Tuesday, July 28, 2009

Tatkala Yang Indah Bersemi



Jam di tangan saya menunjukkan waktu sekarang tepat pukul 11.00 p.m. Saya dan fizah sedang menuju ke Damascus international airport ditemani oleh mas’ul. Kami ke sana untuk menyambut kedatangan tetamu yang ingin berziarah ke Syria. Mereka adalah tetamu yang datang dari Cairo. Penerbangan dari cairo berlepas lebih kurang pukul 10.30 p.m. kenangan lalu kembali semula di ingatan bagaimana pertama kali saya menjejakkan kaki di sini.


Saya, sarah dan adik lelaki saya menguruskan sendiri penerbangan kami dari Cairo ke Damascus. 18 ogos 2005 adalah tarikh saya mula menjejakkan kaki di bumi Syam ini. Waktu itu hati saya sangat gembira dan berbunga sekali apabila akhirnya dapat juga saya jejakkan kaki ke bumi ini. Tempat yang diidam-idamkan untuk diziarahi dan harapan untuk dapat belajar ke sini sejak dari sekolah rendah lagi. Saya sangat bercita-cita untuk datang ke sini. Alhamdulillah, Allah maqbulkan permintaan saya dengan berkat doa mak dan ayah…terima kasih.


Malam itu kami menaiki bas menuju ke airport dengan tambang yang berharga 45 lera Syria. Ketika dalam perjalanan saya sempat melihat ke luar tingkap bas. Kelihatan lampu-lampu yang berkilauan di luar terutama pemandangan di jabal qasiyun yang sangat cantik dan indah. Bak kata fizah, cantik sangat! Macam lu’lu’ wa marjan!. Udara pada waktu malam yang panas di musim soif ini menyebabkan orang ramai ke luar mengambil udara malam di luar rumah yang lebih nyaman. Kelihatan agak kelakar bila melihat orang arab yang boleh picnic satu family di tepi-tepi jalan raya tanpa menghiraukan apa-apa pun. Bagi mereka ini adalah suatu kebiasaan kerana keadaan di sini tidak sama dengan Malaysia. Janji dorang hepi takpe la…


Hmm, Syria.. apa yang indah di sini? Bagi saya di sini adalah segala-galanya. Penghijrahan yang sangat bermakna dalam hidup saya. Damsyik tetap di hatiku! Jangan jeless..










Friday, July 24, 2009

Dari Bertatih Mahu Berjalan


“Ukhti, tolong berikan Syu sesuatu untuk difikirkan dan dibuat research..”


… “cuba fikirkan tentang pengorbanan..”. suggest dari Ukhti.


Hmm.. “alamak! Takde yang lain dah ke?”


.. “la’!”. Ringkas sahaja jawapannya.


“boleh tak bagi Syu yang lain dulu?..”. cuba memancing.


.. “kenapa? Susah sangatkah nak bahas maudhu’ ni?”.. matanya tajam memandang seolah-olah sedang mencabar.


P-E-N-G-O-R-B-A-N-A-N.


Kiranya seperti saya masih belum benar-benar kenal dan taaruf dengan pengorbanan. Atau dalam bahasa arabnya ialah tadhiyah. Masih ada kesan-kesan cintakan dunia yang sedang berakar di hati. Masih melebihkan dunia dari wawasan akhirat. Mungkin Allah datangkannya untuk mentarbiah diri saya yang masih jauh ini. Jauh sangat jika mahu dibandingkan dengan pengorbanan para solihaat di zaman salafussoleh. saya yang masih bertatih ini mahu berjalan betul namun jatuh juga sekali-sekala ketika melangkah. Itu juga lumrah kehidupan bukan?


Berkata sheikh Yusuf Al-Qaradhawiy :

“sesungguhya nikmat Allah yang paling agung kepada hambaNya ialah DIA memberinya taufik untuk merealisasikan anugerah dan sekaligus potensi dirinya untuk membela kebenaran dan bukan untuk mendukung kebatilan dan bukan di jalan taghut”.


