Setelah membuat beberapa kajian dan membaca bahan bacaan mengenai hal-hal yang berkaitan dengan wanita dan muslimah terutamanya, suka saya kongsikan bersama sahabat semua diruangan ini. Segala pandangan lebih menjurus kepada tanggungjawab dan usaha para da’ie untuk melebarkan lagi sayap dakwah yang sedia dimaklumi bahawa perjuangan ini merupakan lanjutan daripada gerakan yang dipimpin oleh Rasulullah sallallahu alihi wasallam. Oleh kerana itu ia mestilah mengambil kira apa yang dilakukan oleh junjungan besar nabi Muhammad sallallahu alaihi wa sallam iaitu Rasul terakhir.
Melihat dari pengalaman dan fenomena yang berlaku masakini dengan kebobrokan peradaban, sahsiah, ekonomi dan segenap kehidupan manusia yang sudah jauh menyimpang dari fitrah kehidupannya. Agama Islam adalah fitrah kehidupan yang perlu difahami dan dipelajari agar penganutnya beragama mengikut syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Namun, apa yang berlaku adalah kepincangan dan kebobrokan ummah yang terus menerus menjerumuskan diri kepada kefasadan dan kekufuran.
Saya tidak perlu melihat jauh cukuplah melihat kepada keadaan massa di tanah air tercinta Malaysia. Bagaimana keadaan umat Islam yang sudah mati roh dan hatinya dengan suntikan ideology dan isme-isme dari orientalis dan kaum kuffar. Tidak perlu lagi dihantar kepada kita tentera-tentera untuk menjajah bumi kita tetapi cukuplah dengan mereka menghantar Britney spears, esok kita bangun dari tidur anak-anak kecil dan remaja-remaja semuanya sudah menjadi Britney!. Masya Allah.
Cuba kita perhatikan kisah seekor monyet yang sedang memanjat pokok kelapa. Kemudian datang kepadanya angin kencang lalu menggoncangkan pohon itu namun sang monyet tetap berpaut kemas di pohon kelapa dan tidak terjatuh. Kemudian datang pula angin yang bertiup lembut sehingga menyebabkan sang monyet terleka lalu melepaskan tangannya. Kemudian jatuhlah sang monyet dengan 1000 penyesalan.
Scenario yang berlaku di Malaysia juga begitu. Kita sekarang sedang diserang oleh kaum kuffar dengan serangan yang begitu halus sehingga menyebabkan kita tidak sedar akan kehadirannya. Akhirnya apa yang telah terjadi kepada umat Islam kini adalah kesan dari kesenangan hidup yang menempahkan kita ke lembah kehinaan. Bak kata Fadhilatu Sheikh Usamah ar-Refa’I Hafizahullah di dalam khutbah jumaatnya yang bertajuk ad-Difa’ A’nil Usrah al-muslimah ( mempertahankan keluarga muslim) ; “ Wanita sekarang sudah tidak ada malunya mereka menjadi seperti binatang ternakan (kambing) yang berjalan di tempat awam tanpa berpakaian malahan lebih teruk dari itu!”. Segala kerosakan ini adalah balasan dari dosa dan maksiat yang terlalu berleluasa dilakukan oleh manusia yang kufur dengan nikmat Allah. Manusia kini lari dari fitrahnya iaitu ISLAM.
Saya masih meneruskan kajian ini terutamanya bagi menghadapi isu-isu di kalangan muslimah. Kerana saya merasakan ianya adalah tanggungjawab yang wajib dipikul sebagai penuntut ilmu Allah. Biarlah ketika ini ramai yang tidak memahami akan kewajipan ini. Suatu hari nanti saya yakin Allah akan membukakan pintu hati semua untuk menjadi pejuang dan tentera agama Allah. Perjungan ini bukan hanya dengan mengangkat senjata di medan jihad qital tetapi semua amal yang melibatkan gerakan bagi menjulang agamaNYA adalah jihad.
Di sini saya letakkan 2 bahan bacaan saya sekarang ini berkaitan dengan ahkam mar’ah dan fikrah bagi mengatasi ideology-ideologi yang teruk menghentam muslimat kini. Kita tidak perlu melihat kepada masyarakat umum cukuplah melihat sahabat dan kawan yang belajar ilmu syariah sendiri pun sudah ramai yang terkena virus-virus ideology kuffar ini. Menjadikan ramai yang ragu-ragu dengan agama dan pegangannya. Insya Allah, jika diizinkanNYA saya akan memperjuangkan kewajipan dan hak-hak muslimat mengikut ajaran Al-Qur’an dan As-Sunnah serta dalil-dalil dalam pensyariatan yang berbaki. Dalam ilmu usul fiqh dalil-dalil dalam pensyariatan terbahagi kepada 2 bahagian iaitu asas dan cabang. Ianya memerlukan perbahasan yang panjang di dalam ilmu ini. Saya akan mencuba dan terus mencuba lagi untuk mendalami ilmu Allah ini sehingga saya mampu mengamalkan ilmu dan menyampaikannya kepada semua. Semoga Allah memberikan rahmatnya buat kita semua. Amen.
1- Tajuk : Hak-Hak Dan Tanggungjawab Wanita Di Dalam Islam
Pengarang : Dr. Abdul Karim Zaidan
Cetakan : mussasah ar-risalah
Ianya memberikan pengertian dan pemahaman mengenai hak-hak dan tanggungjawab muslimat merangkumi perkara asal/ usul teori dan praktikal dengan begitu terperinci termasuk juga hak-hak kebebasan berfikir dan berhujah serta memberi pandangan dan pendapat di dalam perkara umum dan aqidah. Hukum-hukum, hikmah pensyari’atan, hak khusus bagi wanita secara peribadi dan keadaannya dengan masyarakat dan Negara. Semuanya di jelaskan di dalam buku ini.
2- Tajuk : Hukum-Hukum Berkaitan Wanita Islam (muslimat)
Pengarang : Dr. Nasywah El-I’lwaniy
Cetakan : dar maktabi dimasyq.
Membahaskan tentang hal-hal berkaitan wanita secara umum. Hukum-hukum wanita mengikut fiqhiyah secara umum seterusnya hokum di dalam perkara ibadat : toharah, solat, puasa dan I’tikaf, zakat & haji..kemudian membahaskan tentang undang-undang keluarga Islam : nikah, cerai dan sebagainya. Ada juga dibahaskan berkenaan hukum hudud.
• Kedua-dua kitab ini memberikan kupasan yang baik dan jelas bagi menjawab kembali segala fitnah dan dusta golongan yang mengatakan Islam menindas kaum wanita. Kerana setiap sesuatu dan kehidupan makhluk di bumi ini menjadi dalil akan kebesaran Allah SWT. Dan keimanan kita dibina daripada dalil-dalil maka wajarlah kita mengatakan kepada siapa yang mengkufurkan Allah dan syariatNYA; “ BAWAKANLAH DALIL-DALIL KAMU!”
“ Patutkah mereka menyembah tuhan-tuhan Yang lain dari Allah? Katakanlah (Wahai Muhammad): "Bawalah keterangan dan Bukti kamu; kandungan Al-Quran ini menjadi peringatan dan Bukti Tauhid umatku, juga peringatan dan Bukti Tauhid umat-umat Yang dahulu daripadaku". (kaum musyrik tidak mempunyai sebarang keterangan) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui mana Yang benar dan mana Yang salah, Dengan sebab itulah maka mereka berpaling ingkar”. ( AL-Anbiya’ : 24)
Salam perjuangan,
Tarbiyah agenda bersama!
Perantau akhirah di bumi Syam.