Wednesday, January 20, 2010

Di Mana-Mana Ujian

Photobucket

Suatu hari saya terdengar perbualan seorang student di sini yang barangkali sedang membuat panggilan kepada keluarga di tanah air. Dari sayup-sayup suaranya saya dapat menangkap beberapa patah dari perbualan yang menceritakan di sini dia bangun pukul 4.00 pagi kemudian terus study sampai lepas subuh. Subhanallah~. Bagaimana saya tidak mengagumi kekentalan jiwanya yang mampu untuk menjadi sebegitu kerana ketika ini berapa ramai sahaja yang mampu untuk melawan nafsu dalam diri?. Tambahan dengan musim sejuk di Syria yang tempoh malam lebih panjang dari siang dan waktu inilah datangnya nafsu tidur, nafsu malas, nafsu makan dan banyak lagi ujiannya.

Lalu saya teringat akan pesanan sheikh Khalid Yaasin yang mengajar subjek tafsir di Mujamma’ Fatah tempat saya belajar. Katanya, “ saya harap kamu sebagai tolib ilm syariah dapat mentatbiqkan (praktikal) segala ilmu yang dipelajari. 1 jam sebelum masuk fajar subuh itu perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin kerana ketika itu adalah waktu paling baik bagi seorang hamba yang tahu menghargai peluang yang dikurniakan Allah ”.

Terdetik di hati saya menyebabkan saya berkata-kata sendiri di dalam hati, “ bagusnya dia bangun awal pagi, saya??..”. kadang-kadang Allah datangkan orang di sekeliling kita untuk memberikan peringatan kepada kita. Ada kalanya DIA tarik sementara nikmat yang pernah diberikanNYA kepada kita. Menurut kata murabbi, kalau kita fahami sesungguhnya Allah lebih cemburu kepada hamba-hambanya. Cemburu apabila hambaNYA lari daripadaNYA lalu dihantar segala macam cara untuk membuatkan hamba itu kembali kepadaNYA. Tarbiyah dari Allah sungguh indah dan unik~

Apabila tersingkap segala macam kejadian dalam hidup, maka akan tercetuslah transformasi dalam diri untuk mencapai tahap yang lebih hampir kepadaNYA. Waktu itulah kita akan berazam dengan bermacam-macam azam dan semangat yang begitu membuak-buak bak buih panas di permukaan gunung berapi yang hampir meluahkan lavanya. Jangan kita sangka keadaan itu sudah sampai ke kemuncak usaha. Kita perlu berwaspada!, kerana ketika ini juga kita bisa tertipu dengan diri sendiri. Di mana-mana pun ada ujian dariNYA. Jadi kita perlu sentiasa bersedia di setiap waktu dan ketika agar terus redha dan sabar ketika dipanah dengan panahan ujian yang begitu dahsyat.

Hari ini mungkin kita telah berazam bahawa kita akan membuat sesuatu kebaikan namun terkadang kita diuji lalu kita tidak dapat melaksanakan azam itu. Kemudian kita berazam lagi untuk kali yang kedua dan seterusnya, namun masih jua tidak dapat dilaksanakan. Apakah yang dimaksudkan di sini?. Inilah dia namanya PERJUANGAN!. Apa yang perlu kita lakukan bila kita diuji sebegitu?. Sudah tentu terkadang ada yang merasakan bahawa doanya tidak dimaqbul, kehampaan, kekecewaan, rasa semakin jauh dan sebagainya.

Hakikatnya bila kita diuji dengan ujian yang hebat itulah yang akan memberikan kekuatan untuk terus bangkit bagi menongkah arus rintangan di masa hadapan. Paling utama Adalah husnu zhan kita kepada taqdirNYA. Walaupun usaha kita masih tidak berhasil untuk kali pertama, kedua dan ketiga namun jika kita terus istiqamah dan berusaha lagi untuk melakukan amalan kebaikan insya Allah, berkat dari kesabaran itu akan membuahkan hasil ketaqwaan dan bertambah lagi keimanan kita kepadaNYA.

Pernah seorang naqib ditanya oleh anak buahnya soalan mengenai pengorbanan dan kesabaran.

“ Ustaz, apakah peranan seorang suami ketika berlaku sesuatu yang menyebabkan kita harus berkorban dan bersabar? ”.

Lalu dijawab oleh naqib tersebut, “ di sini saya bawakan satu contoh yang menarik…”.

Ada 1 kuliah yang mana salah satu dari ahli kuliah itu tidak dapat hadir. Lalu ditanya oleh ustaz yang mengajar; kenapa kamu tidak datang?.

Jawab muridnya, “ maaf ustaz saya sudah bersiap ustaz..ibu-bapa saya pula datang. Jadi saya menguruskan ibu bapa saya dahulu ”.

Kemudian minggu seterusnya ada lagi pengajian lalu ditunggu lagi oleh ustaznya namun dia tidak hadir juga.

“ maaf ustaz, saya sudah bersiap tapi ibu saya datang pula. lalu saya menguruskan ibu saya ustaz ” .

Rupanya kita diuji oleh Allah SWT dengan ujian yang sama. Kalau kita belum lulus dengan ujian itu Allah akan menguji lagi dengan ujian yang sama.


Akhwati fillah, kita sangat memerlukan kesabaran, tadhiyah dan keikhlasan. Mungkin yang sabar di atas sabar. Kita sangat memerlukan tadhiyah dan pengorbanan. Kita juga perlukan keihklasan!. Kerana di mana-mana pun kita tetap akan diuji oleh Allah SWT…

0 pendapatan:

Related Posts with Thumbnails
 

saffa@srar Copyright © 2009 Community is Designed by Bie