Monday, October 12, 2009

Pemerintahan Islam Berdaulat

Walaupun pemerintahan Islam dijatuhkan sudah sekian lama namun cahaya Islam tidak pernah dapat dipadam dan disekat. Sinar cahaya Islam itu terus menembusi tembok-tembok sempadan dan benteng sekatan yang dilakukan oleh kaum kuffar laknatullahi a’laihim. Di sana ada kekuatan yang tidak dapat dihancurkan oleh musuh-musuh Islam walau dengan apa cara sekalipun mereka tidak mampu untuk menandingi kuasa Allah yang maha esa. Mana mungkin makhluk yang diciptakan oleh Allah sebagai penciptanya mampu untuk mengubah dan melawan kehendak penciptanya.

Orientalis barat pernah menyebutkan tentang kehebatan umat Islam iaitu di dalam kata-kata beliau :
“Walaupun dunia barat telah Berjaya melumpuhkan dan menjatuhkan pemerintahan Islam, namun di sana ada 2 batu besar yang tidak dapat dijatuhkan dan dimusnahkan walaupun dengan bala tentera dan armada yang datang menyerang. Sekiranya serangan diteruskan ke dua-dua batu besar itu tidak akan dapat dijatuhkan atau hancur sama sekali melainkan tentera dan armada itu yang akan musnah”.

2 batu besar itu adalah :

1. Al-Qur’an: kerana ianya adalah mukjizat nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang tidak boleh dihapuskan sampai hari kiamat.

2. Kaabah: adalah qiblat umat Islam.

Kaum kuffar tidak akan takut sama sekali dengan ulama yang hanya mengajar ilmu fardhu ain, ibadah sahaja tanpa membawa seruan dakwah Islam yang sebenar. Tetapi yang mereka takuti adalah ulama yang membawa mesej dakwah Islam sebenar iaitu “al amru bil makruf wannahyu a’nil munkar”. Maka sekiranya kita hanya menyeru umat ini dengan melakukan perkara makruf tanpa melarang dan mencegah kemungkaran ianya masih belum mencukupi syarat-syarat dakwah sebenar.

Hakikatnya segala perancangan dan ideologi-ideologi barat gagal untuk melumpuhkan kebangkitan Islam. Kerana Islam menguasai pemikiran dan hati-hati manusia. Sehinggalah berlakunya kebangkitan kepada Islam sepertimana yang berlaku di Palestin, Turkey, Iran, Lubnan dan Malaysia. Perjuangan Islam itu sendiri berasaskan dengan maudhu’ Islam yang mana perjuangan wajib diteruskan sampai Islam berdiri dan ditegakkan.


Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Hajj-41:



“Iaitu mereka (umat Islam) Yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara Yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan Segala urusan”.

Ayat ini telah menjelaskan beberapa ciri yang perlu ada pada pemimpin yang dipilih bagi memerintah dan memimpin umat ke jalan yang diredhai Allah. Ciri-ciri tersebut adalah :

1. Mereka yang mendirikan sembahyang.

2. Mereka yang memberi zakat.

3.Mereka yang menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemungkaran
.

Firman Allah s.w.t lagi di dalam surah an-Nuur – 55:


“Allah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) Bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah Yang memegang Kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang Yang sebelum mereka: khalifah-khalifah Yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) Yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu Dengan tidak mempersekutukan sesuatu Yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa Yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka”.

Ayat tersebut jelas mengandungi peringatan bahawa khilafah Islam itu sangat diperlukan dan wajib diperjuangkan sehingga berlakunya perkara sebagaimana datangnya Islam menukarkan umat daripada ketakutan kepada keamanan.

Pernah diriwayatkan di dalam sebuah hadis dari kitab riyadussolihin di dalam bab as-sobru daripada abu Abdullah khabbab bin al-arat bahawa mereka(para sahabat) pernah mengadu kepada rasulullah supaya didoakan agar meminta kemenangan bagi umat Islam. Lalu dijawab permintaan para sahabat dengan tazkirah bahawa perlu bersabar di dalam menegakkan agama Allah. Sesungguhnya demi Allah, bahawa Allah akan menjadikan agama ini (Islam) akan menang!. Inilah yang dikatakan Islam itu memerintah dan berdaulat. Untuk menunaikan perkara ini iaitu perjuangan menegakkan Islam tentulah akan berhadapan dengan kezaliman. Perjuangan Islam perlu didokong sampai ke puncaknya dan tidak akan berhenti walaupun ditekan dan dizalimi dengan teruk. Sedarlah bahawa, Perjuangan ini bukan mudah! Tanpa kekuatan dan tamkin yang dikurniakan oleh Allah serta kesabaran dalam menghadapi mehnah ini kita tidak akan dapat melihat Islam itu tertegak di muka bumi. Wahai umat dakwah, tahsinkanlah jiwa dan hati-hati agar roh Islam terus membentuk jatidiri mukmin sejati..

