Friday, June 27, 2008

-Rahmat Ujian-

Firman Allah yang bermaksud: "Dia (Allah) yang mencipta kematian dan kehidupan bertujuan untuk menguji siapakah di kalangan kamu yang paling baik amalannya...". –surah Al-Mulk:2

Ayat ini telah menunjukkan bahawa setiap daripada kita tidak terlepas atau dibiarkan begitu sahaja tanpa diuji oleh Allah. Ia tidak lain adalah untuk mengetahui kebenaran iman kita kepada-Nya atau sebaliknya. Hakikat ini telah disingkap oleh Allah menerusi ayat 2-3 surah al-Ankabut yang bermaksud:


“Apakah manusia menyangka bahawa mereka dibiarkan dengan berkata, kami beriman kepada Allah, sedangkan mereka tidak diuji lagi. Sesungguhnya Kami (Allah) telah menguji orang-orang terdahulu daripada mereka semata-mata untuk mengetahui mereka benar-benar beriman atau mereka berdusta untuk beriman kepada Allah.”
Mengapa manusia diuji? Mengapa tidak dibiarkan sahaja manusia dalam keadaan yang selesa pada setiap masa? Tentu ada hikmah atau rahsia di sebalik ujian yang diterima.

Manusia yang paling disayangi Allah ialah para Rasul Alaihissalam, para Nabi dan para Wali. Namun demikian, mereka jualah yang paling banyak diuji oleh Allah. Ujian demi ujian silih berganti. Rahsianya ialah supaya mereka redha dengan Allah dan Allah redha dengan mereka jadi berlakulah redha meredhai di antara Tuhan dan hamba. Inilah rahsia keagungan & kemulian yang Allah kurniakan buat kekasihNYA.

Para ulama juga bersepakat, bahawa hikmah yang boleh disimpulkan, antaranya:
1. UJIAN untuk mencapai pengabdian hakiki kepada Allah SWT.

2. UJIAN yang menimpa umat Islam secara khusus, adalah untuk mematangkan mereka dalam kehidupan di muka bumi ini.
3. UJIAN bertujuan untuk menghapuskan dosa yang dilakukan oleh manusia.

4. UJIAN bertujuan untuk memperolehi pahala serta memartabatkan kedudukan mereka di sisi Allah SWT.
5. Dengan adanya UJIAN, ia memberi peluang kepada manusia untuk memikirkan akan segala kesalahan yang dilakukan pada diri sendiri dan orang lain di masa lampau.

6. UJIAN merupakan satu pengajaran untuk kembali bertauhidkan kepada Allah.

7. UJIAN juga mampu untuk menghilangkan rasa ego dalam diri dan menyediakan jalan untuk mendekati Allah.

8. UJIAN ditimpakan ke atas manusia adalah untuk menyedarkan mereka akan kelebihan yang ada pada diri mereka setelah diuji.

9. UJIAN juga berperanan untuk mendidik manusia menjadi matang dan mantap dalam segenap aspek kehidupan mereka.

10. UJIAN untuk mengenal kawan sebenar atau kawan yang berkepentingan, ia boleh didapati setelah adanya ujian daripada Allah.

11. UJIAN juga mampu untuk mengingatkan manusia akan segala kesalahan sebagai persiapan untuk bertaubat kepada Allah.

12. UJIAN mampu menyingkap hakikat sebenar dunia yang menjanjikan pelbagai tipu daya.

13. UJIAN mampu untuk mengingatkan manusia akan kelebihan nikmat kesihatan dan kurniaan Allah.

14. UJIAN menjanjikan kerinduan manusia untuk memasuki syurga Allah.

Keutamaan Sabar Dalam Menghadapi Ujian:

“Dan, Allah mencintai orang-orang yang sabar". - Ali Imran : 146
“Dan, orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan, mereka itulah orang-orang yang benar (imannya), dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa". - Al-Baqarah : 177

Dari Shuhaib Radhiyallahu anhu, sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda.: Sungguh menakjubkan urusan orang mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik. Apabila mendapat kelapangan, maka dia bersyukur dan itu kebaikan baginya. Dan, bila ditimpa kesempitan, maka dia bersabar, dan itu kebaikan baginya". – Hadis riwayat Muslim .

"Tidaklah seorang muslim menderita sakit karena suatu penyakit dan juga lainnya, melainkan Allah menggugurkan kesalahan-kesalahannya dengan penyakit itu, sebagaimana pohon yang menggugurkan daun-daunnya". – muttafaq alaih
Abu Darda' Radhiyallahu anhu berkata: "Apabila Allah telah menetapkan suatu taqdir,maka yang paling dicintai-Nya adalah meredhai taqdir-Nya". – ibnul Mubarak

Jalan meraih cintaNYA

Perbaharuilah imanmu dengan lafaz La ilaha illallah dan carilah pahala di sisi Allah kerana ujian yang menimpamu. Janganlah sekali-kali engkau katakan :"Andaikan saja hal ini tidak terjadi", tatkala menghadapi taqdir Allah. Sesungguhnya tidak ada taufik kecuali dari sisi Allah. Ujian itu adalah kasih sayang Tuhan pada hambanya. Penghapusan dosa bagi hambanya yang bertaubat. Ujian pada hamba yang beriman adalah untuk meningkatkan darjat di sisi Tuhan dan hamba yang kufur adalah kemurkaanNYA.



Berdoalah kepadaNya supaya kita menjadi hambaNYA yang bersyukur dan sabar dalam menghadapi ujianNYA. Kerana di sebalik ujian itu ada rahmat yang tersembunyi. Susungguhnya Allah sukakan hambanya yang banyak berdoa. Jadikan doa senjata kita. Setiap kejadian dan ketetapanNYA berhikmah. ~ Terima dengan redha dan bersabarlah…kerana tidak dapat dirasakan indahnya manis jika tidak mengenali bagaimana rasanya pahit.~ALLAH~

1 pendapatan:

fahin@lyamani on June 26, 2011 at 9:47 AM said...

Best2...Mubarak alaik ya habibtiey...Menjadikan abang sentiasa positif dengan ujian...

Related Posts with Thumbnails
 

saffa@srar Copyright © 2009 Community is Designed by Bie