Tuesday, December 29, 2009

Kesedihan Ummah Ini…

Kesedihan Ummah Ini…Aina Shababuna..?

Memori Muassasah Dan Sang Murabbi…


Salam sinar Syam dari perantau akhirah di bumi Anbiya’ lagi barakah ini buat semua yang mengenali insan hina ini. Sekalung terima kasih tidak terhingga buat mak dan ayah yang mendidik dan mentarbiyah diri ini agar sentiasa berada di jalannya, para Murabbi yang dikasihi, sahabat dan teman seperjuangan semoga kalian terus tetap istiqamah dan thabat dalam meneruskan perjuangan yang penuh dengan ujian, suka dan duka akan terus kita harungi..Insya Allah~.

Jika kita hitung-hitungkan akan kiraan usia kita hidup di dunia ini sudah tentu akan membuatkan kita menggeleng-gelengkan kepala kerana hakikatnya usia kita ini sangat singkat dan pendek. Tup-tup kita sudah berumur 20, 30, tahun. Sedang apa bekalan kita ketika usia sudah hampir menuju senja ini, Allahu a’lam. Alhamdulillah, saya diberikan peluang untuk bertemu kembali dengan pelajar lepasan dan yang pernah belajar di Muassasah melalui web alumi kami. Saya rasa bersyukur dan bangga melihat kejayaan masing-masing di dalam bidang yang diceburi.

Namun di sana ada perkara yang masih perlu saya sampaikan buat peringatan diri saya dan sahabat semua. Bagi saya adalah sewajarnya para pelajar lepasan sekolah yang ditarbiyah dengan tarbiyah Islam lebih memahami konsep dan cara mempraktikkan agama dalam diri, keluarga dan masyarakat. Kita adalah barisan agen perubah masyarakat. Menjadi “salesman” atau “promoter” terbaik agama untuk dibawa dan disebarkan kepada masyarakat.

Mungkin ada di antara sahabat-sahabat yang mengambil perkara ini sebagai suatu yang tidak penting. Namun bagi saya penjagaan agama,akhlak, tarbiyah dan bi’ah itu adalah sesuatu yang amat penting bagi yang mempelajari ilmu agama. Bagaimana mungkin kita mahu mendapatkan atau menegakkan Negara atau Daulah Islam jika diri kita pun masih belum dapat ditegakkan agama secara syumul?. Usah kita sentuh tentang urusan-urusan besar dalam masalah dan hukum agama, cukuplah jika kita Tanya soal hukum yang berkaitan dengan aurat, ibadah harian dan lain-lain hal di dalam kehidupan seharian.

Para pelajar agama itu boleh juga kita kenali dengan para penuntut ilmu Allah. Jadi, kita belajar agama ini semuanya berkaitan dengan kerana Allah, untuk Allah, bagi mencari redha Allah dan sebagainya. Jika ditanya selalunya itulah jawapan yang diberikan. Maka kalau jawapannya “LILLAHI TA’ALA” , kenapa pula bila kita sudah berjaya mendapatkan ilmu Allah dengan pangkat jayyid, jayyid jiddan, mumtaz dan imtiyaz namun masih tidak mahu mempraktikkan ilmu yang dipelajari?. Apakah akal kita masih tidak mampu untuk berfikir akan jalan terbaik bagi menahodai bahtera kehidupan ini?. Tepuk dada, tanyalah IMAN~…

Dengan penuh keinsafan saya bukakan secoret lipatan sejarah perjuangan para pejuang bagi mempertahankan bumi wakafan tercinta ~Muassasah Darul Ulum~..kisah ini saya petik dari buku yang bertajuk “Memoir Jihad Anak Melayu Di Afghanistan”-Zainon Ismail.

Peristiwa Muassasah berlaku pada pertengahahan tahun 1987 kerana tindakan yg diambil oleh pejabat daerah Kota Setar ketika itu untuk merampas tanah Muassasah milik PAS Kedah, dikatakan lebih didorong oleh politik Umno. Seterusnya timbul kemarahan ahli dan pimpinan PAS kedah. Ketika itu hampir seluruh ahli-ahli PAS kedah turun ke tanah Muassasah. Tidak kurang 1000 orang yang datang pada setiap hari. Bukannya ada apa-apa bayaran atau saguhati.

Ukhuwah antara ahli semakin erat, mereka berkawal dan berkubu di situ. Ada di kalangan mereka yang meninggalkan anak isteri di rumah. Manakala yang bujang pula sepanjang masa di situ. Mereka semua telah jatuh hati dan kasih akhuwah mula terasa. Keadaan mereka seperti kaki mahjung yang tidak ingat lagi rumahtangga dan anak isteri. Ia sudah khayal dengan permainan judinya itu.

Melihat akan kehadiran ahli yang tidak berjadual menyebabkan para pimpinan membuat jadual giliran untuk berkawal untuk mengimbang keadaan ahli bagi menjaga kemaslahatan semua. Tetapi mereka tidak mengikuti jadual yang disusun bukan kerana tidak patuh dengan arahan kerana semuanya hadir pada setiap masa dengan semangat yang tinggi untuk terus berkawal di situ.

Keadaan ketika itu langsung tidak dihamparkan dengan kesenangan hanya nasi lauk ikan masin dan sambal belacan serta air perigi sahaja yang ada. Tidur pula ditemani nyamuk hingga ke subuh. Mula tidur dalam khemah plastik berlantai tanah. Kalau tanah berair sisa-sisa papan akan digunakan untuk melapik belakang. Batu-bata yang dibungkus akhbar lama dijadikan bantal. Kesusahan-kesusahan ketika itu dianggap ujian sahaja.

“Mereka mengharungi semua itu dgn penuh kelazatan dan redha..”

Bagi memenuhi masa berkawal agar ahli tidak membuang masa dan leka, pimpinan telah mengadakan kumpulan usrah buat ahli. Di antara ahli yang mengikuti usrah ketika itu ada satu kumpulan usrah di kalangan pemuda yang telah mencipta sejarah unggul sebagai tamtama yang syahid di medan Jihad. Jika mahu tahu kisah lanjutnya anda boleh baca dari buku yang dinyatakan di atas. Saya tertarik dengan kisah para pemuda ini bersama seorang naqib yang boleh juga kita katakan “sang murabbi” terbaik buat anak usrahnya.

Ada petikan pesan sang naqib kepada anak usrahnya;

saya katakan padanya," jika kita ikhlas, Insya Allah DIA akan membuka jalan untuk kita semua."- cikgu Non.(zainon ismail)

kata terakhir anak usrahnya sebelum syahid di bumi Afghan;

jawab ahli usrahnya, "dalam perjuangan ana ni, tidak pernah ada penyesalan".


Dari kisah pengorbanan dan perjuangan tadi jelas bahawa kekayaan ilmu dan harta itu bukan syarat untuk seseorang mendapat tiket syuhada. Pemilihan Allah bergantung kepada keikhlasan seseorang yang berjuang untuknya, tanpa kompromi dengan segala sifat-sifat munafik atau ada udang di sebalik batu. Keikhlasan kepada Allah saja yang boleh melahirkan manusia beriman yang bertanggungjawab. Kerana ada juga manusia yang beriman kepada Allah, tetapi dia tidak bertanggungjawab terhadap agama dan nasib saudara seagama dengannya.

Mari kita perhatikan kisah pengorbanan dan perjuangan mereka yang telah banyak berjuang untuk mempertahan Islam dan maruah agama ini. Agar ruh para pejuang itu mengalir ke dalam diri lalu dapat membentuk peribadi muslim sejati. Bagaimana tarbiah dari naqib, didikan ibu bapa tentang Islam yang dapat melahirkan tamtama dan srikandi unggul Islam. Jika kita tidak mampu mencapai yang tertinggi cukuplah dengan memberikan sedikit sumbangan untuk Islam dengan memberikan sokongan kepada pejuang Islam dari sumber kewangan atau berikan kemudahan kepada para pejuang. Jangan kita sempitkan dan menjadi batu besar penghalang kepada kemaraan para pejuang ini. Kita perlu menjadi titi bagi memudahkan perjalanan merentasi sungai rintangan perjuangan.

Salam perjuangan dari perantau akhirah,

saffa@srar_Damascus_Syria.


Wednesday, December 23, 2009

Hidup bagai mimpi!


