Walaupun pemerintahan Islam dijatuhkan sudah sekian lama namun cahaya Islam tidak pernah dapat dipadam dan disekat. Sinar cahaya Islam itu terus menembusi tembok-tembok sempadan dan benteng sekatan yang dilakukan oleh kaum kuffar laknatullahi a’laihim. Di sana ada kekuatan yang tidak dapat dihancurkan oleh musuh-musuh Islam walau dengan apa cara sekalipun mereka tidak mampu untuk menandingi kuasa Allah yang maha esa. Mana mungkin makhluk yang diciptakan oleh Allah sebagai penciptanya mampu untuk mengubah dan melawan kehendak penciptanya.
Orientalis barat pernah menyebutkan tentang kehebatan umat Islam iaitu di dalam kata-kata beliau :
“Walaupun dunia barat telah Berjaya melumpuhkan dan menjatuhkan pemerintahan Islam, namun di sana ada 2 batu besar yang tidak dapat dijatuhkan dan dimusnahkan walaupun dengan bala tentera dan armada yang datang menyerang. Sekiranya serangan diteruskan ke dua-dua batu besar itu tidak akan dapat dijatuhkan atau hancur sama sekali melainkan tentera dan armada itu yang akan musnah”.
2 batu besar itu adalah :
1. Al-Qur’an: kerana ianya adalah mukjizat nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang tidak boleh dihapuskan sampai hari kiamat.
2. Kaabah: adalah qiblat umat Islam.
Kaum kuffar tidak akan takut sama sekali dengan ulama yang hanya mengajar ilmu fardhu ain, ibadah sahaja tanpa membawa seruan dakwah Islam yang sebenar. Tetapi yang mereka takuti adalah ulama yang membawa mesej dakwah Islam sebenar iaitu “al amru bil makruf wannahyu a’nil munkar”. Maka sekiranya kita hanya menyeru umat ini dengan melakukan perkara makruf tanpa melarang dan mencegah kemungkaran ianya masih belum mencukupi syarat-syarat dakwah sebenar.
Hakikatnya segala perancangan dan ideologi-ideologi barat gagal untuk melumpuhkan kebangkitan Islam. Kerana Islam menguasai pemikiran dan hati-hati manusia. Sehinggalah berlakunya kebangkitan kepada Islam sepertimana yang berlaku di Palestin, Turkey, Iran, Lubnan dan Malaysia. Perjuangan Islam itu sendiri berasaskan dengan maudhu’ Islam yang mana perjuangan wajib diteruskan sampai Islam berdiri dan ditegakkan.
Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Hajj-41:
“Iaitu mereka (umat Islam) Yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara Yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan Segala urusan”.
Ayat ini telah menjelaskan beberapa ciri yang perlu ada pada pemimpin yang dipilih bagi memerintah dan memimpin umat ke jalan yang diredhai Allah. Ciri-ciri tersebut adalah :
1. Mereka yang mendirikan sembahyang.
2. Mereka yang memberi zakat.
3.Mereka yang menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemungkaran
Firman Allah s.w.t lagi di dalam surah an-Nuur – 55:
“Allah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) Bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah Yang memegang Kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang Yang sebelum mereka: khalifah-khalifah Yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) Yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu Dengan tidak mempersekutukan sesuatu Yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa Yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka”.
Pernah diriwayatkan di dalam sebuah hadis dari kitab riyadussolihin di dalam bab as-sobru daripada abu Abdullah khabbab bin al-arat bahawa mereka(para sahabat) pernah mengadu kepada rasulullah supaya didoakan agar meminta kemenangan bagi umat Islam. Lalu dijawab permintaan para sahabat dengan tazkirah bahawa perlu bersabar di dalam menegakkan agama Allah. Sesungguhnya demi Allah, bahawa Allah akan menjadikan agama ini (Islam) akan menang!. Inilah yang dikatakan Islam itu memerintah dan berdaulat. Untuk menunaikan perkara ini iaitu perjuangan menegakkan Islam tentulah akan berhadapan dengan kezaliman. Perjuangan Islam perlu didokong sampai ke puncaknya dan tidak akan berhenti walaupun ditekan dan dizalimi dengan teruk. Sedarlah bahawa, Perjuangan ini bukan mudah! Tanpa kekuatan dan tamkin yang dikurniakan oleh Allah serta kesabaran dalam menghadapi mehnah ini kita tidak akan dapat melihat Islam itu tertegak di muka bumi. Wahai umat dakwah, tahsinkanlah jiwa dan hati-hati agar roh Islam terus membentuk jatidiri mukmin sejati..
0 pendapatan:
Post a Comment