Friday, April 01, 2011

Degupan Jantungmu Pengubat Segala Rasa

Inilah pemberian dan kurniaan Allah yang tidak terhingga buatku dan suami tercinta. Anugerah cahayamata yang kian membesar di dalam rahimku ini. Apa yang kami dambakan semoga Allah sudi pandang kami dan terus mentarbiyah hati-hati kami agar tetap istiqamah di jalannya. Semoga usrah kami menjadi “ usrati jannati” yang di dalamnya tersemat kalam penawar dan penyejuk mata hati. Insya Allah.
















Syukran ya Habiby Albiy~=)

Duhai anakku, tiada yang terindah di dunia ini melainkan ummi dan abi dapat melihat dan menyentuhmu, mengucup dahi dan pipi gebumu nanti. Semoga anakku sihat dan sentiasa di bawah perlindungan dan rahmat-NYA. Pertama kali mendengarkan degupan jantungmu terus hilang segala rasa yang terpendam di jiwa ummi…

semasa bayiku berusia 2 minggu

Baru-baru ini saya ada bersembang dengan seorang senior yg berada di Syria melalui ruangan chatting YM. Alhamdulillah senior saya juga sedang menantikan kehadiran cahayamata pertamanya. Rupa-rupanya jangkaan tarikh kelahiran bayi kami dekat-dekat saja. Katanya, “tak seronokla sikit sebab baby lahir masa raya.. tak boleh makan makanan sedap-sedap..”. Jawab saya mudah saja kepadanya, “ takpe akak.. masa tu nanti kita dah x ingat kot makanan-makanan tu semua..tengok baby yang kat depan mata tu lagi sedap dari segalanya..”. Ada dah sifat keibuan ni kan..hehe =)

Apa-apa pun semoga kalian semua berbahagia walau di mana kita berada dan siapa kita asalkan semua yang kita lakukan mengikut garis panduan dan Redha Allah.~

Thursday, December 09, 2010

Indah Lukisan Dengan Warna



"Tiada namanya lautan jika ia tidak bergelora, tiada namanya bumi jika tidak ditimpa hujan dan tidak namanya kehidupan jika tiada masalah. Sebagaimana warna menyempurnakan lukisan, masalah pula adalah penyempurnaan kehidupan. Bersyukurlah, sekurang-kurangnya kamu masih hidup dan Tuhan masih mengambil berat dengan kamu, kerana itu dianugerahkan olehNya masalah. Buat kamu menajamkan lagi akalmu.Tenang dan rapatkan kedua tangan menadah doa mohon petunjuk kepada Allah swt. Kerana sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".

Moral: Kita seringkali mengeluh setiap kali kita dilanda masalah. Malah seringkali kita menyalah Tuhan kerana ditimpa musibah tanpa kita sedar bahawa ternyata musibah itu bukan saja untuk menyedarkan kita dari lena tetapi hikmah di sebaliknya adalah untuk menajamkan lagi akal kita.

Kita sebenarnya wajib bersyukur kerana setelah sekian lama dilimpahi nikmat, kita hanya diuji dengan sedikit musibah saja. Dan yang paling penting, kita masih lagi hidup, masih dapat memanjatkan doa dan memohon petunjuk dariNya,serta memohon ampun kepadaNya jika ada salah dan silap yang kita lakukan.

Kadang kala, musibah itu adalah peringatan untuk kita memuhasabahkan kembali diri kita tentang apa yang telah kita lakukan dan apa yang masih belum kita tunaikan.


" Kadang-kadang masalah dan ujian yang berlaku bukanlah untuk diselesaikan tapi untuk kita merubah sikap dan tingkahlaku ".