Melihat akan semangat sahabat dan teman masing-masing ghairah mengupdate blog saya juga rasa terpanggil untuk sama-sama mengpublishkan n3 di blog ini. Biar apa pun orang kata asalkan kita yakini dengan amal yang sedikit ini dapat menjadi pembantu kita di akhirat kelak.
Walaupun saya agak lama tidak dapat mengambil tahu akan keadaan semasa dan isu-isu yang panas dan hangat di Malaysia dan dunia, tetapi saya mahu menyentuh mengenai kehidupan manusia yang kian sarat dengan kerosakan dan maksiat ini. Adakah kita semua sedar ataupun tidak akan apa yang ingin saya sampaikan ini. Masih butakah mata dan kelamnya hati sehingga tidak dapat melihat keadaan dunia yang begitu teruk ini?. Segala-galanya telah dimusnahkan kemurniannya oleh tangan-tangan manusia yang kufur dengan nikmat Allah. Pemborosan berlaku di mana-mana tidak kiralah di kalangan orang kaya atau miskin. Manusia sekarang dibentangkan dengan kemewahan yang melimpah ruah. Terus tamak mengambil dan mengaut segala nikmat Allah sehingga kufur kepada Allah pemberi segala nikmat.

Apabila berlakunya pemborosan dan kufur dengan nikmat manusia akan lalai sehingga dirinya, hartanya, masanya langsung tidak mahu diwaqafkan untuk perjuangan Islam. Bila perut kenyang, mata pun mulalah mengantuk. Pantang saja jika disorongkan bantal, lalu terus lena dibuai mimpi!. Kalaulah manusia itu sedar bahawa berapa ramai orang yang keluar rumah dan tidak masuk semula dan berapa ramai pula yang masuk ke rumah dan tidak keluar-keluar sudah tentu ramai yang akan insaf. Nak tahu kenapa?. Sebabnya yang keluar itu dia mati di luar dan yang masuk juga mati di dalam rumah lalu tidak keluar-keluar. Motifnya di sini adalah walau siapa kita dan di mana kita berada janganlah terlalu angkuh dan lupa diri kerana mati itu pasti. Siapa yang hidup di dunia ini dan tidak akan mati-mati kan?. Kita semua akan mati dan dibangkitkan lalu akan dihisab segala amalan kita di dunia.


Apakah peranan dan tugas kita dalam mengembalikan manusia ke arah mengesakan Allah dan menjauhkan manusia dari melakukan maksiat?. Sudah tentu jawapannnya dengan mengembalikan rasa taqwa dan iman ke dalam hati-hati manusia supaya ingat akan balasan yang dahsyat jika kita menjadi hamba yang kufur. Ramai yang menginginkan Islam tetapi mereka tidak menjumpai jalan yang sebenar. Ini tugas para pendakwah untuk menyampaikan dan membawa manusia menuju ke jalan yang benar. Apa yang menyedihkan apabila pendakwah itu takut dan menjadi pembohong serta pengkhianat kepada kebenaran yang mesti dinyatakan dan disampaikan.

Kita adalah apa yang kita sediakan. Contohnya, air hujan yang turun dari langit apabila ia jatuh ke pohon kurma lalu pohon kurma menghasilkan buah yang manis dan sedap dimakan. Jika air hujan yang sama jatuh ke pohon zaitun lalu menhasilkan buah zaitun yang pahit tetapi sangat baik untuk kesihatan. Seterusnya air hujan yang sama juga jatuh kepada seekor ular lalu diminum oleh ular itu lalu ia menghasilkan bisa yang sangat berbahaya kepada sesiapa sahaja yang terkena akan bisanya. Begitu jugalah kita di dalam kehidupan bahawa apa yang kita sediakan adalah natijah kepada diri kita nanti. Pilihlah samada kita mahu jadi pohon kurma yang menghasilkan buah yang manis atau pohon zaitun yang buahnya pahit tetapi boleh dijadikan ubat atau ular yang hanya mengeluarkan bisa yang merbahaya?. Sedangkan kesemuanya mendapat air hujan yang sama namun menatijahkan hasil yang cukup berbeza. Subhanallah~.

Lalu apa yang kita persiapakan untuk mengatur semula kehidupan hamba yang sudah terlalu jauh ini?. Apa yang patut diambil perhatian ialah kita semestinya meletakkan nikmat Allah pada tempatnya. Kita mesti tabungkan lebihan keperluan harian kita untuk hari muka samada berbentuk wang ringgit, kesihatan, masa dan lain-lainnya. Kita perlu berjimat dan menyimpan hari ini untuk hari muka. Inilah dia keadaan dunia dan itulah yang patut dilakukan. Andainya tidak prihatin dengan keadaan ini bererti ia mendedahkan dirinya kepada pemborosan dan kekufuran. Jangan pandang ringan terhadap keruntunan nafsu kerana ia akan membawa kita kepada sebesar-besar kufur dan ketika itu sangat susah untuk kita kembali kepada fitrah. Bila diri disaluti kemewahan dan dosa menjadi amalan maka tiada ruang untuk kembali dapat dilihat lagi. Yang ada hanya jalan-jalan kehancuran di depan mata. Sedarlah bahawa selangkah kita melangkah kepada kejahatan, maka kejahatan-kejahatan lain pula akan menyusul dengan mudah sekali!.

Thursday, December 17, 2009

Apa Bisa Ku Jadi Mujahidah?

Kehidupan kita di masa akan datang hanya Allah yang mengetahui segala-galanya. Siapa tahu akan ketentuan Allah?. Semuanya telah tertulis sejak kita di alam ruh lagi. Yang pasti, semuanya adalah kepastian dan ketentuan yang tidak dapat disangkal lagi. Kata ukhti Hafizah di blognya, “ sekarang kita mendengar orang menyebut si fulan atau fulanah telah kembali ke rahmatullah..dan mungkin satu hari nanti…”, biar saya tambahkan ayatnya buat tatapan diri saya sendiri. Jadi sambungannya akan jadi begini,

“..dan mungkin satu hari nanti orang akan menyebut Nur Syuhada binti Mad Isa telah kembali ke rahmatullah!”.

Ya Rabb, bisakah aku menghadapMu dengan diri yang penuh kehinaan ini?..

Maka, apa yang perlu saya persiapkan untuk bertemu dengan Yang Maha Agung?. Adakah saya masih mahu berada di tahap yang sama?. Umur dan usia sudah makin meningkat. Sedikit demi sedikit menuju ke usia senja yang belum tahu bila tibanya panggilan itu. Mati itu pasti!. Ya Allah~

Hidup ini adalah perjuangan. Saya ingin meneladani sunnah Rasulullah s.a.w dan para sahabiyat di zaman salafussoleh. Saya ingin mencontohi perjuangan para pejuang Islam dan para mujahidah. Bagaimana contoh yang ditunjukkan oleh ummahatul mukminin dan sahabiyat antaranya Khadijah bint Khuwaylid, Umm Salamah, Umm ‘Imarah, Fatimah az-zahra’, keterlibatan mereka bersama-sama di dalam perjuangan Rasulullah s.a.w demi melihat Islam itu ditegakkan. Malahan ada di kalangan mereka yang turut serta menyahut seruan jihad walaupun jihad itu tidak difardhukan ke atas wanita sepertimana lelaki tetapi turut serta dalam medan jihad tidak haram bagi wanita. Bukan sekadar teruja dengan keistimewaan setiap karekter unggul para mujahidah, tetapi sangat menginginkan agar diri ini mampu dan berjaya menuju ke tangga mujahadah hamba.

Saya amat mengharapkan iringan doa dari para sahabat seperjuangan dan juga teman-teman yang sudi mendoakan diri ini. Doa dari saya agar kalian senantiasa berada di jalanNYA~. Semoga kita sama-sama Berjaya menuju ke akhirat negeri abadi. Mari sama-sama kita persiapkan bekalan menuju ke kampung akhirat.

Wahai para muslimah, sekarang bukan masanya kita bersuka-ria mengejar dunia yang fana’ ini. Sekarang zaman kita persiapkan diri untuk menjadi muslimah hujjatul Islam yang mampu menumbangkan kuffar laknatullah. Mampu menggerunkan para musuh Allah. Berani mati di jalanNYA. Beriltizam dengan agama Islam. Korban keinginan dunia demi Allah. Kalian yang akan membentuk generasi pembawa panji-panji Islam. Kalau kita sedar semua amanah dan tanggungjawab ini sudah tentu kita tidak akan abaikan setiap detik masa yang berlalu tanpa sumbangan untuk Islam.

Pesan Murabbi kepada murid-muridnya: “Berjalanlah kamu di jalan Allah dan jangan menoleh ke belakang. Tempuhilah jalan ini kerana ia membawa kita ke SYURGA. Ustaz yakin, jika kita baik di dunia, insya Allah kita akan MATI dengan baik begitu juga cara kita dibangkitkan. Laluilah kehidupan dengan sebenar-benar TAQWA kerana ia menjaga kita dari dosa. Ustaz doakan selalu kita akan bersama di AKHIRAT, insya Allah”.- amin ya rabb~.


Tuesday, December 01, 2009

Zuhudlah Dengan Apa Yang Ada


zuhudlah dengan apa yang ada..”