Rijal Dan Nisa’ Yang Membawa Panji-Panji Islam

Tanggungjawab dan amanah bagi menjaga ad-Deen tercinta memerlukan pengorbanan dan ketaatan juga komitmen yang terbaik. Kita perlu sedar bahawa pengorbanan yang dituntut adalah pengorbanan yang praktikal(amali), bukannya slogan dan teori! Memikul amanah dan bebanan ini dengan istiqamah dan thabat ketika menempuh bermacam ujian dan rintangan dalam perjuangan. Pernahkah anda mendengar kata-kata bahawa waktu adalah sebahagian daripada rawatan?. Maksudnya setiap amalan dan usaha kita di arena perjuangan untuk menegakkan Islam ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ianya memerlukan pengorbanan, kesabaran, keteguhan dan banyak lagi kerana berjuang di jalan Allah ini bukan suatu yang gratis.

Ketahuilah bahawa inspirasi seorang pejuang perlu mengetahui akan slogan yang abadi :

“ Mati Pada Jalan Allah Adalah Setinggi-Tinggi Cita-Cita Kami”.


Wednesday, July 22, 2009

Konsep Peradaban

Konsep Peradaban Merurut Perspektif Islam


Peradaban dan ketamadunan Islam telah bermula semenjak diturunkan wahyu pertama kepada nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu surah al-a’laq dari ayat 1 hingga 5. Seterusnya baginda Rasulullah SAW menyebarkan ajaran Islam kepada seluruh umat manusia dengan menekankan tiga prinsip utama iaitu, prinsip akidah, prinsip syariah dan prinsip akhlak kepada umat manusia. Rasulullah s.a.w telah berjaya mengeluarkan manusia dari kegelapan dan kesempitan jahiliyah kepada cahaya kegemilangan Islam dengan usaha gigih baginda di dalam siri-siri dakwah, hijrah dan mengorbankan jiwa raga dalam memperjuangkan Islam.

Perkataan peradaban dianggap sinonim dengan tamadun. Beradab bererti sopan, terhormat, hidup dalam hukum, mempunyai tingkat kebudayaan yang tinggi berbanding dengan orang-orang yang tidak beradab. Peradaban itu lahir dari masyarakatnya, oleh kerana itu membangunkan peradaban Islam adalah membangunkan masyarakat Islam. Maksudnya dengan terbentuknya masyarakat Islam akan melahirkan peradaban Islam. Hal ini sebenarnya berlaku secara umum untuk setiap kemunculan sebuah peradaban. Munculnya peradaban komunis dan kapitalisme contohnya, didahului revolusi pemikiran komunisme yang menghasilkan revolusi Boulseviek pada tahun 1911 dengan kelahiran masyarakat komunis uni sovyet. Peradaban kapitalisme pula didahului dengan revolusi perancis dan revolusi industri yang menghasilkan masyarakat kapitalis Eropah dan Amerika.


Demikian juga peradaban Islam yang lahir dari revolusi pemikiran Islam yang diterima oleh penduduk madinah dan muhajirin seterusnya menghasilkan revolusi madinah yang melahirkan masyarakat Islam. Peradaban Islam terus kekal dan digunakan sehinggalah berlakunya keruntuhan khilafah Islamiyah pada tahun 1924. Oleh kerana itu jika ingin dibangunkan kembali peradaban dan tamadun Islam perlu dimulakan dengan revolusi pemikiran dan perasaan Islam dalam seluruh aspek kehidupan sehingga akan melahirkan masyarakat Islam, kebudayaan dan peradaban Islam yang membentuk hadharah (bentuk pemikiran) atau madaniyah (bentuk tamadun).


Peradaban dunia kini yang sering dibanggakan dengan kehebatan reka cipta moden dan pembinaan tamadun moden yang ianya hanya dilihat maju dari sudut kemajuan material semata-mata. Namun, hakikat kemajuan dan peradaban bangsa masih tidak tercapai. Proses pengembalian peradaban Islam perlu bagi kesinambungan peradaban manusia keseluruhannya demi membina tapak atau asas nilai spiritual yang kukuh untuk memastikan pembangunan dan kemajuan material yang begitu pantas berlaku, tidak meminggirkan keperluan “pembangunan insan” yang merupakan tujuan akhir segala pembangunan material-fizikal tersebut. Masyarakat melayu contohnya perlulah mengembalikan ciri-ciri budaya ketimuran supaya kembali disanjung dengan adab kesopanannya selama ini. Namun, mutakhir ini masyarakat bangsa sudah mula mengabaikan peradaban dan kini beransur-ansur hilang daripada komitmen setiap golongan masyarakat.