^_^ v


Tuesday, November 09, 2010

Jangan Kecil Hati


kenangan dari gabungan 3 keluarga

Berkali-kali saya memikirkan tentang pesanan seorang ukhti kepada saya satu ketika dahulu. saya perlu berusaha untuk menjadi insan yang berhati besar. beliau siap memberi pendapat dan menceritakan tentang beberapa icon seniorku untuk dijadikan contoh. sekali dengar nampak mudah saja. tapi agak payah untuk dilaksanakan. bukan mudah nak bagi hati ni jadi besar senang-senang macam tu saja. betul tak? agak-agak anda juga nak sokong saya atau saya ni seorang yang berhati kecil?. kalau ia benar jadi saya harapkan bantuan daripada sahabat-sahabat untuk memberikan nasihat dan pendapat agar dapat saya perbaiki kelemahan diri.

Apabila saya fikir-fikirkan terkadang dirasakan diri ini memang punya hati yang kecil. lemahnya seorang hamba yang selalu bercita-cita nak jadi mujahidah!. saya ada terbaca tajuk artikel di dalam sebuah majalah, " benci tapi rindu ". saya bertanya kepada suami, " ada juga ke orang yang benci tapi rindu?". suami menjawab, " ya, ada lah..". Saya biarkan topik soalan itu begitu saja. Baru-baru ini saya terfikir untuk membaca semula artikel tersebut. setelah membaca baru saya faham apa maksudnya...

kita perlu buang sikap negatif dalam diri. perlu sentiasa optimis dalam banyak perkara. sentiasa berfikir untuk memberi bukan hanya menerima. sentiasa memaafkan orang lain kerana kita juga sering melakukan kekhilafan. kerana kemaafan adalah keperluan jiwa dan emosi.

" Maafkanlah kesalahan pasangan kita sebelum episod hari itu berakhir. Jangan simpan dalam file di hati sanubari kita. Delete segera sebelum ia bertukar menjadi virus yang akan merosakkan rasa cinta, sayang, kemesraan dan kerinduan antara kita..".

" Jangan menempah sakit jiwa dengan sering menjangkakan sesuatu yang tidak mampu dan tidak sepatutnya dijangka. Sebaliknya, terima atau jangkalah sesuatu yang tidak dijangkakan ". -petikan dari artikel


saya amat kagum melihat insan-insan yang hampir dan berada dalam hidupku kini. mereka yang berhati besar, jiwa besar, semangat dan jiwa kental... namun, nun jauh di lubuk hati dan perasaan wanita itu siapa tahu?. kalau nak diikutkan hati dan rasa sakit yang ditanggung badan ini sudah tentu lama lagi tarik diri atau bunuh diri dari kehidupan ini. semua kesenangan dan kehidupan yang selesa tidak pernah dikecapi kerana semuanya telah dikorbankan untuk anak-anak dan keluarga tercinta. terkadang terpaksa melawan fitrah menjadi ketua rumahtangga menguruskan segala-galanya. kalau mereka boleh dan mampu untuk tabah begitu mengapa tidak saya?, anda, dan semua yang membaca entry ini.

bukan mudah nak dapat syurga Allah. jalannya penuh onak-duri, ranjau yang kadang-kadang tidak diduga. jadi, moralnya jangan jadi muslimat manja! ( ayat pimpinan muslimat terengganu di ijtimak). walaupun saya masih dalam kategori manja jugalah 20 sen sebab masih banyak bergantung dengan orang. nak kena balik syria semula kot baru jadi lasak balik. =p

mudah-mudahan Allah melimpahkan rahmat dan keampunanNya buat insan-insan yang ku sanjungi kerana pengorbanannya ini... " Allah yujzikumul khair...".

semoga ikatan ukhuwah sebagai suami&isteri setelah kami diijab kabulkan ini berkekalan hingga ke syurga nanti... Insya Allah.

