Dewasa ini, seperti menjadi adat dan budaya setiap hukum Islam akan ditentang oleh penganutnya sendiri samada mengenai perkara dasar mahupun cabang. Berbagai alasan dilontarkan agar ianya kelihatan tidak lagi relevan, kolot dan sebagainya. Fenomena ini memberi impak kepada masyarakat umum terutamanya masyarakat non-muslim yang memerhatikan pertikaian isu antara kita sesama Islam. Pertikaian ini menyebabkan musuh-musuh Islam terus menunggu ruang-ruang kosong untuk di celah masuk bagi memperkotak-katikkan umat Islam. Terdapat juga di kalangan mereka yang hanya menyokong keputusan yang dibuat tanpa sebarang bantahan agar segala kemudaratan dan kehancuran dapat dihalang dan dihapuskan. Amat menghairankan, bagaimana langit bertukar ke bawah dan bumi ke atas??.
Isu undang-undang pemakaian yang diperkenalkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) baru-baru ini bukanlah sesuatu yang dianggap pelik apabila ianya lantang dipertikaikan oleh mereka yang berpendidikan dan beragama Islam. Kerajaan Negeri Kelantan melalui bidang kuasanya yang sangat terhad hanya menjalankan tugas mereka sebagai pemimpin kerajaan yang amat prihatin terhadap rakyatnya juga bertindak sebagai ayah untuk melindungi dan memayungi semua anak rakyatnya dari segala kemudharatan malahan lebih besar dari itu bahana azab Allah SWT di dunia dan akhirat. Sikap bertanggungjawab kerajaan Negeri ini, tidak sepatutnya dipertikaikan. Tetapi yang amat menghairankan, mengapa segala penentangan datang dari luar Kelantan sedangkan majoriti puteri Kelantan menyokong dan menilai undang-undang itu sebagai suatu keputusan yang positif.
Hasil dari ketidakpuasan hati itu, timbullah puluhan alasan lapuk dan berbahaya seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga bergelar ustazah, Datuk Dr Mashitah Ibrahim telah menyatakan apa yang dilakukan kerajaan Kelantan sebagai memperbesarkan isu remeh temeh berbanding memikirkan masalah gejala sosial dan masalah besar yang lain. Menteri di Kementerian Pembangunan Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil pula tidak kurang juga lantang berhujah dengan membuat kenyataan “It is so disrespectful to the women there. The ruling makes it seem like women cannot decide for themselves what they should or should not wear and need the government to help them decide”.
Mereka menyatakan bahawa kerajaan Kelantan tiada hak untuk mempersoal dan mencampuri urusan individu. Terpulanglah kepada individu tersebut untuk memakai apa sahaja yang disukainya. Segala macam alasan ini terlalu terbawa-terbawa dengan hujah-hujah akal manusia yang cetek sehingga terkadang membawa kepada hujah-hujah dangkal yang semacam tidak siuman dan hilang punca. Seperti kes wanita yang dirogol, kenapa wanita yang menerima hukuman dan undang-undang?. Ada juga yang berpendapat kebanyakan mangsa rogol adalah wanita yang berpakaian sopan termasuk kanak-kanak yang belum pandai berlagak seksi dan sebagainya. Bila timbul perasaan hasad dengki dan tidak puas hati, maka masing-masing dengan ghairah membuat dan memasukkan segala “perisa tambahan” ke dalam kenyataan yang dibuat oleh MPKB-BRI termasuk mengatakan pamakaian tudung diwajibkan kepada semua wanita di Kelantan dan dilarang memakai ginju dan kasut tumit tinggi sehingga menyebabkan salah faham semua kaum dan agama di seluruh Malaysia.Di dalam agama Islam, aspek berhak atau tidak sesebuah kerajaan mengenakan undang-undang ke atas rakyatnya telah lama digariskan oleh ulama. Kalau kita mengkaji ilmu usul fiqh, disana terdapat satu kaedah yang berbunyi :
Yang bermaksud: perbuatan atau tindakan pemimpin keatas rakyatnya adalah bergantung kepada maslahah ( kebaikan). Garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam ini menuntut ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada pemimpin sepertimana yang telah ditetapkan oleh Islam.
Allah SWT telah menegaskan di dalam Al Quran di dalam surah An Nisa, ayat 59
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.