Proses pembinaan tamadun dan peradaban ummah sebenarnya perlulah menuruti cara dan prinsip-prinsip Islam sepertimana yang telah dianjurkan oleh agama Islam. Pembentukan peradaban sangat bergantung kepada pembinaan kejiwaan masyarakat bagi mempertahankan akidah, agama, tanah air dan seterusnya membentuk semangat patriotik. Jika kita hanya menekankan pembangunan dan kemajuan material tanpa mementingkan prinsip Islam maka pincanglah peradaban manusia itu.


Hakikatnya ialah kemunculan sesebuah peradaban banyak berkaitan dengan rangsangan keagamaan dan kerohanian. Ajaran agama dan amalan rohani sebenarnya mendorong manusia supaya menghayati nilai-nilai kehidupan yang tulus dan suci yang menghasilkan kehidupan yang bertamadun.


Ringkasnya peradaban manusia yang bertamadun menurut Islam mempunyai ciri-ciri keimanan kepada Allah dan Rasul, mempunyai nilai keperibadian yang tinggi kerana ia merupakan manifestasi kecemerlangan pencapaian hidup masyarakat dalam pelbagai bidang spiritual dan material. Sumber bagi kejayaan tamadun dan peradaban Islam adalah al-Qur’an, As-Sunnah, al-Ijtihad dan tamadun-tamadun lain. Islam tidak menolak tamdun-tamadun lain asalkan ianya tidak bertentang dengan akidah, syariah dan akhlak Islam.


Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :


“ kebijaksanaan itu laksana barang tercicir yang mesti dipungut oleh seorang yang beriman di mana sahaja dia mendapatinya, maka dia yang lebih berhak memilikinya.”


Kajian menunjukkan bahawa hanya apabila sesebuah masyarakat menghayati kehidupan berlandaskan nilai-nilai spiritual yang mempunyai manifestasi sosial dan fizikal, barulah ia akan dapat membangunkan kehidupan seimbang yang merupakan resipi kepada kesempurnaan kemanusiaan dan keharmonian serta ketinggian budaya. Kemunculan tamadun Islam yang telah mencapai tahap “golden age” nya itu misalnya adalah dipengaruhi oleh ransangan nilai dan penghayatan cara hidup Islam bersumberkan risalah wahyu.


Sepertimana hadis rasulullah s.a.w daripada Abdullah Bin Umar yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Al-Hakim menceritakan tentang ciri-ciri keruntuhan bangsa seterusnya menyebabkan keruntuhan peradaban, tamadun dan hadharah manusia. Ringkasan daripada hadis tersebut menyebut tentang beberapa perkara :


1. Perlakuan zina secara berleluasa mengundang penyakit yang tiada ubatnya.


2. Penipuan dalam sukatan dan timbangan menyebabkan kemarau panjang, kesempitan hidup dan kezaliman penguasa.


3. Menahan harta dari zakat seperti menahan hujan dari langit.


4. Tidak memelihara perjanjian dengan Allah s.w.t dan Rasul s.a.w akan mengundang musuh luar berkuasa.


5. Tidak melaksanakan pemerintahan Islam menyebabkan kehancuran dan perpecahan sesama sendiri.


Beberapa pengajaran dapat disimpulkan daripada keterangan ringkas berkenaan hadis tersebut yang merupakan antara bicara Rasulullah s.a.w tentang fitnah (huru-hara dan malapetaka) yang menimpa umatnya selepas kewafatan baginda. Justeru, peringatan Rasulullah s.a.w ini amat patut diberi renungan dan mendapat perhatian yang selayaknya demi memelihara kesejahteraan peradaban umat dan mengawal mereka dari perlakuan yang boleh mengundang bahaya dari langit lantaran kemurkaan Allah s.w.t. apatah lagi setelah hadis ini membawa pembuktian mukjizat Rasulullah s.a.w apabila perkara yang disebut oleh baginda ini benar-benar terjadi dan dapat ditonton dengan sejelas-jelasnya oleh kita pada hari ini. Segala penyakit dan bala yang berlaku ini adalah berpunca daripada peradaban manusia itu yang meninggalkan Islam sebagai ikutannya.