~Baarakallahu lakum wa lana..~

Wednesday, July 28, 2010

Jodohku Dengan Perjuangan


Suasana pagi selepas waktu dhuha pada pagi ini sangat tenang. Sambil-sambil itu saya menjamah beberapa potong kek pisang dan segelas air sirap selasih. Ermm, memang menyelerakan. Macam berada di Malaysia pula bila disebutkan menu tadi. Sedar ataupun tidak tempoh saya di sini semakin singkat. Setiap hari dalam fikiran saya apa yang akan saya bawa pulang ke tanah air nanti?. Apa yang akan saya sampaikan kepada masyarakat nanti?. Sedang mereka menantikan kepulangan kita dengan ilmu. Ilmu yang bakal merubah dan membawa kepada Islam.

Oleh kerana isu keselamatan yang melanda sekarang ini beberapa kelas talaqi khususi bersama anisah terpaksa ditangguh, banyak aktiviti-aktiviti ilmu yang dirancangkan selama ini terbengkalai. Suatu yang amat menyedihkan apabila memikirkan amanah yang harus dilunaskan ini. Akan ku saman kerajaan-kerajaan zalim ini di hadapan mahkamah Allah kelak!!. Sentiasa mahu menyusahkan dan memang mereka sedaya upaya mahu menghapuskan proses melahirkan ulama.

Mungkin jodoh saya dengan bumi Syam ini tidak lama, tetapi kesyukuran yang tidak terhingga buat Rabbul Izzaty kerana telah mendidik jiwa dan hati saya di bumi barakah ini. Di sini saya bertemu dengan hikmah ujian, keberkatan ilmu, kerendahan diri, kekuatan diri untuk terus bangkit dan berjuang walau kepayahan sentiasa menjenguk. Di sini saya diuji dan terus diuji dengan bermacam ujian. Namun siapa lah saya untuk mengeluh?. Berat manakah ujian itu sehingga mahu menyalahkan sesiapa?. Ya Allah, aku hambaMu ini mahu meletakkan sepenuh keyakinan terhadap janji-janjiMU…BANTUILAH AKU..

Agenda pembentukan muslimah juga masih banyak yang perlu dikaji dan memerlukan tenaga serta kerjasama dari semua pihak. Ini sesetengah pihak hanya tahu mengkritik daripada mengkaji. Sedangkan mereka sendiri masih belum jelas dengan isu dan keadaan tersebut. Saya memandang ianya perlu diperbincangkan dengan suasana yang baik dan bertoleransi dalam meletakkan hukum. Kenapa kita boleh bertoleransi dalam satu hal yang melibatkan diri kita tetapi tidak kepada orang lain?. Itu juga perlu dirujuk kembali dan kita diskusikan bersama-sama di medan dan gelanggang yang sebenar.

Ini antara isu yang dicanangkan dan ada juga yang seolah-olah mahu mencabar muslimat agar menjawab dan menyatakan hujah keberadaan muslimat di sini. Isu feqh mar’ah dibangkitkan bahawa siapa yang lebih perlu mendalaminya?. Muslimin atau muslimat?. Bagi saya isu siapa itu bukan isunya, tetapi semua perlu mendalaminya dan menjadi fardhu ain apabila tiada yang faqih dalam ilmu tersebut. Kadang-kadang seronok juga bermain dengan isu ni. Secara tidak langsung menajamkan fikiran dan otak kita akan ligat berfikir mencari hujah bagi menjawab persoalan yang telah ditimbulkan.

Keadaan begini menjadi biasa kerana lumrahlah ada pro dan kontra dalam sesuatu perkara. Kalau semuanya sama sudah tentu kehidupan menjadi static. Hidup ini kalau tak advanture tak best lah kan?. Apa fungsi mazhab kalau tidak kerana ada khilaf di kalangan ulama. Selagi masih ada hujah dan dalil yang kuat maka kita boleh mengambilnya sebagai sumber.

Pahit manis menjadi perantau yang singgah sebentar di bumi Syam ini tidak akan saya lupakan. Semuanya menjadi I’brah berharga buat bekalan untuk terus bernafas dengan nafas tarbiyah walau di mana sahaja saya berada. Mungkin takdir jodohku dengan perjuangan dan kerana perjuangan….