Ketaatan yang dituntut oleh Islam hanyalah kepada pemimpin “dari kalangan kamu”. Kata ganti nama “kamu” di dalam ayat tersebut merujuk kepada kalangan orang yang disifatkan Allah sebagai orang-orang yang beriman. Maka segala ketaatan hendaklah diberikan kepada pemimpin tersebut selagimana arahan tersebut berdasarkan kepada maslahah. Akan tetapi sekiranya arahan tersebut membawa kepada mafsadah (kerosakan) maka ianya wajib diingkari berdasarkan konsep tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam urusan maksiat kepada Allah sepertimana arahan Rasulullah SAW di dalam hadithnya :
Daripada Abdullah RA daripada Nabi SAW bersabda : Dengar dan taat keatas seseorang pada apa yang disukai dan dibenci selagimana tidak disuruh dalam perkara maksiat. Apabila diperintah pada perkara maksiat, maka tidak boleh didengari dan ditaati.
(Riwayat At Turmizi)
Di dalam isu ini, maslahah yang dilihat oleh kerajaan Kelantan adalah besar kerana ianya berdasarkan suruhan dan tuntutan agama sepertimana yang telah digariskan oleh Al Quran di dalam surah An Nur, ayat 30 dan 31:
“Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan.
Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu Berjaya”.
Allah SWT berfirman lagi didalam surah Al Ahzab ayat 59 :
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
Maslahah yang diambil kira di dalam ayat-ayat di atas bukanlah maslahah yang mendatang ataupun maslahah yang termasuk di dalam kategori hajiyyat
(keperluan) dan kamaliyyat (kesempurnaan), tetapi ianya termasuk di dalam perkara Dhoruriyyat ( keperluan asas) kerana ianya melibatkan urusan agama. Ia juga termasuk di dalam bab penjagaan Islam terhadap 5 perkara asas dalam kehidupan manusia iaitu menjaga keturunan. Melihat kepada betapa Islam mengambil berat soal keturunan dan kemuliaan wanita, bagaimana pula dengan pandangan dari cerdik pandai Islam yang mengatakan bahawa hal yang sedemikian rupa adalah perkara remeh temeh, bukan perkara besar dan penghinaan terhadap wanita. Apakah definisi remeh temeh dan penghinaan bagi mereka??.
Mereka hanya bercakap melalui lidah dan perut tetapi tidak melalui hati dan iman. Bukankah kita sering mendengar mencegah itu lebih baik dari mengubati?. Siapa yang ingin menafikan gejala zina, seks bebas, pembuangan bayi, aids, sumbang mahram dan sebagainya adalah pada asalnya berpunca dari pandangan. Kita selalu mendengar pepatah “dari mata turun ke hati”. Dari hati sudah tentu beralih kepada perbuatan. Adakah pepatah itu hanya dilihat dari aspek cinta biasa sahaja?. Sudah pasti undang-undang yang dilaksanakan kerajaan Kelantan itu adalah untuk mencegah dari berlakunya punca kepada segala punca. Mengapa langkah yang diambil itu langsung tidak dilihat sebagai langkah pencegahan malah hanya dilihat sebagai modal perluasan landskap politik kerajaan Kelantan semata-mata?.
Di dalam Islam juga, aspek amar makruf nahi mungkar menjadi asas dalam kehidupan manusia. Menyuruh kepada kebaikan adalah dikira boleh dan mampu dilakukan oleh semua individu tetapi tidak semestinya semua individu boleh melaksanakan nahi mungkar. Tidak dapat tidak ianya mesti disempurnakan oleh kerajaan jika individu itu tidak mampu melaksanakannya berlandaskan kepada konsep fardhu kifayah. Rasulullah SAW pernah bersabda :
Daripada Abu Said Al Khudri RA berkata : aku mendengar Baginda Rasulullah SAW bersabda. Sesiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah ia menghalangnya dengan tangan (kuasa). Jika tidak mampu hendaklah lengan lidahnya (kata-katanya). Jika tidak mampu hendaklah ia benci padanya dengan hatinya dan sesunggunya itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim)
Dalil hadis di atas telah menjelaskan bahawa arahan kepada amar ma’aruf nahi mungkar adalah sesuatu yang wajib dilaksanakan. Melaksanakannya dengan tangan atau kuasa hanya boleh dilakukan oleh kerajaan bukannya individu. Pemakaian wanita yang tidak menutup aurat dan tidak menepati ciri-ciri yang digariskan oleh Islam adalah satu perbuatan mungkar dan wajib dicegah. Maka pencegahan itu jika tidak dapat dilakukan oleh individu dan masyarakat, hendaklah ia disempurnakan oleh kerajaan. Kerajaan yang sah dan berautoriti wajib mencegah dan menghalang dari berlakunya perkara-perkara yang dianggap mungkar dari berlaku. Apa yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan sudah tentu dianggap menunaikan tanggungjawab yang tidak mampu ditunaikan oleh orang lain. Ianya juga adalah di bawah bidang kuasa mereka bertepatan dengan perlembagaan yang termaktub di dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976. Perlembagaan manusia jika dibandingkan dengan perlembagaan Allah, sudah pasti perlembagaan Allah adalah Raja segala raja yang perlu diutamakan.