Berkali-kali saya cuba ulangi ungkapan kalam keramat itu di minda untuk mengamati maksud disebaliknya. Agaknya saya hampir hanyut dengan dunia. Bak kata cik Piah, “DUNIA semuanya ni!”. Saya teringat nasihat daripada sheikh Burhan yang mengajar subjek Hadis Nabawi bahawa untuk mencapai matlamat menuju redha Allah bagi rijal dan nisa’ memerlukan kepada Istiqamah dan “ khashyatILLAH” iaitu takutkan Allah. Landasan istiqamah di antara kedua-duanya mesti selari barulah dapat mencapai matlamat yang dituju.

Baru-baru ini saya sempat mendapatkan nasihat daripada anisah Ummu Azhar semasa menziarahinya sempena sambutan Eidul Adha ini. Kalam berharga itu saya nukilkan di sini untuk sama-sama kita menilai dan koreksi diri. “Kita mestilah menjaga diri dan menggandakan amal. Amalan mestilah ikhlas, istiqamah dan selalu memperbaharui niat”. Contohnya bila kita makan, ada orang kata makan untuk sihat dan untuk hidup. Sekali dengar macam sudah cukup baik pegangannya. Tetapi tambah anisah, sepatutnya makan untuk menyihatkan badan supaya kita boleh beribadat dan bertambah TAQWA kita kepada Allah~.

Sempat juga saya bertanyakan beberapa pendapat dari anisah mengenai hal-hal peribadi dan pengalaman anisah yang boleh dikongsikan bersama. Alhamdulillah, kemusykilan saya selama ini terjawab dan saya yakin dengan apa yang saya dapat dan saya berpegang bahawa ianya adalah kurniaan yang tidak terhingga dari Allah~.

Berbalik kepada tajuk N3 ini, mengenai perbahasan zuhud. Kalau dulu ketika di muassasah Darul Ulum, murabbi selalu berpesan mengenai zuhud. Kata murabbi zaujahnya, (ustazah saya juga) semasa belajar di al-Azhar Mesir, jubah hanya ada 5 helai sahaja. Kemudian ustaz bertanya kepada kami anak muridnya, “ kamu semua ada berapa helai jubah?”. Jawab sendiri lah ya. Insaf.

Lalu salah seorang dari sahabat kami bertanya, “ ustaz, kalau keluarga kita ada duit..lebih kurang orang berada jugalah..keluarga yang biasa dengan benda yang mewah-mewah ni macam mana?”. “ kiranya kena sedekahkan semua harta dan jadi orang biasa juga ke?

Jawab ustaz, zuhudlah dengan apa yang kamu ada..”. Jadi, kalau kamu miskin, cukup dengan apa yang kamu ada. Kalau kamu kaya cukup dengan apa yang kamu ada. Guna segalanya dengan sebaik mungkin jangan sampai berlaku pembaziran atau kezaliman. Yang penting sekali segala yang kita ada dan amal adalah untuk disumbangkan kepada perjuangan Islam.

Dalam konteks kehidupan selaku seorang pelajar dan anak contohnya, zuhudlah dengan apa yang kita ada. Jangan terlalu memikirkan apa yang belum pasti dan teruskan perjalanan dengan apa yang kita ada sebaik-baiknya. Pesan dari anisah supaya kita berkhidmat kepada kedua ibu-bapa sehingga ke tahap “ Muntaha Ihsan ” iaitu kemuncak ihsan. Tambah-tambahan bila ibu-bapa kita sudah berumur dan uzur, jangan sekali-kali kita mengeluh dan bersabar ketika menguruskan segala hal mereka. Kerana sabda nabi Muhammad SAW bahawa “ syurga terletak di bawah tapak kaki ibu..” tambah anisah lagi, dan kuncinya ada pada bapa. Jadi kita perlu menghormati dan menyayangi kedua-duanya.

Berkata Imam Abul Qasim rahimahullah penulis kitab Risalah al-Qusyairiyah ; bahawa ramai yang berbeza pendapat dalam persoalan zuhud antaranya ada yang berkata:


"..فالصبر أحسن بصاحب الفقر ، والشكر أليق بصاحب المال الحلال."


“ ..bersabar adalah lebih baik bagi seorang yang fakir, dan bersyukur adalah lebih layak bagi seorang yang kaya.”

Bagaimana untuk merealisasikan terpulang kepada individu itu. Kesimpulannya, kita boleh memikirkan atau merancang kehidupan dunia ke arah yang lebih baik tetapi tidaklah sampai kita lupa tanggungjawab sebagai hamba Allah. Zuhudlah dengan apa yang ada…

Wednesday, November 25, 2009

Menuju Ruuhul Jaded


Insya Allah saya akan berpindah dari Fathul Mubin ke Ruuhul Jaded hari ini. Fathul Mubin akan ditinggalkan dan mungkin tidak ada lagi Bayt Fathul Mubin selepas ini. Kenangan bersama teman-teman akan tersemat di ingatan. Selamat tinggal Fathul Mubin.. semoga semuanya selamat dan berbahagia di destinasi yang dituju.

Banyak peristiwa dari kisah salafussoleh di bulan zulhijjah ini yang boleh sama-sama diambil iktibar darinya. Bagaimana pengorbanan siti hajar tika ditinggalkan oleh suami di gurun sahara.. tabah sungguh hatinya, keimanannya hanya kepada Allah~. Kerana pemberi rezeki bukan dari manusia, tetapi semuanya datang dari Allah. Kalau mahu berjuang sudah pasti menghadapi susah dan keperitan dalam hidup. Itulah jalan perjuangan sebenar. Hamba, bila mahu berada dijalanNYA pasti diuji bagi melihat sejauh mana benarnya keimanan dan ketaqwaan. Itulah “tarbiyah dari Allah” namanya..

Gambar sekitar perjalanan ketika urusan untuk berpindah…


Sunday, November 22, 2009

Ayuh Teman,Kita Warnakan Kemanisan!

Sudah tentu ada waktu dan ketika kita akan rindukan saat manis beramal dan mujahadah bersama teman-teman dan sahabat tika dikurnikan nikmat istiqamah beramal. Memang waktu kita ramai, berjamaah, semua kerja dan amal menjadi sangat mudah dan tika itu juga kita sama-sama berlumba-lumba mengumpul amal. Saat paling bahagia. Rasa diri sentiasa berwaspada dari melakukan dosa. Bersama bimbingan para murabbi yang tidak kenal erti kepuasan dunia kerana ada matlamat yang lebih jauh. Bukan setakat melepasi langit dan ke angkasa lepas atau ke bulan, tetapi matlamat yang jelas iaitu menuju akhirat dan mengejar cinta hakiki.~Allah~.


“kalau mahu berjaya dan istiqamah, pastikan sentiasa berada di dalam jamaah walau di mana kamu berada..”

“selalulah mohon kepada Allah agar kamu dikurniakan Istiqamah..”

“Istiqamah itu karomah..”

“beramal bukan sekadar mengumpul pahala, malah bercita-cita yang lebih lagi..”

“untuk mencapai perjalanan menuju redhaNYA, carilah Murabbi dan sahabat yang baik..”

“sentiasa mengormati para ulama dan mendampingi mereka..”

“yakin dan tawadhu’ agar permintaan hamba dimaqbulkan..”

“airmata menjadi saksi kepada rasa kekerdilan hamba hina…bermujahadahlah..teruskan berdoa tanpa henti..agar hati-hati kita ditarbiah olehNYA dan dikurniakan nikmat Istiqamah…”




Kata-kata tersebut adalah pesanan dari para murabbi dan sahabat perjalan saya. Siapa tidak mahu menjadi orang soleh dan solehah?. Jangan kita tangguh-tangguh untuk berubah. Kerana peluang itu datangnya sekejap perginya susah untuk kita dapatkan kembali. Perubahan tidak akan berlaku melainkan kita sendiri yang berusaha untuk mengubah diri kita disamping teruskan pergantungan kepada Allah agar perjalanan ini sentiasa di bawah penjagaannya…

Sama-sama kita hayati lirik ini…rindu pada teman-teman..;-(



PERJALANAN

Mulanya penuh sukar
Keyakinan teguh sendirian
Dibangkitkan sama teman-teman
Harungi suatu tujuan


Perjalanan masih jauh
Kemanisan menunggu ayuh
Masih penuh kesukaran
Namun yakin berkumpulan
Membangkitkan semangat tujuan
Mewarnakan kemanisan
Demi kemanusiaan


Album : Gema Alam
Munsyid : Raihan












~muassasah Darul Ulum~

Thursday, November 12, 2009

Kemilau Perjuangan Srikandi


Baru-baru ini ketika saya sibuk mencari bahan sejarah yang berkaitan dengan keterlibatan muslimat dalam perjuangan dan arena politik, saya tertarik dengan biografi seorang srikandi terbilang di Malaysia. Mungkin ramai yang sudah tidak mengenali beliau kerana masyarakat sekarang kurang berminat dan terbuka minda untuk mengetahui tentang sejarah lampau dan terus hanyut dengan peredaran zaman. Hakikatnya, sejarah yang berlalu tidak akan terus hilang. Walaupun sejarah itu sejarah yang hanya tinggal kenangan, tetapi biasa kita katakan bahawa sejarah akan kembali berulang. Dengan mengetahui sejarah dan asal-usul akan mengelakkan kita dari lupa daratan dan asyik dengan dunia sendiri.