Oleh yang demikian, bagi membentuk peradaban yang ideal dengan mendukung nilai-nilai teras tamadun memastikan beberapa faktor seperti kesepaduan aspek material dan spiritual bagi membentuk pembangunan yang berbentuk konprehensif dapat dijayakan. Seterusnya usaha memusatkan aktiviti kehidupan sebagai berasaskan konsep Ubudiyyah terhadap Maha Pencipta dengan sendirinya akan menyahkan praktik-praktik negatif seperti rasuah yang boleh melemahkan imej peradaban itu. Kepentingan yang membabitkan usaha memenuhi keperluan asas manusia dan pengembangan sumber-sumber manusia, mempertingkatkan produktiviti, membangunkan kesihatan fizikal, mental, emosi, ketahanan ekologi, keadilan ekonomi dan pemeliharaan warisan budaya dan tradisi adalah berkait rapat dengan peradaban serta ketamadunan masyarakat.


Proses terbaik bagi membentuk semula peradaban manusia yang kian musnah ini adalah dengan menurut ciri-ciri yang telah ditetapkan oleh Islam. Mengamalkan prinsip Islam secara menyeluruh sahaja yang dapat menyelamatkan umat masakini agar segera kembali mengikut cara hidup Islam yang konprehensif. Peradaban dan kehidupan manusia seluruhnya akan terjamin dan dinaungi rahmat Allah apabila berpandukan ajaran Islam. Rasulullah s.a.w meninggalkan kita di atas landasan yang sangat jelas. Segala perkara telah diberitahu oleh Baginda bermula dari punca permasalahan, kesan dan natijahnya sehinggalah kepada jalan penyelesaiannya. Terpulang kepada kita untuk menerima dan mengamalkannya. Akhirnya, muhasabahlah akan apakah hujah dan alasan kita di hadapan Allah s.w.t di akhirat kelak.


Friday, July 17, 2009

Sekuntum Bicara Sejujur Pamitan

Pernahkah anda merasakan nikmatnya berukhuwah? Ukhuwah yang saya maksudkan adalah ukhuwah Islamiyah iaitu hubungan persaudaraan yang bertunjangkan ketauhidan kepada Allah SWT dan kesyumulan perjuangan Islam. Ianya merupakan satu nikmat bukan? Namun, jangan disalah ertikan maksud nilai ukhuwah dan cinta di dalam Islam. Saya ingin memberi sedikit teguran kepada sesiapa yang agak suka menggunakan perkataan, ukhuwah, cinta dan sebaginya dalam keadaan dia tidak tahu makna sebenar istilah tersebut lalu menggunakannya dengan makna dan pada tempat yang salah.



Ikatan Ukhuwah Yang Bagaimana??


Apabila disebut tentang 2 aspek tersebut, sepertimana yang telah dinyatakan pada awal penulisan ini saya ingin membawa anda kepada kefahaman ringkas bagaimana untuk menilainya? Kita selalu mendengar ungkapan bahawa ukhuwah itu indah, ukhuwah fillah hingga ke jannah… Adakah ukhuwah itu dengan perasaan sangat sayangkan sahabat sehingga tidak mampu menerima ketentuan Allah dengan sebarang yang tidak diingini? Mengapa masih mempersoalkannya? Kita menerima apabila DIA memberi, lalu kita perlu redha apabila DIA mengambilnya semula. Keikhlasan boleh dinilai apabila kita mampu meneruskan segala kerja dan amalan walaupun kita keseorangan. Kerana perjuangan untuk menegakkan Islam dan menjaga keamanannya itu merupakan taklif dari Allah ke atas setiap muslim. Islam perlu didirikan di dalam diri setiap muslim barulah ia mampu ditegakkan di tanah airnya. Biar dibuang, dihina, dipenjara..tapi tetap terus mahu berjuang!!!



Jangan Dimomok Cinta!


Berapa ramai yang sudah dimomok cinta? Benar bukan? Frust bercinta, patah hati, gila bercinta, nyanyuk bercinta juga boleh jadi.. inilah bahayanya apabila kebebasan bercinta yang tidak berpaksi. Cinta adalah sesuatu yang membawa maksud suci dan murni. Namun cinta suci hanya akan lahir dari niat dan hati yang suci. Jika kita seorang yang beriman, Allah akan kurniakan rasa cinta itu tanpa bersusah payah untuk si teruna mengorat si dara atau sebaliknya. Namun perasaan cinta itu dengan mudah dapat dizahirkan mengikut syariat. Iaitu wa’ad khitbah, aqad nikah, ijab dan qabul. Perjalanannya menjadi mudah kerana ia berpaksikan dengan keimanan kepada Allah SWT. Bukan sebuah mainan anak-anakan tapi suatu yang serius dengan tujuan untuk meneruskan perjuangan Islam dan menguatkan umat Islam.