YA ALLAH, YA TUHANKU…KURNIAKANLAH KEPADAKU KEBAHAGIAAN DAN CINTA DARI CINTA PARA PENCINTAMU…~AMEN

Tuesday, June 29, 2010

Dakwah : Antara Hakikat Dan Dramatik

Mengungkap kalimah dakwah memang mudah tapi siapakah yang mampu menyampaikan kebenaran hakiki dan istiqamah mengikut manhaj sunnah nabawiyah?. Para pendakwah ini perlu lebih serius dan menggunakan uslub yang baik dengan mengikuti perintah Allah dan sunnah Rasulullah SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk ”.

(An-nahl :ayat 125)

Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud :

“ Dan janganlah kamu berbahas Dengan ahli Kitab melainkan Dengan cara Yang lebih baik, kecuali orang-orang Yang berlaku zalim di antara mereka; dan Katakanlah (kepada mereka): "Kami beriman kepada (Al-Quran) Yang diturunkan kepada Kami dan kepada (Taurat dan Injil) Yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepadaNyalah, Kami patuh Dengan berserah diri ”.

(surah al-ankabut : ayat 46)


Hikmah atau kebijaksanaan itu ialah menjadikan (meletakkan) sesuatu pada tempatnya, teliti memilih masa, tempat, kata-kata dan cara mengemukakannya, menepati Islam sebagai agama fitrah yang tepat dengan fitrah manusia yang di dakwah.

Bagi mencapai realiti dan hakikat dakwah, para pendakwah memerlukan hujah dan manhaj yang jelas serta mampu menahan dan menolak paluan ombak kekufuran yang deras melanda ummah. Membuat persediaan bagaimana untuk menyampaikan medium dakwah berpandukan syariat Allah. Sumber-sumber yang diperlukan bagi pendakwah adalah :

1. Al-Qur’anul Karim : Penentu kepada dasar dakwah yang dilakukan, menjadi pengawalnya agar tidak terpesong dari tajuk yang sebenar. Jadi rujukan utama pendakwah.

2. Sunnah Rasulullah SAW : Di dalam sirah rasulullah SAW samada di mekah atau di madinah, menghadapi Ahli kitab, pimpinan masyarakat atau badwi yang paling keras itu, semua menjadi contoh praktikal kepada uslub dakwah.

3. Sirah salaf soleh : Para sahabat dan tabi’in yang melihat dari dekat ketika dakwah dimulakan serta pengalaman mereka yang banyak menjadi contoh, dan ilmu mereka yang mendalam memahami ketika hokum Islam itu diwahyukan dan cara penyampaian yang sebenar perlu dikaji sedalam-dalamnya.

4. Pengalaman : Pengalaman juga menjadi guru yang berkesan samada dari kejayaan atau kesilapan dan kegagalan, samada dari kita atau orang lain, sehingga membina kematangan pendakwah dan membentuk keperibadian yang menjadi asas kepada kemampuan memikul amanah dakwah ketika mengharungi perjuangan atau setelah mencapai kemenangan dan ia menjadi proses tarbiyah yang berkesan kepada pendakwah ke arah menanamkan keteguhan iman dan kematangan menterjemahkan uslub dakwah dengan penuh kebijaksanaan.

Dakwah Dan Tribulasinya : Ombak Kuffar Berpalu Deras Terhadap Islam


Di dalam kehidupan pendakwah terdapat banyak halangan dan rintangan yang menggugat nasib pejuang-pejuang Islam. Tetapi persediaan yang baik, dan bimbingan yang betul beserta dengan sikap yang berhati-hati dapat menjaga dan memelihara para amilin dari penyelewengan dan terjerumus ke lembah kehancuran.

Hasil dari konspirasi yang dilakukan oleh kuffar terhadap umat Islam menjadikan sasaran aqidah sebagai sudut pertama untuk melumpuhkan kekuatan Islam dan Umatnya. Islam itu pernah menjadi sasaran mereka, maka pendokongnya juga turut menjadi sasaran yang lebih terdedah dengan melemparkan tuduhan dan fitnah yang bertujuan menghilangkan kepercayaan orang yang didakwah terhadap pendakwah.

