Sunday, February 01, 2009

Berteduh Di Bawah Pohon Taqwa


“ manusia mesti beramal atau bekerja bagi menyediakan bekalan hari akhirat ”

sabda rasulullah s.a.w yang bermaksud :

“ bagiku berada di dunia ini ibarat seorang yang berjalan di tengah panas lalu singgah sebentar berteduh di bawah sepohon kayu yang rendang, selepas beristirehat barang seketika untuk menghilangkan penat, maka beredarlah dia meninggalkan pohon rendang itu dan meneruskan perjalanan. ”

Hadis rasulullah s.a.w itu adalah suatu peringatan terhadap manusia. Bahawa kesempatan yang diberikan kepada manusia hidup di dunia ini bukanlah untuk kekal buat selama-lamanya. Sebaliknya dunia hanyalah tempat persinggahan untuk membuat persiapan, mencari bekalan bagi menghadapi suatu penghidupan yang abadi di akhirat kelak.

Inilah hakikat yang diajar oleh rasulullah s.a.w kepada um
atnya, tentang kehidupan di dunia ibarat singgah berteduh di bawah sepohon kayu untuk menghilangkan letih atau singgah mencari bekalan. Selepas badan kembali segar, seharusnya mereka tidak lalai untuk meneruskan perjalanan.

Tempoh perjalanan manusia di dunia yang begitu singkat ini haruslah dipenuhi dengan amal ibadah. Bagaimana mahu menjadi manusia serta hamba yang bertaqwa itu terpulang kepada diri masing-masing untuk mencoraknya. Kehidupan kita di dunia ini bergantung kepada jalan yang kita pilih. Jika pilihan kita itu betul dan tepat, maka pengakhirannya adalah suatu pengakhiran yang menguntungkan.

Bukan mudah untuk berteduh di bawah pohon taqwa seperti yang di maksudkan kerana hanya insan pilihanNya sahaja yang mampu untuk sampai ke tahap itu. Kita selaku hamba perlu berusaha dan berdoa agar digolongkan bersama-sama hambaNya yang bertaqwa. Orang yang beriman akan mendambakan untuk berteduh di bawah pohon taqwa yang akan menghasilkan buah iman yang begitu manis. Begitulah perumpamaan bagi kemanisan hidup seorang hamba Allah di dunia ini.

Contoh yang diberikan oleh rasulullah s.a.w tentang kehidupan di dunia ini amat mudah difahami meskipun baginda menyebut ibarat singgah sejenak berteduh di bawah pohon yang rendang, tetapi kadangkala manusia menjadi asyik dan terlena, apatah lagi jika pohon tempat berteduh itu sedang berbuah lebat dan ranum. Berehat sambil makan buah-buahan serta hembusan bayu yang nyaman sungguh mengasyikkan. Manusia yang dilalaikan dengan kehidupan dunia akan menghadapi penyesalan yang tidak berkesudahan. Dalam al-quran telah digambarkan, yang bermaksud;

“ wahai tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami ke dunia, kami akan mengerjakan amal yang soleh. Sesunguhnya kami adalah orang-orang yang yakin. ” Surah as-sajdah 32: 12

Demikianlah sesalan orang-orang yang lalai akan peranan mereka dihidupkan di dunia. Mereka cuba memohon kepada tuhan agar dikembalikan ke dunia untuk melakukan amal soleh, selepas mereka melihat dengan mata kepala sendiri datangnya hari akhirat, seperti yang dikhabarkan oleh para rasul semasa di dunia dahulu.

Meskipun kehidupan di dunia ini diibaratkan singgah sebentar sekadar berteduh di bawah pohon, namun ia amat bererti bagi seorang musafir yang berjalan jauh ketika hari panas. Mereka pasti mengambil peluang untuk berehat serta makan dan minum untuk memulihkan tenaga fizikal dan dapat juga melakukan amal ibadah untuk kekuatan dan bekalan rohaninya.

Usia yang masih berbaki ini berusahalah untuk kita mengenal erti kehidupan. Dengan ilmu pengetahuan kita yang terbatas ini sudah tentu tidak tahu bila akan tiba masanya ajal kita. Maka, sentiasalah menjaga diri dari melakukan kebatilan, melakukan yang makruf dan mencegah mungkar.

Demikianlah hakikat dunia yang disebut sebagai gelanggang melakukan amal dan segala gerak kerja manakala akhirat sebagai negara menerima balasan. Jika di dunia yang singkat waktunya ini terlalai dengan kenikmatan yang sementara, dibimbangi bahawa penyesalan akan menunggu di akhirat.¤


Dipetik:TAQWA-T.G.D Nik Abd Aziz Nik Mat.

Diolah:saffa@srar.

0 pendapatan:

Related Posts with Thumbnails
 

saffa@srar Copyright © 2009 Community is Designed by Bie