Beberapa pihak menyatakan perlaksanaan sesuatu hukum mestilah secara beransur-ansur supaya rakyat tidak memberontak. Dari fakta dan senario yang berlaku, kerajaan Kelantan sudah lama mendidik dan memberi penerangan kepada rakyatnya supaya menutup aurat dan menjaga batas-batas pergaulan. Ianya dapat dilihat dengan pelbagai kempen dan tindakan yang dilakukan seperti Kempen Menutup Aurat, Bulan Solat dan sebagainya. Lihat sahaja polisi-polisi pengiklanan di Kelantan, wanita muslim perlu bertudung dan ianya kelihatan sungguh sopan dalam keadaan sebegitu sehinggakan dalam satu akhbar sisipan Bi Pop Berita Minggu menyiarkan perbandingan gambar Maya Karin yang anggun bertudung menghiasi papan-papan iklan Celcom di serata Kelantan berbanding di Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain. Malah ianya ditiru oleh negeri yang lain seperti di Terengganu. Bukankah itu adalah suatu yang positif dan bukankah juga ianya adalah salah satu langkah pendidikan yang dilaksanakan kerajaan Kelantan untuk rakyatnya dan untuk rakyat Malaysia amnya?. Dengan sebab itulah kita melihat wanita Kelantan yang faham dan sudah terdidik tenang tidak terlompat melatah sebaliknya yang di luar Kelantan menjerit terkinja-kinja sehingga rebah.
Jika dilihat melalui soal hak individu, mengapa tidak dipertikaikan undang-undang jalanraya?. Mengapa anggota polis, para doktor, jururawat, anggota bomba diwajibkan memakai pakaian seragam, kad nama dan sebagainya ketika menjalankan tugas ?. Bukankan menurut hak individu, mereka berhak memakai apa sahaja yang mereka mahu. Mengapa undang-undang menutup aurat dan berpakaian sopan bagi orang Islam dan bukan Islam ketika berniaga di Kelantan tidak dilihat pada aspek yang sama?. Mengapa hak asasi manusia ini sentiasa dilihat dari sebelah pihak tanpa mengambil kira pihak yang lain?. Bukankah bilamana seseorang wanita berpakaian menjolok mata itu dalam masa yang sama telah mengganggu hak asasi kaum lelaki?. Persoalan yang sangat mudah dijawab tetapi sengaja disusahkan dan diputarbelitkan oleh sesetengah pihak. Teringat kepada kata-kata Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, “wanita yang berpakaian seksi sebenarnya telah melakukan gangguan seksual kepada golongan lelaki”.
Segala undang-undang, arahan, suruhan dan larangan di dalam Islam dan di dalam Al Quran sebenarnya tidak dapat lari daripada meliputi semua pihak samada hak individu, masyarakat, kerajaan dan negara. Segala kebaikan dari khitab Allah SWT adalah sentiasa kembali kepada hambanya walaupun dimata hamba ianya seperti mengganggu hak asasinya. Allah SWT telah menyebut di dalam kertas kerjaNya untuk kehidupan manusia di dunia :
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.
Surah:surah yunus :57.
Allah SWT menegaskan lagi :
Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
Surah :surah Al Baqarah : 216
Setiap hamba perlu sedar bahawa hak asasi adalah pinjaman dari yang lebih berhak dan yang mencipta hak asasi tersebut. Hak asasi manusia adalah hak Allah SWT. Maka tidak layak bagi hamba untuk membuat pertikaian dengan Allah SWT berkenaan hak asasi yang hanya pinjaman dariNya.
Semua agama di dunia ini menyuruh dan menggalakkan kepada tingkah laku dan tindak tanduk yang baik. Kita percaya bahawa tidak ada agama yang melihat pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan adalah suatu yang baik. Sebab itulah di dalam semua agama adanya konsep perkahwinan untuk menghalang daripada menularnya pelbagai keburukan dan kemudharatan. Persamaan inilah antara sebab wujudnya toleransi antara semua agama, tinggal lagi kepercayaan, pegangan dan perlaksanaan sahaja yang membezakan. Mengapa undang-undang dan polisi dari agama lain dapat diterima secara berlapang dada tanpa mengaitkannya dengan hak individu?. Sedangkan apabila dikaitkan dengan Islam masing-masing cepat melenting dan mudah menghukum dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan.
Sudah terang lagi bersuluh bahawa segala alasan dan bangkangan yang dibuat adalah berpaksikan nafsu, kepentingan politik dan “rice cooker” sendiri semata-mata. Bukan berdasarkan fakta dan bukti apatah lagi berlandaskan dalil-dalil syari’e. Pandangan nafsu sentiasa menjadi hakim dalam setiap pertimbangan membuatkan mereka sentiasa melihat kaca bersinar seperti permata. Kompaun yang sedikit dan ringan membuat mereka lupa pada azab Allah yang jauh lebih besar dan pedih.