Di dalam al-Qur’an juga mendedahkan contoh yang banyak bagaimana tuduhan terhadap pendakwah yang dikemukakan oleh musuh Islam, di antara firman Allah SWT :

“ Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah ia: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. Sesungguhnya Aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari Yang besar (hari kiamat). Ketua-ketua dari kaumnya berkata: "Sesungguhnya Kami nampakmu (Wahai Nuh) berada Dalam kesesatan Yang nyata".

(surah al-A’raf : ayat 59-60)


“ Dan mereka (yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad itu) merasa hairan, Bahawa mereka didatangi oleh seorang Rasul pemberi amaran, dari kalangan mereka sendiri. dan mereka Yang kafir itu berkata: "orang ini adalah seorang ahli sihir, lagi pendusta ”.

(surah Shaad : ayat 4)


“ Dan berkatalah pula ketua-ketua dari kaum Firaun: "Adakah Engkau (Wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa Yang dipuja olehmu?" Firaun menjawab: "Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka, dan kita tetap Menguasai (menundukkan) mereka".

(surah al-A’raf : ayat 127)


Proses pembentukan fokus dakwah


Serangan yang bertubi-tubi dan palu-memalu terus mengena kepada umat Islam secara fizikal dan mental. Para pendokong agama Allah ini perlu mengenali bagaimanakah cara dan politik dalam menolak tentangan yang dahsyat ini. Pada hari ini kita bertemu dengan pelbagai bentuk tuduhan yang dilemparkan terhadap Islam dengan menyatakan ianya tidak sesuai, hukum syariatnya tidak munasabah dengan keadaan semasa dan ada pula yang menyatakan keadaan yang ada ini diwarisi sejak turun temurun, parti tidak ada di zaman dahulu dan sebagainya.

Oleh itu pendakwah hendaklah menghadapi dengan uslub yang tidak merugikan dakwah disamping jawapan-jawapan secara lisan dan tulisan maka uslub membentuk jatidiri adalah cara yang paling berkesan bagi membatalkan langkah-langkah musuh. Sebagai pendukung gerakan Islam hendaklah melengkapkan diri dengan sifat-sifat keIslaman yang teguh di antaranya; memahami agama, menjadi tauladan yang baik, sabar, berlemah-lembut, bersikap pemudah bukannya pemayah, merendah diri, beramah mesra dan pemurah.

Akhirnya, secara tuntas walaupun berdakwah itu menjadi kewajipan kepada setiap anggota ummat Islam menurut kemampuan dan kadar masing-masing tetapi ianya mestilah dilaksanakan dengan berorganisasi. Wajibnya ada jamaah, parti atau pertubuhan yang membawa wadah perjuangan menyebarkan Islam dan mendaulatkannya di atas muka bumi kerana kesyumulan Islam dan penyampaiannya secara menyeluruh juga cabaran yang mesti dihadapi memestikan wujudnya jamaah atau parti, bukan sahaja menjadi hakikat yang disedari apabila kerja dakwah itu dilakukan, tetapi itulah juga perintah Allah dan Rasulullah SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Wahai orang-orang Yang beriman! sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum…”.

(surah al-Ma’idah : ayat 54)


“ Dan sesiapa Yang menjadikan Allah dan RasulNya serta orang-orang Yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana Sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah Yang tetap menang ”.
(surah al-Ma’idah : 56)


Sabda Rasulullah SAW : “ التزم جماعة المسلمين وٳمامهم ”

“ Lazimilah jamaah orang Islam dan pemimpin mereka ”.


