Tuesday, April 06, 2010

Di Sebalik Kisah Hijab

Suatu pagi saya dan ahli bayt mengikuti talaqi khususi kitab Qawa’id Fiqhiyah bersama anisah Ummu Ammar yang diadakan pada setiap minggu. Selepas selesai waktu kelas, kami memerhatikan cara anisah memakai hijabnya. Seolah-olah dibelit-belitkan dari leher dan kepala lalu ditarik ke bahagian depan untuk menutupi wajahnya. Kelihatan agak rumit namun bagi anisah ianya sangat mudah kerana sudah menjadi kebiasaan. “ kamu mahu melihat caranya?, begini…dan begini…” kata anisah. “ aiwah, begitu..rupanya..” jawab kami serentak sambil kepala dianggukkan tanda faham.

Anisah bertanya kepada kami, “ cantikkah?”. Saya Cuma mengangguk. Jawab anisah, “ oh tidak !, sebenarnya saya lagi suka melihat cara kamu (Malaysian) berhijab dengan tudung labuh menutupi kepala dan dada kamu dan itulah yang terbaik.. saya sangat iri hati melihat kamu boleh memakainya! ”. bayangkan selama ini saya fikir muslimat di sini tidak kisah dengan hijab yang mereka pakai namun ianya merupakan satu kehilangan yang sangat besar bagi mereka. Hijab itulah maruah muslimat yang perlu dipertahankan. Namun pihak kerajaan yang zalim dan tidak melaksanakan syariat Islam telah merampas hak kebebasan berpakaian bagi muslimat di sini. Inilah hasil dari pemerintahan yang jatuh ke tangan orang yang tidak beragama dan bukan ahlinya. Lalu rakyat terutamanya yang beragama Islam tidak bebas lagi untuk melaksanakan syariat Allah. Segenap kehidupan dikawal oleh system dan undang-undang yang jelas menentang undang-undang Allah yang telah dinyatakan di dalam al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah SAW.


Belum lagi kita masuk soal berpakaian lengkap menurut syariat Islam. Kadang-kadang saya pernah diminta untuk menemani rombongan yang datang dari Malaysia untuk berziarah di sekitar syam. Apabila dibawa ke masjid Umawi untuk menziarahi sekitarnya sudah tentu ada di kalangan ahli rombongan yang tidak lepas untuk masuk ke dalam masjid dengan pakaian yang dipakai olehnya. Lalu pihak masjid menyuruh untuk memakai baju khas yang disediakan kepada non muslim untuk memasuki masjid oleh kerana pakaian yang dipakai “tidak cukup syarat”. Alangkah sedihnya melihat keadaan umat ini setelah Rasulullah SAW datang membawa Islam dan sinar kebenaran lalu seluruh alam ini diterangi oleh cahaya keimanan kini kembali menuju kegelapan dan kerosakan.


Kita perlu sedar dan insaf akan kefasadan yang berlaku ini adalah menjadi dosa kepada kita kerana amanah untuk menegakkan syariat Allah itu terpundak di atas bahu semua muslimin dan muslimat. Bagaimana musuh-musuh Islam mahu takut dan gentar melihat kita jika umat Islam sendiri tidak cukup kekuatan dalaman dan luaran?. Kita sering bercita-cita untuk mendapatkan kemenangan namun tuntutan dan syariatnya tidak dilaksanakan.


Sebagai umat Islam kita perlu menjaga dan mengambil berat akan dua perkara yang akan menyebabkan kehancuran jika tidak diberi perhatian iaitu;


1- Hal ehwal wanita
2- Ekonomi atau harta


Allah SWT berfirman, “ Inni ma’kum..” itu bukan secara percuma tapi dengan bersyarat iaitu apabila hambanya “ mendirikan solat, berpusa Ramadhan, menunaikan zakat dan beriman kepada rasul-rasul utusanNYA…”. Bagi umat Islam telah diaturkan dan disediakan panduan untuk segenap kehidupannya iaitu bersamanya al-Qur’an, sunnah Rasulullah, manhaj dan Agama.


Kita perlu mengetahui bahawa pakaian bagi muslimat adalah 1 juzuk dari agamanya iaitu juzuk yang tidak bercerai dari agamanya, bahkan ia menjadi “ibadah khusus” bagi muslimat. Ditambah lagi bahawa setiap cm dan ukuran dari pakaian muslimat itu menunjukkan agamanya. Jadi ini menunjukkan bahawa diri wanita itu keseluruhannya amat berharga. Wanita berbeza dengan lelaki kerana pakaiannya adalah ibadah kerana dari wanitalah punca berlakunya fitnah lalu menyebabkan zina. Sepertimana ayat al-qur’an yang dimulakan dengan “ penzina di kalangan wanita dan penzina di kalangan lelaki..” ini menunjukkan wanita adalah mukadimah kepada berlakuknya fitnah. Jika wanita menjaga cara berpakaian dan menutup aurat maka amanlah kehidupan ini dan pintu fitnah berjaya ditutup dengan ketaqwaan dan keimanan.