Beliau yang dimaksudkan ialah al-marhumah Puan Seri Datin Sakinah binti Haji Junid (1923-2004) yang merupakan seorang tokoh wanita tersohor, dan juga “pencetus kebangkitan perjuangan wanita Malaysia”. Peranan beliau sebagai negarawan wanita yang di awal perjuangannya berjuang untuk agama, bangsa dan kemerdekaan tanahair berjuang terus selepas merdeka di landasan yang sama terhadap agama, bangsa dan Negara.

Latar belakang tokoh dari segi keturunan dan pendidikan sebagai titik tolak menjadikan beliau seorang yang cukup berani mencetuskan kebangkitan golongan wanita terhadap perjuangan menentang penjajah seterusnya menuntut kemerdekaan tanahair. Pada pasca merdeka, tokoh tersebut terus berjuang di dalam kancah politik negara Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia sebagai politikus wanita di mana beliau mengetuai sayap wanita Parti Islam SeMalaysia (PAS) dalam tempoh berpolitik yang panjang iaitu selama 20 tahun (1963-1983). Sudah pastilah Sakinah Junid punya liku-liku perjalanan perjuangan dakwah dan politik berSyariah yang cukup menarik untuk dituntuni, dikaji dan dipelajari oleh pejuang dan politikus wanita masa kini dan masa depan.

Sebagai tokoh wanita di barisan hadapan pasca pemerintahan Jepun, Sakinah Junid bolehlah dikatatakan sebagai pejuang wanita pertama di Malaysia yang telah memimpin suatu kelompok pejuang lelaki dan wanita. Beliau telah mengetuai rombongan 300 orang pemuda Angkatan Pemuda Insaf (API) dan wanita Angkatan Wanita Sedar (AWAS) berarak dari Padang Rengas ke Kuala Kangsar sambil menyanyikan lagu Darah Rakyat dan Dari Barat Hingga Ke Timur dengan penuh semangat di selang-seli dengan laungan “Merdeka! Merdeka! Merdeka!.” Sakinah Junid berjaya meyakinkan golongan lelaki di dalam kumpulan tersebut untuk berjalan kaki walaupun pada mulanya mereka menjadi lemah semangat untuk menghadiri perhimpunan raksasa menentang Malayan Union pada 28 Mei 1946 di Kuala Kangsar kerana kenderaan awam, malah lori dan kereta lembu pun tidak dibenarkan Inggeris membawa mereka ke Kuala Kangsar.

“Kalau kamu orang lelaki tidak mahu ikut serta menentang Malayan Union, biar kami srikandi sahaja yang pergi. Kamu orang lebih baik pakai sarung di rumah”, tegas Sakinah dengan penuh bersemangat jitu. SubhanALLAH~ Very improve!!!

Kesimpulannya, tokoh ini bukanlah seorang pejuang wanita untuk wanita kerana beliau adalah pejuang wanita untuk agama, bangsa dan Negara.

Pendidikannya di Sekolah Diniah Puteri Padang Panjang, Sumatera Barat, Indonesia sebagai sekolah yang membentuk cara berfikir dan keperibadian tokoh melalui proses “dakwah dan tarbiah” yang akhirnya menjadikan beliau seorang pemimpin yang berkarisma. Perjuanganya di dalam pertubuhan pro sisasah khusus untuk wanita yang pertama pra merdeka di mana beliau telah memimpin Angkatan Wanita Sedar (AWAS) cawangan Padang Rengas ketika usianya 25 tahun. Seterusnya sebagai penggerak kesedaran politik terhadap golongan wanita. Diikuti perjuangannya di peringkat awal di dalam Parti Islam Semalaysia (PAS) melaui sayap wanitanya yang dinamakan Dewan Muslimat semenjak kewujudan sayap ini di dalam PAS pada tahun 1953. Setelah sepuluh tahun penubuhannya tokoh ini telah pula mengetuai sayap ini selama 20 tahun.

Sakinah terkenal dengan pidatonya yang berapi dan menaikkan semangat para pendengar. Seorang yang cukup berkarisma dan disegani. Dia adalah seorang karakter wanita Malaysia yang cukup hebat. Ketika berpidato Sakinah mampu mengusik emosi pendengar dengan susunan kata-kata yang cukup indah dan berpuitis. Di selang seli dengan dakwah dan ayat-ayat Al Quran. Dimaniskan dengan sajak dan pantun.

Beliau merupakan isteri seorang Pemimpin PAS Tan Sri Datuk Asri Muda. Sakinah Junid boleh dikatakan bersara dari politik pada usianya 70 tahun. Menghabisi sisa hidupnya sebagai seorang ibu kepada 10 orang anak, cucu-cucu dan cicitnya. Beliau yang menghidap bronkonemia akhirnya meninggal dunia pada 7 September tahun 2004 pada usia 81 tahun dan disemadikan di perkuburan Orang Islam di Sungai Tangkas.

Sumber-sumber di atas boleh didapati di (http://sakinahjunid.wordpress.com/2008/03/18/proposal-no-1-application-for-ma-univ-malaya/). Saya mula tertarik untuk mengenali akan siapakah Puan Seri Datin Sakinah setelah melihat nama beliau sebagai ketua DMPP (http://www.muslimat.pas.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=13&Itemid=31)yang berkhidmat paling lama sudah tentu mempunyai karisma unggul menyebabkan beliau mampu ke tahap itu. Walaupun saya tidak dapat mengenali beliau dengan lebih dekat tetapi dengan sumber yang diperolehi ini diharapkan sumber yang benar. Marilah sama-sama kita bermuhasabah sudah bersediakah kita untuk sebuah perjuangan? Sebagai mata rantai perjuangan sunnah Rasulullahi sallallahu alaihi wasallam dan para sahabat demi melihat Islam dapat ditegakkan dan berdaulat!


~Mencipta peribadi Tamtama & Srikandi terunggul~


Srikandi Islam, feerless!

Sunday, November 08, 2009

Cabar-Mencabar..!?Ver.2

Srikandi Islam Sumber Inspirasi


Kronologi sejarah dunia dalam memaparkan tokoh-tokoh kepimpinan dari golongan srikandi wanita telah menunjukkan bahawa ianya satu fitrah dan merupakan hakikat daripada rentetan sejarah ini. Malahan, keterlibatan wanita dalam mencorak pemerintahan Negara dan dunia mampu menyumbang kepada kemurnian politik pemerintahan di sesebuah Negara.


Seterusnya, saya ingin membawa anda dengan sumber yang ringkas tentang sejarah kepimpinan wanita merangkumi pro dan kontra berpandukan perspektif Islam. Beberapa contoh di bawah adalah berkaitan dengan kepimpinan wanita atau muslimat dan gerakan atau jemaah yang didokonginya:


1. Kepimpinan muslimat di zaman rasulullah SAW dan para sahabat:


penglibatan Ummu Salamah dalam memberikan pendapat kepada Rasullah SAW semasa perjanjian Hudaibiah seterusnya pendapat Ummu Salamah dilaksanakan oleh Baginda SAW. Ini termasuk dengan penglibatan Saidatina Aishah di dalam Perang Jamal semasa zaman pemerintah Saidina Ali r.a kemudian penglibatan Nusaibah atau Khaulah Al-Azwar yang bersinar di medan perang.


2. Kepimpinan muslimat IM (ikhwan):


Kepimpinan yang dipimpin oleh Zainab Al-Ghazali yang pada mulanya jemaah itu hanyalah dianggotai oleh muslimat sahaja yang kemudiannya bersama berjuang dengan jemaah IM di dalam satu jemaah yang membawa syiar untuk mendaulatkan ISLAM.


3. Kepimpinan feminisme dunia dan Negara:


Kepimpinan ini tidak berlandaskan kehendak syariat dengan hanya memenuhi kehendak dan perjuangan yang tidak bermatlamatkan syiar Islam. Karekter umum yang dapat dilihat seperti ibu Kartini atau Aung San Suu Kyi dalam memimpin perubahan rakyat dan kepimpinan negara seperti Corazon Aquino, Benazir Bhutto , Magaret Thatcher, Indira Ghandi dan banyak lagi. Walaupun mereka merupakan pemimpin wanita terbilang dunia namun ia masih tidak dapat dijadikan tauladan sepenuhnya oleh para muslimat.


