengenai hal-hal yang berkaitan dengan wanita dan muslimah terutamanya, suka saya kongsikan bersama sahabat semua diruangan ini. Segala pandangan lebih menjurus kepada tanggungjawab dan usaha para da’ie untuk melebarkan lagi sayap dakwah yang sedia dimaklumi bahawa perjuangan ini merupakan lanjutan daripada gerakan yang dipimpin oleh Rasulullah sallallahu alihi wasallam. Oleh kerana itu ia mestilah mengambil kira apa yang dilakukan oleh junjungan besar nabi Muhammad sallallahu alaihi wa sallam iaitu Rasul terakhir.

Melihat dari pengalaman dan fenomena yang berlaku masakini dengan kebobrokan peradaban, sahsiah, ekonomi dan segenap kehidupan manusia yang sudah jauh menyimpang dari fitrah kehidupannya. Agama Islam adalah fitrah kehidupan yang perlu difahami dan dipelajari agar penganutnya beragama mengikut syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Namun, apa yang berlaku adalah kepincangan dan kebobrokan ummah yang terus menerus menjerumuskan diri kepada kefasadan dan kekufuran.

Saya tidak perlu melihat jauh cukuplah melihat kepada keadaan massa di tanah air tercinta Malaysia. Bagaimana keadaan umat Islam yang sudah mati roh dan hatinya dengan suntikan ideology dan isme-isme dari orientalis dan kaum kuffar. Tidak perlu lagi dihantar kepada kita tentera-tentera untuk menjajah bumi kita tetapi cukuplah dengan mereka menghantar Britney spears, esok kita bangun dari tidur anak-anak kecil dan remaja-remaja semuanya sudah menjadi Britney!. Masya Allah.

Cuba kita perhatikan kisah seekor monyet yang sedang memanjat pokok kelapa. Kemudian datang kepadanya angin kencang lalu menggoncangkan pohon itu namun sang monyet tetap berpaut kemas di pohon kelapa dan tidak terjatuh. Kemudian datang pula angin yang bertiup lembut sehingga menyebabkan sang monyet terleka lalu melepaskan tangannya. Kemudian jatuhlah sang monyet dengan 1000 penyesalan.

Scenario yang berlaku di Malaysia juga begitu. Kita sekarang sedang diserang oleh kaum kuffar dengan serangan yang begitu halus sehingga menyebabkan kita tidak sedar akan kehadirannya. Akhirnya apa yang telah terjadi kepada umat Islam kini adalah kesan dari kesenangan hidup yang menempahkan kita ke lembah kehinaan. Bak kata Fadhilatu Sheikh Usamah ar-Refa’I Hafizahullah di dalam khutbah jumaatnya yang bertajuk ad-Difa’ A’nil Usrah al-muslimah ( mempertahankan keluarga muslim) ; “ Wanita sekarang sudah tidak ada malunya mereka menjadi seperti binatang ternakan (kambing) yang berjalan di tempat awam tanpa berpakaian malahan lebih teruk dari itu!”. Segala kerosakan ini adalah balasan dari dosa dan maksiat yang terlalu berleluasa dilakukan oleh manusia yang kufur dengan nikmat Allah. Manusia kini lari dari fitrahnya iaitu ISLAM.

Saya masih meneruskan kajian ini terutamanya bagi menghadapi isu-isu di kalangan muslimah. Kerana saya merasakan ianya adalah tanggungjawab yang wajib dipikul sebagai penuntut ilmu Allah. Biarlah ketika ini ramai yang tidak memahami akan kewajipan ini. Suatu hari nanti saya yakin Allah akan membukakan pintu hati semua untuk menjadi pejuang dan tentera agama Allah. Perjungan ini bukan hanya dengan mengangkat senjata di medan jihad qital tetapi semua amal yang melibatkan gerakan bagi menjulang agamaNYA adalah jihad.

