Wednesday, July 28, 2010

Jodohku Dengan Perjuangan


Suasana pagi selepas waktu dhuha pada pagi ini sangat tenang. Sambil-sambil itu saya menjamah beberapa potong kek pisang dan segelas air sirap selasih. Ermm, memang menyelerakan. Macam berada di Malaysia pula bila disebutkan menu tadi. Sedar ataupun tidak tempoh saya di sini semakin singkat. Setiap hari dalam fikiran saya apa yang akan saya bawa pulang ke tanah air nanti?. Apa yang akan saya sampaikan kepada masyarakat nanti?. Sedang mereka menantikan kepulangan kita dengan ilmu. Ilmu yang bakal merubah dan membawa kepada Islam.

Oleh kerana isu keselamatan yang melanda sekarang ini beberapa kelas talaqi khususi bersama anisah terpaksa ditangguh, banyak aktiviti-aktiviti ilmu yang dirancangkan selama ini terbengkalai. Suatu yang amat menyedihkan apabila memikirkan amanah yang harus dilunaskan ini. Akan ku saman kerajaan-kerajaan zalim ini di hadapan mahkamah Allah kelak!!. Sentiasa mahu menyusahkan dan memang mereka sedaya upaya mahu menghapuskan proses melahirkan ulama.

Mungkin jodoh saya dengan bumi Syam ini tidak lama, tetapi kesyukuran yang tidak terhingga buat Rabbul Izzaty kerana telah mendidik jiwa dan hati saya di bumi barakah ini. Di sini saya bertemu dengan hikmah ujian, keberkatan ilmu, kerendahan diri, kekuatan diri untuk terus bangkit dan berjuang walau kepayahan sentiasa menjenguk. Di sini saya diuji dan terus diuji dengan bermacam ujian. Namun siapa lah saya untuk mengeluh?. Berat manakah ujian itu sehingga mahu menyalahkan sesiapa?. Ya Allah, aku hambaMu ini mahu meletakkan sepenuh keyakinan terhadap janji-janjiMU…BANTUILAH AKU..

Agenda pembentukan muslimah juga masih banyak yang perlu dikaji dan memerlukan tenaga serta kerjasama dari semua pihak. Ini sesetengah pihak hanya tahu mengkritik daripada mengkaji. Sedangkan mereka sendiri masih belum jelas dengan isu dan keadaan tersebut. Saya memandang ianya perlu diperbincangkan dengan suasana yang baik dan bertoleransi dalam meletakkan hukum. Kenapa kita boleh bertoleransi dalam satu hal yang melibatkan diri kita tetapi tidak kepada orang lain?. Itu juga perlu dirujuk kembali dan kita diskusikan bersama-sama di medan dan gelanggang yang sebenar.

Ini antara isu yang dicanangkan dan ada juga yang seolah-olah mahu mencabar muslimat agar menjawab dan menyatakan hujah keberadaan muslimat di sini. Isu feqh mar’ah dibangkitkan bahawa siapa yang lebih perlu mendalaminya?. Muslimin atau muslimat?. Bagi saya isu siapa itu bukan isunya, tetapi semua perlu mendalaminya dan menjadi fardhu ain apabila tiada yang faqih dalam ilmu tersebut. Kadang-kadang seronok juga bermain dengan isu ni. Secara tidak langsung menajamkan fikiran dan otak kita akan ligat berfikir mencari hujah bagi menjawab persoalan yang telah ditimbulkan.

Keadaan begini menjadi biasa kerana lumrahlah ada pro dan kontra dalam sesuatu perkara. Kalau semuanya sama sudah tentu kehidupan menjadi static. Hidup ini kalau tak advanture tak best lah kan?. Apa fungsi mazhab kalau tidak kerana ada khilaf di kalangan ulama. Selagi masih ada hujah dan dalil yang kuat maka kita boleh mengambilnya sebagai sumber.

Pahit manis menjadi perantau yang singgah sebentar di bumi Syam ini tidak akan saya lupakan. Semuanya menjadi I’brah berharga buat bekalan untuk terus bernafas dengan nafas tarbiyah walau di mana sahaja saya berada. Mungkin takdir jodohku dengan perjuangan dan kerana perjuangan….

YA ALLAH, YA TUHANKU…KURNIAKANLAH KEPADAKU KEBAHAGIAAN DAN CINTA DARI CINTA PARA PENCINTAMU…~AMEN
Related Posts with Thumbnails
 

saffa@srar Copyright © 2009 Community is Designed by Bie