Kalau dahulu remaja Islam asyik dengan kisah cinta filem korea, hindustan dan banyak lagi cerita dan watak yang dikatakan “Cinta Sejati” yang dibawa dari golongan non muslim. Kebanyakan remaja Islam menonton filem dan drama tersebut lalu mengambil istifadah dari dongengan kisah cinta itu sebagai qudwah! Kemudian berlakulah pelbagai jenis polemic cinta ciptaan remaja-remaja ini. Tidak salah jika mahu menontot sekadar yang patut sahaja bukan mengambilnya sebagai ikutan. Sekarang remaja Islam tidak dimomok lagi dengan kisah cinta filem korea, Hindustan dan yang seangkatannya, tetapi filem dan drama yang dikatakan islamik telah mula menarik minat remaja Islam untuk beralih arah kepada “Cinta Islamik”. Di manakah nilai-nilai Islam yang sebenar yang sepatutnya dijadikan qudwah oleh remaja ini? Walaupun sekarang sudah banyak filem dan drama islamik ditayangkan contohnya ayat-ayat cinta, wanita berkalung sorban dan banyak lagi kisah-kisah baru cinta islamik. Namun bagi saya ianya masih belum cukup syarat. Memandangkan kebanyakan cerita yang dibawa daripada Indonesia itu bukanlah mengikut waqi’e kita di Malaysia kerana banyak perbezaan budaya dan tahap kehidupan masyarakat.



Kisah-kisah yang hanya menggunakan nama Islam bagi mengelirukan masyarakat dan hanya sedikit sangat mesej sebenar Islam yang disampaikan. Sebagai seorang muslim yang mempunyai prinsip dan pegangan tidak akan terpengaruh dengan kisah cinta palsu yang hanya menggunakan nama Islam bagi melariskan aliran pemikiran yang dibawa oleh mereka. Sedar tidak sedar ia juga merupakan salah satu cara daripada musuh Islam untuk membuat serangan pemikiran ke atas umat Islam. Unsur-unsur liberalisme, pluralisme, feminisme dan ajaran sesat jelas dilihat di dalam filem “wanita berkalung sorban”. awas! Inilah bahaya besar yang akan merosakkan pemikiran remaja Islam terutamanya muslimat yang mungkin mudah terpedaya dengan mesej songsang yang dibawa dari kisah-kisah cinta tersebut.



Kebijaksanaan Yang Bijak-Sana


Islam tidak melarang umatnya untuk berpendapat dan berhujjah tetapi segala yang mahu dilontarkan perlulah berpaksi kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah. Ini jelas bahawa Islam tidak menghalang dan menyekat umatnya untuk berfikir bahkan sangat menganjurkannya. Namun, di sana ada perkara dan kemestian yang mesti difahami dan dipatuhi. Kebebasan yang tidak berpaksi ini sebenarnya adalah sesuatu yang hanya menurut kata nafsu bukannya lahir dari kesedaran diri seorang muslim. Senario kebebasan yang sering dilaungkan itu membawa aliran songsang terhadap umat Islam kerana sesuatu kebebasan hendaklah tidak membuatkan seseorang terkeluar dari batasan-batasan syarak sama ada ia telah disepakati ulama atau ia sebagai nas qat’ie yang tidak boleh khilaf oleh sesiapa pun.



Kita harus berwaspada dalam mendapatkan sebarang bahan luar yang mahu dijadikan sebagai pegangan, ikutan dan sebagainya. Jika kita tidak memahami maka perlulah merujuk kepada yang lebih mengetahui kerana bimbang suntikan halus yang berbentuk serangan pemikiran memasuki kepala dan jiwa sehingga mampu membuatkan kita cenderung untuk mengiyakan pelbagai fahaman yang disangkakan betul sedangkan ia songsang dan ini cukup banyak mengisi segenap ruang penyampaian maklumat di serata dunia. Justeru itu berhati-hatilah dalam menilai dan membezakan di antara yang haq dan batil. Sama-samalah kita berpegang dengan sabda Rasulullah SAW :


من يرد الله به خيرا فيفقهه في الدين


“Let us not fear to engage. But let us not engage out of fear!”

Serikandi Islam…Fearless!