Di sini saya letakkan 2 bahan bacaan saya sekarang ini berkaitan dengan ahkam mar’ah dan fikrah bagi mengatasi ideology-ideologi yang teruk menghentam muslimat kini. Kita tidak perlu melihat kepada masyarakat umum cukuplah melihat sahabat dan kawan yang belajar ilmu syariah sendiri pun sudah ramai yang terkena virus-virus ideology kuffar ini. Menjadikan ramai yang ragu-ragu dengan agama dan pegangannya. Insya Allah, jika diizinkanNYA saya akan memperjuangkan kewajipan dan hak-hak muslimat mengikut ajaran Al-Qur’an dan As-Sunnah serta dalil-dalil dalam pensyariatan yang berbaki. Dalam ilmu usul fiqh dalil-dalil dalam pensyariatan terbahagi kepada 2 bahagian iaitu asas dan cabang. Ianya memerlukan perbahasan yang panjang di dalam ilmu ini. Saya akan mencuba dan terus mencuba lagi untuk mendalami ilmu Allah ini sehingga saya mampu mengamalkan ilmu dan menyampaikannya kepada semua. Semoga Allah memberikan rahmatnya buat kita semua. Amen.


1- Tajuk : Hak-Hak Dan Tanggungjawab Wanita Di Dalam Islam
Pengarang : Dr. Abdul Karim Zaidan
Cetakan : mussasah ar-risalah

Ianya memberikan pengertian dan pemahaman mengenai hak-hak dan tanggungjawab muslimat merangkumi perkara asal/ usul teori dan praktikal dengan begitu terperinci termasuk juga hak-hak kebebasan berfikir dan berhujah serta memberi pandangan dan pendapat di dalam perkara umum dan aqidah. Hukum-hukum, hikmah pensyari’atan, hak khusus bagi wanita secara peribadi dan keadaannya dengan masyarakat dan Negara. Semuanya di jelaskan di dalam buku ini.



2- Tajuk : Hukum-Hukum Berkaitan Wanita Islam (muslimat)
Pengarang : Dr. Nasywah El-I’lwaniy
Cetakan : dar maktabi dimasyq.

Membahaskan tentang hal-hal berkaitan wanita secara umum. Hukum-hukum wanita mengikut fiqhiyah secara umum seterusnya hokum di dalam perkara ibadat : toharah, solat, puasa dan I’tikaf, zakat & haji..kemudian membahaskan tentang undang-undang keluarga Islam : nikah, cerai dan sebagainya. Ada juga dibahaskan berkenaan hukum hudud.


• Kedua-dua kitab ini memberikan kupasan yang baik dan jelas bagi menjawab kembali segala fitnah dan dusta golongan yang mengatakan Islam menindas kaum wanita. Kerana setiap sesuatu dan kehidupan makhluk di bumi ini menjadi dalil akan kebesaran Allah SWT. Dan keimanan kita dibina daripada dalil-dalil maka wajarlah kita mengatakan kepada siapa yang mengkufurkan Allah dan syariatNYA; “ BAWAKANLAH DALIL-DALIL KAMU!”

“ Patutkah mereka menyembah tuhan-tuhan Yang lain dari Allah? Katakanlah (Wahai Muhammad): "Bawalah keterangan dan Bukti kamu; kandungan Al-Quran ini menjadi peringatan dan Bukti Tauhid umatku, juga peringatan dan Bukti Tauhid umat-umat Yang dahulu daripadaku". (kaum musyrik tidak mempunyai sebarang keterangan) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui mana Yang benar dan mana Yang salah, Dengan sebab itulah maka mereka berpaling ingkar”. ( AL-Anbiya’ : 24)

Salam perjuangan,
Tarbiyah agenda bersama!
Perantau akhirah di bumi Syam.