وآخر دعوانا أن الحمد لله رب العالمين.~

Tuesday, June 08, 2010

Memaknakan Sebuah “Engagement”


“Dan tidak ada Yang lebih baik perkataannya daripada orang Yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal Yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"
Surah Fussilat : 33

Apabila membaca ayat al-qur’an tersebut kita dapat fahami bahawa ucapan yang paling baik adalah seruan kepada Allah SWT dan ajaran Islam. Ia merupakan seruan kebenaran agar manusia dapat dikeluarkan daripada kegelapan taghut dan kejahilan kepada sinar keimanan dan keintelektualan.

Artikel ini saya bawakan agar jelas akan keberadaan kita dalam menghadapi realiti sebuah “ engagement ” apabila ikatan yang diikat dengan janji setia untuk menegakkan agama Allah SWT. Isunya di sini bukanlah sekadar isu prinsip semata-mata tetapi isu sikap dan penampilan. Apa yang mahu saya tegaskan adalah bagaimana persedian kita untuk “ engage ” dengan perjuangan, dakwah dan masyarakat kerana tidak mungkin perjuangan Islam ini diurus tanpa engagement yang baik dan murni antara kita dengan segenap lapisan dan organ masyarakat.

Di kalangan manusia terdapat variasi penerimaan sesuatu seruan sepertimana yang pernah dinyatakan oleh baginda Rasulullah SAW dengan perumpamaan perbezaan tersebut sebagaimana tanah yang Allah SWT jadikan dengan pelbagai jenis. Apabila hujan turun ada tanah yang boleh menakung air, ada yang boleh menakung tapi sebentar cuma, dan ada tanah yang poros langsung tidak boleh menakung air.

Oleh itu, persedian dan kemahiran ketika menyampaikan mesej dakwah perlu dilakukan dengan teliti dan berhikmah. Kita perlu menyedari hakikat seruan dakwah dan focus yang utama iaitu kewajipan “ amar ma’ruf dan nahi munkar ”. kewajipan kita dalam berdakwah ini melibatkan semua sudut kehidupan yang berkait dengan peribadi, keluarga dan masyarakat agar berdakwah dan menjaga mereka dari melakukan maksiat kepada Allah SWT. Sepertimana firman Allah SWT :

“ Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan ”.
At-Tahrim :6

Keutamaan kualiti dan istiqamah

Saya selalu mendengar alasan bahawa tidak mengapa kita mengubah dan mengikut sikit-sikit cara peredaran zaman agar penampilan kita lebih releven dan praktikal. Cuba kita perhatikan apakah kayu ukur kepada konsep yang dicanangkan oleh pembawakan idealisme seperti ini?. Sejauhmanakah keberkesanan dakwah tersebut?. Apa yang dapat saya lihat sesetengah golongan hanya berhujah dan beramal dengan melihat kepada zahir nas sahaja tanpa memahami maksud dan tujuan sesuatu hukum.
Secara ringkasnya kualiti para pendakwah yang diperlukan dalam rangka mendepani cabaran dan isu dengan lebih praktikal, di antaranya adalah ; ikhlas, taqwa, akhlak, mental, kerja, kemahiran dan thaqafah.

Perkara istiqamah juga merupakan elemen terpenting dalam Islam kerana ia menjadikan seseorang itu kekal dalam jalan dakwah walau berhadapan dengan seribu satu mehnah dan tribulasi. Dia tidak mudah terpengaruh dengan suara-suara yang menghasut sepertimana sabda Rasulullah SAW, maksudnya:

“ Janganlah kamu menjadi seperti orang yang tidak mempunyai prinsip ( pegangan ) dengan berkata : sekiranya manusia baik maka kami akan baik dan jika mereka melakukan kezaliman maka kami pun akan berbuat zalim. Akan tetapi tetapkanlah diri kamu sekiranya manusia baik maka kamu akan lakukan yang lebih baik dan sekiranya mereka melakukan keburukan maka janganlah kamu melakukan kezaliman ”.
(Riwayat Tirmizi)