Getting improve!! Yeaay!

Friday, July 10, 2009

"Tarbiyah Nafs Untuk Sebarang Kemungkinan”




Prinsip “bersedia untuk sebarang kemungkinan” digeruni musuh.


“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang Berjaya”.


(Surah Ali-Imran :104)


Ketika saya mencari kekuatan untuk yakin dan thabat di dalam perjuangan ini telah mengajar erti pengorbanan yang amat berharga. Di dalam organisasi sebuah harakah Islamiyah memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang akan menguatkan jemaah tersebut. Namun di sana diri ini masih mentah dalam melaksanakan amanah yang terpundak di bahu seolah-olah bebanan berat yang sedang dipikul. Bagaimana mahu menjadi pejuang, mujahidah dan mujaddidah Islam jika masih banyak mengeluh dan beralasan?


Kisah seorang serikandi harakah Islamiyah IM di mesir telah menarik minat saya untuk berkongsi kisah tersebut dengan sahabat sekalian. Kisah yang telah diceritakan oleh seorang murabbi yang saya hormati sehingga menaikkan semula semangat yang kian menurun ini. Biasalah hal keadaan perasaan dan semangat ini kadang-kadang bermusim ada masanya musim luruh dan ada masanya musim hujan. Kisah tersebut menceritakan mengenai isteri seorang pendokong IM di Mesir iaitu sheikh hasan turabi. Isterinya yang bernama Ummu Usamah merupakan seorang serikandi yang sangat tabah dan berani.


Oleh kerana suaminya merupakan pejuang IM di Mesir beliau telah ditangkap dan dipenjara oleh pihak kerajaan yang zalim ketika itu. Mereka mempunyai beberapa orang anak lelaki dan 3 orang anak perempuan. Ketika suaminya di penjara isteri salah seorang menteri kerajaan telah datang menziarahi Ummu Usamah dan anak-anaknya. Isteri menteri tersebut telah membincangkan beberapa perkara dan memberi jaminan bahawa tidak akan menyiksa suami dan bapa mereka bagi menghilangkan kerunsingan mereka sekeluarga setelah penangkapan suaminya.


Lalu dijawab oleh Ummu Usamah;


“ Kami tidak merasa runsing sedikit pun. Kerana kami telah ditarbiah untuk bersedia dengan menghadapi sebarang kemungkinan apabila menjadi pejuang agama Allah.”


Isteri menteri tersebut cuba untuk melihat reaksi 3 anak perempuan Ummu Usamah daripada jawapan yang telah diberikan oleh ibu mereka. Ketiga-tiga anak perempuannya sepakat menyatakan bahawa;


“Kami tidak ada pendirian lain kecuali sepertimana pendirian ibu kami.”


Jawapan yang diberikan oleh mereka amat mengejutkan isteri menteri tersebut. Sudah pasti kita yang mempunyai nilai keimanan yang mendalam juga akan merasa kagum dan cemburu untuk mencapai tahap keyakinan kepada Allah seperti mereka. Kerana apabila kita berjuang Islam boleh jadi isteri, suami, anak-anak dan diri kita akan diancam dan dibunuh oleh musuh Islam.


Kisah seterusnya apabila raja Sau’di mengetahui mengenai musibah yang menimpa keluarga Ummu Usamah beliau telah mengutuskan surat kepada Ummu Usamah mencadangkan untuk memohon bagi melepaskan suami beliau yang dipenjarakan itu. Surat dibalas oleh Ummu Usamah yang lebih kurang begini;


“ saya meyakini oleh kerana suami saya di tempat yang benar sudah tentu Allah akan menolongnya. Sekiranya suami saya dilepaskan maka dia akan hidup di pihak yang benar dan sekiranya mati kerana disiksa, matinya sebagai syuhada’.”


Dia telah menolak cadangan daripada raja Sau’di oleh kerana keyakinan kepada perjuangan suami beliau dan kekuatan spiritual yang tinggi kepada Allah.


Perjuangan Islam memerlukan persediaan yang secukupnya bagi memastikan kesinambungan perjuangan Rasululllah itu dapat dilaksanakan. Muslimah perlu bersedia mendidik diri, keluarga dan anak-anak seterusnya membentuk generasi Rabbani. Ibu yang mendidik anak-anak perlu mempunyai satu kefahaman untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan. Baharulah terjadi seperti perihal keluarga Ummu Usamah tadi. Menjadi mujahidah adalah dengan menjadi isteri, ibu, dan muharikah bagi penggerak masyarakat di atas landasan yang haq. Bersedialah untuk menghadapi sebarang kemungkinan!