Sunday, February 21, 2010

Diari srikandi : dari Dataran Syam


Diari srikandi : dari dataran syam



“Telah hampir datangnya janji Yang telah ditetapkan oleh Allah, maka janganlah kamu minta disegerakan. Maha suci Allah dan Maha Tinggilah ia dari perbuatan syirik Yang mereka lakukan. Ia menurunkan malaikat membawa wahyu Dengan perintahNya kepada sesiapa Yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya (yang layak menjadi Rasul); (lalu ia berfirman kepada Rasul-rasul): "Hendaklah kamu menegaskan kepada umat manusia Bahawa tiada Tuhan melainkan Aku. oleh itu, bertaqwalah kamu kepadaku".
(Surah an-nahl : 1-2)


“ Dan tidak ada Yang lebih baik perkataannya daripada orang Yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal Yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!".
(surah fussilat : 33)



Barnamijuna fil u’tlah.. u’tlah I’lmiyah… wa barnamijuna fi ardhi Syam..hayatuna kulluha LILLAH..~


Hari sabtu, 20 feb 2010, yang bermanfaat :

2.45 p.m-5.30 p.m : Liqa’ Mahabbah HELWI (siswi)

hadiah yang saya dapat ketika bertukar hadiah di liqa' mahabbah..

5.30 p.m-7.15 p.m : dars Tauhid&Fikrah bersama Syeikhah Ummu Azhar (11 siswi)


7.30-10.30 p.m : Program Halaqah Cinta Al-Banna (jejak : pengenalan usrah/diskusi anjuran BPI) di rumah PPMS (semua ahli)

….~Syahid~….-…~Jihad~….

Thursday, February 04, 2010

Sanah Helwah..Untuk UMMAH

Saya sangat terharu dengan jasa baik sahabiyat (ahli bot) dengan ikatan ukhuwah bersama kalian. Ingatan kalian kepada insan serba kekurangan ini menambahkan lagi rasa sayang kepada kalian. Kita bersama-sama membina impian memecah tradisi lapok dan pandangan lemah kepada pelajar ilmu Islam. Sepatutnya kita perlu rasa bangga dengan Islam, bangga dengan tarbiyah kerana itulah jalan untuk menjadi mukmin yang dikasihi ALLAH.

TERIMA KASIH yang tidak terhingga buat yang mengingatiku mak dan ayah yang banyak berkorban, adik-adikku; anyah,achik,adik, ahli bot (Ruhul Jadid); k.bariah,k.pah,k.syah,lina,ema,yus,fa, sahabiyat seperjuangan Syria-Malaysia, tidak dilupakan sahabat iNpiRasiku…AM!

thank 2 my lil bro-opie & my beloved ahli bot!

Rasa gembira dengan kejutan yang dibuat oleh housemate untuk sambutan milad saya. Namun kerja Islam tidak akan kita tangguhkan. Dalam berseronok, bersembang dan sebagainya Islam dan amanahNYA sentiasa terungkap di bibir agar ianya menjadi satu kelaziman. Alhamdulillah dengan berkat tarbiyah, ahli bayt Ruhul Jadid akan mencipta dan membawa satu gelombang Muslimah Mujahidah Islam satu hari nanti, Insya Allah.

jangan biar diri dibelenggu oleh nafsu..!

bebaskan diri anda untuk mengejar cinta Allah..!

Amanah berat itu masih tetap terus dipertanggungjawabkan...
kitab (as-syafi'e) dr my lil bro, full time work 4 Ummah..
skrg research 4 muslimah & jihad..!



Dalam kehidupan ini kita selalu mencari sesuatu yang baru dan dapat mebahagiakan hati. Semua orang pasti menginginkan ketenangan dan kehidupan yang baik. Namun kehidupan yang paling baik adalah apabila kita dapat mengecapi husnul khatimah dengan kalimah “ Tiada Tuhan melainkan Allah”.

Itu yang saya tanam dalam pemikiran saya sekarang. Semoga dengan kesedaran (wa’ie) tentang Islam, ikatan ukhuwah Islamiyah yang ada ini dapat menguatkan lagi perjuangan Islam. Berjihad dengan pengertian Islam iaitu berdakwah kepada ajaran Islam, menentang kekufuran dan seterusnya menegakkan kalimah Allah yang haq. Yang dimaksudkan dengan pengertian itu ialah agar tertegaknya khilafah Islamiyah( Pemerintahan Negara Islam). Inilah cita-cita yang perlu ada dalam kamus kehidupan setiap mukmin yang sentiasa mengejar cinta Allah.~



Salam perjuangan untuk semua!












