Sunday, March 15, 2009

Ightanim Khamsan!

Manfaatkanlah 5 masa sebelum datang lima masa:

Masa hidup kamu sebelum datang saat mati kamu,

Masa sihat kamu sebelum datang masa sakit kamu,

Masa lapang kamu sebelum datang masa sibuk kamu,

Masa muda kamu sebelum datang masa tua kamu,

Masa kamu kaya sebelum datang masa kamu ditimpa miskin.


{Hadis riwayat imam al hakim dan baihaqi dari ibnu abbar r.a. }


Pengajian umumi bagi muslimat yang disampaikan oleh sheikh rejab di jamie' Abu Nour

Masa
merupakan harta manusia yang paling berharga dimilikinya.
Tanda keredhaan Allah ke atas seorang hamba dengan masa menjadi seperti tentera di sisinya. Manakala tanda kemurkaan Allah ke atas hambanya pula adalah hilangnya keberkatan masa dan ianya menjadi raja bagi diri manusia itu, terus diperhamba oleh kejahilan diri. Hakikat kematangan dan umur seseorang bukannya diukur dengan panjang umur dan masanya tetapi dengan keberkatan pada masanya. Begitulah kepentingan masa yang perlu diambil perhatian bagi seorang muslim kerana Islam amat mengambil berat tentang masa dan menyeru manusia bahawa setiap detik masanya adalah amat berharga. Bagi menggambarkan kepentingan masa yang begitu besar nilainya di dalam Islam Allah s.w.t sendiri bersumpah dengan masa dalam firmanNYA :

“ demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan mal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kebenaran”.
(surah al-A’sr : 1-3)

Sebagai seorang pejuang Islam sangat perlu menitik beratkan tentang pembahagian masa agar masanya tidak berlalu tanpa perkara yang berfaedah. Ahli ilmu al kibar pernah berkata :

“ hak-hak masa itu tidak dapat digantikan, tetapi hak-hak pada masa itu boleh diganti”.

Maksud bagi kata-kata tersebut ialah jika seseorang meninggalkan puasa misalnya disebabkan oleh sakit maka dia boleh menggantikan puasa itu kemudiannya, ini menunjukkan bahawa hak-hak pada masa boleh diganti. Namun hak-hak masa tetap tidak boleh diganti…kenapa? Kerana masa yang telah ditinggalkannya tidak dapat dikembalikan semula.

Maka di sana sudah menjadi satu keperluan bagi seorang pejuang Islam bermujahadah untuk mendidik diri menghargai masa. Kita perlu sedar bahawa bagi seorang pejuang perlu berdepan dengan dua musuh utamanya iaitu dalaman dan luaran yang sentiasa meruntunnya untuk leka dan lalai di dunia dan mensia-siakan waktunya. Dua musuh itu ialah, hawa nafsu dan syaitan.Hawa nafsu adalah musuh yang mencabar bagi manusia kerana ia berada di dalam dirinya. Hawa nafsu adalah teman setia manusia yang sentiasa mendampinginya ke mana sahaja ia pergi. Namun hawa nafsulah yang bakal menghancurkan manusia jika ia tidak menghadapinya dengan mujahadah.

Beberapa tabiat buruk yang menjadi faktor kegagalan kita dalam menggunakan masa dengan sebaiknya sebagaimana yang dituntut oleh agama. Kita tidak mengetahui atau menyedari apa matlamat kehidupan kita di muka bumi ini?. Kenapakah Allah menjadikan kita di atas muka bumi ini?. Sikap malas, sambil lewa, tidak berdisiplin, sukakan kerehatan, leka, lalai, membuang masa dan sebagainya. Tidak mengetahui keutamaan-keutamaan dalam hidup di antara mana-mana perkara penting yang perlu diberi perhatian?. Dan mana pula perkara yang tidak penting yang perlu diketepikan?.

Pembahagian masa bagi setiap muslim

Setiap muslim mestilah tahu membahagikan masanya mengikut kewajipan yang tertanggung di atas bahunya. Seorang tokoh Islam abad ini, al-Imam asy Syahid Hasan al Banna berkata:

“ kita diperintahkan supaya mengguna dan membahagikan masa bagi empat tujuan”…

1. Untuk agama : iaitu melakukan ketaatan kepada Allah merangkumi yang wajib atau fardhu dan yang sunat-sunat.

2. Untuk diri : dengan mencari rezeki yang halal bagi menyara diri dan keluarga.

“ siapa yang berpetang dalam keadaan penat kerana bekerja/ berusaha dengan tangan sendiri maka ia berpetang dalam keadaan dikurnikan keampunan baginya”.
(Riwayat Imam at Tabhrani dari Ibnu Abbas r.a.)

3. Untuk orang lain : dengan berkhidmat kepada manusia dalam melakukan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat dan faedah bagi mereka. Sabda nabi sallallahu alaihi wasallam yang bermaksud:

“ sesiapa yang berjalan untuk keluar memenuhi hajat saudaranya ia seolah olah beriktikaf di masjidku ini (masjid nabawi) selama sebulan”.

4. Untuk kerehatan badan. Sabda nabi sallallahu alaihi wasallam yang bermaksud:

“ sesungguhnya badan kamu mepunyai hak ke atas kamu”.
(muttafaq alaih)

Ambillah contoh atau tauladan baginda sallallahu alaihi wasallam di mana baginda membahagikan masanya kepada beberapa bahagian, satu bahagian untuk ibadah, satu bahagian untuk manusia iaitu mengajar mereka dan satu bahagian lagi untuk diri baginda sendiri. Pejuang Islam perlu sedar dan segera bangkit, teguhkan keimanan terus menjaga masa di dalam hayatnya di dunia ini.

“ Allahumma aja’alana mimman yashtaghilluna auqatahum fi toa’atik. Allahumma aja’al waqta hujjatan lana, wala taj’aalhu hujjatan a’laina.”-amen.

~: Erti perjuangan pada memberi.:~

0 pendapatan:

Related Posts with Thumbnails
 

saffa@srar Copyright © 2009 Community is Designed by Bie