“ Hidup Mulia Atau Mati Sebagai Syuhada’!”


Allahu Akbar!

Wednesday, July 08, 2009

“Hanya Jauhary Mengenal Manikam”


Di dalam pepatah melayu ada menyebut “hanya jauhari yang mengenal manikam”. Maksudnya adalah hanya seseorang yang mahir di dalam sesuatu perkara itu sahaja yang mnegetahui tentang perkara tersebut. Contohnya, hanya pembuat permata dan yang mempunyai ilmu tentangnya sahaja yang tahu menilai mana permata dan yang mana kaca. Di dalam agama Islam pula, hanya ulama iaitu seseorang yang mendalami ilmu agama sahaja yang mampu menguasai dan mentafsirkan berkenaan hukum-hakam di dalam beragama.


Jika kita soroti sirah nabawiyah, bagaimana kehebatan saidatina khadijah memilih rasullullah sallallahu alaihi wasallam sebagai suami yang beliau sendiri tidak mengetahui bahawa baginda sallalhu alihi wasallam akan menjadi rasul Allah. Tidak lain dan tidak bukan, bahawa di dalam sirah ini telah terciptanya sunnatullah yang begitu unik. Kita dapat melihat bahawa hanya jauhari mengenal manikam!

Sasterawan melayu pernah menyebut di dalam kata-katanya :

“Apa tanda Melayu jati,

Ilmu bermanfaat ia minati,

Apa tanda Melayu jati,

Orang berilmu ia dekati,

Apa tanda Melayu berakal,

Ilmu dituntut menjadi bekal..”

(Pak Tenas Effendy, 1994)



Pernah diceritakan oleh seorang pensyarah di Mujamma’ Fatah Islami Lil Inath berkenaan kisah ketika mana fitnah berleluasa pada zaman khilafah saidina Ali dan zaman sebelumnya iaitu saidina Uthman Radhiyallahu anhuma. Telah datang seorang lelaki lalu bertanya kepada saidina Ali radhiyallahu anhu :


“Mengapa pada zaman khilafah Abu Bakar dan Umar tidak berlaku fitnah dan pemberontakan? Dan ia terjadi pada zaman khilafah kamu dan Uthman?”. Kata lelaki tersebut.


Lalu saidina Ali radhiyallahu anhu menjawab :


“ kerana pada zaman mereka rakyatnya seperti aku dan uthman, tetapi pada zaman kami rakyatnya seperti kamu.”


Jelaslah di sini bahawa sesebuah Negara itu jika dipimpin oleh pemimpin yang amanah tetapi rakyatnya tidak amanah maka keadaanya masih tetap tidak aman. Bagi merealisasikan sebuah kepimpinan dan Negara yang bersih seperti yang diidam-idamkan iaitu “Baldatun Toiyibatun” itu menuntut pengorbanan dan kepatuhan dari semua pihak.


Di dalam beragama juga ilmu adalah asas bagi mengetahui dalil-dalil dan hujjah untuk menunaikan amanah yang telah ditaklifkan di dalam Islam. Tanpa ilmu akan menyebabkan seseorang itu jahil dan akan menghukum sesuatu perkara tanpa berhujjah. Islam mengajar umatnya agar adil dan saksama di dalam semua perkara. Jangan sampai ifrath dan tafrith iaitu cuai dan fanatic atau terlalu obsess di dalam beragama. Jadi pilihan terbaik di dalam beragama adalah di pertengahannya.


Sepertimana yang pernah dinyatakan di dalam al-qur’an bahawa Allah menyeru bagi hambanya supaya menjadi di kalangan orang-orang yang muqsitiin iaitu berlaku adil dan bijaksana di dalam kehidupannya. Persoalannya mengapa masih ada yang sangat suka membesar-besarkan perkara khilaf dari mengambil berat tentang perkara usul yang perlu dipertahankan? Di Malaysia contohnya, berapa ramai yang rosak aqidahnya? Berpeleseran di sana-sini dengan penuh kemaksiatan yang terang dan jelas boleh membawa kepada kehancuran aqidah dan umat.