Monday, February 01, 2010

Halawatul Iman Dalam Perjuangan


Jika diperhatikan saya banyak menyentuh mengenai perjuangan dalam setiap N3 yang dipublishkan di blog ini. Penulisan saya ini bukan atas dasar semangat sahaja tetapi amat berharap agar ianya dapat dibincangkan bersama di ruangan ini. Kita perlu memahami bahawa perjuangan untuk menegakkan agama Allah ini bukanlah mudah sepertimana mengungkap kata-kata indah di dalam pertuturan. Hakikatnya, bagi menterjemah ke dalam kehidupan ianya memerlukan kesungguhan, kekuatan dan kerjasama dari semua pihak. Walaupun ada yang mengatakan bahawa saya ini boleh bercakaplah sedangkan saya belum benar-benar terjun ke medan dakwah dan perjuangan itu sendiri. Tetapi tidak salah jika saya menyampaikan fikrah dari pemahaman yang cetek dan ilmu yang sedikit ini untuk dikongsikan bersama.

Sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasulullah mana mungkin kita akan menolak kewajipan yang dituntut kepada kita. Di antara kewajipan kita adalah menjadi khalifah Allah di muka bumi. Kita menjadi khalifah yang menyeru manusia kepada mengesakan Allah dan meninggalkan segala sesuatu yang menyekutukan Allah. Inilah yang dikatakan konsep “Amar Makruf dan Nahi Mungkar”. A-Ma-Nah-Mu.

Di sana kita melihat bagaimana sikap-sikap para dai’e di dalam menjalankan amanah sebagai pendakwah ke jalan Islam ini. Tidak dinafikan bahawa pendai’e itu perlulah seorang yang mengetahui asal dan dalil hukum dan segala yang berkaitan dengan syari’at, tetapi para pendai’e itu juga perlu kreatif dalam menyampaikan risalah dakwah. Adakah boleh dikira untuk menjadikan dakwah kita lebih realistik dan membumi dengan kita melupakan prinsip-prinsip dakwah sebenar?. Bagaimana pegangan kita dalam mengamalkan Islam untuk segenap kehidupan kita?.

Jika kita mengatakan Islam adalah cara hidup kita, maka walau di mana kita berada di situ Islam akan dijunjung. Adakah apabila kita berusaha mengamalkan sunnah dengan mengikut sirah Rasulullah itu dikira sebagai mutasyaddidun (golongan yang berlebih-lebihan dalam beragama) sehingga menyebabkan mad’uu takut dan lari dari mendekati kita?. Bagi saya kita perlu jelas dengan apa yang di katakan golongan mutasyadidun dan golongan yang tasahul (bermudah-mudah dalam beragama). Kerana sebagai penda’i kita perlu mu’tadil (berlaku adil) dalam menyampaikan risalah dakwah kepada masyarakat. Adil yang dimaksudkan adalah meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya mengikut kesesuaian pada masa tersebut.

Di sini saya bawakan contoh bagaimana dakwah yang diajarkan oleh 2 murabbi unggul di Malaysia iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA) dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi (TGHH) sepertimana diketahui bagaimana rintangan dan cabaran yang dihadapi oleh tok guru kita dalam menakhodai perjuangan PAS. Bagaimana 2 murabbi ini boleh bahagia ke mana-mana saja dengan jubah dan serban malah sejak dari dahulu lagi inilah “uniform rasmi” 2 tok guru ini. Pada awalnya penampilan 2 tok guru ini dianggap sebagai“radikal” dan agak “keras” namun dengan kesabaran akhirnya bukan setakat orang Islam sahaja yang boleh menerima penampilan sebegitu malahan non-muslim pun sudah mengucup tangan tok guru kita.