Thursday, September 24, 2009

Sinar Syawal Di Bumi Syam


Salam Aidil Fitri 1430 H.
Maaf Zahir & Batin.

Min: saffa@srar,
Damascus, Syria.


Kini hampir 4 tahun saya menyambut hari raya di perantauan. Kerinduan pada tanah air Malaysia terpaksa ditahan demi perjuangan untuk menuntut ilmu di bumi ini. Kerana inilah cita-cita dan perjalanan perjuangan yang telah dipilih. Kepada Allah diserahkan taqdir agar perjalan hamba berakhir dengan “husnul khatimah”. Amen ya rabb. Alhamdulillah, sambutan raya kali ini meriah juga dengan kehadiran kak Ida dan anak-anaknya yang tinggal sementara bersama kami. Kebetulan saya dan ahli bayt hanya tinggal 3 orang sahaja oleh kerana yang lain telah pulang bercuti / balik Malaysia.


Ramadhan telah berlalu jua. Perasaan sedih, pilu dan sebak mula dirasai apabila saya mendapat berita bahawa raya di Syria jatuh pada hari ahad. Bulan barakah itu akan saya tinggalkan. Kembali kepada fatrah biasa yang penuh dengan dugaan dan ujian. Adakah masih ada peluang untuk bertemu dengan ramadhan yang akan datang? Wallahu a’lam.


Pagi syawal saya tidak terlalu sibuk dengan persiapan jamuan raya kerana semuanya telah diselesaikan sebelum malam raya lagi. Pagi itu saya mengikuti jemaah solat raya di Jami’e Khair Wa Yaasin. Antara khutbah menarik dari imamnya ialah saranan daripada beliau agar kita banyak berdoa pada Allah supaya dikurnikan ISTIQAMAH dalam agamaNYA dan terus mentaati ajaran nabiNYA, Muhammad sallallahu alaihi wasallam.


Disamping itu, dalam keseronokan kita beraya keadaan umat Islam yang ditindas, dihina dan dizalimi juga jangan kita lupakan. Contohnya umat Islam di Palestin terutamanya Gaza, di Mindanou, Pattani dan banyak lagi yang raya mereka dihujani dengan serangan bom dan peluru. Teruskanlah sumbangan dan doa yang tidak putus-putus untuk kesejahteraan umat Islam sejagat. Sesungguhnya doa orang yang dizalimi adalah mustajab. Sedarlah bahawa anti kezaliman itu adalah daripada cabang iman.

Baru-baru ini saya juga berpeluang berkenalan dengan Ummu Azhar (zaujah sheikh Kuraiyim Rajih (qurra’ syam) setelah menziarahi sheikh pada bulan ramadhan. Perkenalan dengan beliau begitu bermakna buat saya kerana bukan mudah untuk mendekati orang-orang hebat macam ni. Banyak pengalaman baru yang saya dapat dari perbualan bersama ummu Azhar. Semoga ikatan ukhuwah ini berkekalan hingga ke akhirat. Amen.

Wednesday, September 09, 2009

Memaknakan Ramadhan

Memaknakan Ramadhan : Visi Menyelusuri Kebahagiaan Mukmin


Hari-hari yang berlalu tidak dapat diputarkan kembali. Sedar tidak sedar Ramadhan telah menjengah ke fatrah maghfirahnya. Sebagai manusia dan hambaNYA kita perlu redha dan tetap terus berjuang demi menjalani kehidupan mendatang. Pernahkah kita bermuhasabah sudah tahap manakah perjalanan kehidupan kita ini? Sudah yakinkah bahawa kita akan bertemu dengan Allah di akhirat kelak dengan wajah yang gemilang atau sebaliknya? Tahukah anda berapakah jaraknya lagi persinggahan yang akan anda tempuhi sehingga ke wawasan akhirat kelak?