Kefahan yang jelas dan benar perlulah diperolehi bagi seseorang yang mahu memperkatakan mengenai soal agama terutamanya adab-adab di dalam perselisihan perkara cabang di dalam agama supaya tidak memecah belahkan saudara sesama Islam. Jika mahu melontarkan sesuatu fikrah dan pendapatan perlulah bersikap terbuka dan di bawah naungan kasih sayang kerana Islam adalah agama Rahmatan lil a’lamin…


Sudah jelas bukan? Di dalam masalah agama memerlukan ilmu. Ilmu yang diperlukan pula adalah ilmu wahyu. Ilmu wahyu hanya dapat dikuasai oleh ulama. Ulama pula ada ciri-cirinya. Kalau hendak tahu, tuntutlah ilmu. Jadi, jika mahu mengenal manikam, tanyalah kepada jauhary!

Tuesday, July 07, 2009

Jom Talaqi ! Lambaian Ka’bah



"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu".


(surah al-Ma’idah : 3)

Lagu nasyid RedhaMu dari kumpulan in-team telah berkali-kali saya ulangi. Malam ini agak sejuk dari malam sebelumnya kerana angin yang bertiup nyaman. Sepanjang hari saya berfikir dan muhasabah diri. Mencari cara terbaik bagi tranformasi serikandi untuk meneruskan perjuangan ini. Saat-saat begini al-qur’an dan zikir adalah teman aqrab yang tidak pernah jemu menemani hamba yang hina. Tika ini juga saat dapat menjamah suara perangsang perjalanan hamba amat dihargai, emak dan ayah …


“Ayah, ada apa-apa yang ayah nak pesan?”

Bicaraku untuk mengakhiri perbualan di talian.

“Ayah tak ada nak pesan apa-apa..Cuma…”


"أصيكم واياي بتقوى الله"


“Ini bukan khutbah jumaat, tapi ini bekal ayah untuk anak-anak ayah..”.

Jami'e Mansur, Medan, Mujtahid

Saya sebenarnya sudah tahu apa jawapan yang akan ayah berikan kepada saya apabila saya bertanyakan soalan itu. Tapi apabila ia disebut dan dilafazkan dari hati nurani seorang ayah bukankah lebih bernilai?~ my spirit power in my life, mak & ayah tercinta~


Talaqi, Tasmi’ al-Qur’an..Jihad Ilm!



Dengan kesempatan yang agak terbatas, keadaan, masa waktu dan bermacam-macam lagi dharuriyat hanya inilah yang termampu saya lakukan. Biarpun sedikit namun harapannya semoga semua amalan ini dapat berada di atas landasan ISTIQAMAH. Serta ilmu yang diperolehi juga menjadi ilmu yang diberkati dan dapat diamalkan juga disampaikan kepada semua. Baru-baru ini saya pergi ke sebuah kedai specs untuk membaiki specs. Sempat juga ammu di kedai itu bertanyakan saya dan sahabat tentang kenapa kami datang belajar sampai ke Syria?. Jawapan saya mudah sahaja. Sebab saya mahu menuntut ilmu di sini dan saya akan kembali ke Negara saya sebagai du’at yang akan membela ad-Deen tercinta. Bersungguh benar ammu itu memuji jawapan saya, siap bagi free charge lagi..rezeki penuntut ilmu agaknya…~alhamdulillah.


Kiblat Hati Saya Dan Hamba Yang Hina


Soify kali ini menyaksikan lagi hati-hati yang suci berjama’ah akan berangkat menuju ke kiblatnya. Hati saya bila lagi? Saya sangat mengidamkan saat itu. Rindu dan sangat-sangat rindu walaupun jasad dan hati tidak pernah dapat mengecapinya. Namun bibir ini, denyut nadi ini sentiasa berdoa kepadaNYA agar dimaqbulkan segala permintaan. Bila merenung pada diri hamba jauh sekali untuk mengecapi segala yang diimpikan.. jauh, sangat jauh…jika dikurniakan itu tanda masih ada belas kasihan dariNYA..masya Allah! Hamba sentiasa berfikir..benarkah ikhlasnya seorang hamba? Benarkah redhanya dia dengan taqdir dari pencipta? Hamba, itulah hamba hina..Allah, itulah Rabbul Jalil…ya Allah, sudilah pandang kami…~
Related Posts with Thumbnails
 

saffa@srar Copyright © 2009 Community is Designed by Bie