4. Kepimpinan muslimat Parti Islam Se-malaysia:


Contoh terdekat sharifah rahmah sebagai ketua DMPP pertama, Datin sri sakinah junid yang menjadi ketua DMPP tiga sesi berturut-turut, sehinggalah kepimpinan ustazah Nuridah Mohd Salleh dan ramai lagi karektor kepimpinan DMPP yang patut diteladani. Kepimpinan muslimat yang bernaung di bawah satu jemaah dengan wadah menegakkan syiar Islam.


Namun di sana keterlibatan wanita dalam arena politik dan kepimpinan yang menuntut untuk wanita itu turun ke medan dan keluar dari kelompok fitrah kepada medan yang lebih mencabar sememangnya penuh dengan mehnah dan tribulasi. Perjuangan yang dicanangkan bukan untuk menurut hawa nafsu sehingga menghalalkan segala-galanya. Batas-batas syariat perlu diketahui agar semangat kepimpinan untuk bersama dalam perjuangan itu menjadi satu amal yang diredhai Allah dengan maksud hendaklah perjuangan muslimat itu adalah bertujuan bagi bersama-sama dengan kaum muslimin bagi menunaikan amanah Allah yang terpundak di bahu ini.


Dari topik yang dibawa di atas cuba kita fikirkan dari manakah lahirnya kepimpinan wanita dan muslimat ini? Hampir kesemuanya menunjukkan bahawa kepimpinan yang lahir adalah hasil dari pembinaan sahsiah mereka di bawah satu gerakan atau jemaah muslimat. Ini jelas membuktikan bahawa kebangkitan perjuangan muslimat telah berlaku pada sejarah pejuang terdahulu. Kehendak dan kemaraan muslimat dengan kesedaran politik yang tinggi menyebabkan tercetusnya jemaah muslimat bagi pembinaan sahsiah karismatik, berkaliber dan punyai tanjak sebagai pimpinan wahana pembentukan kepimpinan yang berasaskan syariat Islam.


Muslim women..

In the wake of change

Brave as a warrior

Always true and ready

To fight for noble aims

Daring to make the ultimate sacrifice!


: Fikrah srikandi,
21 zulqaedah 1430H, Damascus, Syria.

Wednesday, November 04, 2009

Cabar-Mencabar..?


Prolog..







Muslimat dari sudut tanggungjawab dalam masyarakat merupakan pembantu kaum muslimin.


Di dalam al-Qur’an Allah SWT berfirman yang bermaksud :


“Dan orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi Penolong bagi setengahnya Yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.


(At-Taubah:71)


Sungguhpun demikian ada beberapa perbezaan hak dan tugas di antara muslimin dan muslimat, sama ada di bidang ibadat mahupun dibidang kemasyarakatan. Perbezaan itu berlaku adalah disebabkan tabiat semulajadi yang berbeza di antara kedua-dua golongan ini di mana hikmahnya diketahui oleh Allah pencinta insan.

Muslimat penyelesai masalah, bukannya pencetus masalah!

Muslimat sebagai anggota masyarakat.

Muslimat sebagai anggota masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk menyeru kepada makruf dan melarang, mencegah kemungkaran bersama-sama dengan muslimin..Kisah muslimat yang berlaku ketika zaman sahabat ialah teguran yang dilakukan oleh seorang muslimat kepada Amirul Mukminin Umar bin Al-Khatab ketika sedang berucap untuk mengadakan sekatan terhadap kenaikan maskahwin. Muslimat tersebut dengan ikhlas dan jujurnya memberitahu Umar : “Patutkah engkau berbuat demikian sedangkan Allah SWT mengizinkan para wanita menaikkan maskahwin walaupun dengan kadar satu pikul emas?”. Mendengar kata-kata itu, Umar terus mengakui kesilapan beliau dan merujuk kembali kepada keadaan yang asal dengan tidak mengadakan sekatan terhadap naik-turunnya maskahwin.

Pengajaran yang dapat diambil dari kisah tersebut bagaimana keberanian muslimat selaku rakyat untuk menyatakan kebenaran dan keterbukaan pemimpin untuk mendengar dan berlapang dada dengan kesalahan yang dilakukannya.



…..bersambung…..

Wednesday, October 28, 2009

Tunggu, Singgah Kejap!

~Jika Aku Jatuh Hati~

“Ya Allah jika aku jatuh cinta,
cintakanlah aku pada seseorang
yang melabuhkan cintanya padamu,
agar bertambah kekuatanku menyintaiMu.
Ya Muhaimin jika aku jatuh hati,
izinkanlah aku menyentuh hati
seseorang yang hatinya tertaut padaMu
agar tidak terjatuh akudalam jurang cinta nafsu...
ya rabbana jika aku jatuh hati,
jagalah hatiku padanya agar tidak
berpaling daripada hatiMu..
Ya Rabbul izzati jika aku rindu,
rindukanlah aku pada seseorang
yang merindui syahid di jalanMu..
Ya Allah jika aku menikmati
cinta kekasihMu, janganlah kenikmatan itu
melebihi kenikmatan indahnya bermunajat
di sepertiga malam terakhirMu...
Ya Allah jika aku jatuh hati
pada kekasihMu, jangan biarkan aku tertatih
dan terjatuh dalam perjalanan panjang
menyeru manusia kepadaMu...
Ya Allah, jika kau halalkan aku
merindui kekasihMu,jangan biarkan aku
melampaui batas sehingga melupakanku
pada cinta hakiki dan rindu abadi
hanya kepadaMu”.
Amin..
Doaku..moga kita sama-sama
berjaya di dunia dan akhirat..
berjaya dalam mengharungi
segala dugaan dan cabaran..
yang sememangnya
menguji kekuatan iman..
kerana tapak iman itulah yang
menemukan cinta yang selama ini telah hilang...
SUMBANGSIH : JUNIOR_BAHTERA

Monday, October 19, 2009

Bersamamu Palestin


Bersamamu Palestin-Syawal1430H


Alhamdulillah pada 18 okt 09, pukul 10 pagi waktu Syria saya dan sahabat-sahabat telah diberikan peluang oleh Allah SWT untuk bertemu buat kesekian kali dengan muslimat Hamas di Syria. Kehadiran kami di maktab Hamas telah disambut oleh Ummu Hassan yang berkhidmat di pejabat tersebut. Kelihatan Ummu Muhammad (zaujah as-syahid Izzuddin) dan sahabatnya Ummu abdullah telah pun menunggu ketibaan kami. Oleh kerana kami telah berpecah kepada 2 kumpulan hanya saya dan kak Ida yang sampai dahulu. Berbaki lagi 3 orang sahabat saya yang dalam perjalan ke maktab. Kami telah dijemput oleh Ummu Muhammad untuk sarapan pagi bersama mereka. Alangkah bertuahnya dapat duduk dan makan bersama orang-orang yang hatinya cintakan Allah dan perjuangan Islam…



sarapan pagi bersama muslimat Hamas


Pertemuan kami diteruskan dengan sesi temuramah oleh wartawan MM berkenaan isu-isu terbaru yang berlaku di Palestin juga tentang pengalaman kehidupan rakyat Palestin di perantauan. Kebetulan juga baru sahaja berlangsung program “ Multaqa Golan” atau “International Arab Forum” dianjurkan oleh kerajaan Syria pada 11,12 Oktober bagi mempertahankan tanah Golan daripada dirampas oleh yahudi. Banyak kisah sedih yang diceritakan. Seperti biasa yahudi laknatullah dan konco-konconya tidak pernah serik untuk meneruskan jenayah yang telah dilakukannya. Kebanyakan kisahnya sama seperti apa yang kita dapat lihat, dengar dan baca dari ruangan media. Kekejaman dan kerakusan untuk memusnahkan umat Islam masih berterusan..


HELWI PPMS dan Wakil MM bersama Ummu Muhammad


Apa yang saya inginkan dari pertemuan ini adalah untuk mengambil semangat ruh jihad yang ada pada diri mereka agar ruh itu terus mengalir ke jasad dan hati kami. Kata-kata akhir dari Ummu Muhammad bagi mengakhiri pertemuan bersama beliau ialah agar ukhuwah kami bukan hanya atas nama Islam, di dunia tetapi hingga ke akhirat dan bersama-sama di Jannah nanti..Amin ya Rabb. Sepertimana namanya Syuhada, semoga dimaqbulkan doa kedua ibu-bapa agar menjadi Syuhada fi sabilillah! Itulah yang sering saya sebutkan kepada mereka..semoga doa dari para solehaat lebih diterima di sisiNYA..Insya ~Allah..