Cuba kita perhatikan berapa lama tempoh ujian yang ditempuhi oleh tok guru kita sehingga mereka begitu disanjung dan disegani oleh ahli PAS dan pihak lawan. Dari pandangan ringkas ini mungkin sudah mampu memberikan serba sedikit gambaran cabaran kepada para da’ie. Kita tidak harus mudah mengatakan “tidak” selagimana kita tidak mencuba untuk melakukannya. Mungkin coretan saya ini agak pedas tetapi saya cuba untuk menyatakan kebenaran yang saya yakini akan kebenarannya.

Walau apa pun semuanya berbalik kepada fikrah da’ie itu sendiri. Kita perlu melihat semula apakah niat sebenar kita berdakwah?. Adakah ingin mendapat redha Allah atau redha manusia?. Apakah matlamat yang ingin kita sampaikan dan ke manakah halatuju atau ghayah kita?. Ada kaedah fiqhiyah yang disepakati oleh ulama dan sangat penting iaitu, “al-umur bi maqasidiha” iaitu setiap suatu itu bergantung dengan niatnya. Kaedah ini diambil daripada dalil hadis yang disepakati kesahihannya, “ al-a’maalu bi an-niat”. Akhir zaman ini Rasulullah SAW pernah menyebut di dalam hadis baginda dengan mafhum bahawa Islam akan kembali dagang pada akhir zaman. Maka, oleh yang demikian tidak mustahil cabaran-cabaran berat perlu ditempuhi oleh para da’ie yang ingin menegakkan Islam bermula dari dalam dirinya seterusnya kepada masyarakat.

Kalau setakat kita diejek atau dijadikan bahan gurauan yang tidak sampai diugut dan dicederakan itu apalah sangat jika mahu dibandingkan dengan perjuangan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW dihina, dicela, dimaki, dikhianati dan diperangi oleh saudara dan kaum kerabat sendiri dengan teruk sekali. Jauh sangatlah dengan ujian yang kita tempuhi ini. Kalaulah Rasulullah ini seorang yang “manja” sudah tentu Islam tidak akan sampai kepada kita semua pada hari ini. Nastagfirlana ya Allah~.


Kadang-kadang mungkin kita perlu menjadi perihal saidina Umar Al-Khattab dan kadang-kadang menjadi seperti saidina Abu Bakar as-Siddiq mengikut kesesuaian dengan keadaan mad’uu dan yang berkaitan dengannya. Dakwah kita perlu berhikmah iaitu cara yang digunakan adalah bersesuaian dan kena pada tempatnya. Antaranya lagi para da’ie menggunakan uslub memberi nasihat yang baik dengan apa yang disukai oleh orang ramai tentang kebaikan dan mereka bersedia menerimanya dan benci kepada kejahatan serta mereka akan menjauhinya.

Fikrah-fikrah di atas mungkin boleh kita jadikan muhasabah bersama dalam medan juang ini dan saya coretkan dengan ringkas agar kita dapat memahami bagimana halawatul iman itu akan dapat dikecapi di dalam perjuangan ini. Kemanisan iman tidak akan dapat dirasai dengan mudah tetapi ia hanya akan dapat dirasai dengan kita sabar menempuhi ujian sehingga Allah kurniakan kepada kita kemanisan Iman sehingga tidak dapat digambarkan akan betapa manisnya rasa IMAN!

“selalunya muslimah yang mengenakan hijab (bertudung) sudah tentu akan ditanya dengan soalan mengapa kamu berhijab?. Lalu jawablah dengan jawapan bahawa saya berhijab ini supaya orang akan melihat akal (pemikiran) sebelum melihat yang di dalam hijab saya”.- Dr Sheikh Alauddin el-hamwiy.

“sebagai murabbi kita perlu sentiasa bersabar dengan kerenah mad’uu kerana ada yang terus menerima dakwah kita dan ada yang susah malahan ada yang terus menolak..”- Sheikhah Ummu Azhar.

Catatan perantau akhirah,
Buat bekal menuju yang abadi,

saffa@srar.


Related Posts with Thumbnails
 

saffa@srar Copyright © 2009 Community is Designed by Bie