﴿ومن ءايته أن خلقكم من تراب ثم اذا أنتم بشر تنتشرون﴾.﴿ومن ءايته أن خلق لكم من أنفسكم أزواجا لتسكنوا اليها و جعل بينكم مودة و رحمة.ان فى ذلك لأيت لقوم يتفكرون﴾ سورة الروم:20, 21
Allah memberikan manusia aqal fikiran. Allah juga mengurniakan manusia ruh yang membezakannya daripada haiwan. Jadi dengan adanya ruh itulah yang dapat menghidupkan jasad dan juga aqal fikiran. Oleh yang demikian, manusia perlu menggunakan aqal fikiran yang bijaksana di dalam kehidupannya. Maka seorang muslim yang “aqil, baligh” dipertanggungjawabkan ke atasnya amanah-amanah oleh Allah subhanahu wata’ala. Itulah yang dikatakan “mas’uliyah” di adalam Islam. Bukan hidup dalam mengikut telunjuk nafsu atau segala yang selain dari sumber rujukan Islam iaitu al-qur’an dan as-sunnah seterusnya ijma’ dan juga qiyas.
Dengan kita mempelajari serta mengkaji tentang agama maka bertambahlah kefahaman mengenainya. Apabila sudah bertambah kefahaman ilmu agama, maka akan bertambahlah perkenalan kita dengan pencipta juga pemilik segala yang ada di dunia ini. Dialah Allah subhanahu wa ta’ala tuhan yang menciptakan makhluk.
Jika diperhatikan ayat: 20 dari surah tersebut jelas menceritakan bahawa manusia ini diciptakan dari asal yang satu. Iaitu nabi Adam alaihissalam. Nabi Adam diciptakan dari tanah. Kemudian dari nabi adam itu lahirlah manusia sehingga menjadi berbagai golongan manusia di dunia ini.
Persoalannya bagaimanakah manusia yang lahir dari rahim ibu yang datangnya dari air mani seorang lelaki yang dikatakan dari tanah itu? Kebetulan saya mendengar kuliah Tok Guru Nik Aziz mengenai “kaedah membaca al-qur’an dan tafsir surah an-naas”. Kata Tok Guru, manusia ini jadinya dari air mani. Air mani yang telah diciptakan oleh Allah hasil dari pemakanan manusia yang semuanya datang dari tanah. Ayam, lembu, tanaman dan sebagainya semua datang dari tanah. Maka oleh sebab demikianlah manusia ini dijadikan daripada tanah. Alhamdulillah, terjawab sudah persoalan yang bermain di fikiran saya selama ini. Jawapannya, benarlah manusia ini asalnya daripada tanah.
Cinta Intelek Di Dalam Al-Qur’an
Saya pernah terbaca kata-kata motivasi cinta di dalam sebuah majalah. Kata-kata yang telah memberikan semangat untuk memilih jalan yang benar dalam membawa cinta itu kepada yang haq. Kata-katanya begini;
“Pilihlah cinta intelek yang membawa pada keterbilangan. Semakin bercinta, semakin dewasa untuk memacu kehidupan. Semakin bercinta, semakin matang untuk sedar bahawa hidup sangat menuntut perjuangan. Semakin bercinta, semakin luar biasa bagus dan hebat sekali.”
Kata-kata ini saya simpan dan menjadi inspirasi buat saya selama ini. Tetapi, apabila saya membaca kitab motivasi yang bertajuk “ Hamsah fi uzun fataat”- bisikan halus di telinga pemudi- karangan Dr. hasan shamsi basha, dar qalam Dimasyq. Nasihat beliau di dalam kitab tersebut apabila datang kepada kita perasaan serabut, goyang, merusuh dan sebagainya sentiasalah mengingati ayat Allah dari surah ar-rum ayat: 21. Dengan cuba untuk menghidupkan beberapa Kalimah Khalidah iaitu;
سكينة : ketengan hati, kehebatan
مودة : kasih sayang
رحمة : belas kasihan
Sedang ramai manusia asyik dengan cinta dunia yang tidak tahu penghujungnya, bagi yang mengetahui dan mempunyai aqal fikiran perlulah mencari kebenaran. Setelah mendapatkannya perlulah mengamalkan juga menyampaikan kesemuanya tanpa memilih mana yang sesuai mengikut hawa nafsu sahaja. Inilah “krisis aqidah” yang sering melanda umat Islam sekarang apabila memilih juzuk-juzuk tertentu sahaja di dalam beragama. Sedangkan Islam itu syumul iaitu “Islam agama yang komprehensif” menunjukkan bahawa tidak sempurna agama seseorang apabila dia berpilih-pilih dalam beragama.
Secara ringkasnya kefahaman dari ayat: 21 surah ar-rum itu ialah; Allah menciptakan untuk kaum lelaki isteri-isteri dari jenisnya sendiri iaitu manusia ( tidak dari jin ataupun haiwan) supaya bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan(Dengan isteri yang penyayang, suami yang mempunyai belas kasihan yang tidak akan ditimpa ke atas isterinya sesuatu yang buruk). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang-orang yang berfikir.
Setelah saya mengulangi bacaan daripada ayat al-qur’an dan kata-kata itu, saya mendapati gabungan kefahaman yang agak bagus untuk dikongsikan bersama. Fikrah cinta intelek yang saya pegang selama ini telah ditukar kepada cinta intelek di dalam al-qur’an. Cinta yang tiada tandingannya. Rahmat dan kasih sayang Allah kepada hambanya tidak dapat ditandingi dengan kasih sayang sesama manusia. Subhanallah- walhamdulillah-wa la ilaha illallah- wallahu akbar.
0 pendapatan:
Post a Comment