Sepertimana yang pernah diceritakan kepada saya peristiwa di sebuah kampus university di Malaysia demi meraih kemenangan sanggup menggunakan muslimat sehingga ke tahap seolah-oleh menggadai maruah dan mengeksploitasi wanita. Tidak salah menampilkan muslimat sebagai figure dan agen perwakilan serta calon untuk bertanding di pilihan raya dan sebagainya selagimana ia tidak bertentangan dengan hukum syara’. Apa yang berlaku adalah sebaliknya, memilih calon dengan kriteria rupa paras dan kecantikan semata-mata sehingga mengabaikan keutamaan ilmu dan syarat kepimpinan yang menjadi asas utama pemilihan pemimpin.

Hujah yang dibawa adalah bagi mengikut realiti kehendak umum yang lebih tertarik kepada penampilan calon yang cantik dan menawan. Biarlah kehendak dan maksud sebenar seruan kepada bersama-sama perjuangan Islam itu diketepikan dengan dalil yang tidak kukuh dan uslub yang tidak jelas asal-usulnya. Sedangkan cara dan konsep pergaulan muslimat di khalayak ramai mempunyai adab-adab syarak yang perlu dipatuhi bagi mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Perkara yang haram tidak boleh dialternatifkan dengan yang haram juga. Sebagaimana di sebut oleh dalil hadis ertinya :

" Sesungguhnya Allah SWT tidak akan memadam yang buruk dengan buruk juga, tetapi yang buruk (haram) dipadamkan dengan yang baik (halal) Sesungguhnya yang kotor itu TIDAK boleh mensucikan yang kotor"
( Riwayat Ahmad)

Nabi SAW bersabda :

إن الله لم يجعل شفائكم فيما حرم عليكم

Ertinya : "Allah SWT tidak menjadikan penyembuhan kamu melalui perkara yang diharamkanNya" ( Riwayat Al-Bukhari )


Menghiasi Diri Dengan Syakhsiah Yang Mulia

Syakhsiah para pendakwah di dalam kacamata perjuangan Islam merupakan sepohon pokok yang baik dan berguna kepada manusia dan alam seluruhnya. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Tidakkah Engkau melihat (Wahai Muhammad) Bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah Yang baik adalah sebagai sebatang pohon Yang baik, Yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit ”.
Surah Ibrahim :24

Maka tidak boleh kita katakan bahawa apa yang terzahir itu tidak sama dengan yang berada di dalam hati. Permasalahan yang berlaku adalah penjagaan jiwa dan rohani yang mungkin kurang dijaga lalu menggunakan alasan yang tidak sewajarnya bagi menutup maksiat yang dilakukan. Jelaslah di sini segala kebaikan yang terzahir itu lahir dari asal yang baik juga.

Engagement dan tribulasinya

Di dalam kehidupan pendakwah terdapat banyak halangan dan rintangan yang menggugat nasib pejuang-pejuang Islam. Tetapi persediaan yang baik, dan bimbingan yang betul beserta dengan sikap yang berhati-hati dapat menjaga dan memelihara para amilin dari penyelewengan dan terjerumus ke lembah kehancuran. Jika di sebutkan permasalana ini akan membawa kepada kupasan yang lebih panjang lagi. Jadi saya hanya bawakan halangan pertama seperti yang disebutkan di dalam buku daurah tadribiyah iaitu :

Wanita

Kerana wanita memainkan peranan penting dalam kehidupan pendakwah malah manusia umumnya. Saya selaku muslimah juga melihat isu ini adalah antara isu besar kerana berapa ramai pendakwah yang gugur dan terkurung di rumah oleh kerana terikat dengan kejahilan isteri sendiri dan kegagalan mentarbiyah isteri dan keluarga. Bukannya gugur syahid dalam berjihad di jalan Allah namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Antara kesimpulan yang dapat dilihat adalah lemahnya institusi perkahwinan para pendakwah lantaran mereka terpengaruh dengan perkara lahiriah semata-mata dan lupa tentang matlamat utama perkahwinan itu. Di antara prinsip-prinsip utama perkahwinan :