~Nahnu Ma’akum!~

Saturday, October 17, 2009

Muslimat Dan Amal Islami

Muslimat Dalam Amal Islami Yang Ideal

Pengenalan muslimat dan realiti dunia masakini

Realiti dunia masakini telah menyaksikan bahawa kepesatan umat manusia dan keruntuhan tamadunnya yang semakin hari semakin meruncing. Kebejatan masalah sosial tanpa mengira batasan usia, krisis politik negara dan dunia yang telah tercemar dan bermacam-macam lagi kerosakan yang melata di muka bumi ini. Segala permasalahan tersebut telah menarik penulis dengan menyebarkan medium dakwah bagi berkongsi fikrah untuk kaum muslimat. Penulis lebih suka untuk menggunakan perkataan ‘muslimat’ tidak ‘wanita’ dan tidak ‘kaum ibu’ kerana ianya mempunyai perbezaan dari segi peranannya.
Firman Allah subhanahu wa ta’ala yang bermaksud:

“ Ia (Allah) menamakan kamu muslimin sejak dari zaman berzaman dan juga (kamu dipanggil muslimin) di dalam kitab al-qur’an”.
( Al-Hajj: 78)
“sesungguhnya muslimin dan muslimat dan mukminin serta mukminat..”
(Al-Ahzab: 35)

Ayat–ayat tersebut memberi jawapan mengapa penulis lebih berminat untuk menggunakan perkataan muslimat di dalam artikel ini.

Tanggungjawab muslimat dan peranannya

Muslimat sebagai anggota masyarakat perlu sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab dan amanah-amanah yang telah ditaklifkan oleh Allah selaku khalifah dan hamba-Nya di muka bumi. Muslimat merupakan tunggak kepada pembentukan sesebuah masyarakat kerana merekalah kaum ibu yang bakal melahirkan generasi akan datang. Maka peranan muslimat adalah mendidik serta menjaga kelangsungan generasi Islam itu sendiri agar generasi yang lahir itu menjadi “generasi terpimpin” yang dibentuk dengan acuan Islam seterusnya membentuk khaira ummah. Kehebatan tugas kaum ibu yang mampu melahirkan generasi gemilang ini pernah disebut dengan ungkapan “tangan yang disangka lembut menghayun buaian, menggoncang dunia mencipta sejarah!”. Tetapi apa yang penulis dapat lihat bahawa ungkapan itu kini sudah tidak realistik lagi dan telah berubah kepada “tangan yang menghayun buaian, menggoncang iman meruntuh ummah!”. Ianya melambangkan kelemahan dan keruntuhan moral masyarakat yang semakin tenat ini.

Keberadaan muslimat bersama massa merupakan suatu kewajipan sebagai pembantu bagi kaum muslimin dalam menjalankan suruhan “amar makruf dan nahi munkar”. Namun di sana ada perbezaan hak dan tugas di antara muslimin dan muslimat sama ada di bidang ibadat mahupun di bidang kemasyarakatan. Peranan muslimat mempunyai beberapa pembahagian yang mengasingkannya dari sudut-sudut berbeza. Peranan muslimat sebagai seorang isteri, ibu dan sebahagian dari massa merupakan elemen penting yang perlu diambil perhatian. Perubahan segera perlu dibuat dari lebih suka berada di “zon selesa” ke medan sebenar yang penuh dengan “mehnah dan tribulasi”. Kematangan dan pengalaman hidup akan diperolehi dengan keluar dari ruang lingkup yang selama ini membelenggu diri tanpa sebarang sumbangan untuk Islam.

Persiapan muslimat untuk mendepani cabaran

Persiapan perlu dibuat oleh muslimat bagi mendepani cabaran masakini. Di antara persiapan yang perlu dibuat adalah persiapan ilmu yang menjadi keperluan penting dengan sentiasa mendalami ilmu sebagai satu kewajipan. Muslimat wajib mendalami ilmu yang dipelajari dalam setiap bidang terutama asas aqidah yang mencernakan akhlak dan menzahirkan syariat. Muslimat hendaklah memiliki kompetensi (skill-sets) iaitu kepakaran dalam bidang lain agar seiring dengan kehendak massa. Asas terpenting kecemerlangan seseorang adalah ilmu dan kepakaran.

Persiapan memperkasa minda dan pemikiran juga dituntut sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“ Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak, dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.”
(surah al-Baqarah : 269)

keupayaan minda dan pemikiran sebenarnya menjadi isu dalam mengukur kebolehan kolektif muslimat. Kerana itu persiapan minda yang bersifat menyeluruh mencakupi kefahaman terhadap hukum-hukum Allah, mengetahui isu-isu semasa, memiliki ‘ bacaan politik’ (qiraat siyasi) yang tajam serta memahami keperluan melakukan perubahan bersikap elastik dan juga keupayaan membaca serangan pemikiran (ghazwatul fikr) yang dilancarkan musuh. Pemikiran yang matang seperti ini akan melahirkan muslimat yang akan berdakwah dan mempertahankan ad-deen tercinta serta bertindak mengikut rentak kontemporari (mua’sir). Hapuskanlah virus yang mencengkam diri, kebuntuan minda akibat ‘buta maklumat’ dan terperangkap dalam kejumudan.

Persiapan seterusnya adalah membentuk jatidiri berwibawa. Pembentukan jatidiri perlu dimaksimakan dengan mengenepikan kekurangan yang ada seterusnya dilengkapkan dengan penjanaan kendiri yang lebih matang. Tidak dinafikan wanita tidak boleh dipisahkan dengan sifat malunya, tetapi jangan sampai malu untuk menyatakan kebenaran, pendapat dan sebagainya. Jangan biarkan perasaan malu itu terus membaluti diri! Muslimat perlu keluar dari kepompong fenomena “complaisant” dan “culture of fear”.

Buang mentaliti orang ke-2 atau ke-3 iaitu dgn membiarkan ikon yang sedia ada sahaja ke hadapan tanpa melihat tanggungjawab yang ada pada diri, tetapi muslimat perlu menjadi yang pertama. Pada hari ini sukar untuk kita nyatakan siapakah pemimpin wanita tanahair yang unggul. Malaysia belum pernah mencatat sejarah memiliki seorang karekter wanita setanding Ibu Kartini atau Aung San Suu Kyi dalam memimpin perubahan masyarakat kalau pun tidak memimpin negara seperti Corazon Aquino, Benazir Bhutto , Magaret Thatcher, Indira Ghandi dan Khaleda Zia. Jauh sekalilah jika ingin mencari bayangan Saidatina Aisyah , Nusaibah atau Khaulah Al-Azwar yang bersinar di medan perang. Kegiatan muslimat masih berlegar dalam gelanggang pembelaan kaum sejenis dan masih belum melangkau ke arah memimpin masyarakat keseluruhannya.

Persiapan perlu dibuat dan jangan ‘limit’kan kemampuan diri ke tahap yang rendah. Tetapi katakan dalam diri bahawa “ belum cuba belum tahu” atau “ hendak seribu daya..”. berusaha memotivasikan diri sendiri adalah salah satu cara bagi membentuk jatidiri yang berwibawa. Tentukan “muwasafat” yang diperlukan oleh diri. Jangan biarkan sindrom muslimat yg terlalu merendah diri diperkatakan lagi oleh golongan tertentu. Gerakkan agenda perubahan yang lebih serius serta peruntukan masa untuk membangunkan dan membina diri. Muslimat perlu sedar bahawa pertembungan pada hari ini adalah pertembungan antara kebatilan dan kebenaran yang tidak akan ada perdamaian.

Muslimat pembangun ummah

Perlaksanaan Amal Islami yang ideal adalah yang bertunjangkan al-quran dan as-sunnah. Ironinya idealisme ini masih belum mendapat perhatian serius dari semua pihak. Kebanyakannya masih meletakkan perbezaan antara peranan muslimin dan muslimat dalam menjalankan amal Islami dan menyebarkan dakwah. Kesedaran ini perlu dirasa bersama seterusnya memudahkan amal Islami dijalankan. Persedian yang telah disarankan adalah antara panduan sebagai peneraju kepada kebangkitan muslimat dalam membentuk masyarakat.

Penulis mengharapkan responsive segera muslimat untuk terus maju melangkah ke hadapan agar menjangkau kehebatan kaum kuffar. Peristiwa penghinaan hak-hak muslimat sepatutnya memberikan kesan sensitivity kepada mereka. Muslimat harus bingkas bangun dan menzahirkan penentangan mereka dan juga dalam hal-hal urusan yang lain yang menyinggung kepentingan wanita secara khususnya dan kemaslahatan umat Islam. Harapannya semoga muslimat dapat bersatu dan bergabung tenaga bagi mendepani isu-isu wanita dan kekeluargaan merentasi batas kaum etnik dan agama. Jika gerakan wanita bukan Islam berani dan biadap dengan berusaha sedaya upaya untuk merosakkan Islam, adakah muslimat masih berdiam diri dan tidak mampu berusaha untuk mempertahankan Islam? Jika tidak muslimat siapa lagi?.