Jika diperhatikan kita semua yang hidup di dunia ini baru melalui ke persinggahan yang ke-3 pada peringkat perjalan kehidupan seorang hamba itu sebelum sampai ke alam akhirat yang kekal abadi. Persinggahan yang dimaksudkan adalah persinggahan kita di alam dunia. Kita semua telah Berjaya melepasi 2 alam iaitu alam arwah dan alam rahim yang mana kita semua telah mengikat janji dengan Allah S.W.T sebelum kita masuk ke alam seterusnya iaitu alam dunia.



gambar rajah perhentian seorang hamba..


Umat Islam sentiasa diberikan peringatan dan peluang di dalam setiap detik kehidupannya. Adanya panggilan azan menandakan masuknya 5 waktu solat setiap hari, khutbah dan solat jumaat pada setiap minggu dan adanya Ramadhan yang merupakan bulan terbaik bagi setiap tahun. Kesemua kelebihan tersebut hanya dapat dirasai dan dikecapi oleh muslimin sebagai anugerah dari Allah S.W.T. Selaku hamba perlu bersyukur dan beriman dengan menambah amal dan ibadah bagi menunjukkan rasa kesyukuran.

Hamba yang bertaqwa dan beriman akan sentiasa berusaha bagi merealisasikan impian hamba mukmin dengan memanifestasikan insane kamil selepas takharuj dari madrasah Ramadhan yang dilaluinya selama 1bulan itu. Biar kita “tamak dan mabuk pahala dan ibadah”, kerana bulan ini telah dibukakan kepada kita seluas-luasnya pintu rahmat dan pengampunanNYA. Daripada sheikh Mahmud Dahla; “berpuasa ini adalah untuk memperkukuhkan taubat” Kerana lain-lain masa kita bertaubat tetapi ketika berpuasa ini adalah peluang untuk kita memperkukuhkan taubat kita. Hanya usaha hamba yang perlu dilaksanakan sahaja lagi.
Ayuh para pejuang agama Allah, kita sahut seruan membolot amalan soleh…percepatkan pecutan dayungan perahu taqwa ini…agar sampainya nanti tidak karam dipertengahan perjalanan…

Ramadhan; awwaluhurrahmah, wa ausatuhu maghfirah, wa akhiruhu itqun minannar..-insya Allah~

Sunday, August 23, 2009

ITQAN "EDISI KHAS" 09

Insya Allah, segala usaha dan amal yang dilakukan akan mendapat rahmat dan ganjaranNYA di akhirat kelak..~Selamat berjuang buat sahabat2ku..team ITQAN 09~

Monday, August 17, 2009

Medium Pembentukan Fikrah

Membaca Medium Pembentukan Fikrah

Semalam merupakan hari terakhir ‘Ma’rad Kutub Ad-Du’ali’ ataupun pesta buku yang diadakan di madinah ma’rad Damascus, Syria. Saya sempat pergi ke sana sebanyak 2 kali bersama achik dan ahlulbayt. Alhamdulillah, dapat juga saya membeli beberapa kitab yang telah disenaraikan sebelum ke sana.


Tetapi kitab yang saya beli kesemuanya kitab mua’sirah bukan turath dan bukan kitab untuk di kuliah. Kerana bagi membeli kitab kuliah lebih sesuai dibeli setelah bermulanya pengajian untuk melihat dahulu kitab yang dipilih oleh pensyarah. Kadang-kadang jika kita membeli sebelum pengajian bermula agak mengecewakan kerana pensyarah belum tentu lagi akan menggunakan kitab yang sama dengan tahun sebelumnya.


Agak kelakar kerana kitab-kitab pilihan saya kali ini banyak juga yang menjurus ahwal mar’ah dan usrah muslimah. Walaupun pada asalnya saya tidak berniat untuk membeli kitab yang membincangkan isu yang sama (kerana saya sudah ada banyak) kitab yang membincangkan mengenai isu tersebut. Pada awalnya saya ingin membeli kitab ‘Mufassal fi ahkamil mar’ah wa baytul muslim fi syari’ah Islamiyah’ karangan Dr. Abdul Karim Zaidan yang mempunyai hampir 10 jilid kalau tidak silap. Tetapi kitab tersebut telah habis dicetak dan cetakannya akan dikeluarkan beberapa bulan selepas ini.


Pada kali ini saya banyak membeli kitab dari pengarang yang bernama Dr. Solah Abdul Fatah Al-Khalidi kerana berminat dengan tulisan beliau setelah saya membaca kutaib beliau yang bertajuk ‘Khittatul barraqah lizin nafsit tauwaqah’ merupakan bacaan motivasi bagi yang mahu melahirkan anjakan padadigma selaku talibul ilmi yang ingin berjaya.