1. Mempunyai niat yang baik : Adalah untuk menyempurnakan agama.

Sepertimana sabda Rasulullah SAW : “ Barangsiapa yang dikurniakan oleh Allah seorang perempuan yang solehah, maka sesungguhnya ia telah menolongnya menyempurnakan separuh dari agamanya. Maka hendaklah ia bertaqwa kepada Allah dalam separuh lagi”.
( Riwayat at-Tabrani )

- Perkahwinan yang menjadi faktor utama di dalam memelihara kemurnian jiwa dan kesuciannya. - Perkahwinan untuk membangunkan keluarga Islam bagi menjadi asas yang kukuh dalam pembangunan masyarakat Islam. Ini merupakan impian setiap mukmin yang mahukan keluarga yang baik dan penyenang hati.

2. Pemilihan yang baik : pemilihan ini adalah suatu faktor utama yang dapat membawa kepada kemesraan dan keserasian di antara kedua-dua pasangan berkenaan. Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa terdapat empat perkara yang dijadikan asas kepada pemilihan pasangan iaitu ; agama, keturunan, kecantikan, dan kekayaan. Namun, pemilihan di atas dasar agama adalah yang mesti diberikan keutamaan.

3. Peribadi suami sebagai asas : Islam mengingatkan suami agar jangan terlalu mengikut kehendak isteri demi menjaga kewibawaan dan ketuanan seorang suami di dalam rumah tangga. Imam Ghazali menasihatkan para suami dengan katanya:

“ Diri perempuan itu mengikut keadaan dirimu. Jika engkau lepaskan sedikit tali penambatnya, ia akan membawamu pergi jauh. Jika engkau kendurkan sejenak kekangannya dan memegangnya akan kemas di waktu yang perlu maka engkau akan dapat memenanginya ”.

Oleh sebab itu, peribadi suami memainkan peranan yang penting dalam kehidupan berumahtangga. Pihak suami hendaklah bersikap bijak dalam menyelesaikan segala permasalahan dengan neraca Islam.

Pernah beberapa orang sahabat seperjuangan saya mengadukan permasalahan dan meluahkan perasaan kesal terhadap sikap muslimin yang tidak berani untuk tampil membela muslimat dengan memilih di kalangan yang mempunyai fikrah dan tarbiyah sebagai pasangan hidup. Sedangkan ramai di kalangan muslimat yang berkualiti dan berakhlak berbanding pilihan yang dibuat di kalangan muslimin jelas menunjukkan sikap mementingkan kepentingan dunia dari matlamat yang sebenar iaitu akhirat.

Tidak kurang juga yang terlalu merendah diri sehingga malu untuk melakukan perkara yang baik seperti menyatakan kesungguhan dalam memilih calon bagi membina baitul muslim yang bertunjangkan aqidah dan ukhuwah Islamiyah. Tidak dinafikan bahawa muslimat juga ada sikap-sikap negatifnya, tetapi adalah lebih baik muslimin lebih terkehadapan dalam memikirkan alternative bagi menyelesaikan permasalahan tersebut. Perkara tersebut amatlah dikesali dan ianya merosakkan jamaah serta melambatkan proses kemenangan kerana terpaksa menyibukkan diri dengan proses pentarbiyahan kali kedua!.

Justeru itu marilah kita bersatu di dalam satu jamaah dengan membawa wadah yang satu dan wawasan yang dipegang hingga ke akhirat sana. Kerana kesatuan itulah yang akan menghasilkan kekuatan dan keutuhan. Apa guna ada ilmu dan fikrah tapi tidak diamalkan?!. Sedarlah wahai para pendakwah bahawa kita sekarang semakin teruji!. Saya akhiri artikel ini dengan firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela ugamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh ”.
Surah as-Shaff : 4

















Related Posts with Thumbnails
 

saffa@srar Copyright © 2009 Community is Designed by Bie