Monday, October 12, 2009

Pemerintahan Islam Berdaulat

Walaupun pemerintahan Islam dijatuhkan sudah sekian lama namun cahaya Islam tidak pernah dapat dipadam dan disekat. Sinar cahaya Islam itu terus menembusi tembok-tembok sempadan dan benteng sekatan yang dilakukan oleh kaum kuffar laknatullahi a’laihim. Di sana ada kekuatan yang tidak dapat dihancurkan oleh musuh-musuh Islam walau dengan apa cara sekalipun mereka tidak mampu untuk menandingi kuasa Allah yang maha esa. Mana mungkin makhluk yang diciptakan oleh Allah sebagai penciptanya mampu untuk mengubah dan melawan kehendak penciptanya.

Orientalis barat pernah menyebutkan tentang kehebatan umat Islam iaitu di dalam kata-kata beliau :
“Walaupun dunia barat telah Berjaya melumpuhkan dan menjatuhkan pemerintahan Islam, namun di sana ada 2 batu besar yang tidak dapat dijatuhkan dan dimusnahkan walaupun dengan bala tentera dan armada yang datang menyerang. Sekiranya serangan diteruskan ke dua-dua batu besar itu tidak akan dapat dijatuhkan atau hancur sama sekali melainkan tentera dan armada itu yang akan musnah”.

2 batu besar itu adalah :

1. Al-Qur’an: kerana ianya adalah mukjizat nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang tidak boleh dihapuskan sampai hari kiamat.

2. Kaabah: adalah qiblat umat Islam.

Kaum kuffar tidak akan takut sama sekali dengan ulama yang hanya mengajar ilmu fardhu ain, ibadah sahaja tanpa membawa seruan dakwah Islam yang sebenar. Tetapi yang mereka takuti adalah ulama yang membawa mesej dakwah Islam sebenar iaitu “al amru bil makruf wannahyu a’nil munkar”. Maka sekiranya kita hanya menyeru umat ini dengan melakukan perkara makruf tanpa melarang dan mencegah kemungkaran ianya masih belum mencukupi syarat-syarat dakwah sebenar.

Hakikatnya segala perancangan dan ideologi-ideologi barat gagal untuk melumpuhkan kebangkitan Islam. Kerana Islam menguasai pemikiran dan hati-hati manusia. Sehinggalah berlakunya kebangkitan kepada Islam sepertimana yang berlaku di Palestin, Turkey, Iran, Lubnan dan Malaysia. Perjuangan Islam itu sendiri berasaskan dengan maudhu’ Islam yang mana perjuangan wajib diteruskan sampai Islam berdiri dan ditegakkan.


Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Hajj-41:



“Iaitu mereka (umat Islam) Yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara Yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan Segala urusan”.

Ayat ini telah menjelaskan beberapa ciri yang perlu ada pada pemimpin yang dipilih bagi memerintah dan memimpin umat ke jalan yang diredhai Allah. Ciri-ciri tersebut adalah :

1. Mereka yang mendirikan sembahyang.

2. Mereka yang memberi zakat.

3.Mereka yang menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemungkaran
.

Firman Allah s.w.t lagi di dalam surah an-Nuur – 55:


“Allah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) Bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah Yang memegang Kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang Yang sebelum mereka: khalifah-khalifah Yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) Yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu Dengan tidak mempersekutukan sesuatu Yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa Yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka”.

Ayat tersebut jelas mengandungi peringatan bahawa khilafah Islam itu sangat diperlukan dan wajib diperjuangkan sehingga berlakunya perkara sebagaimana datangnya Islam menukarkan umat daripada ketakutan kepada keamanan.

Pernah diriwayatkan di dalam sebuah hadis dari kitab riyadussolihin di dalam bab as-sobru daripada abu Abdullah khabbab bin al-arat bahawa mereka(para sahabat) pernah mengadu kepada rasulullah supaya didoakan agar meminta kemenangan bagi umat Islam. Lalu dijawab permintaan para sahabat dengan tazkirah bahawa perlu bersabar di dalam menegakkan agama Allah. Sesungguhnya demi Allah, bahawa Allah akan menjadikan agama ini (Islam) akan menang!. Inilah yang dikatakan Islam itu memerintah dan berdaulat. Untuk menunaikan perkara ini iaitu perjuangan menegakkan Islam tentulah akan berhadapan dengan kezaliman. Perjuangan Islam perlu didokong sampai ke puncaknya dan tidak akan berhenti walaupun ditekan dan dizalimi dengan teruk. Sedarlah bahawa, Perjuangan ini bukan mudah! Tanpa kekuatan dan tamkin yang dikurniakan oleh Allah serta kesabaran dalam menghadapi mehnah ini kita tidak akan dapat melihat Islam itu tertegak di muka bumi. Wahai umat dakwah, tahsinkanlah jiwa dan hati-hati agar roh Islam terus membentuk jatidiri mukmin sejati..

Thursday, September 24, 2009

Sinar Syawal Di Bumi Syam


Salam Aidil Fitri 1430 H.
Maaf Zahir & Batin.

Min: saffa@srar,
Damascus, Syria.


Kini hampir 4 tahun saya menyambut hari raya di perantauan. Kerinduan pada tanah air Malaysia terpaksa ditahan demi perjuangan untuk menuntut ilmu di bumi ini. Kerana inilah cita-cita dan perjalanan perjuangan yang telah dipilih. Kepada Allah diserahkan taqdir agar perjalan hamba berakhir dengan “husnul khatimah”. Amen ya rabb. Alhamdulillah, sambutan raya kali ini meriah juga dengan kehadiran kak Ida dan anak-anaknya yang tinggal sementara bersama kami. Kebetulan saya dan ahli bayt hanya tinggal 3 orang sahaja oleh kerana yang lain telah pulang bercuti / balik Malaysia.


Ramadhan telah berlalu jua. Perasaan sedih, pilu dan sebak mula dirasai apabila saya mendapat berita bahawa raya di Syria jatuh pada hari ahad. Bulan barakah itu akan saya tinggalkan. Kembali kepada fatrah biasa yang penuh dengan dugaan dan ujian. Adakah masih ada peluang untuk bertemu dengan ramadhan yang akan datang? Wallahu a’lam.


Pagi syawal saya tidak terlalu sibuk dengan persiapan jamuan raya kerana semuanya telah diselesaikan sebelum malam raya lagi. Pagi itu saya mengikuti jemaah solat raya di Jami’e Khair Wa Yaasin. Antara khutbah menarik dari imamnya ialah saranan daripada beliau agar kita banyak berdoa pada Allah supaya dikurnikan ISTIQAMAH dalam agamaNYA dan terus mentaati ajaran nabiNYA, Muhammad sallallahu alaihi wasallam.


Disamping itu, dalam keseronokan kita beraya keadaan umat Islam yang ditindas, dihina dan dizalimi juga jangan kita lupakan. Contohnya umat Islam di Palestin terutamanya Gaza, di Mindanou, Pattani dan banyak lagi yang raya mereka dihujani dengan serangan bom dan peluru. Teruskanlah sumbangan dan doa yang tidak putus-putus untuk kesejahteraan umat Islam sejagat. Sesungguhnya doa orang yang dizalimi adalah mustajab. Sedarlah bahawa anti kezaliman itu adalah daripada cabang iman.

Baru-baru ini saya juga berpeluang berkenalan dengan Ummu Azhar (zaujah sheikh Kuraiyim Rajih (qurra’ syam) setelah menziarahi sheikh pada bulan ramadhan. Perkenalan dengan beliau begitu bermakna buat saya kerana bukan mudah untuk mendekati orang-orang hebat macam ni. Banyak pengalaman baru yang saya dapat dari perbualan bersama ummu Azhar. Semoga ikatan ukhuwah ini berkekalan hingga ke akhirat. Amen.

Wednesday, September 09, 2009

Memaknakan Ramadhan

Memaknakan Ramadhan : Visi Menyelusuri Kebahagiaan Mukmin


Hari-hari yang berlalu tidak dapat diputarkan kembali. Sedar tidak sedar Ramadhan telah menjengah ke fatrah maghfirahnya. Sebagai manusia dan hambaNYA kita perlu redha dan tetap terus berjuang demi menjalani kehidupan mendatang. Pernahkah kita bermuhasabah sudah tahap manakah perjalanan kehidupan kita ini? Sudah yakinkah bahawa kita akan bertemu dengan Allah di akhirat kelak dengan wajah yang gemilang atau sebaliknya? Tahukah anda berapakah jaraknya lagi persinggahan yang akan anda tempuhi sehingga ke wawasan akhirat kelak?

Jika diperhatikan kita semua yang hidup di dunia ini baru melalui ke persinggahan yang ke-3 pada peringkat perjalan kehidupan seorang hamba itu sebelum sampai ke alam akhirat yang kekal abadi. Persinggahan yang dimaksudkan adalah persinggahan kita di alam dunia. Kita semua telah Berjaya melepasi 2 alam iaitu alam arwah dan alam rahim yang mana kita semua telah mengikat janji dengan Allah S.W.T sebelum kita masuk ke alam seterusnya iaitu alam dunia.



gambar rajah perhentian seorang hamba..