Di antara syarat-syarat menutup aurat menurut Islam pakaian itu mestilah;


1- Longgar dan luas tidak sempit
2- kain tebal tidak nipis sehingga menampakkan aurat dari warna kulit dan bentuk tubuhnya.


Realitinya bagi lelaki tiada syarat-syarat khusus seperti wanita untuk berpakaian namun tidaklah sehingga menzahirkan auratnya. Maka jelaslah bahawa pakaian muslimah adalah sebahagian dari agamanya yang menunjukkan peribadi muslimah solehah, mukminat, muhsinat dan at-thoiyibat. Rasulullah SAW juga bersabda;


" ... فاتقوا الدنيا واتقوا النساء.."
" bertaqwalah kamu dari dunia dan wanita..”


Muslimah perlu sedar bahawa pakaiannya merupakan mahkota dan suatu kemegahan menunjukkan dirinya berbeza dari wanita musyrik dan kaum lelaki. Ianya merupakan penjagaan khusus yang dikurniakan oleh Allah bagi menjaga dirinya dan agamanya.

Jika kita mengatakan bahawa mahu berpakaian mengikut waqi’e ( reality ) namun kita perlu mengetahui maksud waqi’e menurut Islam iaitu waqi’e yang dilihat itu kemudian panduannya adalah dengan mengikut syariat. Syariat tidak akan mengikut waqi’e tetapi waqi’e yang akan mengikut syariat. Jika reality yang ada itu adalah menunjukkan kefasadan adakah patut kita mengikutinya untuk menjadikan diri kita membumi dengan keadaan tersebut?.


Imam al-Qurtubiy pernah menyebut bahawa “ di dalam perkara agama ini (hukum-hukum) tidak ada pandangan peribadi, sesungguhnya ilmu agama ini perlu dilihat daripada siapa dan apa sumbernya..dalam agama ini tidak ada menurut hawa nafsu tidak menurut “waqi’e murr” ( reality yang tidak baik) maka ianya (waqi’e murr ) perlu ditukar..”. ini menunjukkan bahawa bukan agama yang perlu diringan-ringankan tetapi keadaan yang tidak menurut kehendak agama itu perlu diubah memandangkan soal pakaian wanita muslimah ini merupakan sebahagian dari agamanya.


Banyak hadis yang telah direkodkan di dalam kitab-kitab hadis menceritakan bahawa menutup aurat ini adalah wajib dan ianya merupakan sunnah para ummahatul mukminin dan solehaat. Sehingga diceritakan bahawa muslimah solehah ini dia tidak mengenali lelaki dan tidak dikenali kerana memakai pakaian menurut syariat dan menjaga akhlaknya. Dia tidak mudah bergaul dan bercampur dikhalayak tanpa menjaga agamanya. Pakaian dan akhlaknya menjadi perisai dan pelindung diri dari terus dinodai kesuciannya dan jatuh ke dalam kefasadan.


Jagalah peribadimu duhai muslimah, peliharalah kesucianmu agar dikau dilihat suci dan mulia di mata makhluk dan menjadi insan bahagia di dunia dan akhirat dengan menjadi kekasihNYA. Bukanlah kehidupan dunia ini hanya untuk mengecap segala nikmatnya, namun dunia ini untuk menanam pohon amal dan akhirat negeri abadi untuk kita menuai hasilnya. Teringat pesan Murabbi, “ dunia ini tempat dukacita, akhiratlah tempat kebahagiaan!”. ~

3 pendapatan:

Insyirah on April 7, 2010 at 4:40 AM said...

Assalamu'alaikum ukhti.

Jazakillah khairan, ana sangat suka dengan kalimah “dunia ini tempat dukacita, akhiratlah tempat kebahagiaan!”.

saffa@srar on April 7, 2010 at 5:41 AM said...

Alaikumussalam, khairan ya ukhti.. Klu bgtu yg kta fikirkn..Jd setiap ujian yg dtg tiada sbrg keraguan pd qada' dan qadarnya.. Segala yg ditentukn di dunia ini akn kita terima n tempuhi dgn pnh REDHA...KERANA DUNIA INI TEMPAT DUKACITA- Hikam Ibnu A'toillah

Insyirah on April 8, 2010 at 2:57 AM said...

Alangkah bahagianya. Selalu bila bersedih, terasa down.. Ana akan baca coretan-coretan dari Bumi Syam, alhamdulillah sedikit sebanyak coretan kalam jihad ukhti membakar semangat ana.

Terus menulis ya ukhti. Sebagai wasilah penyebaran dakwah. Mudah-mudahan thabat dalam perjuangan.

Kerana dunia tempat berduka cita :)

Related Posts with Thumbnails
 

saffa@srar Copyright © 2009 Community is Designed by Bie