Apa-apa pun saya berpuas hati dengan kitab-kitab pilihan yang telah dibeli itu. Semoga ianya dapat memberikan manfaat untuk saya meneruskan perjuangan ini. Membaca merupakan salah satu hobi saya dimasa lapang selain daripada menulis. Dengan membaca akan melahirkan percambahan fikrah yang begitu banyak dan bermanfaat.

Ahlan Ya Ramadhan...1430 H

Monday, August 10, 2009

Aku Menangis Di Bumi Syam



“And so we have made you a median nation, in order that you will be a witness above the people, and that the messenger be a witness above you.”



Sebelum ini saya pernah membaca kutaib “Ya Binti” dan terjemahannya “Puteriku” yang telah ditulis oleh as-syeikh Ali At-Thontowi. Makalah yang telah ditulis oleh beliau dengan nasihat yang sangat berhikmah pehuh dengan naluri kebapaan untuk memberi pesanan khusus buat muslimat dan putera-puteri Islam. Antara yang disebutkan beliau ialah mengenai Negara umat Islam yang semuanya tidak selamat lagi dari gelombang kemungkaran. Sehinggakan bumi syam yang dahulunya dihuni oleh masyarakat yang terkenal berakhlak dan di antara masyarakat yang terlalu menjaga kehormatan diri dan keturunan, namun kini perempuan-permpuannya keluar dalam keadaan penuh terdedah dan mengeksploitasikan diri mereka sendiri serta tanpa segan silu untuk membuka aurat.


Bumi syam yang dahulunya SALAAM..kini hanya tinggal kenangan.. Kefasadan kian melanda bumi ini. Saya tidak sanggup melihat perubahan itu. Perasaan sedih, marah dan benci terhadap kefasadan yang merosakkan peradaban Ummah itu menyebabkan saya mencoretkan sedikit rencana di blog saffa@srar ini. Saya bukan bertujuan untuk memburuk-burukkan tentang kisah di bumi ini, tetapi ianya adalah sebuah pengalaman dan coretan perjalanan agar dapat dikongsikan bersama ibrah luka ini.



Sekarang saya dapat saksikan sendiri di hadapan mata saya betapa teruknya suntikan virus kuffar dengan kebejatan social yang telah meracuni minda dan pemikiran umat Islam khususnya apa yang terjadi kepada muslimah akhir zaman.. inilah hasil dari perbuatan manusia yang tidak berpaksikan syariatNYA. Kefasadan yang kian menular ini tidak akan kembali pulih selagimana pemerintahan Islam tidak dapat ditegakkan di muka bumi ini. Ini adalah salah satu kesan hasil dari tampuk pemerintahan yang dibiarkan jatuh ke tangan yang bukan ahlinya apatah lagi apabila ianya jatuh ke tangan kaum kuffar laknatullah!.



Kalau hendak dicerikatan lagi sudah tentu berjela-jela jadinya N3 ini. Kasihan sungguh dengan keadaan yang berlaku sekarang ini. Peradaban zaman yang kian meruncing dengan kebebasan tiada batasan, sempadan dan landasan mendorong manusia melakukan apa sahaja dengan membontoti nafsu serakah semata-mata. Kesusahan, kesempitan dan kekurangan hidup menyebabkan kaum lelaki kian kurang autoritinya sedangkan wanita semakin maju dan kaya-raya sehingga tidak memikirkan soal perkahwinan, rumahtangga dan sebagainya. Bagi mereka kehidupan yang ada sudah cukup dengan apa yang mereka miliki sekarang dan tidak perlu bersusah payah lagi untuk hidup berkeluarga yang hanya akan membebankan kehidupan mereka. Namun apa yang berlaku adalah pergaulan bebas dan hubungan seks bebas sehingga menyebabkan gejala yang lebih teruk pula terjadi.



Beberapa kisah sedih kehidupan masyarakat arab di sini telah saya dengari dan saya saksikan, namun lebih baik saya tidak coretkan kesemuanya di sini. Tetapi airmata ini tidak dapat disekat apabila mendengar kisah duka dan melihat suasana yang berlaku akhir zaman ini begitu memeritkan jiwa. Harapan dan du’aa dari saya agar bumi ini sentiasa di bawah penjagaanNYA. Dan saya juga mampu untuk meneruskan langkah perantau di bumi barakah Syria ini dengan tenang dan aman serta berada di bawah naungan redhaNYA..~ amen ya Rabb!
Related Posts with Thumbnails
 

saffa@srar Copyright © 2009 Community is Designed by Bie