Umat Islam sentiasa diberikan peringatan dan peluang di dalam setiap detik kehidupannya. Adanya panggilan azan menandakan masuknya 5 waktu solat setiap hari, khutbah dan solat jumaat pada setiap minggu dan adanya Ramadhan yang merupakan bulan terbaik bagi setiap tahun. Kesemua kelebihan tersebut hanya dapat dirasai dan dikecapi oleh muslimin sebagai anugerah dari Allah S.W.T. Selaku hamba perlu bersyukur dan beriman dengan menambah amal dan ibadah bagi menunjukkan rasa kesyukuran.

Hamba yang bertaqwa dan beriman akan sentiasa berusaha bagi merealisasikan impian hamba mukmin dengan memanifestasikan insane kamil selepas takharuj dari madrasah Ramadhan yang dilaluinya selama 1bulan itu. Biar kita “tamak dan mabuk pahala dan ibadah”, kerana bulan ini telah dibukakan kepada kita seluas-luasnya pintu rahmat dan pengampunanNYA. Daripada sheikh Mahmud Dahla; “berpuasa ini adalah untuk memperkukuhkan taubat” Kerana lain-lain masa kita bertaubat tetapi ketika berpuasa ini adalah peluang untuk kita memperkukuhkan taubat kita. Hanya usaha hamba yang perlu dilaksanakan sahaja lagi.
Ayuh para pejuang agama Allah, kita sahut seruan membolot amalan soleh…percepatkan pecutan dayungan perahu taqwa ini…agar sampainya nanti tidak karam dipertengahan perjalanan…

Ramadhan; awwaluhurrahmah, wa ausatuhu maghfirah, wa akhiruhu itqun minannar..-insya Allah~

Sunday, August 23, 2009

ITQAN "EDISI KHAS" 09

Insya Allah, segala usaha dan amal yang dilakukan akan mendapat rahmat dan ganjaranNYA di akhirat kelak..~Selamat berjuang buat sahabat2ku..team ITQAN 09~

Monday, August 17, 2009

Medium Pembentukan Fikrah

Membaca Medium Pembentukan Fikrah

Semalam merupakan hari terakhir ‘Ma’rad Kutub Ad-Du’ali’ ataupun pesta buku yang diadakan di madinah ma’rad Damascus, Syria. Saya sempat pergi ke sana sebanyak 2 kali bersama achik dan ahlulbayt. Alhamdulillah, dapat juga saya membeli beberapa kitab yang telah disenaraikan sebelum ke sana.


Tetapi kitab yang saya beli kesemuanya kitab mua’sirah bukan turath dan bukan kitab untuk di kuliah. Kerana bagi membeli kitab kuliah lebih sesuai dibeli setelah bermulanya pengajian untuk melihat dahulu kitab yang dipilih oleh pensyarah. Kadang-kadang jika kita membeli sebelum pengajian bermula agak mengecewakan kerana pensyarah belum tentu lagi akan menggunakan kitab yang sama dengan tahun sebelumnya.


Agak kelakar kerana kitab-kitab pilihan saya kali ini banyak juga yang menjurus ahwal mar’ah dan usrah muslimah. Walaupun pada asalnya saya tidak berniat untuk membeli kitab yang membincangkan isu yang sama (kerana saya sudah ada banyak) kitab yang membincangkan mengenai isu tersebut. Pada awalnya saya ingin membeli kitab ‘Mufassal fi ahkamil mar’ah wa baytul muslim fi syari’ah Islamiyah’ karangan Dr. Abdul Karim Zaidan yang mempunyai hampir 10 jilid kalau tidak silap. Tetapi kitab tersebut telah habis dicetak dan cetakannya akan dikeluarkan beberapa bulan selepas ini.


Pada kali ini saya banyak membeli kitab dari pengarang yang bernama Dr. Solah Abdul Fatah Al-Khalidi kerana berminat dengan tulisan beliau setelah saya membaca kutaib beliau yang bertajuk ‘Khittatul barraqah lizin nafsit tauwaqah’ merupakan bacaan motivasi bagi yang mahu melahirkan anjakan padadigma selaku talibul ilmi yang ingin berjaya.



Apa-apa pun saya berpuas hati dengan kitab-kitab pilihan yang telah dibeli itu. Semoga ianya dapat memberikan manfaat untuk saya meneruskan perjuangan ini. Membaca merupakan salah satu hobi saya dimasa lapang selain daripada menulis. Dengan membaca akan melahirkan percambahan fikrah yang begitu banyak dan bermanfaat.

Ahlan Ya Ramadhan...1430 H

Monday, August 10, 2009

Aku Menangis Di Bumi Syam



“And so we have made you a median nation, in order that you will be a witness above the people, and that the messenger be a witness above you.”



Sebelum ini saya pernah membaca kutaib “Ya Binti” dan terjemahannya “Puteriku” yang telah ditulis oleh as-syeikh Ali At-Thontowi. Makalah yang telah ditulis oleh beliau dengan nasihat yang sangat berhikmah pehuh dengan naluri kebapaan untuk memberi pesanan khusus buat muslimat dan putera-puteri Islam. Antara yang disebutkan beliau ialah mengenai Negara umat Islam yang semuanya tidak selamat lagi dari gelombang kemungkaran. Sehinggakan bumi syam yang dahulunya dihuni oleh masyarakat yang terkenal berakhlak dan di antara masyarakat yang terlalu menjaga kehormatan diri dan keturunan, namun kini perempuan-permpuannya keluar dalam keadaan penuh terdedah dan mengeksploitasikan diri mereka sendiri serta tanpa segan silu untuk membuka aurat.


Bumi syam yang dahulunya SALAAM..kini hanya tinggal kenangan.. Kefasadan kian melanda bumi ini. Saya tidak sanggup melihat perubahan itu. Perasaan sedih, marah dan benci terhadap kefasadan yang merosakkan peradaban Ummah itu menyebabkan saya mencoretkan sedikit rencana di blog saffa@srar ini. Saya bukan bertujuan untuk memburuk-burukkan tentang kisah di bumi ini, tetapi ianya adalah sebuah pengalaman dan coretan perjalanan agar dapat dikongsikan bersama ibrah luka ini.



Sekarang saya dapat saksikan sendiri di hadapan mata saya betapa teruknya suntikan virus kuffar dengan kebejatan social yang telah meracuni minda dan pemikiran umat Islam khususnya apa yang terjadi kepada muslimah akhir zaman.. inilah hasil dari perbuatan manusia yang tidak berpaksikan syariatNYA. Kefasadan yang kian menular ini tidak akan kembali pulih selagimana pemerintahan Islam tidak dapat ditegakkan di muka bumi ini. Ini adalah salah satu kesan hasil dari tampuk pemerintahan yang dibiarkan jatuh ke tangan yang bukan ahlinya apatah lagi apabila ianya jatuh ke tangan kaum kuffar laknatullah!.



Kalau hendak dicerikatan lagi sudah tentu berjela-jela jadinya N3 ini. Kasihan sungguh dengan keadaan yang berlaku sekarang ini. Peradaban zaman yang kian meruncing dengan kebebasan tiada batasan, sempadan dan landasan mendorong manusia melakukan apa sahaja dengan membontoti nafsu serakah semata-mata. Kesusahan, kesempitan dan kekurangan hidup menyebabkan kaum lelaki kian kurang autoritinya sedangkan wanita semakin maju dan kaya-raya sehingga tidak memikirkan soal perkahwinan, rumahtangga dan sebagainya. Bagi mereka kehidupan yang ada sudah cukup dengan apa yang mereka miliki sekarang dan tidak perlu bersusah payah lagi untuk hidup berkeluarga yang hanya akan membebankan kehidupan mereka. Namun apa yang berlaku adalah pergaulan bebas dan hubungan seks bebas sehingga menyebabkan gejala yang lebih teruk pula terjadi.



Beberapa kisah sedih kehidupan masyarakat arab di sini telah saya dengari dan saya saksikan, namun lebih baik saya tidak coretkan kesemuanya di sini. Tetapi airmata ini tidak dapat disekat apabila mendengar kisah duka dan melihat suasana yang berlaku akhir zaman ini begitu memeritkan jiwa. Harapan dan du’aa dari saya agar bumi ini sentiasa di bawah penjagaanNYA. Dan saya juga mampu untuk meneruskan langkah perantau di bumi barakah Syria ini dengan tenang dan aman serta berada di bawah naungan redhaNYA..~ amen ya Rabb!
Related Posts with Thumbnails
 

saffa@srar Copyright © 2009 Community is Designed by Bie