Namun, apabila segala perlaksaan undang-undang yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan Pas di Kelantan, sudah tentu akan ditentang habis-habisan oleh juak-juak di dalam Umno dan Barisan Nasional samada kerajaan atau orang perseorangan. Ustaz dan ustazah hadhari akan dikerah bermuzakarah untuk menghalalkan penggezetan kalimah “boleh”, “tidak boleh”, “setuju” dan tidak setuju” menurut apa sahaja kemahuan mereka. Mereka bagaikan melihat kepentingan politik dan perut sudah menjadi kiblat di dalam kehidupan seharian. Tun Dr Mahathir dahulu pernah menyatakan untuk mengukuhkan sistem ekonomi Islam, penggunaan dinar emas adalah satu instrumen yang terbaik. Ketika itu ramai ahli-ahli ekonomi termasuk ahli-ahli politik bersetuju dan menganggap itu adalah satu pendapat yang sangat positif dan berpandangan jauh. Tetapi bila ianya dilaksanakan di Kelantan, ramai yang tidak bersetuju dan ada pula yang menentangnya. Adakah kerana dasar dan nama mereka yang berpaksikan Islam, maka mereka mesti dihentam di atas nama perjuangan hak asasi kemanusiaan?. Dalam hal ini kita melihat bahawa politik sempit diletakkan di hadapan dengan membelakangkan kepentingan rakyat dan agama walhal ianya bukanlah matlamat utama manusia diutus ke dunia. Era politik diasingkan dengan agama sudahpun berakhir. Sudah tiba masanya politik dilihat dari perspektif dan pandangan yang universal bertepatan dengan sifat Islam yang sentiasa syumul dan sesuai sepanjang zaman.
Dari sudut keuntungan politik, kerajaan Kelantan tidaklah akan mendapat publisiti positif yang meluas malah akan dieksploitasi habis-habisan dengan dilabelkan sebagai ekstrimis Islam, mundur, tidak mengambil kira sensitiviti agama lain dan sebagainya. Akan tetapi, apa yang berlaku, segala ancaman serta tohmahan tersebut diketepikan kerana tanggungjawab dan pandangan Allah diletakkan dihadapan. Malu kepada Allah melebihi malu kepada makhluk. Kerana kepentingan politik mereka rela dikorbankan demi menunaikan tanggungjawab yang bakal dipersoalkan di padang Mahsyar kelak.
Islam mengangkat wanita pada satu martabat yang mulia. Mereka ibarat barang berharga yang harus dijaga dan diberi sepenuh perhatian malah lebih dari itu. Segala kecaknaan itu seharusnya tidak dilihat sebagai sesuatu yang negatif dan memberi mudharat. Sesuatu yang berharga dan bernilai bukankah sentiasa disimpan dan di”tutup” dengan selamat sehingga ianya hanya untuk dilihat bagi orang yang berhak dan layak melihatnya sahaja?. Kalau makanan dan barang berharga pun ditutup, inikan manusia yang lebih berharga dan indah ciptaannya. Sudah tentu ianya harus dilindungi dari segala kerosakan dalaman mahupun luaran.
Segala perancangan, arahan dan larangan yang datang daripada Allah adalah untuk membuka pintu-pintu kebaikan dan keberkatan buat manusia. Allah SWT berfirman :
“Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka pintu keberkatan (pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”.
Surah :surah Al A'raff :96
Keberkatan yang dijanjikan datang dari langit dan bumi itu akan datang sekiranya manusia dan rakyat sesebuah negara itu sentiasa beriman kepada Allah. Beriman itu memberi maksud meyakini dan menerima apa sahaja yang datang dari Allah samada baik dan buruk. Sifat-sifat orang beriman yang berjaya mendapat keberkatan, keredhaan dan syurga Allah SWT telah disebutkan oleh Allah 1400 tahun yang lalu dan antaranya ialah bagi orang yang menjaga kemaluan dan kehormatan mereka.
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman.
Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.
Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.
Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu). Dan mereka yang menjaga kehormatannya.”
Surah :al-mu’minun: 1-5.
Biarlah mereka yang tidak beriman kepada Allah sahaja yang menentang segala hukum hakamNya kerana itu adalah sifat dan kerja mereka sejak dari dahulu lagi. Biarkan orang yang bernama Richard, Guan Eng, Bush dan Vellu yang menentang. Jangan lagi orang yang bernama Mashitah, Shahrizat, Muhammad dan Abdullah yang bersama mereka menjerit lantang. Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud:
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". dan Demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu”.
Surah :al Baqarah :120
Wallahu a’lam.
Pena: Perwira & Srikandi ISLAM.