Wednesday, July 22, 2009

Konsep Peradaban

Konsep Peradaban Merurut Perspektif Islam


Peradaban dan ketamadunan Islam telah bermula semenjak diturunkan wahyu pertama kepada nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu surah al-a’laq dari ayat 1 hingga 5. Seterusnya baginda Rasulullah SAW menyebarkan ajaran Islam kepada seluruh umat manusia dengan menekankan tiga prinsip utama iaitu, prinsip akidah, prinsip syariah dan prinsip akhlak kepada umat manusia. Rasulullah s.a.w telah berjaya mengeluarkan manusia dari kegelapan dan kesempitan jahiliyah kepada cahaya kegemilangan Islam dengan usaha gigih baginda di dalam siri-siri dakwah, hijrah dan mengorbankan jiwa raga dalam memperjuangkan Islam.

Perkataan peradaban dianggap sinonim dengan tamadun. Beradab bererti sopan, terhormat, hidup dalam hukum, mempunyai tingkat kebudayaan yang tinggi berbanding dengan orang-orang yang tidak beradab. Peradaban itu lahir dari masyarakatnya, oleh kerana itu membangunkan peradaban Islam adalah membangunkan masyarakat Islam. Maksudnya dengan terbentuknya masyarakat Islam akan melahirkan peradaban Islam. Hal ini sebenarnya berlaku secara umum untuk setiap kemunculan sebuah peradaban. Munculnya peradaban komunis dan kapitalisme contohnya, didahului revolusi pemikiran komunisme yang menghasilkan revolusi Boulseviek pada tahun 1911 dengan kelahiran masyarakat komunis uni sovyet. Peradaban kapitalisme pula didahului dengan revolusi perancis dan revolusi industri yang menghasilkan masyarakat kapitalis Eropah dan Amerika.


Demikian juga peradaban Islam yang lahir dari revolusi pemikiran Islam yang diterima oleh penduduk madinah dan muhajirin seterusnya menghasilkan revolusi madinah yang melahirkan masyarakat Islam. Peradaban Islam terus kekal dan digunakan sehinggalah berlakunya keruntuhan khilafah Islamiyah pada tahun 1924. Oleh kerana itu jika ingin dibangunkan kembali peradaban dan tamadun Islam perlu dimulakan dengan revolusi pemikiran dan perasaan Islam dalam seluruh aspek kehidupan sehingga akan melahirkan masyarakat Islam, kebudayaan dan peradaban Islam yang membentuk hadharah (bentuk pemikiran) atau madaniyah (bentuk tamadun).


Peradaban dunia kini yang sering dibanggakan dengan kehebatan reka cipta moden dan pembinaan tamadun moden yang ianya hanya dilihat maju dari sudut kemajuan material semata-mata. Namun, hakikat kemajuan dan peradaban bangsa masih tidak tercapai. Proses pengembalian peradaban Islam perlu bagi kesinambungan peradaban manusia keseluruhannya demi membina tapak atau asas nilai spiritual yang kukuh untuk memastikan pembangunan dan kemajuan material yang begitu pantas berlaku, tidak meminggirkan keperluan “pembangunan insan” yang merupakan tujuan akhir segala pembangunan material-fizikal tersebut. Masyarakat melayu contohnya perlulah mengembalikan ciri-ciri budaya ketimuran supaya kembali disanjung dengan adab kesopanannya selama ini. Namun, mutakhir ini masyarakat bangsa sudah mula mengabaikan peradaban dan kini beransur-ansur hilang daripada komitmen setiap golongan masyarakat.


Proses pembinaan tamadun dan peradaban ummah sebenarnya perlulah menuruti cara dan prinsip-prinsip Islam sepertimana yang telah dianjurkan oleh agama Islam. Pembentukan peradaban sangat bergantung kepada pembinaan kejiwaan masyarakat bagi mempertahankan akidah, agama, tanah air dan seterusnya membentuk semangat patriotik. Jika kita hanya menekankan pembangunan dan kemajuan material tanpa mementingkan prinsip Islam maka pincanglah peradaban manusia itu.


Hakikatnya ialah kemunculan sesebuah peradaban banyak berkaitan dengan rangsangan keagamaan dan kerohanian. Ajaran agama dan amalan rohani sebenarnya mendorong manusia supaya menghayati nilai-nilai kehidupan yang tulus dan suci yang menghasilkan kehidupan yang bertamadun.


Ringkasnya peradaban manusia yang bertamadun menurut Islam mempunyai ciri-ciri keimanan kepada Allah dan Rasul, mempunyai nilai keperibadian yang tinggi kerana ia merupakan manifestasi kecemerlangan pencapaian hidup masyarakat dalam pelbagai bidang spiritual dan material. Sumber bagi kejayaan tamadun dan peradaban Islam adalah al-Qur’an, As-Sunnah, al-Ijtihad dan tamadun-tamadun lain. Islam tidak menolak tamdun-tamadun lain asalkan ianya tidak bertentang dengan akidah, syariah dan akhlak Islam.


Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :


“ kebijaksanaan itu laksana barang tercicir yang mesti dipungut oleh seorang yang beriman di mana sahaja dia mendapatinya, maka dia yang lebih berhak memilikinya.”


Kajian menunjukkan bahawa hanya apabila sesebuah masyarakat menghayati kehidupan berlandaskan nilai-nilai spiritual yang mempunyai manifestasi sosial dan fizikal, barulah ia akan dapat membangunkan kehidupan seimbang yang merupakan resipi kepada kesempurnaan kemanusiaan dan keharmonian serta ketinggian budaya. Kemunculan tamadun Islam yang telah mencapai tahap “golden age” nya itu misalnya adalah dipengaruhi oleh ransangan nilai dan penghayatan cara hidup Islam bersumberkan risalah wahyu.


Sepertimana hadis rasulullah s.a.w daripada Abdullah Bin Umar yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Al-Hakim menceritakan tentang ciri-ciri keruntuhan bangsa seterusnya menyebabkan keruntuhan peradaban, tamadun dan hadharah manusia. Ringkasan daripada hadis tersebut menyebut tentang beberapa perkara :


1. Perlakuan zina secara berleluasa mengundang penyakit yang tiada ubatnya.


2. Penipuan dalam sukatan dan timbangan menyebabkan kemarau panjang, kesempitan hidup dan kezaliman penguasa.


3. Menahan harta dari zakat seperti menahan hujan dari langit.


4. Tidak memelihara perjanjian dengan Allah s.w.t dan Rasul s.a.w akan mengundang musuh luar berkuasa.


5. Tidak melaksanakan pemerintahan Islam menyebabkan kehancuran dan perpecahan sesama sendiri.


Beberapa pengajaran dapat disimpulkan daripada keterangan ringkas berkenaan hadis tersebut yang merupakan antara bicara Rasulullah s.a.w tentang fitnah (huru-hara dan malapetaka) yang menimpa umatnya selepas kewafatan baginda. Justeru, peringatan Rasulullah s.a.w ini amat patut diberi renungan dan mendapat perhatian yang selayaknya demi memelihara kesejahteraan peradaban umat dan mengawal mereka dari perlakuan yang boleh mengundang bahaya dari langit lantaran kemurkaan Allah s.w.t. apatah lagi setelah hadis ini membawa pembuktian mukjizat Rasulullah s.a.w apabila perkara yang disebut oleh baginda ini benar-benar terjadi dan dapat ditonton dengan sejelas-jelasnya oleh kita pada hari ini. Segala penyakit dan bala yang berlaku ini adalah berpunca daripada peradaban manusia itu yang meninggalkan Islam sebagai ikutannya.


Oleh yang demikian, bagi membentuk peradaban yang ideal dengan mendukung nilai-nilai teras tamadun memastikan beberapa faktor seperti kesepaduan aspek material dan spiritual bagi membentuk pembangunan yang berbentuk konprehensif dapat dijayakan. Seterusnya usaha memusatkan aktiviti kehidupan sebagai berasaskan konsep Ubudiyyah terhadap Maha Pencipta dengan sendirinya akan menyahkan praktik-praktik negatif seperti rasuah yang boleh melemahkan imej peradaban itu. Kepentingan yang membabitkan usaha memenuhi keperluan asas manusia dan pengembangan sumber-sumber manusia, mempertingkatkan produktiviti, membangunkan kesihatan fizikal, mental, emosi, ketahanan ekologi, keadilan ekonomi dan pemeliharaan warisan budaya dan tradisi adalah berkait rapat dengan peradaban serta ketamadunan masyarakat.


Proses terbaik bagi membentuk semula peradaban manusia yang kian musnah ini adalah dengan menurut ciri-ciri yang telah ditetapkan oleh Islam. Mengamalkan prinsip Islam secara menyeluruh sahaja yang dapat menyelamatkan umat masakini agar segera kembali mengikut cara hidup Islam yang konprehensif. Peradaban dan kehidupan manusia seluruhnya akan terjamin dan dinaungi rahmat Allah apabila berpandukan ajaran Islam. Rasulullah s.a.w meninggalkan kita di atas landasan yang sangat jelas. Segala perkara telah diberitahu oleh Baginda bermula dari punca permasalahan, kesan dan natijahnya sehinggalah kepada jalan penyelesaiannya. Terpulang kepada kita untuk menerima dan mengamalkannya. Akhirnya, muhasabahlah akan apakah hujah dan alasan kita di hadapan Allah s.w.t di akhirat kelak.


0 pendapatan:

Related Posts with Thumbnails
 

saffa@srar Copyright © 2009 Community is Designed by Bie